Keadaan kolej sedikit sibuk dengan kehadiran pelajar-pelajar baru. Ada yang sedang sibuk bergambar, ada yang sedang jadi tunggul di tepi longkang (sedang mendengar ceramah dari parents), ada juga yang sedang menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan duduk bersantai melihat pelajar-pelajar yang lalu lalang dan ada juga yang ke hulu kemudian ke hilir lagi mengurus tempat tinggal dan mengangkut barang masing-masing. Sheena? Dia sedang berusaha mengejar Mike yang berjalan dengan laju di hadapan. Mentang-mentanglah kaki dia panjang macam galah, senang-senang sahaja dia melangkah dua anak tangga sekali. Menyebabkan Sheena terpaksa berlari anak untuk memastikan dia tidak ketinggalan dan tidak sesat. Sesekali dia tersenyum apabila berselisih dengan pelajar-pelajar yang lain. Manalah tahu, nanti akan menjadi rakan sekelasnya. Eh, semakin teruja pula untuk mahu memulakan semester! Tapi apa-apa pun, pertama sekali dia perlu memastikan Mike tidak hilang dari pandangannya. Entah, apa yang dia kejar. Berjalan laju seperti lipas kudung.
Mike menghentikan langkahnya tiba-tiba, menyebabkan Sheena hampir terpeluk lelaki tersebut, sebab itulah kalau bawa kereta pemandu selalu diingatkan untuk menjaga jarak supaya tidak terlanggar kereta di hadapan. Sheena berpura-pura membetulkan pakaiannya sambil berundur sedikit ke belakang, dia menghela nafas lega. Matanya memandang nama yang tertera di pintu pejabat tersebut 'Dr.Elena Kwan', 'Pengarah'.
Bukan calang-calang kenalan Mike di kolej tersebut, jawatan pengarah. Patutlah dia diterima dengan mudah, walaupun keputusannya tidak layak tapi kalau sudah pengarah kolej yang memberikan kelulusan siapa lagi yang mampu menghalangnya? Namun, dia percaya yang keputusannya tidak mempunyai masalah untuk lulus dengan jayanya untuk masuk ke dalam kolej tersebut. Dia pun bukan calang-calang orangnya, dia merupakan pelajar terbaik di sekolahnya dan juga daerah tempat tinggalnya. Sebab itulah, ramai orang kampung yang hairan melihat dia tidak menyambung pengajian, padahal dia boleh masuk ke mana-mana institusi yang dia mahu dengan keputusan sebaik itu. Nasib baiklah, sekarang dia sudah mahu memulakan pengajian. Usahanya selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil. Bukan mudah mahu masuk ke kolej itu, boleh dikatakan yang kolej tersebut merupakan kolej golongan berada sahaja. Kalau diikutkan taraf keluarga, memang dia tidak layak masuk ke sana kerana yuran pengajian yang cekik darah dan memerlukan orang dalam untuk masuk. Sekali lagi, terima kasih kepada Mike kerana dia akhirnya dapat masuk dengan mudah.
"Sorry, we are late."
Ujar Mike sebaik sahaja mereka masuk ke dalam. Sheena tergamam seketika di belakang Mike. Gadis itu! Dia kenal gadis tersebut.
"Oh, nevermind Mike! Awak tak lewat pun. Saya pun baru sahaja sampai ke pejabat." Gadis tersebut atau Dr.Elena atau 'kekasih gelap' Mike tersenyum mesra menyambut mereka dan lagi mengejutkan dia memeluk Mike dengan mesra. Okay, adakah dia salah masuk bilik atau apa? Perlukah dia keluar dan membiarkan mereka berdua-duaan di dalam pejabat tersebut? Mahu sahaja Sheena berpatah balik untuk keluar dan menunggu di luar pejabat. Sakit pula hatinya melihat kemesraan pasangan sejoli tersebut bermesraan di hadapannya. Excuse me, tapi dia merupakan isteri Mike yang sah dan dia mempunyai hak untuk marah walaupun Dr.Elena merupakan kekasih Mike yang sah. Kekasih dan isteri mempunyai beza yang cukup besar, isteri sudah sah di sisi undang-undang dan agama. Kekasih? Belum sah di sisi undang-undang dan agama. Sheena membebel di dalam hati.
"You must be Sheena, Mike's wife!" Dr.Elena tersenyum mesra memandang Sheena yang tidak berganjak di belakang Mike. Sheena mengangkat keningnya sedikit, tidak tahu mahu memberikan tindak balas yang bagaimana. Berlagak sombong? Atau pura-pura mesra? Hipokrit.
"You look so beautiful!!"
Ujar Dr.Elena lagi sambil memeluknya erat. Okay, sekarang apa yang terjadi? Kekasih gelap Mike memujinya cantik dan memeluk dirinya? Adakah dia bakal akan menolaknya kasar ke dinding atau menarik rambutnya dengan ganas atau menumbuknya atau menendangnya atau pendek kata akan membelasahnya? Apa-apa pun yang bakal dia lakukan kepada dirinya, Sheena sudah bersiap sedia. Pengalaman menyental lantai kandang kambing membuatkan tangannya sudah cukup fit untuk membuat apa-apa jenis back flip dan yang sama waktu dengannya. Kecuali kalau Dr.Elena mempunyai sebarang tali pinggang dalam seni mempertahankan diri, memang Sheena akan kalah dengan teruknya. Dia siap mengangkat bendera putih.
"Sampai hati awak tak perkenalkan dia dengan saya selama inikan, Mike. Nasib baiklah dia mahu menyambung pengajian di sini, kalau tidak memang selama-lamanya saya tidak akan mengenali dia." Ujar Dr.Elena sambil meleraikan pelukannya.
Sheena bingung sejenak. Eh, dia tidak melakukan apa-apa terhadap dirinya, dia masih selamat dan kenapa kata-katanya tidak ada unsur cemburu atau marah? Atau memang dia jenis yang sabar dalam semua perkara? Angelic.
"Now, you meet her. Jadi anggap sajalah kita seri sebab bakal tunang awak pun saya belum jumpa." Mike menjawab sambil melirik kearah Sheena.
Tunggu dulu, adakah Mike menyebut perkataan 'tunang' tadi? Tunang siapa? Dr.Elena? Eh, bukankah dia kekasih gelap Mike? Kenapa sekarang dia ada bakal tunang pula? Sheena semakin bingung. Mereka main kayu tiga? Terang-terangan di hadapannya?
"Okay, fine. Tapi next time you bring her bila kita keluar lagi and i'll bring my fiance."
Mike mengangguk mendengar kata-kata Dr.Elena, setuju. Sheena semakin bingung.
Apa yang berlaku sebenarnya? Apa status hubungan mereka berdua? Kenapa dia tidak dapat memahami satu pun yang mereka sedang perkatakan. Sheena terpinga-pinga sendiri.
"Come here, Sheena. Duduk di sini, tea or coffee?"
Sheena duduk bersebelahan dengan Mike yang sedang membelek majalah dengan tenang. Tidak ada sedikit pun riak wajahnya menunjukkan yang dia sedang risau atau serba salah.
"Tea."
Sheena menjawab soalan Dr.Elena sambil memandang Mike dan Dr.Elena silih berganti. Dr.Elena yang sedar akan wajah bingung Sheena kemudiannya duduk di hadapan pasangan tersebut.
"Mike dan saya sudah lama kenal. Sudah macam adik beradik, dia adik saya dan saya kakak dia. Kami kenal sejak belajar di kolej lagi tapi saya senior dia, dia junior saya dan tak sangka pula, dia berkahwin lebih awal daripada saya. Apa yang lagi mengejutkan, dia langsung tidak menjemput saya. Kejamkan. Padahal dulu, apa-apa masalah dia akan minta saya tolong selesaikan. Kacang lupakan kulit." Dr.Elena menjelaskan, dia risau gadis tersebut salah faham pula nanti. Lagi-lagi, dia telah memeluk Mike tanpa segan silu sebentar tadi. Bukan sengaja tapi terbiasa. Dia tidak mahu yang Sheena akan berfikir bukan-bukan tentangnya kerana jika dilihat dari raut wajah gadis tersebut, dia bingung dengan hubungan Mike dan dirinya. Mesti dia syak sesuatu yang tidak baik. Padahal, Mike tidak lebih daripada seorang adik kepadanya. Adik lelaki yang tidak pernah dia miliki kerana semua adik-adiknya adalah perempuan.
Sheena mengangguk faham, mendengar penjelasan Dr.Elena. Okay, maknanya selama ini dia sudah salah faham? Maknanya, Dr.Elena bukan kekasih gelap Mike. Sheena tertawa sendiri di dalam hati, memikirkan perasaan cemburu yang wujud di dalam hatinya semenjak dua menjak ini. Kononnya, Mike mempunyai kekasih dan dia bakal akan diceraikan. Bodoh. Sheena bermonolog sendiri. Nasib baiklah, dia tidak mengatakan apa-apa yang berbaur cemburu kepada Mike, memang memalukan diri sendiri jika perkara tersebut terjadi. Sudahlah dia dan Mike tidak mempunyai apa-apa hubungan yang lebih, hanya diatas kertas sahaja tapi dia ada hati mahu cemburu bagai. Dasar tidak sedar diri.
"Kembali kepada tujuan sebenar kita hari ini, sheena selamat datang ke kolej kami. Saya mewakili kolej sangat berbesar hati menerima awak sebagai salah seorang pelajar di sini bermula semester hadapan. Thanks to Mike also, sebab dia telah mengesyorkan awak kepada kami. Kalau ikutkan result SPM awak, awak boleh masuk ke kolej yang lebih baik daripada kami atau kolej luar negara."
Sheena melirik memandang Mike yang acuh tidak acuh di sebelahnya masih khusyuk membaca majalah.
"Awak sukakan dengan jurusan yang ditawarkan, atau awak mahu menukar jurusan? Saya boleh tolong uruskan kalau awak nak." Sheena berfikir seketika tentang jurusan yang dia dapat, Dip.in Business management. Okay, tidak ada masalah baginya. Itukan pilihan Mike, maka dia pasti mempunyai sebab kenapa dia memilih bidang tersebut untuknya. Manalah tahu, dia akan bakal diserap masuk ke dalam syarikat Mike kelak. Manalah tahukan. Dia meneka sahaja, bukan mengharap pun.
"Saya okay, tidak ada masalah. Lagipun sewaktu sekolah dulu saya memang ada mengambil perniagaan dan ekonomi. Jadi memang sesuailah."
Dr.Elena mengangguk perlahan mendengar jawapan Sheena.
"Kalau begitu, kita teruskan sahaja dengan jurusan inilah kan. Bagaimana dengan tempat tinggal? Kalau awak nak, kami ada sediakan hostel untuk pelajar VIP kami. Tak payah susah-susah untuk ulang-alik ke rumah."
"Untuk tempat tinggal, tidak perlu. Dia akan ulang-alik sahaja, saya sudah sediakan kenderaan khas untuknya." Laju Mike menjawab, tidak memberi peluang kepada Sheena untuk berfikir walau sejenak. Dr.Elena tergelak sedikit mendengar jawapan Mike.
"Amboi, tak nak berpisah nampak. Takut Sheena dikebas orang ke?" Dr.Elena mengusik. Usikan tersebut menyebabkan Mike merona merah, menahan malu. Dia tidak dapat mencari kata-kata yang sesuai untuk membidas usikan sahabatnya itu. Sheena pula berpura-pura melihat telefon bimbitnya, konon-konon sedang menyemak mesej. Padahal, manalah ada orang yang mahu menghantar mesej kepadanya. Dia bukannya mempunyai ramai kawan pun. Kayla? Jauh sekali.
"Bukannya jauh sangatkan, jadi bagi peluang dengan mereka yang lebih memerlukan." Akhirnya Mike dapat mencari alasan yang paling sesuai untuk diberikan. Sheena mengangguk laju, setuju dengan Mike. Padahal dalam hati berdebar-debar, perasanlah tue.
"Mana-manalah alasan...Yang penting pastikan Sheena tidak mempunyai sebarang masalah untuk ke kolej tau." Dr.Elena tersenyum nakal, masih berusaha mengusik Mike dan Sheena.
"Don't worry. Semuanya sudah diuruskan." Mike menjawab kemudian cepat-cepat berdiri dari duduknya dan siap sedia untuk mahu beredar. Lebih lama dia berada di dalam bilik tersebut, semakin banyak isu yang bakal Elena akan timbulkan untuk mengusiknya.
"Eh, eh...nak ke mana pula tue?" Dr.Elena menahan.
"Semuanya sudah selesaikan? Awak dah kenal dengan Sheena. Kalau ada apa-apa nanti call saya sahaja. Masih ada urusan di luar." Dr.Elena tergelak kecil mendengar kata-kata Mike. Mahu mengelak dari diusik lebih-lebihlah tue.
"Hei, Sheena perlu ke dewan dahulu. Register." Dr.Elena mengingatkan.
Mike memegang tengkuknya, pula dah. Dia ingatkan sudah selesai semuanya. Manalah dia ingat, sudah beberapa tahun dia tinggalkan zaman belajar. Eh, jangan salah sangka pula! Dia sebenarnya masih muda, tidaklah tua sangat pun. Baru menginjak usia 25 tahun. Masih muda bukan. Cuma jawatannya sebagai CEO membuatkan mereka yang tidak mengenalinya menyangka yang dia sudah berusia 30-an dan cuma kelihatan awet muda.
"Kalau awak ada urusan, tidak apa. Biar saya yang temankan Sheena tinjau kawasan." Dr.Elena menawarkan diri, Mike melirik memandang Sheena kemudian dia diam sejenak. Membiarkan Sheena ke dewan sendiri? Berjumpa dengan ramai senior (lelaki khususnya) dan beramah mesra dengan mereka? Hell, no!
"Tidak apalah, biar saya temankan dia. Awak buatlah kerja awak dulu. Saya bukannya tidak biasa dengan tempat nie." Mike menolak kemudian berlalu keluar. Apa-apa urusan, tolak tepi dahulu.
"Okay. Sheena, kalau ada apa-apa masalah just come to my office, okay. Ask your husband my phone number. Jangan malu-malu nak mesej atau call." Dr.Elena menahan gadis tersebut, Sheena tersenyum kemudian mengangguk.
"Terima kasih Dok..."
"Eh, just call me kak Elena. Awakkan isteri Mike. So, tak payah nak ber doktor-doktor segala. Awak nie umpama my sister in-law. Okay..." Dr.Elena memotong kata-kata Sheena sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya. Sheena tersengih malu. Wah, dia tidak menyangka yang pengarah kolej menganggap dia umpama adik iparnya! Terbaik. Banyak pula kelebihan yang dia dapat hasil daripada status menjadi isteri Mike, biarpun hanya diatas kertas sahaja.
Melihat Mike sudah menanti di hadapan pintu, menantinya untuk keluar terpaksa Sheena memeluk mesra Dr.Elena dengan cepat kemudian berlalu pergi.
"Jaga isteri awak baik-baik, Mike. Atau pelajar senior akan kebas dia atau pelajar satu batch-nya." Dr.Elena sempat mengusik. Mike hanya mengangkat tangannya melambai tanpa menoleh kemudian dengan wajah dinginnya dia mendahului Sheena. Namun, dia menghentikan langkahnya apabila menyedari Sheena berada di belakangnya.
"Jalan di sebelah saya, bukan di belakang." Ringkas arahannya, Sheena terkejut seketika kemudian apabila dia menyedari yang dimaksudkan ialah dirinya dia cepat-cepat ke sebelah lelaki itu. Barulah mereka berjalan seiring. Wah, lain macam pula debarannya bila mereka berjalan seiringan! Terasa seperti ada rama-rama sedang berterbangan di dalam perut pula, geli-geli gitue.
Tiap mata yang melihat pasangan tersebut menoleh beberapa kali untuk memastikan, betulkah itu Mike Jacob? Bekas pelajar di kolej tersebut yang boleh dianggap legend, idol dan yang sama waktu dengannya. Keputusan tiptop, tampan, tinggi lampai, tough, anak orang kaya, pendek kata lelaki sempurna idaman kaum hawa. Kemudian ada diantaranya yang saling berbisik antara satu sama lain. Bawang's Army. Mungkin kerana mereka melihat Sheena berjalan seiringan dengannya, kalau bukan adik, mesti isteri misteri Mike. Itu adalah antara isu yang mereka kupas selepas itu. Tidak pasal-pasal semester belum bermula, Sheena sudah menjadi hot stuff.
Tenang Sheena, tenang. Walaupun mereka memandang awak macam tak pernah nampak manusia, tenang sahaja. Anggap sahaja mereka ini merupakan kambing-kambing di ladang En.Martin yang sedang meragut rumput di padang. Be confident. Ewah, sudah pandai berbahasa orang putih pula sekarang, upgrade.
Mike membawa Sheena melawat kawasan kolej dahulu sebelum membawanya ke dewan tempat pendaftaran. Sengaja dia membawa gadis tersebut untuk naik turun bangunan dan melalui jalan yang jauh supaya apabila semester sudah bermula nanti, gadis tersebut tidak lagi terkial-kial mencari kelas atau tandas atau dewan atau perpustakaan dan tempat-tempat lain.
"Hello, miss. Pelajar baru ke?" Seorang gadis yang Sheena kira sebagai pelajar senior di kolej tersebut bertanya.
"Iya, saya. Pendaftaran untuk pelajar perniagaan di mana?" Alang-alang sudah ditanya, apa salahnya dia bertanya terus perihal tempat pendaftarankan.
"Oh, pelajar business management ke? Mari ikut saya." Gadis tadi dengan senang hati membawa Sheena ke kaunter khas pelajar pengurusan perniagaan. Matanya sempat melirik memandang Mike di sebelah Sheena. Ops, jangan nak jeling-jeling. Itu suami saya. Sheena memarahi dalam hati.
"Abang awak ke?"
Gadis tersebut bertanya tanpa segan silu. Amboi, suka hati nak kata itu abang kita! Suami okay, suami! Sheena semakin geram. Macamlah Mike miliknya pula, siap marah-marah bagai tapi ulang suara, dia merupakan isteri Mike yang sah. Ulang suara sekali lagi, isteri dia yang sah di sisi undang-undang dan agama. Titik.
"Tidaklah, dia suami saya."
Setelah memastikan Mike jauh di belakang, Sheena menjawab dengan yakin. Gadis tadi kelihatan sedikit terkejut dengan jawapan Sheena, kemudian dia cepat-cepat melangkah ke arah kaunter, cover malulah tue. Disangka abang rupanya suami. Sheena tergelak di dalam hati, maafkan saya Mike. Bukan maksudku mahu membuatkan jodohmu lari tapi bagi peluang kepada yang sah ini merasakan nikmatnya melihat orang lain kecewa.
"Daftar di sini ya, miss. Welcome to our college." Gadis tadi tersenyum tawar kemudian beredar. Saya salah cakap ke apa? Atau dia terlalu berterus terang hingga menyebabkan gadis tadi tersinggung? Sheena menggaru kepalanya yang tidak gatal, bingung sendiri. Mike menanti di sebelah Sheena, memerhatikannya mengisi borang dan menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Sesekali dia menyampuk apabila perlu. Patutlah disangka abang, tidak ada ciri romantik langsung tapi mahu romantik bagaimana, bila status sebenar hanyalah 'teman serumah' atau lebih tepat lagi 'teman sevilla'.
"Semuanya sudah selesai miss, untuk jadual kelas. Sila rujuk di laman web kolej, sign in menggunakan ID dan password yang ada di dalam sampul. Sekali lagi, pihak kami mahu mengucapkan selamat menyertai Kolej Antarabangsa KK."
Sheena tersenyum lebar, akhirnya dia sah menjadi pelajar di kolej tersebut dan secara sah juga dia berjaya menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Tahniah, Sheena!
"Semuanya sudah selesaikan, sebelum balik awak kena temankan saya makan dulu. Saya sudah temankan awak untuk sesi pendaftaran."
Sheena mendongak memandang Mike di sebelahnya, biar betul apa yang dia dengar. Mike mengajaknya makan bersama? Wah, ini merupakan satu lagi peningkatan dari segi hubungannya dengan Mike. Sudah pandai mengajak makan bersama. Jadi adakah ini bermakna dia mempunyai peluang untuk berhubungan secara lebih serius dengan Mike? Sheena tersengih. Ah, angan-angan kosong! Jangan nak bermimpilah Sheena. Baru diajak makan, sudah bermimpi hingga ke anak cucu. Merepek.
"Awak sudi ke tak?"
Mike bertanya hairan apabila Sheena tidak menjawabnya tapi tersengih-sengih seperti kerang busuk. Sakit ke apa? Dia mengomel di dalam hati.
"Oh, ya! Sudi, sudi. Jom, nak makan mana?" Sheena yang sudah malu kerana kedapatan tersengih-sengih sendiri mendahului Mike di hadapan. Boleh pula dia memandang lelaki tersebut sambil tersengih-sengih. Memalukan diri sendiri. Pasti Mike menyangka dirinya sewel. Kesian, muda-muda remaja sudah dianggap sewel. Atau Mike menganggapnya sebagai gatal? Gedik? Oh, memang sungguh-sungguh memalukan.
Mike menggeleng perlahan, kejap nampak matang mengalahkan dirinya. Kejap lagi nampak keanak-anakan mengalahkan budak kecil. Sheena, Sheena. Mike tersenyum di dalam hati, almaklumlah susah untuk senyuman itu mahu mengalahkan sifat dinginnya.
"Maafkan saya, saya nak tumpang tanya boleh. Awak tahu tak dekat mana kaunter pendaftaran untuk jurusan business management?" Seorang lelaki menahan Sheena. Boleh tahan hensem juga tapi semestinya tidak sehensem Mike.
"Oh, awak pun ambil business management? Kaunter kat..." Berbunga-bunga hatinya mendengar lelaki itu mahu mencari kauntee yang sama dengannya tadi. Namun, belum sempat Sheena menghabiskan kata-katanya Mike sudah menarik tangannya agar berdiri di sebelahnya. Sheena tergamam seketika. Mike memegang tangannya? Oh, tidak!
"Awak masuk sahaja kat dalam dewan. Banyak senior yang sedang bertugas membantu pelajar baru. Tanya mereka, dia bukan AJK pendaftaran pelajar baru. Sorry." Tegas jawapan Mike. Wajahnya juga semakin dingin, tidak ada senyum yang terukir. Lelaki tadi mengangguk faham, cuak dengan riak wajah Mike.
Sheena memandang Mike dengan hairan, lelaki teesebut bertanya saja kot. Tanya arah ke kaunter pendaftaran bukan bertanya arah ke hati. Eh, terlebih pula!
"Kita makan kat villa sahajalah. Mak Mia mesti dah siap masak." Ujar Mike kemudian berlalu ke kereta. Dia marah kenapa? Sheena menyusul di belakang tanpa berkata apa-apa. Pelik.
Rasa lapar yang tadi Mike rasakan hilang, begitu juga dengan seleranya mahu makan di luar, hilang. Semuanya gara-gara lelaki yang menegur Sheena sebentar tadi. Suka hati sahaja menegur Sheena, padahal banyak lagi pelajar lain yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
Sesekali, Sheena melirik mencuri pandang ke arah Mike. Marah sangat nampak, kalau sebelum ini wajahnya sudah dingin kini berkali ganda lebih dingin. Nampaknya, dia perlu mengadakan kelas khas untuk mengajar Mike tersenyum tapi nanti kalau dia asyik tersenyum dan mesra dengan orang lain, semakin ramai pula yang akan jatuh hati kepadanya. Saingannya akan semakin bertambah. Oh, tidak!
Walau bagaimanapun, bila difikir-fikir kembali. Dia memang tidak mempunyai peluang untuk memikat lelaki tersebut, memandangkan dia bukanlah seorang gadis bandar yang pandai bergaya dan selalunya menjadi idaman para jejaka di luar sana. Uh, jangan nak bermimpilah Sheena! Cukuplah kalau setakat dia membantu awak sehingga habis belajar, memberikan tempat tinggal dan menanggung biaya pengajian. Sheena melirik lagi kemudian dia memandang ke luar tingkap, apa-apa pun sekurang-kurangnya dia boleh berbangga untuk saat ini kerana mempunyai suami sesempurna Mike biarpun hanya seketika. Tiada cinta tidak apa, dia bukannya membuntu hal tersebut sangat pun. Buat yang terbaik, Sheena!
— 新章節待更 — 寫檢討