Di bawah langit malam yang kelam, para pengawal di dalam dan di luar Istana Diraja bertanggungjawab ke atas keselamatan kawasan rondaan mereka. Tidak ada seorang sekalipun yang perasan ada bayang-bayang yang terbang melayang di atas mereka.
Jun Wu Xie berada di dalam dakapan Jun Wu Yao, merasai pengalaman 'terbang' buat kali pertama.
"Di sana." Tanpa ragu-ragu, Jun Wu Xie menunjukkan kawasan istana tempat Mo Qian Yuan beradu.
Ekspresi wajah Jun Wu Yao menjadi gelap dan dia mendarat di tempat yang Jun Wu Xie tunjukkan tadi.
Pengawal di luar istana nampak ada bayang-bayang tiba-tiba melayang turun dari langit. Senjata mereka hampir terjatuh akibat terkejut. Mereka merenung penceroboh itu dan sebelum mereka berteriak, mereka lihat bayang-bayang itu membawa seseorang dalam dakapannya. Itu Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie!
Seluruh Bandar Diraja tahu tentang Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan yang sedang 'mabuk cinta'. Mereka semua menantikan titah perintah daripada Mo Qian Yuan untuk menjemput Jun Wu Xie menetap di Istana Timur, istana yang dikhaskan untuk Maharani.
Mereka sedar yang bakal Maharani datang melawat bilik tidur Maharaja pada waktu malam dan para pengawal yang terkejut itu cepat-cepat menutup mulut mereka. Mata mereka kemudiannya beralih kepada lelaki yang membawa bakal Maharani mereka.
Hanya dengan sekali pandang, kaki mereka menjadi longlai dan mereka hampir rebah.
Lelaki itu mempunyai aura yang menggerunkan dan mengagumkan. Matanya membuatkan mereka menggigil ketakutan.
"Tuanku ada di dalam?" tanya Jun Wu Xie sambil melompat turun daripada dakapan Jun Wu Yao. Dia berpusing menghadap para pengawal itu dan langsung tidak perasan ada mata yang dipenuhi sesalan di belakangnya.
"Ya." Para pengawal itu menjawab dengan tegas.
Jun Wu Xie terus berjalan menuju bilik itu tanpa meminta kedatangannya diumumkan.
Jun Wu Yao mengekorinya. Para pengawal itu mahu menyoal niatnya tetapi mendapati mereka tidak mempunyai keberanian untuk melangkah mendekati lelaki itu. Mereka hanya mampu menelan air liur sewaktu dia berjalan melepasi mereka lalu berdiri dengan senyap di pintu.
(Tuanku, Patik sekalian bukannya tidak menjalankan tugas. Cuma, lelaki yang dibawa oleh Maharani terlalu menakutkan!)
Jun Wu Xie menolak pintu itu dan perlahan-lahan berjalan masuk ke bilik itu. Mo Qian sedang bersiap-siap untuk tidur dan terpaku sewaktu membuka pakaiannya.
Mo Qian Yuan berpusing dan mulutnya menggerenyet sewaktu terpandang Jun Wu Xie. Wajah Mo Qian Yuna menjadi masam. Tangannya masih lagi memegang tali pinggangnya dan bajunya yang tidak dibutangkan itu menyerlahkan dada yang berotot.
Walaupun Mo Qian Yuan berada di ambang maut dalam tempoh masa yang lama, penjagaan rapi Jun Wu Xie dan sikap Mo Qian Yuan sendiri yang telah bekerja keras membuatkan keadaan badannya tidak kelihatan begitu teruk.
"Roh…. Mmmph." Jun Wu Xie tidak menyedari betapa kekoknya situasi itu dan mahu melangkah lebih dekat untuk membincangkan Jed Roh apabila secara tiba-tiba ada tapak tangan yang hangat, menutup matanya.
Mo Qian Yuan memandang lelaki di belakang Jun Wu Xie dengan bingung. Lelaki itu amat tampan dan kelakuannya mengagumkan. Mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.
Apa yang mengejutkan Mo Qian Yuan ialah mata lelaki itu yang mempunyai kedalaman yang tidak terduga.
"Suasana ini tidak sesuai ditonton," Jun Wu Yao berkata dengan lembut kepada Jun Wu Xie, tetapi matanya yang hitam legam itu umpama dua belah pedang yang mencucuk seluruh tubuh Mo Qian Yuan. Mata itu kelihatan seperti mahu memusnahkan dia. Matanya yang menawan dan tona nada suaranya yang lembut menyerlahkan perbezaan di antara kelakuan dan perasaannya.
Mo Qian Yuan bukanlah bodoh, dan dapat menangkap maksud di sebalik mata itu. Dia cepat-cepat memakai kembali baju yang telah dibukanya tadi. Selepas dia lengkap berpakaian, barulah perasaan seperti dicucuk-cucuk itu berkurangan.
Hanya selepas itulah baru Jun Wu Yao sanggup melepaskan tangannya yang menutup mata Jun Wu Xie.
Selepas dapat melihat semula, Jun Wu Xie masih tak faham apa yang telah berlaku. Dia memandang Jun Wu Yao dan apabila tidak mendapat sebarang reaksi daripada lelaki itu, Jun Wu XIe melupakannya saja. Ada hal lain yang lebih penting. Dia berjalan masuk ke bilik tidur Maharaja, amat teruja mahu membincangkan tentang Jed Roh.