Sheena membiarkan Mike yang baru turun dari biliknya duduk di meja makan. Dia menganggap lelaki itu tidak wujud sama seperti dia selalunya diperlakukan. Fokusnya kepada makanan yang terhidang diatas meja. Sesekali Mak Mia datang melihat mana-mana lauk yang habis dan menambahnya. Makan selagi ada waktunya, manalah tahu besok-besok jadi gelandangan di halau keluar. Sheena bermonolog di dalam hati. Bukan mahu-mahu tapi kenyataannyakan, takkanlah dia mahu menaruh harapan yang dia akan tinggal di villa itu selamanya, tidak mungkin.
Mike melirik memandang gadis tersebut, khusyuk sungguh dengan makannya. Niat hatinya mahu bertanya tentang bagaimana dia balik ke villa kemarin dia batalkan. Dia membiarkannya makan dengan tenang dan selesa. Naik gila juga risau dia kemarin apabila tidak ada bayang-bayang Sheena di luar pintu utama shopping complex. Dia menanti beberapa minit sebelum masuk ke dalam dan mencarinya di tiap pelusuk. Salah dia juga kerana tidak meminta nombor telefon Sheena, kalau dia mempunyai nombor telefonnya, sudah pasti mudah bagi dirinya untuk menghubungi Sheena dan menanyakan keberadaannya. Setelah hampir setengah jam mencari, barulah dia menghubungi mak Mia menanyakan tentang Sheena. Apabila mak Mia mengatakan yang Sheena sudah balik lebih kurang sejam yang lalu barulah dia lega sedikit. Hajat di hati dia mahu memarahi gadis tersebut apabila tiba di rumah dia batalkan apabila Sheena sudah masuk ke dalam bilik dan tidak keluar-keluar lagi, penat kot. Maka dia membiarkannya, yang penting dia selamat sampai ke rumah dan tidak hilang di mana-mana.
"Sheena tak nak tambah nasi lagi? Mak Mia tolong sendukkan untuk Sheena." Ujar mak Mia apabila melihat pinggan Sheena yang sudah bersih. Sheena tersengih kemudian menggeleng perlahan.
"Sheena sudah kenyang, mak Mia. Terima kasih sebab memasak makanan yang sedap-sedap ini. Ikutkan hati Sheena, mahu sahaja Sheena habiskan semuanya tapi perut sudah tidak mampu menampung lagi." mak Mia tersipu malu dengan pujian gadis tersebut, kemudian dia melirik memandang tuannya yang juga sedang khusyuk makan.
"Tuan Mike nak saya tambahkan apa-apa lagi?"
Mike menggeleng dan seperi biasa wajahnya masih dingin tidak berperasaan.
Sheena mencebik di dalam hati, kemarin bukan main lagi dia tertawa dengan bahagia. Hari ini kembali dengan muka dingin dia. Sheena merungut di dalam hati.
"Mak Mia duduklah dulu, biar hari ini Sheena yang kemaskan semuanya di dapur dan di meja makan. Sudah terlalu lama Sheena tidak buat apa-apa kerja di dapur. Rindulah pula. Mak Mia anggap sahaja yang hari ini adalah off-day. Bolehkan..." Mak Mia menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil melirik memandang Mike yang pura-pura tidak mendengar kata-kata Sheena.
"Alaa, abaikan dia. Kalau dia potong gaji mak Mia, beritahu saya. Nanti saya tambah balik." Sheena berbisik di telinga wanita tersebut, membuatkan mak Mia tergelak kecil. Ada-ada sahaja isteri tuannya itu. Walaupun dia tahu, hubungan pasangan tersebut bukan seperti mana-mana suami isteri yang lain tapi dia tahu yang mereka merupakan pasangan suami isteri yang sah.
Mike yang sudah selesai dengan makannya meninggalkan meja makan tanpa berkata apa-apa, dia terus naik ke biliknya. Mungkin ada barang dia yang tertinggal untuk di bawa ke pejabat. Sheena meneka di dalam hati. Melihat Mike sudah beredar, pantas Sheena menyusun semua pinggan yang ada di atas meja makan dan membawanya ke sinki. Mak Mia mahu membantu tapi dia halang dengan isyarat tangan.
"Saya nak Mak Mia pergi depan televisyen atau bersantai di luar. Biar Sheena yang buat semua.okay." Ujar Sheena sambil menolak tubuh wanita tersebut dengan lembut supaya keluar dari dalam dapur. Mahu tidak mahu Mak Mia terpaksa menurut dan keluar dari dalam dapur.
"Kalau begitu, biar mak Mia lap meja makan."
Sheena menggeleng lagi.
"Kalau Sheena kata semua Sheena buat, semualah. Mak Mia bertenang di luar atau pergi menonton televisyen atau pergi berehat di mana-mana."
Wanita tersebut memandang Sheena dengan penuh rasa bersalah, tapi senyuman Sheena membuatkan dia terpaksa menurut kata-katanya.
"Okay, tapi hari ini sahaja. Hari-hari lain biar mak Mia yang buat. Mak Mia tidak mahu nanti tangan isteri tuan Mike jadi kasar."
Tergelak Sheena mendengarnya, tangan jadi kasar? Seumur hidup dia bersama Pn.Biba dan En.Martin dia melakukan semua kerja rumah dan ladang. Kalau setakat tapak tangan jadi kasar dia tidak hairan. Itu sudah menjadi perkara biasa baginya.
Sheena memulakan dengan membuang sisa makanan ke dalam tong khas di tepi sinki, kemudian dia membilas tiap pinggan dan mangkuk dengan sabun.
Sedang dia khusyuk membuat kerja dia tidak sedar yang Mike sedang memerhatikannya di depan pintu dapur. Hatinya bahagia kerana dapat melakukan kerja yang biasa dia lakukan selama ini. Oh, kalau nanti Mike menghalaunya dari rumah dia boleh merayu supaya dijadikan pembantu rumah bersama mak Mia! Jadi dia perlu tunjukkan yang dia mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan baik dan selepas ini dia perlu menunjukkan kebolehan memasaknya pula. Sebagai satu lagi bonus agar dia diterima. Sheena tersengih sendiri. Gembira dengan rancangannya.
Mike mencari-cari cara untuk memanggil gadis tersebut supaya menoleh kearahnya tapi fikirannya buntu. Perlukah dia memanggil nama Sheena atau terus dengan apa yang dia mahu katakan atau memanggilnya dengan 'uii' sahaja? Dia bingung sendiri. Dia memandang sampul surat di tangannya, pasti gadis tersebut akan gembira jika melihatnya. Mike tersenyum di dalam hati. Akhirnya selepas berfikir masak-masak, dia mengambil keputusan untuk meletakkan sahaja sampul tersebut di atas meja makan dan membiarkan Sheena melihatnya sendiri nanti. Elena telah memberikannya kemarin sewaktu mereka makan bersama di Shopping Complex, walaupun gadis tersebut mahu memberikannya sendiri kepada Sheena tapi dia tidak membenarkannya. Dia mahu menyerahkan sampul tersebut kepada Sheena di dalam kereta sewaktu mereka balik bersama nanti tapi tidak menyangka pula Sheena balik dulu darinya. Surat penerimaan permohonan untuk Sheena masuk ke kolej dan menyambung pelajarannya, berita yang ditunggu-tunggu oleh Sheena semenjak dua menjak ini.
Elena menelefonnya beberapa hari yang lalu tapi dia tidak sempat untuk datang bertemu dengannya, kemarin barulah dia mempunyai kesempatan dan sebagai tanda berterima kasih dia menemankan teman baiknya itu untuk mencari barangan keperluan sebagai persediaan hari pertunangannya yang akan berlangsung tidak lama lagi. Mereka sudah berkenalan sejak dari kolej lagi dan masih berhubungan baik sehingga kini hanya sebagai teman baik sahaja dan tidak lebih dari itu kerana Mike tidak pernah memikirkan tentang mencari pasangan hidup selama ini. Tambahan lagi, tidak ada sebarang perasaan yang istimewa muncul di benaknya terhadap Elena. Tidak pernah walau sekali. Kemudian terbayang pula degupan jantungnya yang tidak keruan tempoh hari sewaktu melihat Sheena dengan gown kahwin buat pertama kali, Mike menepis bayangan tersebut jauh-jauh. Nonsense.
Selesai bertarung dengan piring-piring di sinki, Sheena beralih ke ruangan makan. Dia sedikit terkejut dengan sampul putih dengan namanya diatas meja. Pantas Sheena membukanya, jantungnya berdegup kencang. Apatah lagi apabila melihat 'Urusan seri paduka baginda' tertera di hadapan. Takkanlah surat cerai daripada Mike? Maka belum sempat dia mahu menunjukkan bakatnya dalam pengurusan rumah sudah mendapat surat cerai. Maka dia perlu ke mana selepas ini? Otaknya ligat berfikir sambil tangannya pantas juga membuka sampul surat tersebut. Isi kandungannya dalam bahasa inggeris pula. Sheena membacanya dengan penuh perhatian.
YOU ARE ACCEPTED
Sheena terlopong, accepted? Diterima di mana? International College.
"Yahooooo!!"
Dia bersorak gembira. Mak Mia yang berada di luar villa, bergegas masuk ke dalam. Begitu juga dengan pak Neo yang sedang sibuk dengan bunganya. Terkejut dengan suara Sheena yang bersorak tiba-tiba. Habis terbuang segala alat berkebunnya kerana terlalu terkejut.
"Mak Mia! Pak Neo! Sheena diterima! Sheena diterima!"
Sheena meluru kearah suami isteri tersebut sambil memeluk mereka erat di hadapan pintu, pak Neo dan mak Mia terkebil-kebil tidak faham dengan 'Sheena diterima'. Hati Sheena pula cukup gembira memikirkan tentang hal sambung belajar. Akhirnya, selangkah kearah cita-citanya.
"Diterima apa nie Sheena? Mak Mia tak fahamlah." Mak Mia bertanya hairan, dia memandang suaminya. Pak Neo mengangkat bahu tanda tidak faham. Sheena meleraikan pelukannya kemudian terus menerus tersenyum.
"Mak Mia, Pak Neo...selepas nie kalian berdua boleh buat kerja dengan tenang tapi penatlah seperti dulu sebab Sheena akan sambung belajar tidak lama lagi. Tiada lagi yang akan membantu menyiapkan kerja mak Mia dan pak Neo."
Pasangan suami isteri tersebut saling berpandangan kemudian giliran mereka pula memeluk Sheena. Mereka turut tumpang gembira dengan berita tersebut. Selama ini mereka hanya menjadi pendengar setia apabila Sheena mengomel tentang keinginannya itu. Tidak sangka pula sekarang impiannya sudah tercapai.
"Wah, Tahniah Sheena! Lepas nie Sheena kena belajar baik-baik tau. Supaya impian Sheena akan tercapai untuk mempunyai kerjaya sendiri." Ujar Mak Mia sambil membelai lembut rambut panjang gadis tersebut. Sheena mengangguk, dia akan buktikan kepada Pn.Biba yang dia akhirnya akan berjaya walau apa pun halangan yang menanti. Suami isteri tersebut meleraikan pelukan mereka kemudian memandang Sheena dengan penuh kasih. Baru sahaja gadis tersebut menyertai keluarga kecil mereka tetapi hubungan mereka umpama anak beranak sahaja. Malahan lebih rapat berbanding hubungan mereka dan Tuan Mike mereka.
"Selepas nie, pak Neo dan mak Mia akan kebosanan lagi di villa. Pasti Sheena akan sibuk di kolej dan jarang ada di villa." Pak Neo mengeluh. Mak Mia dan Sheena saling berpandangan kemudian mereka sama-sama tergelak kecil.
"Jangan risaulah, Pak Neo. Kalau Sheena tidak ada kelas, Sheena akan tetap mengganggu Pak Neo dan Mak Mia buat kerja."
Tergelak Pak Neo mendengarnya.
"Kalau begitu, Sheena belajar di kolej sahajalah, kecuali waktu malam. Supaya Pak Neo tenang berkebun dan tidak ada yang merebut tugas Pak Neo." ujarnya bercanda. Kemudian mereka tertawa bersama-sama.
Sheena tidak sabar mahu memulakan pengajiannya, walaupun dia tidak berapa pasti apa jurusan yang dia dapat kerana tadi dia membaca surat tawaran tersebut sekilas sahaja. Dia hanya pasti yang dia diterima belajar sahaja. Perkara lain dia tidak ambil peduli. Bertuah sungguh bukan.
Jadi bagaimana pula dengan yuran pengajiannya? Adakah Mike akan menanggungnya atau dia terpaksa bekerja sendiri untuk membayar yurannya? Satu lagi masalah, selepas satu datang lagi satu. Nampaknya, hari ini sekali lagi dia perlu berjaga sehingga Mike pulang dari pejabat untuk menanyakan perkara tersebut. Supaya dia boleh membuat persediaan awal, dari segi mental dan fizikal. Dia boleh sahaja mencari pekerjaan di shopping complex milik Mike atau bekerja separuh masa sebagai pembantu rumah di villa Mike. Wah, bijak! Sheena bangga dengan dirinya yang berpandangan jauh. Kemudian, dia perlu ke kolej bagaimana? Villa tempat tinggal mereka ini agak jauh daripada jalan raya utama. Jadi agak susah untuk mahu mencari bas atau teksi. Takkan dia mahu berjalan kaki untuk mencari bustop terdekat pula? Atau menaiki basikal? Oh, dia biasa berbasikal ke ladang dahulu! Adakah masuk akal kalau dia berbasikal sehingga ke kolej? Tapi di mana letaknya Kolej Antarabangsa tersebut? Satu demi satu persoalan timbul di benak Sheena. Lama kelamaan dia mengeluh sendiri. Ingatkan bila dia sudah diterima masuk ke kolej semuanya akan menjadi mudah. Rupanya semakin rumit.
********
Keadaan Villa dari kejauhan terang benderang, hari ini Mike balik lebih awal daripada biasa. Jam baru sahaja menunjukkan Jam7.00 malam. Adakah dia masih sempat untuk makan malam bersama Sheena?
Pak Neo sudah menanti di hadapan pintu utama rumah dengan senyum lebarnya. Macam tahu-tahu sahaja tuannya itu akan balik awal hari ini, Mike turun dari kereta sambil menunduk sedikit memberi hormat kepada lelaki tersebut.
"Selamat pulang, tuan. Awal tuan balik hari ini. Kebetulan makan malam baru sahaja mak Mia kamu hidangkan, nampaknya Sheena tidak akan makan keseorangan malam ini."
Ujar Pak Neo sambil mengambil alih memandu kereta milik tuannya itu untuk dimasukkan ke dalam garaj. Mike hanya mengangguk seperti biasa, tidak banyak songeh.
Belum dia melangkah masuk ke dalam rumah, dia sudah dapat mendengar suara Sheena bergurau dengan Mak Mia. Riuh rendah, entah apa yang mereka bualkan. Kalau dulu yang menantinya datang ke rumah adalah suasana sunyi dan sepi sahaja. Berbeza selepas kehadiran Sheena, ada sahaja yang dia jadikan topik untuk berbual dengan mak Mia atau pak Neo.
"Oh, selamat pulang tuan Mike! Mak Mia baru siap hidangkan makanan, tuan pasti belum makan bukan. Biar mak Mia sediakan pinggan untuk tuan. Tuan duduklah dahulu." Mak Mia menegur apabila melihat tuannya itu muncul di pintu ruang makan kemudian laju Mak Mia hilang, masuk ke dalam dapur.
Sheena menoleh memandang Mike yang masih tercegat di muka pintu ruang makan dengan beg bimbitnya dan juga kotnya. Perlukah dia menyambutnya? Membantunya menyimpan beg bimbitnya atau kotnya? Kalau dalam drama selalunya isteri tuan muda akan datang menyambutnya di muka pintu dan membantunya menyimpan beg atau kotnya kemudian...Sheena tersengih. Nakal. Takkanlah pula dia mahu memeluk Mike dan mengucup pipi lelaki itu? Oh, tidak! Jangan nak drama sangat. Ini dunia realiti dan bukannya dalam drama tapi kalau setakat mahu membantu menyimpan beg dan kot, boleh bukan.
Sheena akhirnya berdiri dari duduknya kemudian mengambil beg bimbit lelaki itu dan kotnya. Mike yang agak terkejut dengan tindakan Sheena, tergamam seketika sebelum berpura-pura memegang tengkuknya dan berlalu ke meja makan. Pipi dan telinganya terasa panas, degupan jantungnya juga lebih laju daripada yang biasa. Eh, panas pula! Dia melonggarkan sedikit tali lehernya. Tenang Mike, tenang. Dia hanya membantu kamu menyimpan beg dan kot sahaja pun sudah tidak keruan. Belum lagi dia buat benda lain. Eh, jangan fikir yang bukan-bukan Mike! Behave.
"Panas ke tuan? Mahu saya turunkan lagi suhu aircond?" Mak Mia bertanya apabila melihat tuannya kelihatan agak kepanasan. Laju Mike menggeleng.
"Tidak apa, Mak Mia. Saya okay." Ujarnya pendek sambil matanya meliar memandang lauk-pauk yang sudah tersedia. Cover malu.
"Mak Mia turunkan sahaja suhunya, saya pun dari tadi kepanasan juga."
Ujar Sheena sengaja kerana dia juga tiba-tiba terasa panas. Panas kerana malu dengan tindakannya sebentar tadi. Pertama kali, katakan.
Mike tidak menghalang, dia membiarkan Mak Mia mengubah suhu aircond.
"Okay, mak Mia sudah turunkan suhu. Tuan dan Sheena silakan menjamu selera. Mak Mia ada di dalam dapur kalau perlukan apa-apa. Selamat menjamu selera." Mak Mia seakan faham dengan kedua majikannya itu, malu-malu kucing. Dia tersengih sendiri dan cepat-cepat masuk ke dalam dapur, tidak mahu menganggu.
Suasana meja makan kembali sepi, hanya sesekali kedengaran sudu dan garfu berlaga atau bunyi piring. Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri. Sheena mencari-cari isu yang boleh dia timbulkan, supaya dia boleh bertanya soalan-soalan yang timbul dimindanya siang tadi. Apa yang perlu dia katakan.
"Masakan mak Mia memang sedapkan." Sheena memecahkan keheningan. Sheena, Sheena! Dalam banyak-banyak topik, itukah yang terbaik boleh dia katakan?
"Emm..."
Hanya itu tindak balas Mike kerana dia tidak tahu apa yang perlu dia jawab. Perlukah dia menjawab 'iya, memang sedap. Kalah-kalah masakan chef hotel 5 bintangkan.' Agak janggal bukan.
Kemudian suasana kembali senyap. Tidak ada kesinambungan topik yang cuba Sheena timbulkan.
"Awak sudah baca surat yang saya letakkan di atas meja pagi tadi?" Akhirnya Mike bertanya berkaitan topik yang Sheena nanti-nantikan.
"Iya, sudah. Terima kasih sebab tolong saya." Sheena menjawab cepat. Kemudian, sekali lagi suasana kembali sunyi senyap.
"Emm...sebenarnya saya ada banyak soalan yang saya mahu tanya." Setelah bertarung dengan perasaan sendiri, Sheena memberanikan dirinya untuk bertanya. Namun, matanya tidak memandang kearah Mike. Dia merenung pinggannya yang sudah kosong.
"Tanyalah."
Hanya itu jawapan dari Mike.
Sheena menarik nafasnya dalam-dalam, mencari kekuatan untuk menanyakan soalan-soalan yang sudah dia atur di dalam kepalanya. Dia mengangkat kepalanya kemudian memandang tepat ke mata Mike yang juga kebetulan memandangnya. Kemudian mereka sama-sama melarikan pandangan masing-masing kerana tidak menyangka yang pandangan mereka akan bertaut. Suasana kembali sepi.
"Berkaitan dengan yuran..."
"Oh, itu tak payah fikirkan. Saya akan uruskan semuanya." Mike memotong sebelum sempat Sheena menghabiskan soalannya. Sheena mengangguk dengan teragak-agak, tidak menyangka Mike akan menjawabnya sedemikian rupa. Okay, kalau begitu satu masalah selesai. Soalan seterusnya.
"Bagaimana saya mahu ke kolej? Adakah saya perlu..."
"Jangan risau, nanti saya sediakan pemandu khas untuk awak ke kolej. Pergi dan balik. Khas untuk awak sahaja." sekali lagi Mike memotong kata-kata Sheena sebelum sempat dia menghabiskan soalannya. Sheena mengangguk lagi. Masalah kedua, selesai.
"Berkaitan dengan wang perbelanjaan juga, jangan risau. Saya akan sediakan semuanya. Kad kredit yang saya berikan tempoh hari, gunakan sahaja. Kalau tidak mencukupi, beritahu saya." Kali ini Mike mendahului Sheena, sebelum gadis tersebut mengajukan apa-apa soalan.
"Oh, okay..." Sheena menjawab dengan teragak-agak. Wah, maknanya semua keperluannya ditanggung oleh Mike? Okay, dia tidak menyangka hal ini akan terjadi. Dia ingatkan yang dia akan terpaksa membayar dan menanggung semuanya sendiri. Rupanya sangkaannya silap.
Adakah ini bermakna dia tidak akan dihalau dari villa tersebut dalam masa terdekat? Terima kasih, ya Tuhan. Biarlah sampai saya habis belajar dan dapat kerja. Eh, semakin tamak pula. Kalau begitu, biar sampai saya stabil di kolej dan mampu berdikari pun cukuplah.
"Nanti saya bawa awak ke kolej minggu hadapan sebab sesi pendaftaran pelajar baru akan bermula next week. So, awak readylah apa-apa yang perlu minggu ini." Sheena mengangguk lagi, kemudian dia memandang lelaki itu dan sekali lagi mereka bertentang mata. Kali ini Sheena tidak melarikan anak matanya, dia memberikan satu senyuman manis kepada Mike tanda terima kasih. Tidak salah bukan kalau dia tersenyum kepada Mike. Biarlah dia ada kekasih hati yang penting sekarang tarafnya lagi tinggi sebab dia isteri Mike yang sah.
Mike teragak-agak, apa yang perlu dia lakukan. Perlukah dia membalas senyuman Sheena atau pura-pura tidak melihatnya? Kalau dia berpura-pura tidak melihat, ketara pula sebab sah-sah mereka sudah bertentang mata atau perlukah dia tidak payah membalas senyuman tersebut? Tanpa dia sedari, senyum terukir di bibirnya. Oh, saraf-saraf mukaku! Kau mengkhianati diriku. Mike tertunduk, tidak menyangka yang dia akan mengukir senyum kepada Sheena. Jarang sekali dia tersenyum kepada orang di sekelilingnya, kecuali dengan orang yang benar-benar rapat dengannya. Itupun hanya sekali sekala sahaja.
Sheena tergamam seketika, tidak menyangka yang Mike akan tersenyum kepadanya. Mahu sahaja dia berdiri dan bersorak. Bukan mudah baginya untuk melihat lelaki itu tersenyum. Pertama kali selama dia mengenalinya. Bravo, Sheena! Bravo! Tapi tampan pula dia bila tersenyum (lebih tampan dari yang biasa) dan baru dia sedar yang Mike mempunyai sepasang lesung pipit di pipi. Tenang wahai hati, tenang. Dia mempunyai teman wanita, jadi jangan mahu mengada mengharap yang dia akan menjadi pasangan hidup kamu. Dia cuma baik sebab awak dengan rela hati mahu menjadi isteri tangkap muatnya. Semuanya untuk membalas jasa awak sahaja. Sheena menasihati dirinya sendiri.
"By the way, tahniah sebab diterima masuk ke kolej itu dan saya harap awak suka akan jurusan yang saya pilih."
Selesai dengan kata-katanya, Mike bangun dari duduknya dan berlalu mengambil beg bimbit dan kotnya kemudian naik ke bilik. Sheena tidak menjawab apa-apa, setelah memastikan yang Mike sudah masuk ke dalam bilik, barulah dia bangun dan berlari ke dalam dapur. Dia memeluk mak Mia dengan gembira, gembira kerana kini semuanya sudah selesai. Tiada apa yang perlu dia risaukan.
"Ini kenapa nie, peluk-peluk mak Mia. Sudah selesai ke makan? Kalau sudah, mak Mia kemas meja dahulu. Nanti kita berbual, okay." Ujar wanita tersebut sambil meleraikan pelukan Sheena.
"Okay, mak Mia! Biar Sheena bantu sebab bila Sheena sudah sambung belajar, jarang tau Sheena dapat membantu."
Mak Mia tidak menghalangnya kerana dia tahu, walaupun dihalang Sheena tetap akan berkeras. Jadi lebih baik biarkan sahaja. Lagipun, gadis tersebut kelihatan sungguh bersemangat. Iyalah, siapa yang tidak bersemangat kalau impiannya sudah tercapai. Semoga hubungan tuannya dan Sheena juga akan semakin rapat. Oh, dia perlu laporkan semua ini kepada Datuk Alice, supaya dia tahu perkembangan hubungan mereka berdua!