Rambut Meng Hao menggerbang walaupun tiada angin yang bertiup ke arahnya. Matanya memancarkan cahaya yang sangat terang. Semua yang berada di sekelilingnya berwarna merah. Tasik darah di bawahnya mula menggelegak dan naik ke udara.
Kalau ini sahaja yang berlaku, mungkin cacah darah itu tidak akan menunjukkan kekuasaannya. Walau bagaimanapun, semua Pertapa yang berada di kawasan itu terasa seperti darah yang mengalir di dalam tubuh mereka menjadi tidak terkawal, seolah-olah akan terbang keluar dari tubuh mereka!
Bukan ahli-ahli Suku penyamun sahaja yang rasa seperti ini, malah Pertapa-pertapa di atas Kubu Pagar Hitam juga mempunyai perasaan yang sama!
Semua orang terkejut dengan perkembangan ini.
Kawasan itu tiba-tiba menjadi malap. Di langit, angin bertiup kencang dan kepulan awan bergerak laju. Pancutan darah dapat dilihat di langit di celah-celah kawanan syaitan baharu dan pancutan darah itu tertumpu pada jari telunjuk Meng Hao!