Malam itu menjadi malam yang akan diingati ramai. Ramai pegawai tinggi istana dan jeneral-jeneral, yang selalunya bersikap sombong, diheret secara paksa dari kediaman mereka oleh anggota Tentera Rui Lin. Mereka dibawa dalam keadaan merengek dan merungut-rungut.
Pengawal dan tentera upahan mereka bukan tandingan anggota Tentera Rui Lin yang membunuh sesiapa sahaja yang menghalang mereka daripada melaksanakan arahan yang mereka terima.
Bau kematian dan darah tersebar ke seluruh Bandar Diraja. Bagi para pegawai dan jeneral yang melawan, tangan mereka dipatahkan dan mereka diheret ke Pintu Masuk Istana. Kesan seretan berdarah terlihat di mana-mana.
Kekuatan melampau? Kuasa mendominasi?
Ini semua tidak bermakna pada Tentera Rui Lin.
Maharaja sekalipun tidak berani menggunakan cara sebegini kejam ke atas begitu ramai pegawai istana. Namun, semua ini tidak dipedulikan oleh anggota Tentera Rui Lin. Mereka tidak terkesan dengan rayuan orang-orang yang mereka tangkap dan hanya mementingkan arahan yang diberikan oleh Jun Wu Xie.
Sebaik arahan diberikan, Tentera Rui Lin akan melaksanakannya sehingga mati!
Tentera Rui Lin tidak dapat dihentikan. Tentangan lemah yang mereka terima dibalas dengan kematian.
Lebih ramai pegawai tinggi istana diikat dan dibawa pergi.
Mereka tidak pernah menyangka akan mendapat layanan yang memalukan, walaupun mereka berpangkat tinggi dan berkuasa.
Keganasan yang ditunjukkan oleh angkatan tentera paling elit di Kerajaan Qi sewaktu mereka dihalang daripada melakukan tugas mereka, mampu membuatkan orang paling kuat sekalipun menangis ketakutan.
Jun Wu Xie berdiri dengan tenang dan mendongak memandang Maharaja, sambil angin bertiup di belakangnya.
Debu berterbangan sebaik seekor kuda yang membawa seorang pegawai yang telah ditangkap, berhenti di sebelah Jun Wu Xie. Sambil menjerit bagaikan haiwan yang hendak disembelih, pegawai tu dicampak ke tanah.
Maharaja mengenali pegawai itu. Dia ialah datuk Putera Kedua, daripada keluarga sebelah bondanya. Sebelum kejatuhan keluarga Maharani, pegawai ini telah menerima begitu banyak ganjaran daripada Maharaja. Dia merupakan salah seorang orang suruhan yang paling dipercayai oleh Maharaja. Bersama-sama dengan Wu Wang, pegawai ini memainkan peranan yang besar dalam penindasan ke atas Istana Lin.
Sebaik melihat datuknya dilayan sebegitu rupa oleh Tentera Rui Lin, mata Mo Xuan Fei menjadi merah dan dia menjerit, "Jun Wu Xie! Lepaskan datuk saya sekarang! Bila kamu akan hentikan kegilaan ini? Kamu tahu tak apa kamu dah buat?"
Jun Wu Xie memang gila! Sudah hilang akal! Dia menangkap bapa mertua Keluarga Diraja! Beraninya!
Jun Wu Xie menjeling ke arah Mo Xuan Fei yang sedang melompat-lompat itu. Mata Jun Wu Xie memandang sekilas ke arah Mo Qian Yuan yang sedang berdiri di celah-celah orang ramai di dalam istana.
Mo Qian Yuan naik berang melihat pegawai itu, kemarahannya meluap-luap. Dia merenung tepat pada Jun Wu Xie, matanya membara.
"Bunuh." Jun Wu Xie memberikan arahan. Dia merenung Mo Xuan Fei.
"TIDAK!" jerit Mo Xuan Fei.
Long Qi mengangkat pedangnya dan dengan sekali hayun, datuk Mo Xuan Fei sudah terbelah dua.
Darah yang masih hangat, terpercik pada Jun Wu Xie.
Darah penjahat yang amat dibenci, mengotorkan hujung baju Jun Wu Xie. Ibarat satu sumpahan, darah yang hangat itu membuatkan Jun Wu Xie semakin dahagakan pertumpahan darah.
"Dia sudah hilang akal! Pengawal! Tangkap Jun Wu Xie sekarang! Dia membunuh seorang pegawai istana di khalayak ramai!" Mo Xuan Fei menjerit. Dia hampir gila melihatkan datuknya dibunuh di depan matanya. Dia menarik keluar pedangnya dan menghalakannya ke arah Jun Wu Xie sambil menjerit tak tentu hala.
Hanya deruan angin malam yang dingin menyahut kata-kata Mo Xuan Fei.
Tiada siapa di atas tembok istana itu yang berkata apa-apa. Mereka hanya merenung Jun Wu Xie dengan mata yang dipenuhi ketakutan.
Tentera Yu Lin juga tak mampu berbuat apa-apa.