Jun Wu Xie tenang sahaja walaupun pihak lawannya menggunakan cara yang tersembunyi dan berbahaya.
Sebaliknya, Mo Qian Yuan menggeletar kerana marah. Penumbuknya digenggam kuat. "Mereka sudah gilakah? Orang-orang di seluruh bandar! Ini perbuatan yang zalim! Maharaja mementingkan kedudukan baiknya di mata rakyat, bagaimana Baginda sanggup melakukan sesuatu yang hina dan jijik seperti ini?"
Jun Wu Xie memandang Mo Qian Yuan yang sedang meradang. Matanya kelihatan tenang sewaktu berkata, "Maharaja dan Mo Xuan Fei tidak mampu melakukan perkara sebegini. Ini tindakan Bai Yun Xian."
Baik, sekarang dia sudah dapat memastikan racun yang diberikan kepada Lin Yue Yang itu hasil kerja tangan Bai Yun Xian. Berani gadis ini menyentuh datuknya, Jun Xian. Dia akan tunjukkan pada Bai Yun Xian yang muslihat amaturnya ini, tidak bernilai di mata Jun Wu Xie.
"Kenapa Kumpulan Qing Yun ada racun yang kejam seperti ini?" Mo Qian Yuan bertanya dengan terkejut.
Jun Wu Xie menjawab dengan bersahaja, "Ubat dan racun itu boleh dianggap datang dari keluarga yang sama."
Orang yang mahir dalam perubatan, tentulah mahir juga dalam penghasilan racun!
"Cik Muda, bagaimana dengan rakan seperjuangan saya?" Long Qi tidak peduli tentang komplot istana. Dia cuma ambil berat tentang rakan-rakan seperjuangannya dalam Tentera Rui Lin.
"Mereka sudah diracun. Jika racun itu tidak dineutralkan, mereka tidak akan dapat bertahan lebih tiga hari." Jun Wu Xie memberitahu dengan bersahaja.
Long Qi menggerenyet dan melutut sebelah kaki sambil merayu, "Saya mohon Cik Muda selamatkan mereka!"
"Kamu fikir kenapa saya suruh mereka berada di sini?" Jun Wu Xie memandang Long Qi dengan dingin. Dia merasakan tindakannya tadi sudah cukup jelas.
Long Qi melutut dan tunduk sembah dengan kepalanya di lantai sebagai tanda terima kasih.
Setelah melihat kemahiran Jun Wu Xie dalam bidang perubatan, Long Qi percaya dengan jaminan Jun Wu Xie yang orang-orang bawahannya akan selamat.
"Wu Xie, kamu yakin boleh merawat racun itu?" tanya Mo Qian Yuan dengan berhati-hati. Racun yang boleh membuatkan badan seseorang meletup, tidak pernah didengarinya sebelum ini. Tapi jika racun ini datang daripada Kumpulan Qing Yun, pasti racun ini sangat kuat.
Jun Wu Xie memandang Mo Qian Yuan, berasa jengkel dengan soalan itu.
"Saya kata tadi racun ini mudah sahaja. Kamu rasa?"
"...…." Mo Qian Yuan juga merasakan dia telah bertanya soalan yang tidak munasabah. Jun Wu Xie tidak pernah mempedulikan tentang Kumpulan Qing Yun. Dalam kejadian Pil Embun Jed sebelum ini juga, Jun Wu Xie telah memberikan tamparan kepada Bai Yun Xian. Mo Qian Yuan menggaru-garu hidungnya kerana malu.
"Tapi berdasarkan apa yang kamu katakan tadi, racun ini mudah tersebar. Beta bimbang jumlah orang yang sudah diracun lebih daripada apa yang kita mampu uruskan. Apa yang boleh kita lakukan nanti?" Mo Qian Yuan tidak berani memikirkan berapa orang yang sudah diracun. Walaupun Jun Wu Xie mampu menghasilkan penawar, selagi ada orang yang masih menerima kesannya, letupan itu akan terus berlaku.
"Hal ini tidaklah begitu menakutkan seperti yang difikirkan. Walaupun racun ini mudah tersebar, tempoh masa racun ini boleh berlegar di udara amat singkat dan selepas itu tidak lagi berkesan." Kalau racun ini boleh kekal berlegar-legar di udara, mereka tidak perlulah membunuh lima puluh orang.
"Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan penawar dengan cepat. Selagi herba tidak habis, hal ini langsung tidak akan dapat menghentikan saya." Kamu perlu sedar diri, Bai Yun Xian. Kamu memang minta dimalukan.
"Saya akan pastikan semua herba tiba dengan selamat." Long Qi mencelah. Racun ini disasarkan kepada Tentera Rui Lin dan dia tidak akan benarkan rancangan ini berjaya!
"Biarkan Pak Cik Fu uruskan hal herba. Saya ada tugasan lain untuk kamu." Jun Wu Xie memandang Long Qi. Matanya bersinar dengan niat membunuh yang sudah lama terpendam.
Memandangkan mereka sudah penat hidup, dengan senang hatinya dia boleh menamatkan nyawa mereka!