Selepas berbincang lebih lanjut dengan Lei Chen, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya meninggalkan Kediaman Putera Mahkota. Sewaktu berjalan pulang, fikiran rakan-rakan Jun Wu Xie sibuk memikirkan kejadian yang berlaku pagi tadi.
Semua yang berlaku telah membuka mata anak-anak muda ini dan mendedahkan mereka pada kerumitan yang berkaitan dengan pergolakan di dalam Keluarga Diraja.
"Saya tak pernah sedar ada begitu banyak rancangan jahat di sebalik Keluarga Diraja yang berprestij. Kalau dilihatkan keadaan ini, saya rasa kekecohan yang Ning Rui timbulkan sebelum ini hanya hal yang remeh." Fan Zhuo ketawa sambil menggelengkan kepala. Berbanding Maharani Negara Yan, kejahatan Ning Rui nampak mudah dan ringkas.
"Tapi ada seperkara lagi yang saya rasa agak pelik," kata Fan Zhuo secara tiba-tiba. Dia berpaling memandang Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie memandang Fan Zhuo tanpa berkata apa-apa.
"Walaupun Adik Xie dah merancang untuk menipu Lei Chen sehingga dia merasakan yang dia tidak ada pilihan selain bersekutu dengan kita, dia mendedahkan segala rahsianya dengan begitu mudah. Kamu tak rasa tindakan Lei Chen ini agak mudah? Mungkinkah ada niat tersembunyi di sebaliknya?" Fan Zhuo bertanya dengan berhati-hati. Lei Chen terlalu jujur dengan semua rahsia yang dia dedahkan pada mereka hari ini. Satu-satunya yang Lei Chen tidak lakukan adalah menyatakan seluruh pengakuannya sendiri.
Jun Wu Xie menggelengkan kepala dan berkata, "Tak akan ada niat tersembunyi."
"Kenapa?"
"Saya yang buat dia cakap semuanya," balas Jun Wu Xie dengan tenang.
"….." Kali ini, bukan Fan Zhuo seorang sahaja yang memandang Jun Wu Xie dengan bingung. Rakan-rakannya yang lain juga tiba-tiba berpaling dan merenung Jun Wu Xie dengan pandangan yang aneh.
[Dia buat Lei Chen cakap semua tu?]
"Saya dah buat persediaan sebelum kita tinggalkan biliknya semalam," Jun Wu Xie memandang semua rakan-rakannya. Matanya kelihatan tenang.
Kesan hipnosis mungkin agak berguna, tetapi tidak banyak yang Lei Chen tahu tentang peta itu. Bagi membolehkan mereka mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan peta tersebut, Jun Wu Xie perlu menjadi sekutu Lei Chen secepat mungkin. Tapi… dia tak mahu menghabiskan masa berdolak-dalik dengan Lei Chen. Jadi sebelum beredar dari bilik Lei Chen semalam, dia telah memasukkan cadangan pada minda separa sedar Lei Chen supaya lelaki itu percaya sepenuhnya pada Jun Xie.
Kesan cadangan di bawah pengaruh hipnosis tidaklah begitu ketara. Tetapi jika individu itu ada sedikit kecenderungan terhadap cadangan tersebut di dalam hatinya, cadangan yang diberi pada minda separa sedarnya akan berkembang tanpa batasan dan terus bertapak. Itulah yang menyebabkan Lei Chen mendedahkan segala-galanya pada Jun Wu Xie pagi tadi, tanpa berselindung langsung.
Akhirnya...
Mereka semua telah diperdaya oleh Jun Wu Xie.
"Ahem. Saya bersumpah yang saya langsung tak akan menentang Adik Xie!" Qiao Chu mengangkat tangan kanannya dengan serius sambil bersumpah setia. Semakin lama dia berkawan dengan Jun Wu Xie, semakin dia sedar gadis kecil ini amat menggerunkan. Semua eliksir aneh dengan kesan yang pelik itu sudah pun membuatkan musuh-musuhnya menjadi tidak berdaya. Tambahan pula, kepintaran akalnya juga luar biasa...
Qiao Chu benar-benar percaya dua orang Qiao Chu pun tak cukup untuk berlawan satu pusingan dengan Jun Wu Xie.
"Setuju," Fei Yan terus bersetuju. Kali ini dia menyatakan persetujuannya dengan Qiao Chu, sesuatu yang amat jarang berlaku.
Rong Ruo berkata sambil ketawa, "Nasib baiklah Adik Xie ni di pihak kita. Kalau tak, habislah."
Kepintaran, kecantikan dan potensi tanpa sempadan yang melangkaui batasan orang lain. Gadis kecil ini dilahirkan untuk memusnahkan harga diri dan keyakinan orang lain. Jangan menilai dia hanya berdasarkan wajah kecil molek dan perwatakan dinginnya. Hakikatnya, wajah itu milik musang yang licik, dapat memperdaya dan menipu orang lain dengan pantas dan tanpa berkelip pun. Syaitan jahat yang menyamar.
Jun Wu Xie hanya memandang rakan-rakannya sambil mereka terus bercakap. Kemudian dia bercakap dengan tenang, "Jangan bimbang. Saya tak akan gunakan benda-benda sebegitu pada kamu semua."
Qiao Chu terus tersenyum dan hampir melompat kegembiraan. Namun kata-kata Jun Wu Xie seterusnya membuatkan senyuman mereka semua menjadi kaku.
"Saya tak mahu membazir," kata Jun Wu Xie dengan serius.
Rakan-rakannya terus menjadi pegun seperti batu.
[Serangan peribadi seperti ini tidak dibenarkan!]
Selepas menikmati raungan dan riak wajah tanpa tangisan di muka rakan-rakannya, Jun Wu Xie berpusing dan masuk ke dalam biliknya. Sebaik dia berpaling, bibirnya menguntum senyuman paling kecil.
Seronok juga ada kawan-kawan yang… melucukan ini.