Kak Chun menjadi berang. Kawan Xiao Xiaolong ini memang sengaja mencari kesalahan. Sajian ruang umum ini sememangnya bukan dimasak oleh cef terhebat mereka, tapi tak mungkin ia seteruk yang dia jelaskan.
Sementara itu, Xiao Xiaolong dan lain-lain memandang Kak Chun dengan rasa pelik. Mereka berkata dalam hati, 'Bu Fang tak layak mengkritik hidangan Restoran Phoenix Abadi ni? Itu jenaka paling besar di dunia. Maharaja pun boleh tertewas dengan sajian Bu Fang. Kenapa Restoran Phoenix Abadi nak berlagak sangat?'
Kata-kata Kak Chun memang angkuh, tapi ada sebab kenapa dia bersikap begitu. Dia yakin dengan cef di Restoran Phoenix Abadi. Tak ada restoran lain setanding restoran ini. Cef-cef yang bekerja dengan mereka pun merupakan yang terbaik di dalam empayar.
Pandangan menyindir daripada Xiao Xiaolong dan lain-lain menyebabkan Kak Chun rasa sedikit tak senang. Wajah cantiknya berkerut sambil dia bertanya, "Salah ke apa yang Kak Chun cakap?"
Xiao Xiaolong dan lain-lain tergelak kecil dan menggelengkan kepala mereka tanpa berkata apa-apa. Bu Fang pula memandangnya sekilas tanpa eskpresi.
Dia seolah-olah memandang seorang badut.
Bu Fang bangun dan melihat ke arah Kak Chun. Dia meletakkan beberapa syiling emas dan berkata, "Bawa kami ke tingkat dua. Semua hidangan di tingkat pertama ni… saya beri penilaian rendah."
"Kamu…" Kak Chun rasa geram. Dia berkata dalam hati, 'Orang ni berlagak sangat! Dia fikir dia siapa? Dia tu siapa nak mengkritik sajian yang dibuat cef Restoran Phoenix Abadi?!"
Bila Xiao Xiaolong dan lain-lain nampak yang Bu Fang hendak ke tingkat dua, mata mereka bersinar dan mereka pun turut bangun.
Xiao Xiaolong tersenyum sambil dia pergi ke sebelah Kak Chun dan berkata, "Kak Chun, janganlah marah. Perangai kawan saya ni memang macam tu. Bawa kami ke tingkat dua. Hidangan di situ tak setanding di sini. Bila tiba masanya, kawan saya pasti tak akan beri penilaian macam ni lagi."
"Baik! Kak Chun nak tengok boleh lagi ke budak tak guna ni berlagak sombong di atas!" Kak Chun mendengus lembut sambil dia memusingkan badan dan menunjukkan jalan sambil melenggangkan pinggul.
Xiao Xiaolong dan lain-lain tersenyum senang sambil mengikuti Kak Chun.
Ruang di tingkat dua Restoran Phoenix Abadi lebih sempit daripada tingkat satu. Bila Bu Fang dan lain-lain sampai ke tingkat dua, badan mereka dapat rasa atmosfera berbeza.
Tidak seperti tingkat satu yang bising, tingkat dua sangatlah senyap dan harmoni. Hiasannya begitu cantik dan indah, dan terdapat banyak herba semangat yang diletakkan di sekelilingnya dan menghasilkan udara segar. Ada pelanggan yang duduk di meja dan sedang menikmati hidangan mereka dengan gaya elegan.
Kak Chun membawa mereka ke meja kosong sambil mengayunkan badan. Ekspresinya kurang senang sambil dia berkata dengan dingin kepada Bu Fang, "Lihat menu itu. Kamu nak makan apa?!"
Bu Fang mengambil menu. Ada lebih kurang dua puluh sajian yang tersenarai dan setiap satunya begitu mahal. Walaupun ia tak semahal Restoran Fang Fang, harganya tak sesuai untuk orang biasa.
Bu Fang memandang sekilas sebelum meletakkan menu di atas meja dan berkata, "Berikan semua hidangan yang kamu rasa terbaik di tingkat dua ini."
"Hmm?" Anak mata Kak Chu mengecil sambil dia memandang Bu Fang dengan dingin. Dia berkata dalam hati, "Daripada nadanya, budak tak guna ni masih nak mencari kesalahan hidangan kami? Dia masih nak cari pasal walaupun berada di tingkat dua Restoran Phoenix Abadi?"
"Baiklah! Saya akan biarkan kamu merasai hidangan di Restoran Phoenix Abadi!" Kak Chun mendengus marah sambil dia memusingkan badan dan beredar untuk menyampaikan pesanan hidangan-hidangan itu.
Hanya selepas Kak Chu beredar, barulah Xiao Xiaolong bertanya perlahan kepada Bu Fang, "Tauke Bu… Kamu memang bersedia nak mengkritik semua hidangan Restoran Phoenix Abadi hari ni ke?"
"Patut ke buat macam tu? Lagipun, keharmonian membawa kemakmuran."
Bu Fang mengerutkan kening dan memandang Xiao Xiaolong. Dia berkata, "Mereka sepatutnya bersyukur saya tunjukkan kelemahan mereka."
Ouyang Xiaoyi tak dapat menahan diri daripada ketawa. Kesungguhan Tauke Bu bila dia bercakap bukan-bukan itu nampak terlalu melucukan buat dia.
Xiao Yanyu pun menutup mulutnya sambil tergelak kecil. Wajah cantiknya bertukar agak kemerah-merahan.
Namun begitu, Bu Fang berasa hairan. Dia hanya bercakap benar. Penilaian yang diberikan itu ada kaitan dengan kesilapan besar sajian-sajian itu. Kalau mereka betulkan kesilapan-kesilapan ini, rasa sajian mereka pasti akan meningkat sekurang-kurangnya satu gred.
Selepas seketika, bau harum datang ke arah mereka.
Kak Chun datang membawa hidangan mereka sambil berlenggang. Dia membawa satu pinggan besar ketam bunga yang menghasilkan bau wangi. Ketam-ketam bunga itu dibelah dua dan didirikan di atas pinggan. Dari jauh, ia nampak menarik dan mempesonakan.
"Ini sajian terkenal di ruang pelanggan terkemuka Restoran Phoenix Abadi, iaitu Ketam Bunga Goreng." Kak Chun memandang Bu Fang dengan gaya menggoda sambil meletakkan hidangan itu di atas meja.
Xiao Xiaolong hampir tak dapat menahan diri bila dia menghidu aroma ketam bunga itu. Sebelum ini, bila dia datang ke Restoran Phoenix Abadi, dia pasti akan memesan hidangan ini.
Dia mengalihkan salah satu ketam itu ke dalam mangkuknya. Dengan tak sabar, dia membuang cangkerangnya sebelum mula makan dengan sepenuh hati.
Bu Fang juga mengambil separuh daripada ketam bunga itu. Warnanya dikawal baik. Cangkerang merah dan haruman yang terhasil selepas digoreng dalam kuali begitu menggiurkan.
Dia mengambil penyepit dan membuka cangkerang ketam bunga itu dan isi ketam berbau harum terhidang di depannya. Isi ketam yang putih dan lembut itu sedikit hangat. Bila disertakan dengan cangkerang merah, rupanya nampak lebih menarik.
Bu Fang tidak terus mengambil isi ketam itu. Dia menggunakan penyepitnya untuk mengambil sedikit isi perut ketam di cangkerang. Isi perut ketam itu berwarna kuning jingga dan sangat menggiurkan. Walaupun bau harumnya tak begitu kuat, itu pati ketam.
"Hmm?" Selepas Bu Fang merasa isi perut ketam itu, mukanya berkerut dan dia tak berkata apa-apa. Kemudian, dia menggigit isi ketam yang lembut dan harum itu dan eskpresinya masih serius.
Selepas merasa kedua-dua bahagian ketam, Bu Fang meletakkan ketam bunga itu dan tak berkata apa-apa.
"Kenapa? Tak boleh cari apa yang tak kena? Hidangan di tingkat satu disediakan untuk orang biasa jadi memang senanglah nak cari kekurangannya. Tapi, di tingkat dua, sajian-sajiannya disediakan untuk tetamu terkemuka; orang-orang berprestij di bandar diraja. Kamu masih boleh cari kesilapannya ke?"
Bila dia nampak yang Bu Fang terdiam, Kak Chun terus menyindirnya.
Xiao Xiaolong dan lain-lain terkejut sambil memandang Bu Fang kehairanan. Namun, kalau mengikut apa yang mereka faham tentang Bu Fang, dia tak akan lepaskan peluang untuk merendah-rendahkan orang lain.
Bu Fang memandang sekilas Kak Chun yang sedang bergembira. Dia mengetap bibirnya sebelum berkata, "Saya bukan tak boleh kata apa-apa, cuma saya tak mampu berkata apa-apa. Betul ke ni sajian istimewa tingkat dua Restoran Phoenix Abadi?"
"Kalau diambil kira cara ketam bunga itu dimasak sekali pun, pemilihan ketam itu sendiri sudah merosakkan hidangan ini. Perkara paling penting dalam sajian Ketam Bunga Goreng ialah pemilihan ketam bunga. Isinya tak cukup lembut dan ia tawar seperti air. Hanya dengan melihat ketam ini saya sudah tahu yang ia dibiak secara buatan. Tekstur isinya terasa kosong dan rasanya lebih teruk daripada ketam bunga liar. Lagipun, ada juga masalah dengan cara penggorengannya. Habanya tak dikawal dengan baik dan ini menyebabkan hilang bau wangi dan rasa isi perut ketam disebabkan terlebih masak. Secara keseluruhannya, saya beri penilaian rendah."
Bu Fang bukan tak nak cakap, cuma dia malas untuk menyebutnya. Bila dia terbau Ketam Bunga Goreng itu, dia agak berharap. Tapi, bila dia merasa hidangan itu, harapannya musnah. Kalau dikatakan yang harapannya jatuh dari langit ke neraka pun agak munasabah.
Kak Chun rasa bingung. Xiao Xiaolong dan lain-lain pun sama. Jadi… hidangan ini ada banyak kesilapan! Mereka langsung tak sedar!
"Hmph! Siapa saja yang tak tahu cakap bukan-bukan! Entah betul ke tidak komen kamu tu!" Kak Chun mula mengejek.
Bu Fang memandangnya acuh tak acuh dan memalingkan muka. "Ikut sukalah nak percaya atau tak. Cepat hidangkan makanan lain. Saya sudah hilang sabar."
Betul tu. Sama ada dia percaya atau tidak tak penting untuk Bu Fang. Dia berada di situ hanya untuk melengkapkan misi sistem dan bukannya untuk mengajar Kak Chun.
"Kak Chun, apa yang berlaku? Kenapa ada pertikaian ni?"
Sambil dada Kak Chun turun naik disebabkan rasa geram, satu susuk tubuh lampai perlahan-lahan menghampiri mereka dan mula bersuara.
Kak Chun nampak orang yang mendekati mereka dan matanya bersinar bila dia berkata, "Tauke Qian, cepat datang ke sini. Lelaki ini kata yang sajian restoran kita tak dimasak dengan baik!"