下載應用程式
4.08% MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 35: Cabaran Terakhir

章節 35: Cabaran Terakhir

編輯: EndlessFantasy Translation

Hari baru bermula. Zhang Yang log masuk pada pukul 8:30 pagi dan menyelesaikan serangan di Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar bersama Api Merah dan pasukannya sepertimana yang ditetapkan semalam. Dia kemudian terus menuju ke Tasik Sentosa untuk meneruskan usahanya dalam mengumpul [Hempedu Ular Sawa]. 

Menjelang jam 3 petang itu, tubuhnya mula bersinar-sinar dengan sinaran keemasan selepas dia berjaya membunuh seekor lagi Ular Sawa Emas Berbisa. 

'Ding! Tahniah! Anda telah mencapai Tahap 13. Semua atribut +1. Menerima 5 SP!'

'Ding! Tahap terkini anda telah memenuhi syarat memasuki Kedudukan Tahap Pemain. Adakah anda mahu disenaraikan dalam senarai kedudukan tersebut?'

Zhang Yang tidak menyangka ada pilihan tambahan selain daripada notifikasi sistem yang selalu diterima selepas penarafan.

'Aku boleh tersenarai?' Zhang Yang terkedu kerana dia tidak menyedari yang dia telah mengumpul banyak pengalaman semasa dia asyik membunuh ular sawa tadi! Namun, itu memang boleh dijangka. Memang tidak dapat dinafikan yang Zhang Yang mempunyai kuasa serangan yang tinggi dan apabila dia sehari suntuk menumpukan perhatian kepada grindnya, tahapnya telah meningkat dengan pantas! 

Dia memeriksa Kedudukan Tahap Pemain dan menyedari pemain di kedudukan sembilan teratas semuanya berada Tahap 13 sementara kedudukan 10 diduduki pemain Tahap 12. Jika dia memilih untuk disenaraikan, dia akan menggantikan Kisah Rakyat, seorang Templar.

Dalam kehidupannya yang lepas, Zhang Yang 2 tahun terlewat dalam menyertai permainan video ini dan tidak pernah mendapat peluang untuk disenaraikan dalam Kedudukan Tahap Pemain. Jadi, dia tidak tahu yang dia boleh memilih sama ada dia mahu disenaraikan atau sebaliknya. 

Dia mempertimbangkannya sejenak dan akhirnya memilih 'Tolak'. Lebih elok untuknya mengelak daripada menjadi perhatian buat masa ini memandangkan dia sedang mengumpul kemewahan!

Selepas Zhang Yang mencapai Tahap 10, dia telah mengubah pengagihan APnya dan menumpukan semua untuk Vitality. Dia yang dilengkapi peralatan Kayu Putih sebelum ini perlu mengagihkan APnya untuk meningkatkan serangan dan menetapkan aggronya. Dengan peralatan Tembaga Hijau yang kini dia miliki, output kerosakannya telah meningkat mendadak dan memerlukannya memberi perhatian kepada HPnya memandangkan semua raksasa dan bos di dungeon Tahap 20 sangat ganas. Tambahan pula, sesetengah bos itu mempunyai kuasa sakti dan kemahiran mereka tidak dapat ditewaskan melalui pengelakan atau <Hadangan>! Sukar baginya nanti jika dia tidak menumpukan perhatian kepada Vitality!

Memandangkan dia telah meningkatkan tahapnya, kelajuannya dalam mengumpul bahan turut meningkat. Dalam masa sehari sahaja, dia telah 15 kali menghantar [Hempedu Ular Sawa] untuk Cabaran Berulang itu. 

Menjelang hari ketiga pula, Zhang Yang berjaya mencapai Tahap 14 dan menyelesaikan cabaran [Hempedu Ular Sawa] sebanyak 14 kali.

Pada hari keempat pula, belum sempat Zhang Yang memasuki dungeon, Api Merah berkata padanya, "Zhan Yu, janganlah laju sangat dalam penarafan kau. Kita nak pecahkan rekod kelajuan serangan dungeon. Kalau kau terus meningkatkan tahap ke Tahap 16, kita tak akan layak untuk disenaraikan!"

Zhang Yang terus memandang sekeliling dan menyedari ahli pasukan itu sama ada berada pada Tahap 12 atau 13. Kelajuan penarafannya memang agak laju jika dibandingkan dengan mereka.

"Penarafan benda paling penting dalam permainan video ini buat masa ni. Jangan hanya fokus pada serangan dungeon!" ujar Zhang Yang. Dia telah merasai betapa terseksanya dia apabila penarafannya lebih perlahan berbanding pemain lain dalam kehidupan yang lepas. Lagipun, ganjaran bagi penyelesaian pertama Mod Paling Sukar adalah SP sementara ganjaran bagi kedudukan terpantas dalam penyelesaian Mod Paling Sukar hanya rune dan batu permata. Perbezaan antara kedua-dua ganjaran itu terlalu besar!

Walaupun rune dan batu permata itu sangat bernilai, mana-mana pemain boleh mendapatkannya dengan pelbagai cara. Zhang Yang berasa yang itu tidak perlu diutamakan! Dia berasa yang ia akan menjadi satu kerugian besar jika dia melewat-lewatkan penarafannya untuk batu permata dan terlepas peluang untuk penyelesaian pertama dungeon seterusnya!

"Ahh! Janganlah macam tu!" Api Merah cuba memujuknya. Walaupun peralatan Pertahanan Mutlak dan kemampuan tank itu dalam Mod Paling Sukar telah dipertingkatkan sejak dua hari lepas, dia tahu dia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kemandirian, serangan, dan kawalan aggro Zhang Yang! Tambahan pula, rahsia kejayaan dalam penyelesaian dungeon yang laju ialah tempoh yang diambil serta kemampuan tank yang sangat mempengaruhi kelancaran dalam menyelesaikan dungeon. Jadi, tidak mengejutkan apabila Api Merah enggan melepaskan pemain sehebat Zhang Yang daripada genggamannya sementara dia cepat-cepat memberi isyarat kepada Salji Lembut untuk turut memujuknya. 

Salji Lembut tertawa. Walaupun dia semakin rapat dengan Zhang Yang sejak beberapa hari lepas, hubungan mereka tiada bezanya berbanding yang lain-lain. Jadi, bagaimana pula dapat dia memujuk Zhang Yang?

Api Merah sekali lagi memujuk Zhang Yang, tetapi akhirnya menyerah memandangkan Zhang Yang tetap dengan pendirian mengenai penarafannya itu. Tugasnya sebagai ketua persatuan mendesaknya untuk mengutamakan kesan pengiklanan yang diperolehi daripada pengumuman pelayan berwarna merah itu! Syurga yang Hilang satu-satunya persatuan yang telah menyelesaikan Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar buat masa ini. Dia perlu mengekalkan kedudukan mereka dan terus mengharumkan nama mereka dengan mendapat tempat dalam Kedudukan Penyelesaian Terpantas Mod Paling Sukar! 

Memandangakan Zhang Yang tidak dapat diharapkan lagi dalam mencapai matlamat itu, Api Merah perlu mencari penyelesaian lain!

Selepas menyelesaikan Mod Paling Sukar tersebut, Api Merah telah berhenti meminta Zhang Yang untuk memenuhi satu tempat bagi serangan dungeon esok hari, tetapi dia sebaliknya telah menugaskan Pertahanan Mutlak sebagai tank utama dan melatih kerjasama pasukan barunya itu. 

Walaupun Zhang Yang merasai kerugian apabila dia kehilangan peluang mendapatkan 1,000 kepingan emas setiap hari, dia telah mengumpul 4,000 syiling emas sejak 4 hari lepas dan dengan 10,000 syiling emas yang Api Merah pinjam daripadanya tadi, dia mempunyai dana yang hampir cukup untuk memulakan rancangannya!

Dia meneruskan usaha untuk mengumpul [Hempedu Ular Sawa] sekembalinya dia ke Tasik Sentosa. Dia sekali lagi berjaya membuka sebuah peti lain, tetapi dia hanya memperolehi satu lagi [Kepingan Peta Harta Karun] tanpa apa-apa resepi [Posyen Anti Bayangan Pemula]. Dia perlu menunggu tiga hari lagi. 

Sejak hari kelima itu, ramai pemain muncul untuk menyelesaikan cabaran tersebut. Walaupun masih tidak terlalu ramai pemain di situ, Zhang Yang mula panik dan resah. Dia tidak risau yang mereka akan menewaskan raksasa yang berada di situ, sebaliknya dia khuatir sekiranya mereka terjumpa Peti Perak Kelabu dan berjaya mendapat hasil rampasan itu!

Tambahan pula, peti itu akan muncul di tempat yang rawak. Satu-satunya perkara yang dirasai berpihak padanya ialah keadaan di mana akan ada 4 Ular Sawa Emas Berbisa yang akan mengawal peti tersebut apabila ia muncul dan mana-mana pemain tidak akan dapat menewaskan raksasa itu bersendirian! 

Nasib baik kesan racun ular sawa tersebut boleh menjengkelkan seseorang pemain itu dan sukar bagi pemain tersebut untuk mengendalikan diri dalam air, jadi kebanyakan pemain akan meninggalkan tempat itu sebaik sahaja mereka dapat menyelesaikan cabaran. Keadaan ini berbeza buat Zhang Yang yang terus kekal di situ dan telah menjadikan tasik itu rumah keduanya!

Zhang Yang akhirnya berjaya mencapai Tahap 16 dengan berlalunya hari kelima. Dia telah menghantar [Hempedu Ular Sawa] buat kali ke-73. Memandangkan peralatan Han Gemuk telah 'dinaiktaraf' melalui Mod Paling Sukar, Zhang Yang tidak lagi menyerang dungeon dan sebaliknya menghabiskan masa mengumpul bahan di Tasik Tenang. 

Pada hari keenam, Zhang Yang mencapai Tahap 17 dan menghantar [Hempedu Ular Sawa] buat kali ke-88. 

---

Hari ketujuh. Lebih kurang pukul 2 petang.

Zhang Yang membawa 20 [Hempedu Ular Sawa] yang terakhir kepada Deckard dan menyelesaikan cabaran 'Kumpulkan [Hempedu Ular Sawa]' yang ke-99. Pada ketikaa itu, dia telah mencapai Tahap 18 dan dia boleh tersenarai di kedudukan ketiga dalam senarai Kedudukan Tahap Pemain sekiranya itu yang dia mahu! Itu sudah tentu tidak mengambil kira pemain lain yang tidak mahu dikenali ramai sepertinya. 

"Pengembara muda, keberanianmu membuat aku kagum, kesungguhanmu membuat aku takjub!" Deckard akhirnya tersentuh dan mengagumi Zhang Yang, "Kebaikanmu sama seperti kebaikan Buddha! Oh, semoga kamu dirahmati, pengembara muda. Kamu perlu membantu aku untuk kali terakhir!"

Akhirnya!

Zhang Yang berdeham dan berkata, "Aku akan buat yang terbaik!"

'Ding! Anda telah menerima cabaran: Hempedu Ular Sawa Terakhir!'

[Hempedu Ular Sawa Terakhir] (Kesukaran Cabaran: S)

Penerangan Cabaran: Deckard mahu anda menuju ke Sarang Raja Ular Sawa di arah Barat Tasik Sentosa. Bunuh Raja Ular Sawa Emas Berbisa itu dan dapatkan hempedunya! Awas, pengembara! Raja Ular Sawa Emas Berbisa itu sangat kuat dan anda dinasihatkan membawa bersama teman!

Kemajuan: Menerima [Hempedu Raja Ular Sawa Emas Berbisa] 0/1

Ganjaran cabaran: <Pertolongan Cemas Pakar>, Berjudul "Sahabat Doktor"

[Sahabat Doktor]: Meningkatkan kesan penyembuhan pembalut sebanyak 100%!

Menakjubkan, cabaran ini telah memberi terus ganjaran kemahiran <Pertolongan Cemas Pakar>! Zhang Yang sangat teruja. Jika dia ingin meningkatkan tahap kemahiran <Pertolongan Cemas>, dia perlu terus-menerus menghasilkan pembalut daripada [Pembalut Linen Pemula] ke [Pembalut Kain Kasar], [Pembalut Kain Kapas], dan [Pembalut Kain Sutera]… Setiap tahap memerlukan dia menghasilkan sekurang-kurangnya 1000 pembalut untuk menaikkan tahap!

Cabaran ini pula akan memberi ganjaran <Pertolongan Cemas Pakar> kepada Zhang Yang dan mengecualikan dia daripada merasai kesukaran dalam melepasi Tahap Permulaan, Amatur, Lanjut, dan Profesional - melangkaui 4 tahap dan menjimatkan masa daripada perlu menghasilkan 4,000 pembalut!

Mata terkumpul daripada cabaran itu tidak lagi penting setelah ganjaran itu didedahkan! Ganjaran terakhir itu tetap akan diberikan tanpa mengira sama ada mata terkumpul itu 'Sederhana' atau 'Penuh'. 

'Agaknya apa tahap Raja Ular Sawa Emas Berbisa ni?!'

Zhang Yang memeriksa Senarai Kenalannya dan ingin mengajak Han Gemuk untuk sama-sama membunuh bos ini, tetapi hairannya, dia tidak berada atas talian! 

'Baik, aku nak cuba dulu. Kalau aku gagal, aku akan cari sesiapa untuk tolong aku!" fikir Zhang Yang sambil dia menuju ke arah Barat.

Beberapa orang pemain sedang membunuh ular sawa di tepi tasik. Mereka tidak memberi perhatian kepada Zhang Yang apabila dia melepasi mereka.

Bahagian Barat Tasik Sentosa sebuah kawasan bersemak tebal. Ia sekali pandang langsung tidak kelihatan seperti Sarang Raja.

Zhang Yang memasuki perairan itu untuk memeriksa kawasan bersemak tersebut. Dia akhirnya terjumpa sebuah gua tersembunyi 10 minit kemudian.

'Ini ke Sarang Raja Ular Sawa tu? Ia langsung tak nampak macam sarang!'

Zhang Yang memasuki gua itu dan perlahan-lahan menyelam dengan lebih dalam. Gua itu sangat sempit dan sangat gelap selepas dia menyelam beberapa meter ke dalam. Walaupun matanya terbuka luas, tiada apa-apa yang dapat dilihatnya, jadi, dia hanya mampu mengikut kata hatinya dan terus berenang.

Beberapa ketika kemudian, Zhang Yang perasan yang paras air menurun daripada melepasi kepalanya ke bahagian dada, perut, dan akhir sekali lututnya. Dia akhirnya berpijak di atas tanah. Memandangkan ini satu permainan video, pakaian dan peralatannya serta-merta kering sejurus selepas dia keluar dari air. 

Dia terus tiba di satu kawasan lapang selepas dia membelok di satu penjuru. Zhang Yang menyedari yang dia sedang keluar dari satu batang pokok tua lohong yang telah tumbang!

Dia memeriksa peta mininya dan pasti yang dia masih berada di Tasik Sentosa, tetapi tempat ini langsung tidak menyerupai tasik tersebut. Bagaimana pemaju permainan video ini dapat mereka tempat ini?

Tidak jauh dari situ, seekor ular sawa besar sedang melingkar. Ukur lilitnya setebal sebuah baldi, tetapi panjangnya tidak dapat diketahui kerana ia sedang melingkar. Zhang Yang meneka yang panjang ular sawa itu sekurang-kurangnya 10 meter! Sebuah Peti Perak Kelabu berada di sebelah ular sawa itu.

"Peti tu!" Mata Zhang Yang bersinar-sinar. Kini dia faham kenapa dia tidak dapat mengesan peti itu langsung sepanjang hari ini. Ia rupanya muncul di kawasan tersorok ini! 

Tetingkap maklumat raksasa besar itu muncul di depan Zhang Yang selepas dia menandakannya.

[Raja Ular Sawa Emas Berbisa] (Bos Tembaga Hijau)

Tahap: 20

HP: 60,000

Zhang Yang berasa sangat teruja. Dia tahu yang dia akan memperolehi ganjaran lumayan jika dia dapat menewaskan bos ini. Namun, ganjaran lumayan bermaksud risikonya tinggi! Walaupun HP bos ini tidak menakutkan seperti bos Mod Paling Sukar, dia sebelum ini bertarung bersama pasukannya dengan 10 orang pemain dalam Mod Paling Sukar! 

'Aku cuba dulu!' ujar Zhang Yang sambil dia mengeluarkan pedangnya dan menggunakan <Serangan> ke atas bos itu.

"-110!"

'Kuatnya pertahanannya!' Zhang Yang terperanjat. Kuasa serangannya yang terkini sepatutnya boleh menyebabkan 143 – 151 mata kerosakan, tetapi dia hanya mampu menyebabkan lebih kurang 100 mata kerosakan ke atas bos ini. Bos ini memang jelas mempunyai pertahanan yang kuat – mungkin lebih kurang 40 mata!

Semakin tinggi tahap satu-satu raksasa itu, semakin pendek tempoh dia dipegun. Raja Ular Sawa ini pulih dalam masa kurang dari 1 saat dan meluru ke arah Zhang Yang dengan berdesis-desis.

"<Hadangan>!"

'-58!' <Hadangan> menunjukkan kerosakan.

'-156!' <Hentaman Perisai>.

Raja Ular Sawa itu gagal menyerang Zhang Yang dan dengan pantas melibas ekornya untuk cuba menjatuhkan Zhang Yang.

Zhang Yang dengan segera berundur untuk mengelak serangan itu sambil menghunus pedangnya untuk membalas serangan raksasa tersebut.

'-103!'


next chapter
Load failed, please RETRY

禮物

禮品 -- 收到的禮物

    每周推薦票狀態

    Rank -- 推薦票 榜單
    Stone -- 推薦票

    批量訂閱

    目錄

    顯示選項

    背景

    EoMt的

    大小

    章評

    寫檢討 閱讀狀態: C35
    無法發佈。請再試一次
    • 翻譯品質
    • 更新的穩定性
    • 故事發展
    • 人物形象設計
    • 世界背景

    總分 0.0

    評論發佈成功! 閱讀更多評論
    用推薦票投票
    Rank NO.-- 推薦票榜
    Stone -- 推薦票
    舉報不當內容
    錯誤提示

    舉報暴力內容

    段落註釋

    登錄