Selepas itu, Jun Wu Yao berdiri secara tiba-tiba. Susuk tubuhnya yang tinggi membongkok ke arah Jun Wu Xie. Wajahnya yang tampan begitu dekat dengan gadis itu.
"Beriatahu saya jika kamu masih boleh menghidu baunya."
Tindakannya begitu tiba-tiba, tetapi kelihatan bersahaja apabila dia merapatkan jarak di antara mereka. Jun Wu Xie tidak bersedia sewaktu terhidu haruman maskulin Jun Wu Yao. Tidak ada bau darah atau peluh, hanya haruman maskulin yang menyegarkan.
"Kamu…keluar dulu." Secara tidak sedar, Jun Wu Xie, memalingkan wajahnya sambil merasakan pipinya menjadi kemerah-merahan. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
"Kenapa? Saya sudah membersihkan diri sepenuhnya, bukan?" tanya lelaki itu dengan suaranya yang sukar difahami. Jun Wu Yao tersenyum ke arahnya, langsung tidak berniat untuk keluar dari situ.
Jun Wu Xie mengerutkan wajahnya.
"Janganlah risau, bukankah Datuk sudah selamat? Ekspresi wajah ini tidak sesuai dengan kamu." Jun Wu Yao mengangkat tangannya dan melalukan jarinya yang basah di sepanjang kening Jun Wu Xie, cuba menghilangkan kerutan itu.
Bersedih sepanjang hari langsung tidak sesuai untuk gadis kesayangannya ini.
Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao. Sewaktu pandangan matanya terhenti pada bibir merah lelaki itu yang sedikit terbuka, dia terpegun seketika sebelum mengatakan, "Terima kasih."
Tangan Jun Wu Yao masih lagi berada di muka Jun Wu Xie. Dia membelai lembut pipi gadis itu yang halus. Matanya kelihatan mesra sewaktu memandang gadis itu sambil tersenyum nakal.
"Kamu berterima kasih?"
"Kerana menyelamatkan Datuk." Jun Wu Xie menjawab dengan kekok. Kalau tidak kerana ketibaan Jun Wu Yao yang tepat pada masanya, dia pasti kehilangan seseorang yang amat disayanginya.
Walaupun Jun Wu Xie bersikap dingin dan suka menyendiri, dia tahu berbudi bahasa. Lagipun lelaki ini sudah menyelamatkan ahli keluarga yang Jun Wu Xie anggap penting.
Jun Wu Yao menyapu lembut titisan-titisan air di bibir merah Jun Wu Xie menggunakan ibu jarinya.
"Tak perlu berterima kasih. Bukankah saya sudah katakan, saya tinggal di sini sebab ingin membalas budi?" Jun Wu Yao memandang gadis itu dengan mata yang bersinar dan senyuman yang licik. Menyelamatkan Jun Xian mudah saja baginya. Dia tidak peduli jika Jun Xian hidup atau mati, tetapi hal ini penting bagi Jun Wu Xie dan apa yang dia mahukan ialah kegembiraan gadis itu.
Jun Wu Yao sanggup melakukan apa sahaja asalkan gadis itu gembira.
Jun Wu Xie merenung lelaki itu dengan pandangan tidak percaya. Menggunakan alasan mahu membalas budi? Dia sudah lama menyingkirkan alasan itu.
"Wu Xie."
"Hmm?" Jun Wu Xie berasa tidak sedap hati, namun lelaki ini sudah menyelamatkan Jun Xian tadi. Jadi dia membuat keputusan untuk lebih bersikap toleransi terhadap Jun Wu Yao.
"Kalau kamu betul-betul mahu berterima kasih pada saya, boleh saya minta sesuatu yang lain sebagai ganti?" Mata Jun Wu Yao yang berwarna ungu pekat kelihatan membara sewaktu memandang bibir Jun Wu Xie dengan penuh keinginan.
"Asalkan benda itu sesuatu yang ada pada saya." Jun Wu Xie membalas dengan tenang. Kalau berkaitan dengan pembuatan ubat, selagi Jun Wu Yao membuat permintaan dan Jun Wu Xie mampu melakukannya, dia pasti akan menghasilkan ubat untuk lelaki itu.
Jun Wu Yao tidak dapat menahan dirinya lalu ketawa kecil sewaktu mendengar jawapan dan ekspresi wajah Jun Wu Xie yang serius. Siapa yang akan percaya inilah gadis yang sama yang telah memulakan pembunuhan beramai-ramai beberapa jam yang lalu? Melihatkan gadis ini sekarang, dia kelihatan suci seperti kertas putih yang kosong.
"Mestilah apa yang saya mahukan, ada pada kamu."
"Apa dia?" Ekspresi wajah Jun Wu Xie menjadi serius dan dia memandang lelaki itu dengan bersungguh-sungguh.
"Kamu kata, kalau saya minta sesuatu yang kamu ada, kamu berjanji akan memberikannya pada saya, bukan?" Jun Wu Yao tidak tergesa-gesa mahu menjawab soalan Jun Wu Xie.
"Ya."
"Baiklah, ini pilihan yang kamu buat sendiri." Jun Wu Yao ketawa kecil sambil senyuman nakalnya semakin melebar.
Tiba-tiba, hati Jun Wu Xie merasa tidak senang. Tetapi sebelum sempat dia berfikir lebih lanjut, Jun Wu Yao sudah mendekatinya!
Mata Jun Wu Xie terbeliak. Dia merasakan ada sesuatu yang hangat dan lembut menekan bibirnya!