下載應用程式
50% Sfera / Chapter 21: Sawadikap

章節 21: Sawadikap

Aku mulai resah apabila melihat peserta-peserta karnival sudah mula berkemas. Melalui pengumuman yang dibuat, kawasan karnival perlu dikosongkan dalam tempoh masa setengah jam sahaja lagi. Aku cuba meninjau-ninjau sekeliling kawasan yang berdekatan, namun bayang Syam masih tidak kelihatan. Aku pergi ke pentas utama dan cuba menunggu sehingga pukul lapan setengah malam dengan harapan keajaiban akan berlaku dan Syam akan muncul di hadapan mataku. Namun, hasilnya menghampakan. Aku mengalah, di saat itu, aku merasakan yang Syam semestinya sudah pulang awal bersama-sama dengan rakan-rakannya dan melupakan aku yang keliru apabila memegang kata-kata 'see you' -nya itu sebagai satu janji.

"Kau pasti yang dia sudah balik?" tanya Miss R kepadaku.

"Entahlah... Mungkin..." jawabku sambil mengangkat kedua-dua bahuku.

"Kenapa kau tidak hantar mesej melalui Facebook sahaja?" tanya Ally.

"Malulah... Tiga jam lepas aku sudah hantar. Tetapi tiada apa-apa respon pun" jawabku perlahan.

Ally dan Miss R berpandangan. Mereka menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar jawapanku.

"Susahlah kalau begitu..." kata Ally.

Beberapa minit kemudian, tiga orang pengawal keselamatan mula datang untuk memeriksa kawasan karnival. Itu adalah satu petanda yang kami harus beredar dari situ secepat mungkin untuk memudahkan kerja-kerja pihak pengurusan. Aku bersama-sama dengan Miss R dan Ally bergerak keluar. Apabila tiba di kawasan parkiran, kami berpisah dan menuju ke kereta masing-masing. Baru sahaja aku menghidupkan enjin kereta, aku menerima panggilan dari Daniel.

"Macam tahu-tahu sahaja..." kataku sendirian.

"Hai Daniel!"

"Hai Marina! Apa khabar? Bagaimana hari ini?" tanya Daniel.

"Saya sihat. Hari ini okey sahaja Daniel..." jawabku ringkas.

"Kamu berdua berjaya dapatkan semua bahan yang kita perlukan?"

"Mestilah Daniel. Penuh kamera dengan gambar-gambar pengunjung tadi. Macam-macam aksi. Terutama sekali Miss R"

Daniel tertawa mendengar jawapanku.

"Baguslah kalau begitu Marina. Oh Ya! Mana Miss R?"

"Dia sudah pergi masuk ke keretanya"

"Okeylah Marina. Saya dengar suara awak pun macam penat sahaja. Awak balik rehat dahulu okey?"

"Saya sebenarnya lapar sekarang ini. Saya tidak letih pun"

"Ajaklah Miss R temankan awak makan"

"Dia mengantuk sangat-sangat katanya..."

Panggilan yang aku sangkakan sekejap menjadi lama apabila Daniel tidak berhenti-henti bertanya itu dan ini. Saat itu aku terfikir yang ada kemungkinan aku akan keluar makan dengan Daniel selepas sahaja tamat panggilan itu. Keberangkaliannya amat tinggi lebih-lebih lagi apabila dia mula bercakap tentang restoran.

Bappp! Dua tapak tangan seorang lelaki tiba-tiba menekap pada cermin tingkap di sebelah kananku. Dia memukul lembut cermin tingkap kereta sebagai isyarat yang dia ingin bercakap denganku.

"Kenapa Marina?" tanya Daniel apabila mendengar aku menjerit kecil.

"Tidak ada apa-apa. Cuma ada kucing yang menerjah kereta saya..."

"Kucing?" Daniel kehairanan. Dia seolah-olah tahu yang aku sedang menyembunyikan perkara yang sebenar daripadanya.

"Ya.. Mmm.... Daniel. Saya rasa saya kena pergi sekarang" aku cuba berterus terang agar panggilan itu dapat ditamatkan dengan segera.

"Okey. Maafkan saya. Hati-hati memandu. Bye Marina!"

"Bye Daniel!"

'Bukankah bagus kalau dari tadi aku cakap begitu dengan Daniel?' aku mentertawakan diriku yang tidak mempunyai idea dan kesungguhan untuk menamatkan sahaja perbualan kami sebelum itu.

Aku mengalihkan perhatianku ke arah lelaki yang sedang berdiri di sebelahku. Perlahan-lahan, aku membuka tingkap kereta.

"Marina...." kata lelaki itu lembut.

"Syam... Terkejut saya tadi. Nasib baik saya tidak ada sakit jantung"

"Maafkan saya Marina... Saya cuma takut terlepas dan awak berlalu pergi tadi" kata Syam yang masih memakai sut Robotmannya itu. Hanya topeng kotaknya sahaja yang ditanggalkan.

"Saya ingatkan awak sudah pulang dengan kawan-kawan awak"

"Belum lagi. Saya ada sahaja di sini. Saya dan Sean terpaksa papah Adam tadi. Kakinya terpelecok"

Aku tertawa mendengar penjelasan Syam.

"Bagaimana kaki Encik Stormtrooper boleh terpelecok?"

"Dia terjatuh semasa turun dari eskalator tadi. Ini semua sebab kostum Stormtrooper dia yang berat itulah. Fuh! Nasib baik saya nampak awak di sini. Penat saya cari awak dari tadi"

"Tidak percayalah. Awak tidak berpeluh pun"

"Tempat ini sejuk macam kutub utara. Macam mana hendak berpeluh?" Syam cuba meyakinkan aku dengan logik yang sempurna.

"Syam. Saya tidak sangka boleh jumpa awak di sini"

"Saya pun begitu Marina. Saya tidak tahu pula yang awak sudah jadi wartawan sekarang"

"Eh! Saya bukan wartawan Syam. Saya sebenarnya seorang pembantu ketua editor. Tetapi hari ini saya ditugaskan untuk ke sini."

"Oh. Untuk majalah apa itu Marina? Maaflah saya terlupa tadi...'

"Hey..." jawabku dengan bangga.

"Oh Hey" Syam mengangguk-angguk.

"Awak tahu tentang majalah Hey?"

"Mestilah. Saya pernah baca beberapa isu. I love your Art Issue dan Green Issue. You all did a very good job. I like both issues"

"Terima kasih. Oh ya! Saya tidak sempat untuk beritahu awak betapa cantiknya kostum Robotman awak tadi"

"Terima kasih. Saya memang suka benda-benda begini. Tahun-tahun lepas, saya juga ada datang ke festival. Tetapi saya tidak pakai apa-apa kostumlah"

"Nampaknya awak ini memang betul-betul peminat tegar Anime ya? Sanggup awak datang dari jauh semata-mata untuk festival ini..." aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Sukar mempercayai kegigihan Syam menghadirkan diri dari selatan untuk Festival Animax itu.

"Biasalah kalau sudah minat. Untuk pengetahuan awak, saya bakal bertukar sekolah. Saya tidak akan mengajar di tempat lama lagi"

"Oh ya?! Di mana awak akan mengajar nanti? Apa nama sekolah baru awak?"

"Dekat sahaja. Di Petaling Jaya. Bukit Bintang Boys School"

"Wow! Baguslah kalau begitu.. Hmm... Anak-anak murid awak di sekolah lama pasti akan merindui awak nanti Syam..."

"Harap-harapnya begitulah. Saya sememangnya suka apabila dirindui" Syam tersenyum nakal.

"Eh Syam. Tidak seronoklah kalau kita berbual-bual begini. Apa kata kalau saya belanja awak makan?"

"Di mana?"

"Apa kata saya bawa awak ke satu restoran di Shah Alam? Jomlah!" aku menunjukkan kesungguhanku.

"Boleh juga. Tetapi tidak mengapalah Marina. Biar saya yang belanja awak"

"Tidak Syam. Biar saya yang belanja" tegasku.

"Mana boleh begitu Marina. Biar saya sahaja yang belanja"

"Kalau awak hendak belanja saya juga. Saya akan jerit kuat-kuat dan beritahu pengawal keselamatan yang berdiri di tepi lif itu yang awak cuba untuk merompak saya" kataku sambil menunjuk ke arah pengawal keselamatan yang berada di lif berdekatan.

"Amboi... Awak mengugut saya nampaknya ya?"

"Ya. Memang. Saya sedang mengugut awak Syam. Jadi bagaimana sekarang?"

"Okey. Saya setuju. Tetapi..."

"Kenapa?" aku jadi tidak keruan apabila mendengar perkataan 'tetapi' yang keluar dari mulut Syam. Aku takut dia mengubah fikiran dan enggan keluar makan denganku.

"Saya kena tukar baju dahulu. Takut orang lari pula kalau tengok saya begini"

Aku geli hati mendengar kata-kata Syam. Aku melihat baju yang dipakainya sejak dari petang. Sebenarnya aku tidak kisah jika dia ingin keluar makan dengan berpakaian begitu. Pada pandanganku, ianya nampak cool.

"Ya. Itu sudah tentu. Awak pergilah tukar baju dahulu. Saya tunggu awak di sini"

Selepas bersetuju dengan pelawaanku, Syam mengekoriku ke Seksyen 9 Shah Alam. Kami bernasib baik kerana keadaan lalu lintas pada ketika itu tidak menggangu konvoi kami. Setibanya kami di Shah Alam, aku membawa Syam ke sebuah restoran Thai kegemaranku.

"Wow! Cantik restoran ini Marina..." puji Syam setelah kami mengambil tempat duduk.

"Cantik bukan? Saya dan kawan-kawan memang suka datang ke mari"

"Sedapkah makanan yang mereka masak?"

"Mestilah. Kalau tidak sedap saya tidak akan bawa awak ke mari. Oh ya. Apa yang awak hendak makan?"

"Oleh kerana awak yang selalu makan di sini. Apa kata kalau awak cadangkan saya makanan yang selalu awak makan. Tetapi pastikan ianya sedaplah..."

"Okey. Kalau begitu saya cadangkan kita makan nasi. Lauk biar saya yang pilihkan. Awak ada apa-apa elergi?"

"Tiada"

"Bagus. Awak hendak minum apa?"

"Saya hendak jus tembikai"

"Okey. Nanti saya panggilkan pelayan" aku melambai ke arah seorang pelayan lelaki yang memerhatikan kami sejak kami mengambil tempat.

"Ya. Boleh saya ambil pesanan?"

"Kami nak dua pinggan nasi putih. Semangkuk Tom Yam Goong, sepinggan Som Tum dan juga sepinggan Yam Nua"

"Minuman pula bagaimana?"

"Berikan saya segelas jus tembikai dan segelas jus oren"

"Okey. Tunggu dalam lebih kurang sepuluh minit okey?"

"Okey. Terima kasih"

Sepanjang aku membuat pesanan, aku menyedari yang Syam memerhatikan aku. Aku tahu dia sebenarnya terkejut apabila melihat aku bercakap dalam bahasa Thai.

"Kenapa Syam? Ada apa-apa yang tidak kena dengan sayakah?" tanyaku untuk mendapatkan kepastian.

"Saya tidak tahu pula yang selama ini awak boleh bercakap Thai"

"Ini namanya Thai untuk kegunaan spesifik. Saya hanya boleh guna Thai untuk memesan makanan sahaja"

"Oh begitu..." dia mengangguk perlahan. "Tetapi ada sesiapa beritahu awak yang awak kedengaran sangat seksi bila memesan makanan dalam Thai?"

"Seksi? Euww" aku menjadi malu apabila mendengar kata-kata Syam dan cuba menyembunyikan rasa maluku itu dengan tawa kecil yang sederhana.

"Kenapa Marina? Awak tidak suka dengan perkataan itu?" tanya Syam. Aku menggelengkan kepala. "Maafkan saya... Mmmm.... Okeylah. Bagaimana pula dengan 'comel'?"

"Comel?" aku berfikir seketika. Hmmm.... Okeylah. Saya sukakan comel berbanding 'seksi'" kataku kepada Syam.

Sambil menikmati makan malam, kami menghabiskan masa yang ada dengan berbual tentang perkembangan masing-masing. Banyak juga cerita yang terkeluar sepanjang satu jam kami di situ. Cerita tentang zaman sekolah, hal di tempat kerja, pengalaman pahit, manis dan macam - macam lagi. Seperti yang aku jangkakan, Syam tidak ketinggalan untuk bertanyakan tentang Norman yang sudah lama tidak didengar khabar beritanya. Aku cuba untuk tidak terbawa-bawa dengan emosi dan berbicara mengenainya dengan tenang. Syam juga cukup pandai memainkan peranannya. Kadang-kadang, aku rasa seperti menghadiri satu sesi terapi. Aku seperti bercakap dengan seorang kaunselor. Makan malam itu berjalan dengan sempurna sekali. Keletihan yang aku rasakan sepanjang hari semasa di karnival pantas hilang begitu sahaja. Sepanjang perjalanan pulang, aku tersenyum apabila terkenangkan Syam. Dia nampaknya masih lagi seperti dahulu. Kelakar, petah berbicara dan tidak lekang dengan senyuman. Aku senang sekali dengannya.

Apabila aku pulang ke rumah, aku menceritakan kepada Gina tentang apa yang terjadi kepadaku sepanjang hari itu. Aku sudah menduga, Gina pasti akan mentertawakan aku apabila mendengar tentang 'puteri' yang dicari oleh Encik Robotman itu. Menurutnya, dia hairan bagaimana aku boleh digelar sebagai puteri.

"Gina! Tidak semua puteri kelihatan seperti Barbie okey!" kataku sambil memukul Gina dengan bantal. Setelah puas mentertawakan aku, Gina kembali serius dan memberitahuku betapa gembiranya dia dengan apa yang berlaku. Kata Gina, dia berasa sangat lega kerana aku sudah boleh melupakan masa lalu dan mula belajar sesuatu tentang kehidupan. Yang paling penting, aku sudah tidak takut-takut lagi untuk bereksperimen dengan cinta.

"Bereksperimen dengan cinta?" soalku yang tidak faham dengan apa yang cuba disampaikannya.

"Ya" Gina mengangguk. "Sekarang kau sudah ada Daniel. Kau sudah ada Syam...."

"Gina... Kau dan Ally sama sahaja tahu. Aku baru sahaja berjumpa dengan Syam. Terus kau buat andaian yang sebegitu rupa"

"Belum lagi... Tetapi kau tunggu sahajalah nanti... Mungkin juga kami nampak apa yang kau tidak nampak" kata Gina. Di saat itu aku terfikir bagaimana dia dan Ally boleh terfikirkan perkara yang sama. Aku tidak sangka awal-awal lagi mereka boleh beranggapan yang aku cuba menjalinkan sesuatu yang istimewa dengan Syam. Bagiku, masih terlalu awal untuk berkonklusi sebegitu. Aku tidak mengambil serius kata-kata Gina. Aku menganggap yang Gina hanya bergurau.

Namun, aku tidak dapat menafikan yang aku kehairanan apabila melihat respon Gina yang seperti bersetuju sekiranya aku mengambil jalan untuk melibatkan diri dengan dua lelaki dalam satu masa yang sama. Jika benar Gina beranggapan yang aku sedang cuba menjalinkan sesuatu dengan Syam, aku mengharapkan respon yang lebih dramatik dari Gina. Mengenali Gina untuk sekian lama, dia sepatutnya akan memberi respon seperti "Kau gila Marina! Kau cari pasal!" atau "Tidak cukup dengan Danielkah?" apabila berhadapan dengan isu-isu sebegitu. Atau pun Gina cuba mengatakan sesuatu kepadaku dalam secara tidak langsung yang dia lebih menyukai Syam berbanding Daniel? Mungkin juga betul apa yang Gina katakan kepadaku. Mungkin dia nampak sesuatu yang aku tidak nampak.


Load failed, please RETRY

每周推薦票狀態

Rank -- 推薦票 榜單
Stone -- 推薦票

批量訂閱

目錄

顯示選項

背景

EoMt的

大小

章評

寫檢討 閱讀狀態: C21
無法發佈。請再試一次
  • 寫作品質
  • 更新的穩定性
  • 故事發展
  • 人物形象設計
  • 世界背景

總分 0.0

評論發佈成功! 閱讀更多評論
用推薦票投票
Rank NO.-- 推薦票榜
Stone -- 推薦票
舉報不當內容
錯誤提示

舉報暴力內容

段落註釋

登錄