Huo Mian tidak ingat bagaimana dia dapat meninggalkan pangsapurinya dan bagaimana dia berjaya sampai ke bilik kecemasan hospital itu.
Bilik bedah sudah pun tertutup. Sekumpulan individu menunggu di luar pintu itu.
Dia melihat emaknya terduduk lemah di atas kerusi di laluan itu, menangis dengan esakan yang meruntun perasaan.
"Mak, bagaimana dengan Zhixin?"
"Oh, Zhixin saya yang kasihan. Kamu kena sembuh. Kalau tidak, bagaimana Mak akan hidup seorang diri?" Seolah-olah dia tidak dapat melihat Huo Mian, Yang Meirong berterusan meratap dengan mata terpejam.
Dua orang jururawat muda berjalan ke arahnya, berniat untuk memarahinya supaya memperlahankan suara. Mereka terkejut apabila ternampak Huo Mian. "Huo Mian, kamu pun keluarga pesakit juga?"
Huo Mian mengangguk. Wajahnya pucat. "Weiwei, bagaimana dengan adik saya? Macam mana situasinya?"
"Kami belum tahu lagi. Tapi keadaan dia ketika dibawa masuk tadi agak menakutkan. Degupan jantungnya tidak sekata dan tekanan darahnya sangat tinggi. Doktor pakar sedang cuba menyelamatkan dia. Kamu perlu tunggu buat masa sekarang."
"Okey, saya faham."
Huo Mian merasakan kekuatan bagaikan disedut keluar daripada tubuhnya. Dia hampir rebah.
Mereka baru sahaja makan tengah hari bersama tadi sambil berbual dan bergelak ketawa. Bagaimana kejadian seperti ini boleh berlaku pada tengah hari yang sama?
Jika ada apa-apa berlaku pada Zhixin, dia tidak dapat bayangkan bagaimana dia dan emaknya akan meneruskan hidup di bumi ini.
Tujuh tahun lalu, kematian Pak Cik Jing sudah menyelimuti keluarga mereka dalam kabus dingin. Jika sesuatu terjadi pada adiknya kini, dia takut dia akan kehilangan semangat untuk hidup.
Ketika itu, Huo Mian perasan ada keluarga lain yang menangis di luar bilik bedah itu. Kemudian, baru lah dia teringat untuk bertanya tentang apa yang berlaku.
Seorang lelaki pertengahan usia, dalam lingkungan usia 40an dan memakai kaca mata berbingkai emas, berjalan menghampirinya.
Huo Mian mengenalinya. Dia ialah profesor di universiti Jing Zhixin.
"Profesor Sun, apa yang telah berlaku sebenarnya?"
"Berdasarkan apa yang saya dengar, Jing Zhixin terlibat dalam kemalangan kereta semasa perjalanan pulang ke asrama dari perpustakaan. Bukan dia sahaja yang tercedera. Ada tiga orang pelajar lain yang mengalami kecederaan parah. Ini dikelaskan sebagai perlanggaran tindak balas berantai." Nada suara profesor itu sangat muram.
Huo Mian kaku buat seketika.
"Bagaimana itu boleh berlaku? Bukankah ada had laju dalam kampus? Dengan kelajuan yang rendah, bagaimana kemalangan kenderaan yang begitu serius boleh berlaku?"
"Saya tidak ada di sana ketika ia berlaku. Kita perlu menunggu rakaman kamera tertutup diproses untuk mengetahui maklumat lanjut. Tapi berdasarkan apa yang diberitahu oleh pelajar yang menjadi saksi, sebuah kereta sport Porsche telah memecut. Kereta itu telah menyebabkan kerosakan yang agak teruk pada infrastruktur universiti, kemudian melanggar dan mencederakan empat orang pelajar sebelum merempuh sebatang pokok."
"Kereta sport Porsche?" Kening Huo Mian berkerut. Dia tidak boleh membayangkan siapa yang akan memecut sebuat kereta sport dalam kampus universiti yang padat dengan pelajar dan menyebabkan kerosakan pada infrastruktur.
"Bagaimana dengan pesalah? Di mana mereka?" Huo Mian dipenuhi amarah.
"Dia melarikan diri. Saya dengar gadis yang berada di tempat duduk penumpang juga cedera parah dan sedang menjalani rawatan kecemasan di hospital. Namun, pihak universiti sudah menghubungi polis. Mereka kini sedang menyiasat. Jadi kamu tidak perlu bimbang."
"Macam mana saya tidak bimbang jika saya tidak tahu bagaimana keadaan adik saya?" Air mata Huo Mian mula menitis sewaktu dia bercakap.
Tiga jam kemudian, pintu bilik bedah dibuka.
Huo Mian dan emaknya bergegas ke arah doktor itu, menghalang laluannya.
"Doktor Liu, bagaimana dengan adik saya?"
"Keadaan tidak kelihatan baik. Kami sudah buat sehabis baik untuk menyelamatkan dia. Namun, ada pendarahan dalaman di dalam kraniumnya. Tambahan pula, lokasi pendarahan itu sangat sensitif. Kami tidak mempunyai keyakinan penuh untuk meneruskan pembedahan kedua. Sekejap lagi, jabatan neurosurgeri akan membuat rancangan. Kami akan bincangkan bagaimana untuk meneruskan rawatan dengan ahli keluarga selepas itu."
Mendengarkan perkara ini, kedua-dua Huo Mian dan emaknya merasakan lutut mereka lemah.
'Keadaan tidak kelihatan baik' bermakna mereka belum mampu menjadikan adiknya dalam keadaan stabil.
Dia memahami teori mengenai pendarahan dalaman di kranium. Pembedahan yang dilakukan oleh Qin Chu bersamanya sebelum ini ialah untuk pesakit yang menderita masalah ini.
Pembedahan itu merupakan prosedur yang memerlukan pelbagai teknik. Sebarang kesilapan kecil boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang. Kes-kes yang kurang parah boleh menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif atau pergerakan motor yang terbatas. Kes-kes parah pula boleh menyebabkan lumpuh atau meninggalkan pesakit dalam keadaan koma.
"Oh syurga-syurga di atas. Anak lelaki kecil saya yang begitu kasihan. Apa yang saya buat sehingga saya diuji begini?" Yang Meirong melolong, melutut di atas lantai.
Pada masa itu, Huo Mian merasakan langit seakan-akan runtuh di sekelilingnya.