下載應用程式
88% Our Tomorrow (Malay) / Chapter 22: Jeriji Besi

章節 22: Jeriji Besi

ENTAH berapa banyak air mata yang keluar sepanjang dia berada di situ. Matanya mula terasa bengkak kerana tidak berhenti menangis. Itulah kali pertama dia merasakan kehidupannya begitu teruk. Berada di dalam penjara bawah tanah sememangnya satu hukuman yang cukup berat.

Sudah dua hari dia berada di situ. Dua hari terasa begitu lama. Masih tiada tanda-tanda kemunculan Shu Yan untuk melihatnya. Hanya pengawal sahaja dibenarkan untuk berada di situ. Xin Xin juga tidak kelihatan kerana tidak dibenarkan untuk melawatnya.

Tubuhnya pula semakin terasa lemah. Dia menggosok berkali-kali tubuhnya untuk menghilangkan kesejukan. Tubuhnya kepanasan tetapi dalamannya mengigil. Dia yakin dia sudah demam kerana terlalu banyak menangis.

Ying Hua merapatkan kakinya ke dada. Matanya dipejam rapat bersama air mata. Entah sampai bila dia harus berada di situ. Matikah dia di situ? Bibirnya mengukir senyuman perit. Kalau mati itu adalah yang terbaik, lebih baik dia mati. Mengapa dia perlu lalui semua itu hanya kerana kesalahan Wu Xiao Hua.

"Tuan puteri..."

Panggilan itu menyedarkan Ying Hua. Dia membuka mata perlahan-lahan dan berpaling ke arah pintu besi itu. Xin Xin muncul dengan wajah yang penuh kesedihan.

Segera Ying Hua merapati Xin Xin biarpun mereka terpisah di antara tirai besi itu. "Xin Xin, Shu Yan dah maafkan saya ke?" tanyanya sedikit berharap. Kalau tidak masakan Xin Xin boleh masuk ke situ dan bertemu dengannya.

Xin Xin duduk melutut di hadapan tuannya. Perlahan dia menggeleng kepala. Dia mencapai tangan tuannya. Dahulunya bersih tetapi kini sudah dipenuhi kotoran. Wajah itu juga kelihatan comot.

"Tuan puteri..."

"Xin Xin. Keluarkan saya dari sini. Saya tak nak duduk sini..." ujar Ying Hua pantas.

Xin Xin sudah sebak. Dia menggenggam erat tangan itu bagaikan cuba menyalur semangat. Dia tidak mampu berbuat demikian. Kuasa Putera Yan lebih tinggi daripadanya.

"Xin Xin. Saya tak bersalah. Awak percayakan saya kan?" tanya Ying Hua lagi. Kalau tiada siapa yang mahu mempercayainya, cukup baginya hanya Xin Xin yang percaya.

Xin Xin mengangguk pantas, yakin dengan jawapannya sendiri. "Xin Xin percaya tuan puteri takkan buat macam tu."

Waktu itu Ying Hua melemparkan senyuman dalam keperitan. Cukup dengan anggukan itu, dia gembira. Di dunia yang asing baginya, diuji dengan sebegitu rupa, Xin Xin masih mempercayainya.

"Xin Xin..."

"Ya tuan puteri..."

"Kalau Shu Yan suruh saya minum racun... saya akan buat..." ujar Ying Hua perlahan.

Lagipun apa gunanya dia hidup kalau berterusan diseksa sebegitu. Kalau Xiao Hua pun mengambil jalan itu, dia pun tidak teragak-agak memilih jalan yang sama. Mungkin ada sebab mengapa Xiao Hua memilih jalan itu.

"Tuan puteri!" Xin Xin menggeleng kepala, dia tidak sanggup melihat hal itu berulang kembali.

Ying Hua ketawa perit. "Tapi Xin Xin, kalau saya minum racun tu, untuk kali ni saya takkan hidup balik tau..." Sempat Ying Hua berseloroh dalam keperitan itu.

"Tuan puteri... janganlah cakap macam tu." Xin Xin sudah mahu menangis.

Ying Hua terbatuk-batuk. Tubuhnya semakin menggigil kesejukan. "Xin Xin... kenapa mereka cuma kurung saya? Saya kan pesalah. Mereka patut pukul saya kan?"

"Apa tuan puteri cakap ni..." Xin Xin sudah mengesat air matanya yang mengalir di pipi.

Ying Hua ketawa lagi. "Awak risau ke nanti bila saya tak ada, awak akan duduk seorang diri?" Dia mengusap lembut tangan Xin Xin. Gadis itu bersama Xiao Hua sejak kecil. Pasti kehilangan akan buat gadis itu sedih.

"Jangan la cakap macam tu. Xin Xin cuma nak bersama tuan puteri aje." Xin Xin seperti ingin meraung. Semakin lama tuannya bercakap yang bukan-bukan. Dia jadi risau. Apatah lagi terasa bahang pada tubuh kecil itu.

"Selepas saya tak ada, awak tak perlu jadi hamba lagi. Awak boleh pilih jalan hidup awak. Berkawan, berkahwin dan berkeluarga..." sambung Ying Hua lagi. Matanya semakin kuyu. Terasa seluruh tubuhnya semakin lemah. Nafasnya juga terasa berat.

Xin Xin menggeleng kepala. Dia tidak mahukan kebebasan. Dia mahu tuannya bersamanya. Hanya tuannya sahaja yang selalu mempertahankannya. Dia tidak boleh hidup di luar kerana dia seorang yang lemah. Kemungkinan dia akan dibuli oleh orang lain. Hidupnya lebih aman dan bahagia bersama tuannya.

"Xin Xin... saya nak tidur kejap." Ying Hua sudah baring di tepi tikai besi itu. Seluruh tubuhnya sudah terasa hilang tenaga. Matanya semakin berat. Dia merapatkan lututnya ke dada dan memeluk erat kakinya.

"Tuan puteri..." Xin Xin memanggil perlahan. Apabila tiada balasan dari tuannya, dia sudah resah. Tangan kanannya menghala masuk melalui celah tirai besi, menyentuh dahi tuannya. Panas!

Pantas dia berlalu pergi dari situ. Dia perlukan seseorang untuk memaklumkan perihal tuannya. Tuannya sedang sakit! Suhu badannya terlalu panas dari biasa.

********************

"PUTERA Xian... tolong Puteri Yan..." rayu Xin Xin sebaik sahaja melihat kelibat putera ketujuh itu tiba di kediaman Xian. Dari pagi dia menunggu kepulangan putera ketujuh itu di hadapan pintu utama. Hatinya berbelah bahagi untuk terus menunggu tetapi hanya Putera Xian sahaja harapan yang dia ada.

Mustahil untuk Putera Yan melepaskan tuannya biarpun tuannya sakit. Jadi dia tidak mahu memanaskan lagi api kemarahan Putera Yan, lebih baik dia berharap pada Putera Xian sahaja.

"Xin Xin? Kenapa ni?" tanya Shu Xian bingung.

"Puteri Yan... tolong Puteri Yan..." rayu Xin Xin sekali lagi. Dia tahu hanya putera ketujuh itu sahaja yang mampu menolongnya.

"Kenapa dengan kak Xiao Hua?" Shu Xian sudah tidak sedap hati. Bai Leng sudah pun merapatinya dan berbisik perlahan. Bisikan itu membuatkan matanya terbeliak.

"Kenapa awak tak beritahu saya lebih awal!" Shu Xian sudah mengamuk dengan Bai Leng.

"Maafkan saya tuan muda." Bai Leng menunduk hormat, memohon maaf.

Shu Xian menghela nafas. Dia tahu bukan salah Bai Leng. Lagipun setiap kali memerapkan diri di perpustakaan, dia tidak membenarkan sesiapa pun menganggunya. Hatinya tenang apabila merasakan pasangan itu sudah berbaik. Jadi kali ini dia mengambil masa agak lama ke bandar untuk mencari ilmu.

Patutlah Bai Leng tiba-tiba menyarankan kepadanya untuk pulang melihat kakak iparnya. Rupanya lelaki itu sudah tahu apa yang berlaku tetapi masih tidak khabarkan kepadanya.

"Xin Xin, kak Xiao Hua okey ke?" tanya Shu Xian risau.

Xin Xin menggeleng kepala. "Badannya tiba-tiba panas sangat. Tuan puteri asyik cakap perkara yang bukan-bukan. Dia cakap dia akan minum racun kalau Putera Yan suruh. Xin Xin tak nak apa-apa berlaku pada tuan puteri. Putera Xian, tolong bantu tuan puteri. Dia tak bersalah. Xin Xin yakin dia tak bersalah..." rayu Xin Xin sekali lagi bersama esakkan.

"Jom!" Shu Xian sudah berang. Makin bertambah berang apabila perkataan racun terpancul keluar dari mulut Xin Xin. Kejadian itu mungkin akan berulang kembali!

Xin Xin hanya menuruti langkah putera ketujuh itu. Dia tidak tahu apa yang Putera Xian cuba lakukan. Apa yang diharapkannya adalah tuannya dapat diselamatkan.

********************

"WANG Shu Yan!"

Shu Xian menendang pintu kediaman Yan. Sebentar tadi dia terus menyerbu masuk ke dalam meskipun ditahan oleh pengawal-pengawal Shu Yan. Dia mengugut untuk membunuh mereka sekiranya tidak dibenarkan masuk. Malah dia mengacah pedang milik Bai Leng ke arah pengawal-pengawal di pintu utama itu.

"Xian..." Shu Yan dengan wajah tenang menyebut nama itu. Dari tadi dia sudah mendengar kekecohan yang berlaku tetapi sengaja dibiarkan. Tak sangka Shu Xian melepasi pengawal-pengawalnya dengan mudah.

Tidak perlu dia bertanya banyak. Dia sudah tahu apa yang Shu Xian cuba katakan. Tak lain tak bukan perihal Wu Xiao Hua. Sudah pasti berita itu sampai ke tangan adiknya.

Matanya menangkap satu batang tubuh kecil yang berdiri di sebelah Bai Leng. Gadis itu nampak ketakutan. Bibirnya mengukir senyuman sinis sebelum menutup bukunya dan bangun dari tempat duduk.

"Xin Xin... apa awak beritahu pada Putera Xian sampai dia kurang adab untuk jejak kaki ke kediaman Yan?" tanya Shu Yan serius.

Xin Xin sudah melutut di hadapan Shu Yan. Seluruh tubuhnya menggeletar kerana ketakutan.

"Jangan salahkan Xin Xin!" Keras Shu Xian bersuara. Matanya tajam menikam anak mata Shu Yan.

"Habis tu nak salahkan siapa? Wu Xiao Hua?" tanya Shu Yan sinis.

"Abang!" jerkah Shu Xian. Dia benar-benar tidak percaya abangnya sekejam itu. Meletakkan Xiao Hua di penjara bawah tanah adalah satu perkara yang dia hampir tidak percaya.

Di manakah sayang abangnya kepada Xiao Hua? Hanya kerana perkara yang masih tidak diketahui mana salahnya, Xiao Hua sudah menerima hukuman seberat itu.

"Abang tak patut buat macam tu! Kak Xiao Hua takkan pernah buat macam tu! Dia dah berubah!" Shu Xian mempertahankan wanita itu.

"Wu Xiao Hua takkan pernah berubah! Xian jangan tertipu dengan wajah lembut dia!" tempik Shu Yan semula.

Shu Xian ketawa. "Hanya kerana abang tengok dengan mata abang sendiri, abang hukum Xiao Hua macam tu. Abang lupa kebaikan yang Xiao Hua lakukan untuk abang. Abang ketepikan segalanya hanya dengan kebencian abang. Jadi sekarang abang puas?" tanyanya sinis.

Kalau begitu lebih baik Wu Xiao Hua tidak pernah meminta kemaafan daripada abangnya. Kerana lelaki itu tidak akan pernah memaafkannya.

"Xian!" Shu Yan meninggikan suara.

"Wu Xiao Hua patut mati waktu tu. Dia tak perlu lalui semua tu lagi. Abang patut hidup dalam penyesalan!" Kasar Shu Xian membidas.

Pang!

Shu Xian tergamam dengan tamparan itu. Pipinya disentuh perlahan. Pedih. Itulah kali pertama penampar hinggap di mukanya. Tangannya dikepal geram.

"Xian akan keluarkan dia dari situ." Perlahan Shu Xian bersuara tetapi bernada tegas. Dia berpaling dan mengangkat Xin Xin yang masih melutut itu.

"Shu Xian!"

"Tak kira apa pun hukuman yang abang bagi untuk Xian tapi Xian takkan biarkan akak terseksa di situ!" ujar Shu Xian tegas dan terus berlalu dari kediaman Shu Yan. Dia tidak peduli apa yang abangnya akan lakukan. Yang penting dia mahu kakak iparnya selamat.

Dia masih lagi mempercayai apa yang berlaku itu bukan satu kebetulan. Dia lebih kenal abang sulungnya, Wang Shu Nian. Lelaki itu banyak agenda tersendiri. Kematian putera kelima dan putera keenam masih lagi menjadi tanda tanya. Adalah mustahil untuk dua orang yang hebat dalam seni pertahanan diri mati di tangan penjenayah yang cuba merompak mereka. Entah mengapa hati kecilnya menyatakan putera mahkota terlibat dalam perancangan jahat itu. Meskipun masih tiada bukti yang kukuh tetapi dia mempercayai nalurinya sendiri.

Begitu juga dengan perihal Wang Xiao Hua. Tidak mungkin kakak iparnya itu sanggup berlaku curang. Ketika ini wanita itu hilang ingatan, jadi lebih mudah untuk menokok tambah cerita di sebaliknya. Apa yang dia harapkan adalah kakak iparnya ingat segalanya agar dia dapat membantu untuk membersihkan nama wanita itu semula.

Tetapi andai Wu Xiao Hua benar-benar bersalah, dia akan terasa begitu hampa. Mungkin salahnya untuk menilai seseorang.

Shu Yan yang berdiri di situ hanya merengus kasar. Sekali lagi Shu Xian berani mengherdiknya sebegitu. Adiknya kini sudah berubah. Entah apa yang Xiao Hua lakukan sehingga adiknya benar-benar percaya pada wanita itu.

Pembohongan tetap pembohongan baginya. Silapnya memberi peluang kepada Xiao Hua. Sekali lagi wanita itu mengkhinatinya.

Hilang ingatan? Shu Yan ketawa sinis. Mungkin betul kata putera mahkota, Xiao Hua berpura-pura untuk tutup segala kesalahan lalunya.

Wu Xiao Hua berpaling darinya kerana dia bukan putera mahkota. Wu Xiao Hua mengkhianatinya kerana gelaran puteri mahkota. Dia tidak pernah menyangka Wu Xiao Hua yang dia kenal sejak kecil rupanya seorang yang tamak.


Load failed, please RETRY

每周推薦票狀態

Rank -- 推薦票 榜單
Stone -- 推薦票

批量訂閱

目錄

顯示選項

背景

EoMt的

大小

章評

寫檢討 閱讀狀態: C22
無法發佈。請再試一次
  • 寫作品質
  • 更新的穩定性
  • 故事發展
  • 人物形象設計
  • 世界背景

總分 0.0

評論發佈成功! 閱讀更多評論
用推薦票投票
Rank NO.-- 推薦票榜
Stone -- 推薦票
舉報不當內容
錯誤提示

舉報暴力內容

段落註釋

登錄