下載應用程式
5.17% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 38: Kitab Pemekatan Qi bagi Kitab Suci Rohani Indah

章節 38: Kitab Pemekatan Qi bagi Kitab Suci Rohani Indah

編輯: EndlessFantasy Translation

Dua bulan telah berlalu sekelip mata. Meng Hao telah pun menjadi seorang ahli Sekta Dalaman selama satu musim. Dia sudah jarang melawat Sekta Luaran lagi. Ibarat ikan di dalam air, Si Gempal telah membiasakan diri untuk terus hidup sendirian dengan agak mudah.

Meng Hao telah menghabiskan kebanyakan masanya di dalam Astaka Sakti.

Suatu hari, dia duduk bersila dan membaca lembaran buluh dengan riak wajah yang tenang. Dia mengangkat tangan kanannya dan mula membuat gerakan jampi serapah, lalu mencetuskan cahaya sakti yang berlegar-legar di keliling tangannya dan membuatkan bayang-bayang menari atas wajahnya.

Bebola Air muncul, tetapi kemudian ia telah bertukar menjadi kabut dan hilang tanpa disangka. Wajah Meng Hao berkerut dan dia meletakkan kembali lembaran buluh tersebut. Kemudian, dia menyeluk jubahnya dan mengeluarkan manuskrip jed yang bercahaya.

Ia berwarna putih tulen dan kabur di dalamnya seolah-olah dipenuhi kabus. Apabila dia melihatnya dengan lebih dekat, rupa-rupanya permukaan manuskrip itu lut cahaya seperti hablur.

"Chen Fan, Xu Qing, Meng Hao. Sila hadirkan diri di dewan kuil utama Gunung Timur." Kata-kata itu dituturkan oleh suara tenang yang dipancarkan keluar dari dalam manuskrip jed itu. Suara itu dengan mudah dikenal pasti sebagai suara Pemimpin Sekta He Luohua.

Meng Hao menutup lembaran buluh itu. Kemudian, dia bangkit dan melangkah keluar pintu utama Khazanah Sakti dengan senyap menuju ke puncak Gunung Timur.

Hampir pada waktu yang sama dia melangkah keluar, dua susuk tubuh kelihatan meluncur ke puncak itu. Salah seorang mempunyai wajah tenang, lembut dan dipenuhi dengan kebenaran iaitu Chen Fan. Manakala seorang lagi cantik tetapi dingin iaitu Kakak Xu Qing.

Xu Qing melirik ke arah Meng Hao. Ini kali pertama mereka melihat satu sama lain sejak senja bulan sebelumnya.

Mereka bertiga meluncur ke puncak Gunung Timur dan akhirnya tiba di dewan utama kuil. Ia mempunyai suasana purba dengan hiasan mewah yang memberikan perasaan seolah-olah ia telah tersergam selama bertahun-tahun lamanya. Ini tempat yang sangat penting bagi Sekta Reliance. Sebuah tempat yang diwarisi turun-temurun dan hanya boleh dikunjungi pengikut Sekta Dalaman sahaja.

Di dalam dewan kuil utama itu terdapat sembilan buah patung. Patung utama ialah seorang orang tua yang tidak kelihatan marah, tetapi masih boleh dirasai kekuatannya. Mata hitamnya kelihatan bersinar dengan cahaya kehidupan. Tangan kirinya diangkat di hadapannya dan dagunya terdongak seolah-olah dia sedang memandang kesemua makhluk di bawahnya. Dia seperti mencetuskan perasaan takut yang tidak dapat dijelaskan. Lapan buah patung di belakangnya tersusun rapi dan kesemuanya memiliki perilaku makhluk terulung.

Meng Hao telah melawat tempat ini sewaktu tujuh hari pertamanya dalam Sekta Dalaman. Dia telah menyembah sujud di hadapan semua patung ini dan memang sangat kenal orang tua yang tenang dan kuat itu tidak lain tidak bukan, Bapa Reliance. Manakala patung yang lain itu adalah Bapa Sekta Reliance.

Pemimpin Sekta He Luohua berdiri di bawah patung itu dengan membelakangi Meng Hao dan yang lain sewaktu mereka masuk. Dia merenung patung-patung tersebut seolah-olah dia sedang berkhayal. Sukar untuk mengetahui apa yang sedang difikirkan. Di sebelahnya adalah Orang Lama Ouyang. Dia mengangguk pada mereka bertiga dengan wajah yang serius.

"Beri penghormatan kepada Bapa," suaranya dalam.

Meng Hao, Xu Qing dan Chen Fan tunduk serendah-rendahnya di hadapan Bapa Reliance dengan riak wajah yang serius.

"Saya menyertai Sekta ini sewaktu Bapa Reliance telah hilang selama seratus tahun," He Luohua bersuara. "Ketika itu, Sekta Reliance masih lagi menikmati zaman kegemilangannya." Dia mengeluh dan berpusing ke belakang. Meng Hao, Chen Fan dan malah Xu Qing juga melihatnya dengan mata bercahaya.

Dia berdiam diri seketika sebelum menyambung perlahan-lahan, "Kamu sudah baca tentang Bapa Reliance di dalam catatan purba dan tahu betapa gemilangnya Sekta Reliance kita dulu...malah, kita ada pemahaman sepenuhnya tentang tiga tahap Pengukuhan Asas. Saya panggil kamu semua di sini untuk terangkan tentang kebenaran sepenuhnya."

"Kegemilangan Sekta Reliance dahulu disebabkan Bapa Reliance. Disebabkan asas Pertapaannya, beliau telah menguasai seluruh Negeri Zhao. Malah, kedudukannya juga telah menggegarkan Wilayah Selatan. Semua itu kerana salah sebuah kitab Kitab Suci Rohani Indah." Bukan sahaja mata Chen Fan bersinar terang, malah mata Xu Qing juga menjadi tajam sewaktu He Luohua bercakap.

Meng Hao sahaja yang merenung kosong kerana tidak dapat memahami apa itu Kitab Suci Rohani Indah.

"Kitab Pemekatan Qi?" Chen Fan bersuara perlahan. Dia pengikut lama Sekta Dalaman dan sudah mengetahui banyak rahsia. Tentang hal lain, dia berusaha untuk mengambil tahu sendiri.

"Kitab Suci Rohani Indah salah sebuah kitab suci lama di tanah Syurga Selatan," He Luohua menyambung dengan lembut. "Ia telah diwariskan turun-temurun sejak dahulu kala. Pada asalnya ia terdiri daripada tujuh kitab, tetapi kebanyakannya telah hilang. Salah sebuah daripadanya kitab Pemekatan Qi yang menerangkan kaedah untuk mengukuhkan Asas Sempurna. Kitab Pengukuhan Asas menerangkan kaedah untuk membentuk Teras Ungu, bukan Merah Lembayung atau Teras Campuran. Kitab Pembentukan Teras boleh membenarkan seseorang membangunkan Pembentukan Pertumbuhan... Dalam ayat lain, setiap kitab membenarkan seseorang untuk mencapai tahap terkuat." 

"Ketika itu, Bapa Reliance memiliki kitab Pemekatan Qi. Sebab pewaris puak Wang menyertai Sekta Reliance kerana Kitab Pemekatan Qi Kitab Suci Rohani Indah."

Mata Meng Hao berkilau dan jantungnya mula berdegup kencang. Dia pernah terdengar Abang Chen bercakap tentang pelbagai tahap Pengukuhan Asas. Kini, setelah dia tahu betapa kuatnya kuasa sakti yang Bapa Reliance miliki, dia faham sebab Wang Tengfei menyertai Sekta Reliance.

"Kalaulah aku dapat memilikinya..." Hasrat yang menebal di dalam hatinya mula membakar dengan lebih marak lagi.

"Malangnya, saya sendiri tidak pernah lihat kitab Pemekatan Qi ini, apatah lagi orang lain," He Luohua menyambung lagi percakapannya. "Kitab suci itu tidak diwariskan dan hanya wujud di dalam ingatan Bapa." Meng Hao terus berdiam diri dan wajah Chen Fan menunjukkan yang dia baru tersedar. Xu Qing mengangkat kepalanya untuk melihat patung Bapa Reliance.

Kesunyian mengisi dewan utama kuil itu.

"Empat ratus tahun telah berlalu dan semua orang di dunia luar menganggap Bapa sudah mati sewaktu pertapaannya. Hanya saya dan beberapa yang lain tahu yang Bapa...masih belum mati." Kata-katanya bagaikan petir yang berdentum kuat dalam telinga Meng Hao.

"Empat ratus tahun dahulu, asas Pertapaan Bapa telah mencapai tahap akhir Pertumbuhan Rohani. Namun, dia sudah sampai ke penghujung hayatnya. Demi untuk menembusi dinding penghalang ke tahap Pemisahan Roh yang dongeng itu, seseorang perlu berumur sekurang-kurangnya seribu tahun. Jika tidak, macam mana dia mahu mengingkari Syurga untuk memisahkan Rohnya?"

"Bapa telah memilih untuk mengasingkan diri dan bertapa demi memisahkan tubuh Rohaninya serta dilahirkan semula. Pertapaan itu selama...empat ratus tahun."

"Sewaktu dia pergi bertafakur empat ratus tahun lalu, Bapa telah meninggalkan satu perintah. Setiap seratus tahun, dia akan menghantar kepingan Jed Vorpal yang dibentuk dengan darahnya sendiri. Kemudian, ahli yang terhebat dalam keturunan terkini pengikut Sekta Dalaman boleh menggunakan Jed Vorpal ini untuk memasuki alam pertapaannya. Dengan menyalakan Qi dan darah di dalam Jed Vorpal itu, jika bertuah, kita berpeluang untuk menerima pencerahan tentang ilmu yang diserap di seluruh kawasan itu. Iaitu ilmu Kitab Suci Rohani Indah." Kata-kata He Luohua bergema dan Meng Hao bersama yang lain mengangkat kepalanya.

"Kejayaan ialah kejayaan. Kegagalan ialah kegagalan. Jika semua benda berjalan dengan lancar, seorang pengikut sudah pasti telah berjaya. Tetapi, dua ratus tahun dahulu Bapa mengalami kemalangan dalam pertapaannya. Dia hampir kehilangan nyawa. Setelah itu, peluang untuk pencerahan dalam alam pertapaannya menjadi lemah dan jampi pengekang menjadi semakin kuat. Dia tidak menghantar apa-apa Jed Vorpal hinggalah lima tahun lalu... Dia telah menghantar tiga keping."

"Tiga keping Jed Vorpal itu bermaksud ada tiga orang boleh masuk. Itu juga mendedahkan betapa kuatnya jampi kekangan di dalam alam pertapaan Bapa dan bermakna hanya tiga kawasan sahaja yang pencerahan itu akan berlaku." Suara He Luohua berkumandang di dalam dewan utama itu. Dia melipat lengan bajunya dan tiga jaluran merah ditembak ke arah Meng Hao dan yang lain. Benda itu berhenti dan terapung di hadapan mereka.

Itulah Kristal Darah yang selicin jed atau dikenali juga sebagai Jed Vorpal.

"Kamu bertiga sahaja pengikut Sekta Dalaman. Maka saya serahkan Jed Vorpal ini pada kamu semua. Sama ada kamu berjaya menerima pencerahan Kitab Suci Rohani Indah atau tidak akan bergantung kepada nasib kamu." Dia melipat lengan bajunya sekali lagi setelah habis bercakap dan patung Bapa Reliance mula berdengung. Matanya bersinar dengan cahaya yang tidak terbatas dan sebuah pusaran mula terbentuk di hadapannya.

"Masuk," He Luohua berkata dengan suara yang bergemuruh. "Semoga kamu semua berjaya dalam pencerahan itu." Meng Hao dan yang lain seolah-olah bertukar menjadi cahaya aurora bergemerlapan sambil mereka memegang erat kepingan Jed Vorpal mereka dan meluncur lenyap ke dalam pusaran itu. Di luar, pusaran itu masih kekal, tetapi tanpa Jed Vorpal, tiada siapa pun yang boleh memasukinya, walaupun seorang Pertapa di tahap Pertumbuhan Rohani sekalipun.

Sambil melihat pusaran itu, Orang Lama bercakap dengan perlahan, "Entah siapa antara mereka yang akan perolehi Kitab Suci Rohani Indah itu, atau…mungkin mereka semua akan kembali dengan tangan kosong."

"Itu bergantung kepada tuah seseorang. Tiada faedahnya untuk kita berfikir tentangnya." He Luohua duduk bersila di sebelahnya dan mula bertafakur.

Sewaktu Meng Hao memasuki pusaran itu, cahaya yang sangat terang telah muncul di hadapan wajahnya sehingga dia terpaksa memejamkan mata. Satu ngauman gemuruh dapat didengari di telinganya dan kemudian dia terdengar jeritan dan pekikan aneh yang datang dari pelbagai arah. Selepas masa yang sangat lama berlalu, tubuhnya menggeletar dan kemudian suara itu hilang. Jeritan itu bertukar menjadi senyap sunyi. Dia membuka matanya dan mendapati dirinya berdiri di atas tempat persembahan korban yang setinggi beberapa meter. Dia melihat sekelilingnya.

Tempat itu sangat besar. Di atasnya berwarna hitam pekat dengan titik-titik kristal kecil yang bersinar seperti bintang yang menyalakan cahaya kelam di sekelilingnya. Tiada apa-apa yang jelas seolah-olah semuanya telah ditutup oleh kain kasa. Pelbagai bangunan muncul keluar dari ketebalan kabus.

"Tandusnya! Seperti tiada siapa berada di sini selama ratusan tahun." Kedengaran suara Chen Fan dari jauh. Akhirnya, dia muncul dengan berjalan menerusi kabut itu. Terdapat sebuah lagi tempat persembahan korban yang beberapa meter tingginya juga dari arah Chen Fan muncul.

"Ada jampi kekangan yang dibuat pada tanah di atas sana. Ini kawasan pemakaman Sekta." Xu Qing muncul dari arah berlainan. Dia muncul bersama jubah peraknya dengan kejelitaan yang tidak tertanding.

"Saya masuk Sekta ini lebih awal daripada kamu berdua," Chen Fan bersuara. "Dahulu, saya pernah bertugas sebagai pengawal di dewan kuil utama, jadi saya tahu beberapa rahsia yang kamu berdua tidak tahu. Ini memang pasti kawasan pemakaman Sekta Reliance. Sekta Luaran betul-betul berada di atas kita."

Meng Hao berjalan keluar dari tempat persembahan korban itu untuk berdiri di sebelah Chen Fan dan Xu Qing. Dia hanya dapat melihat banyak tumbuhan dan bunga yang layu sewaktu melihat pada bayangan bangunan di sekitar mereka. Semuanya kaku tidak bergerak.

"Kabut ini ialah jampi kekangan," Meng Hao berkata dengan berkerut. "Ia buat semua benda kelihatan hitam dan putih. Tiada apa-apa warna sekalipun."

"Tepat sekali," Chen Fan mengiyakan dengan wajah serius. "Jangan cuba untuk memegangnya kerana keadaan Bapa yang lemah, dia telah hilang kawalannya. Mari kita guna Jed Vorpal kita untuk cari tempat pencerahan kita." Chen Fan melihat pada mereka. "Kita tidak tahu berapa lama kita ada untuk perolehi pencerahan. Mari kita tunggu satu sama lain dan kemudian kita pulang bersama-sama. Adik Xu, Adik Meng, semoga berjaya." Dia melancarkan kuasa rohaninya ke dalam Jed Vorpal itu yang kemudiannya memencarkan cahaya merah darah dan mula dibawa pergi. Chen Fan mengekorinya dan lenyap dalam kejauhan tidak lama kemudian.

Xu Qing mengangguk pada Meng Hao dan kemudian mengekori Jed Vorpalnya yang bersinar merah darah itu ke arah berbeza.

Meng Hao melihat keadaan sekeliling dan sebaik sahaja dia mahu mengaktifkan Jed Vorpal miliknya, tiba-tiba kedengaran satu jeritan yang nyaring yang menjadi semakin kuat bagaikan hanya tiga puluh meter sahaja jaraknya.


章節 39: Bapa Reliance!

編輯: EndlessFantasy Translation

Riak wajah Meng Hao berubah. Dia tiba-tiba melihat kabus itu berpusar-pusar, dan kemudian kira-kira dalam jarak tiga puluh meter, muncul seorang lelaki yang sedang memekik. Dia memakai jubah panjang yang compang-camping dan meluru ke arah Meng Hao.

Dia memancarkan kepanasan menyengat, yang berubah menjadi aura pembunuhan yang kejam. Melihatnya lelaki itu semakin menghampirinya, Meng Hao berundur secepat mungkin. Situasi ini berlaku terlalu cepat. Lelaki itu bergerak semakin laju, dan dalam sekelip mata jaraknya hanya tinggal sembilan meter. Tiba-tiba, lelaki itu terlihat Jed Vorpal di tangan Meng Hao, dan matanya menunjukkan rasa gerun dan takut.

Jantung Meng Hao bergolak-golak. Dia menyalurkan kekuatan rohani dari tubuhnya ke dalam Jed Vorpal, dan tiba-tiba jed itu mula bercahaya warna merah darah. Cahay itu menerangi lelaki yang berjubah usang itu sehingga membolehkan Meng Hao melihatnya dengan jelas. Dia seorang lelaki pertengahan umur, tubuhnya yang kurus kering kelihatan seperti roh jahat.

Jeritan yang mengerikan keluar dari mulutnya sewaktu dia berundur. Bergerak dengan kelajuan yang luar biasa, lelaki itu lenyap di sebalik kabus.

Dahi Meng Hao berpeluh dan dia menarik nafas panjang. Lelaki pertengahan umur itu memberikan perasaan yang sama seperti yang Meng Hao peroleh daripada Orang Lama Ouyang. Kuasa ulung tanpa batasan.

"Mungkinkah dia seorang Pertapa di peringkat Pengukuhan Asas?" Meng Hao teragak-agak, tetapi dia tetap berwaspada. Dia mengikuti arah cahaya merah darah itu, bergerak ke hadapan dengan berhati-hati. Selepas kira-kira setengah jam, dia berhenti kerana terkejut. Beberapa susuk tubuh telah muncul, dan setiap satunya seolah-olah mempunyai asas Pertapaan yang sama dengan Orang Lama Ouyang. Sesetengahnya nampaknya sama kuat seperti Pemimpin Sekta He Luohua.

"Mungkinkah mereka...robot?" Setelah memeriksa dengan lebih teliti, susuk tubuh tersebut tidak kelihatan seperti hidup. Mereka melayang di sekeliling Meng Hao, tiada satupun yang mendekatinya, seolah-olah takut dengan Jed Vorpalnya.

Masa berlalu selama masa pembakaran sebatang colok dan mereka perlahan-lahan menghilang. Meng Hao terus bergerak ke hadapan dengan kaku, nafasnya gelisah dan pandangan matanya kosong.

"Ini...ini..." gumamnya. Di depannya ada sebuah gunung, tinggi gunung itu sekitar tiga ratus meter. Gunung biasa tidak akan menyebabkan Meng Hao memberikan reaksi seperti itu. Gunung ini dibuat daripada...Batu Rohani!

Batu Rohani yang tidak terhitung jumlahnya, ditimbunkan sehingga membentuk Gunung Batu Rohani!

Meng Hao tidak pernah melihat begitu banyak Batu Rohani sepanjang hidupnya. Kepalanya berputar, dan dia secara tidak sengaja ingin mengambil batu-batu itu, tetapi selepas mengambil satu langkah ke hadapan, dia berhenti. Gunung Batu Rohani berwarna kelabu dan seolah-olah diselubungi dengan kabus halus. Ini merupakan satu mantera batasan yang menghalang apa-apa sekalipun menyentuh gunung itu.

Dia berbelah bahagi seketika kerana dia tidak sanggup berputus asa. Apabila dia mencapai jarak kira-kira enam puluh meter dari Gunung Batu Rohani itu, dia tiba-tiba dapat merasakan sesuatu yang sangat berbahaya. Memandang gunung itu dengan satu keluhan, dia berhenti berjalan.

Dia tahu jika dia terlalu dekat dengan gunung itu, tubuh dan jiwanya akan hancur menjadi abu.

Selepas berfikir lama tentang apa yang boleh dilakukannya, dia akhirnya berpaling dan dengan berat hatinya meninggalkan Gunung Batu Rohani.

Dia terus mengekori jejak cahaya merah darah itu untuk jangka masa yang lama, sama seperti tempoh masa untuk sebatang colok terbakar. Tidak lama kemudian satu imej bangunan yang kabur muncul di sebalik kabus di hadapannya. Bangunan itu mempunyai satu halaman, dipenuhi tanaman dan rumput yang layu. Satu batu kira-kira setengah saiz seseorang terletak di tengah-tengah halaman itu. Batu itu sahaja yang dapat dilihat bukan berwarna hitam atau putih, juga tidak ada kabus yang meliputinya.

Jed Vorpal melayang ke arah batu besar itu lalu berhenti di atasnya. Kilauan berwarna merah darah itu mulai pudar.

Meng Hao berjalan ke hadapan dan memeriksa kawasan di sekitar batu itu. Ini mestilah salah satu kawasan untuk mencapai makrifat. Dia duduk bersila di atas batu itu dan memandang Jed Vorpal yang sedang terapung di hadapannya. Matanya mula berkilau.

"Selama bertahun-tahun, ramai orang telah datang ke sini, dan tidak ada yang berhasil mencapai makrifat. Apabila cahaya merah darah Jed Vorpal itu menjadi pudar maksudnya sudah tiba masa untuk cuba mencapai makrifat." Meng Hao mengerutkan dahinya. Keinginan untuk memperolehi rahsia Manual Pemekatan Qi membara di dalam hatinya. Pada mulanya, Wang Tengfei sepatutnya diberikan peluang ini. Tetapi Meng Hao tahu bakat terpendamnya biasa sahaja, dan dia mempunyai peluang yang tipis untuk berjaya.

Dia tidak membiarkan Jed Vorpal itu menjadi pudar, sebaliknya dia mendongak memandang jed itu. Cahaya yang aneh bersinar di matanya. Setelah sedikit waktu berlalu, dia mengetap rahangnya lalu dengan nekad mencapai jed itu.

"Kali ini, aku tidak peduli apa yang akan berlaku, aku harus mencapai makrifat Kitab Suci Rohani!" Meng Hao menjadi nekad saat dia menampar beg saktinya dan mengeluarkan cermin tembaga. Dia mencapai beberapa biji Batu Rohani, dan bersiap sedia untuk memulakan proses duplikasi.

Meng Hao telah menjadi ahli Sekta Dalaman selama sebulan. Pengikut Sekta Dalaman menerima lebih banyak Batu Rohani daripada pengikut Sekta Luaran. Gabungkan jumlah batu yang diterimanya dengan keuntungan dari kedainya serta Batu Rohani yang diterima daripada pengikut Sekta Luaran yang cuba berbaik dengannya. Semua keadaan ini memastikan beg sakti Meng Hao dipenuhi Batu Rohani.

Tetapi tiba-tiba, raut wajahnya berubah kerana dia mendapati Batu Rohani yang diedarkan oleh Sekta tidak dapat menduplikasi Jed Vorpal. Bukannya cermin tembaga itu sudah hilang keberkesanannya, tetapi sebaliknya jumlah batu Rohani itu tidak mencukupi. Malah Batu Rohani kelas pertengahan juga tidak berguna.

Dia memandang Jed Vorpal buat seketika sebelum tiba-tiba mengeluarkan tujuh atau lapan biji Batu Rohani paling besar yang masih ada padanya. Dia teragak-agak buat beberapa ketika, kemudian mengetapkan giginya. Matanya menjadi merah. Dia meletakkan salah satu Batu Rohani di atas cermin, dan sebelum dia dapat meletakkan sebiji lagi, Cermin Tembaga mula bersinar dengan cahaya yang terang dan dengan serta-merta, lima belas buah Jed Vorpal muncul. Meng Hao merenung sambil tercengang. Pada asalnya, dia mengandaikan akan memerlukan banyak Batu Rohani untuk menjadikan cermin itu berfungsi. Tetapi sebaliknya dia mendapat lima belas Kristal Darah.

Ini Kristal Darah yang dibekukan daripada darah Bapa Reliance sendiri. Melihat lima belas biji kristal ini muncul, Meng Hao menjadi terpegun.

"Ba..Batu Rohani jenis apa ini?" Dia duduk kebingungan. Hatinya sakit saat mengingati bagaimana dia menggunakan dua ribu biji Batu Rohani pada ketika itu.

Batu Rohani yang besar ini objek yang sangat luar biasa.

Buat masa ini, perkara paling penting untuk Meng Hao adalah Kitab Suci Rohani. Dia mengetap rahangnya dan mengetepikan soal dua ribu biji Batu Rohani. Dia mengambil sebiji Kristal Darah dan menjadikan kristal itu pudar. Sewaktu krital itu memudar, cahaya merah darah menyelubungi Meng Hao dan satu suara yang tidak jelas dapat didengar. Dia seolah-olah memasuki lama mimpi dan tidak menyedari masa yang berlalu.

Pada masa yang sama, Xu Qing dan Chen Fan yang berada di kawasan makrifat masing-masing, turut dikelilingi oleh cahaya merah darah. Bakat semulajadi mereka luar biasa, jadi peluang mereka untuk mencapai makrifat lebih besar. Dalam zon meditasi Bapa Reliance, semuanya berdasarkan bakat semulajadi. Nasib yang baik juga bergantung pada bakat semulajadi ini.

Selepas berlalu satu tempoh masa yang tidak dapat ditentukan, cahaya merah di sekitar Meng Hao menjadi pudar dan dia kembali sedar. Dia seolah-olah sedang kebingungan. Selepas seketika, dia pulih sepenuhnya, namun fikirannya masih kosong. Tidak ada satu pun maklumat daripada Kitab Suci Rohani ada di sana.

Dia mengeluh kerana telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Dia mengeluarkan satu lagi Kristal Darah dan meneruskan pencarian makrifat. Masa berlalu, dan walaupun dia telah menggunakan empat belas biji Kristal Darah, dia masih tidak berjaya. Hatinya sakit dan dia tidak pasti jika dia harus meneruskannya atau tidak. Sambil mengetap giginya, dia mengeluarkan satu lagi Batu Rohani yang besar dan menduplikasikan Jed Vorpal Kristal Darah. Sekali lagi, dia mengaktifkan cahaya merah darah yang menyelubungi tubuhnya sewaktu dia memulakan pencarian makrifat.

Pada saat ini, cahaya merah darah yang mengelilingi Xu Qing dan Chen Fan telah pudar. Namun, mereka tidak bangkit, sebaliknya memilih untuk tetap duduk dalam keadaan meditasi. Mereka tidak pasti bila makrifat mungkin berlaku.

Bagi Meng Hao, dia seolah-olah telah menjadi gila. Dia terus mengaktifkan Kristal Darah, mencuba berkali-kali untuk mencapai makrifat. Siapa sekalipun yang melihat keadaan ini pasti akan menjadi gila kerana cemburu.

Selepas mengaktifkan Kristal Darah yang kedua puluh tujuh, Meng Hao tiba-tiba mendengar suara bergumam di sebelah telinganya, seolah-olah dia berada di alam mimpi. Dia dapat mendengar dengan jelas dua patah perkataan.

"Suci... Rohani..."

Meng Hao membuka matanya yang dipenuhi dengan keazaman. Tanpa ragu-ragu, dia mengeluarkan Jed Vorpal Kristal Darah yang kedua puluh lapan, dan sekali lagi mencari makrifat.

Pada masa ini, Xu Qing dan Chen Fan telah kembali ke altar untuk menunggu Meng Hao. Mereka agak terkejut apabila tidak melihat kelibat Meng Hao, tetapi mereka tidak pasti ke arah mana Meng Hao pergi. Jadi mereka tidak dapat mencarinya dengan mudah. Mereka memutuskan untuk duduk di depan altar dan menunggunya.

Masuk hari ketiga, mereka mula hilang sabar dan berasa agak risau. Sudah tentulah mereka langsung tidak terfikir Meng Hao mungkin telah mencapai makrifat. Namun mereka berasa bimbang kemungkinan ada kemalangan telah menimpanya.

"Adakah sesuatu telah menimpa Adik Seguru Meng?" tanya Chen Fan dengan bimbang.

Xu Qing tidak menjawab, tetapi dia juga kelihatan bimbang.

Selepas mengadakan sedikit perbincangan, mereka memutuskan untuk mula mencari Meng Hao. Sayangnya, oleh kerana robot automatik kerap muncul, pencarian mereka agak perlahan.

Sementara itu, Meng Hao duduk dengan rambutnya tidak terurus, mata merah, menggumam pada dirinya sendiri. Kata-katanya tidak masuk akal, seolah-olah hanya menyatakan keinginannya untuk mendapatkan Kitab Suci Rohani. Dia mengeluarkan Kristal Darah yang ke empat puluh tiga, dan cahaya merah yang tebal sekali lagi mengelilinginya. Malah, kawasan di mana di berada tidak pernah kekurangan cahaya merah. Meng Hao telah berusaha sepenuhnya dalam pencarian makrifat. Jika dia kekurangan Kristal Darah, dia hanya perlu menduplikasi lebih banyak lagi.

Setakat ini, dia dapat mendengar suara di telinganya dengan jelas tetapi tidak dapat mengingatinya. Dia hanya boleh terus mencuba.

Ada sesuatu yang tidak disedari oleh sesiapa, baik Chen Fan atau Xu Qing, mahupun Meng Hao yang bagaikan sudah gila itu. Selepas Kristal Darah tidak lagi bercahaya, kristal itu akan berubah menjadi cahaya merah darah yang hampir tidak dapat dilihat. Cahaya ini kemudiannya masuk ke dalam tanah, ke satu bilik rahsia di bawah kubur bawah tanah itu.

Di dalam bilik itu, satu tubuh berkerepot duduk bersila, seolah-olah tidak bernyawa. Bilik itu penuh dengan perasaan kematian.

Setiap kali salah satu cahaya merah darah masuk ke dalam bilik itu, badan itu akan berasimilasi dengan cahaya itu dan mula berubah sedikit. Pada saat cahaya ketiga masuk ke dalam badan itu, badan itu kelihatan seolah-olah masih bernyawa.

Walau bagaimanapun, cahaya kehidupan itu malap, dan tubuh itu tidak dapat melakukan apa-apa kecuali duduk sahaja.

Ini Bapa Reliance. Jed Vorpal Kristal Darah telah dibekukan daripada darahnya sendiri, dan mengandungi auranya. Setelah diaktifkan, darah ini akan kembali padanya dan melanjutkan usianya. Tanpa Kristal Darah, dia akan mati.

Pada asalnya, dia telah merancang untuk menangguhkan kematiannya dengan cara ini, sehinggalah kehidupannya yang kejam dan bercita-cita tinggi itu dapat dipadamkan. Kemudian dia akan mati. Dia sudah dalam keadaan berputus asa. Dia menghabiskan sebahagian besar waktunya dalam tidur yang nyenyak. Sesekali dia akan terjaga seketika sebelum kembali tidur. Dia tidak mempunyai tenaga untuk dibazirkan bagi hal-hal yang tidak penting.

Jed Vorpal ini merupakan persiapan yang telah dia rancangkan bertahun-tahun yang lalu. Kalau bukan kerana Jed Vorpal Kristal Darah, dia pasti sudah mati ratusan tahun yang lalu.

"Ini tiga biji Jed Vorpal yang terakhir..." Sekarang jed ini telah kembali dan dia telah sedar semula. Dia mengeluh dan kembali tidur. Dia sedar yang dia mungkin tidak akan bangun lagi.

Namun tiba-tiba, cahaya merah keempat memasuki bilik rahsia itu dan bersatu dengan tubuhnya. Dia terjaga lagi, dan berasa terkejut.

"Aku... sudah kehabisan Jed Vorpal. Adakah ingatan aku tersilap... Hm?" Sedang dia bercakap dengan dirinya sendiri, cahaya merah yang kelima muncul lalu masuk ke tubuhnya.

Dia memerhatikan keadaan ini dalam kebingungan. Saat cahaya keenam, ketujuh, kelapan darah merah muncul... Pada hari ketiga, cahaya merah darah yang tak terhitung banyaknya muncul, satu demi satu dan terus bersatu dengan tubuhnya. Hati Bapa Reliance melonjak keseronokan dan mukanya penuh dengan harapan. Tiba-tiba, matanya terbuka.

"Ini... susah untuk dipercayai. Ini bukan darah aku, tetapi ini pastinya Kristal Darah milik aku. Apa yang sedang berlaku?"


Load failed, please RETRY

禮物

禮品 -- 收到的禮物

    每周推薦票狀態

    批量訂閱

    目錄

    顯示選項

    背景

    EoMt的

    大小

    章評

    寫檢討 閱讀狀態: C38
    無法發佈。請再試一次
    • 翻譯品質
    • 更新的穩定性
    • 故事發展
    • 人物形象設計
    • 世界背景

    總分 0.0

    評論發佈成功! 閱讀更多評論
    用推薦票投票
    Rank 200+ 推薦票榜
    Stone 0 推薦票
    舉報不當內容
    錯誤提示

    舉報暴力內容

    段落註釋

    登錄

    tip 段落評論

    段落註釋功能現已上線!將滑鼠移到任何段落上,然後按下圖示以添加您的評論。

    此外,您可以隨時在「設置」 中將其關閉/ 打開。

    明白了