Kesihatan Fan Zhuo selama ini amat lemah. Namun begitu, sebagai "anak angkat", Fan Jin tidak menerima layanan berbeza daripada Fan Qi. Dia dilayan sama baik seperti Fan Zhuo, "anak kandung" Fan Qi.
Kalau keadaan ini berlanjutan seperti dijangka, kesihatan Fan Zhuo yang buruk tidak akan membolehkan dia terus bertahan dan dia akan mati. Sebab itulah semua orang menyangka kedudukan Guru Besar itu pasti jatuh ke tangan Fan Jin.
Tetapi sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku pada keadaan kesihatan Fan Zhuo.
Setelah menerima rawatan Jun Wu Xie, kesihatan Fan Zhuo bertambah baik. Fan Zhuo yang selama ini tidak cukup kuat untuk keluar dari akademi telah dua kali keluar dari Akademi Zephyr baru-baru ini. Berdasarkan gerak-geri Fan Zhuo, orang -orang di Akademi Zephyr dapat melihat dengan jelas bahawa pemuda yang lemah dan sering sakit sejak kecil ini sedang beransur-ansur pulih daripada penyakitnya.
Memandangkan Fan Zhuo, si "anak kandung" ini semakin sembuh, kedudukan Fan Jin sebagai "anak angkat" mula menjadi goyah.
Jadi semua orang terus menyimpulkan bahawa Fan Jin telah bertengkar dengan Fan Qi tentang hal warisan. Keadaan kemudiannya menjadi tidak terkawal dan dia telah membunuh Fan Qi!
Dengan adanya tanggapan sebegini dan para pengawal pula melihat Fan Jin berdiri di dalam pejabat yang berkunci sambil memegang pedang yang berlumuran darah, segala-galanya kelihatan amat jelas.
Kesalahan membunuh Fan Qi dibebankan sepenuhnya ke atas Fan Qi dan dia sepatutnya akan terus dihukum. Namun tanpa disangka-sangka seorang dekan kehormat tiba-tiba pulang. Dekan kehormat bukanlah sesuatu yang asing di akademi pengajian terkemuka. Jawatan ini biasanya disandang oleh pakar-pakar yang hebat dan berkemahiran tinggi. Mereka tidak perlu berbuat apa-apa, malah tidak diharapkan untuk muncul di akademi. Kehadiran mereka hanya diperlukan apabila ada masalah timbul di akademi. Dekan-dekan kehormat ini menerima keistimewaan dan manfaat khas daripada setiap akademi.
Akademi Zephyr memiliki tiga orang dekan kehormat. Walaupun memegang jawatan dekan, kuasa mereka masih tidak setanding seorang Guru Besar. Namun di dalam sesebuah akademi, kata-kata mereka tidak boleh diabaikan dengan mudah!
Dekan kehormat itu adalah rakan lama Fan Qi dan sudah mengenali Fan Jin dan Fan Zhuo sejak mereka kecil lagi. Selepas mendengar berita Fan Jin membunuh Fan Qi, dekan itu terus datang untuk menghalang sesiapa sahaja yang mahu mengapa-apakan atau mengancam nyawa Fan Jin.
Namun hal ini berkaitan dengan pembunuhan seorang Guru Besar dan dianggap serius oleh semua orang di Akademi Zephyr. Walaupun dekan kehormat itu menghalang hukuman dijalankan, dia hanya mampu melengahkan hal itu sahaja. Kalau tak ada bukti yang boleh ditunjukkan untuk menangkis tuduhan ke atas Fan Jin, dia boleh dihukum bunuh pada bila-bila masa sahaja.
Pada ketika itu, Fan Jin menjadi tawanan di dalam biliknya sendiri. Para pengawal ditugaskan berjaga-jaga di luar bilik itu sepanjang masa.
Menurut tradisi, setelah kematian Guru Besar itu, semua tanggungjawab dan hal urusan Akademi Zephyr sepatutnya diserahkan kepada kedua-dua orang anak lelakinya. Tetapi memandangkan Fan Jin adalah suspek utama dalam kes pembunuhan Fan Qi, dia telah ditahan. Sementara itu, secara kebetulan pula Fan Zhuo tidak berada di akademi. Maka kawalan ke atas seluruh akademi telah jatuh ke tangan orang yang memegang kedudukan kedua tertinggi iaitu Naib Guru Besar, Ning Rui!
"Jadi… kamu tak mahu pergi duduk di asrama dulu?" Pemuda itu mengulang kata-katanya sekali lagi sambil memandang wajah Jun Xie yang dingin. Dia tak tahu topik apa lagi yang boleh dia gunakan untuk meneruskan perbualan. Semua orang tahu yang Jun Xie dan Fan Jin mempunyai hubungan yang agak rapat. Ketika Jun Xie menerima pelbagai tuduhan dan tohmahan, hanya Fan Jin yang menyokong Jun Xie dan memilih untuk percaya padanya.
Fan Jin jugalah yang telah memperkenalkan Jun Xie kepada Fan Zhuo. Kini Fan Jin telah ditimpa masalah. Pemuda itu tertanya-tanya apa pendapat Jun Wu Xie tentang semua ini.
"Tak perlu," balas Jun Wu Xie dengan bersahaja. Dia berpusing dan berjalan menuju hutan buluh kecil itu.
Setelah menyingkirkan Fan Qi, Jun Wu Xie tahu yang Ning Rui tak akan melepaskan Fan Jin. Tetapi dia tidak menyangka Ning Rui mampu memikirkan rancangan yang begitu teliti dan telah menggunakan kematian Fan Qi untuk menarik Fan Jin ke dalam kemelut permasalahan!
Ibarat serampang dua mata. Hebat betul rancangan ini!