Pasti Jun Wu Xie ada menyimpan dendam terhadap gadis itu, kalau tidak kenapa pula Jun Wu Xie mahu mengambil nyawa Qu Ling Yue dengan serangan pertamanya?
"Kamu tak lakukannya. Ada orang yang mahu menuduh kamu," kata Fan Zhuo dengan tiba-tiba.
Jun Wu Xie mengangguk. "Saya tak sentuh dia pun. Sejurus sebelum saya serang, dia dah rebah." Jun Wu Xie bergerak pantas ketika itu dan dia memang telah mendekati Qu Ling Yue. Di mata orang lain, dia dilihat telah menyerang Qu Ling Yue menggunakan kepantasan yang tinggi.
Tapi tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku pada ketika itu, selain Jun Wu Xie sendiri.
Kata-kata Jun Wu Xie membuatkan Qiao Chu dan yang lain tiba-tiba berfikir dengan lebih mendalam. Pada mulanya, mereka menyangkakan Qu Ling Yue telah melakukan sesuatu yang menyebabkan Jun Wu Xie menyerangnya. Tetapi setelah mendengar kata-kata Fan Zhuo dan Jun Wu Xie, mereka mula tersedar.
Kalau Jun Wu Xie benar-benar mahu membalas dendam terhadap seseorang, dia tidak akan menggunakan kaedah yang menarik begitu banyak perhatian terhadap dirinya sendiri. Jarang sekali dia mendedahkan niat sebenarnya di hadapan orang lain. Mustahil juga dia akan membuat cubaan membunuh tanpa melakukan sebarang persiapan terlebih dahulu.
Kalau difikirkan semula, kejadian yang berlaku pada Qu Ling Yue itu memang tak sama dengan apa yang Jun Wu Xie biasa lakukan.
"Kamu tahu tak siapa dalangnya?" tanya Hua Yao.
Jun Wu Xie membalas, "Kalau bukan Maharaja, pasti Putera Keempat. Saya baru saja menolak pelawaannya. Sikapnya yang angkuh dan bongkak tu pasti tak akan membenarkan dia membiarkan hal ini begitu saja. Mereka membuat rancangan untuk memenjarakan saya hari ni. Pasti ada lagi yang akan mereka lakukan selepas ini.
Jun Wu Xie semakin tertanya-tanya apa lagi yang Maharaja dan Putera Keempat mampu lakukan.
"Saya tak berniat nak tinggalkan tempat ini buat masa sekarang. Fei Yan, tolong perhatikan keadaan di pihak Qu Ling Yue. Mereka tak akan berani membiarkan apa-apa berlaku padanya." Identiti unik Qu Ling Yue menjadikan dia seseorang yang tidak siapa berani apa-apakan. Mereka memilih untuk menggunakan Qu Ling Yue adalah pertamanya kerana Qu Ling Yue merupakan pesaing Jun Wu Xie dalam pusingan seterusnya di kejohanan itu dan keduanya, mereka mahu menggunakan kekuatan Bandar Seribu Binatang untuk memperbesarkan hal ini.
Kalau orang lain yang terlibat dalam kejadian ini, hal tersebut boleh ditutup dengan mudah. Kekecohan sebesar ini juga tidak mungkin akan berlaku.
"Kita perlukan pertolongan Lei Chen tak?" tanya Qiao Chu.
"Lei Chen tak akan dapat masuk campur dalam hal ni. Kamu fikir kenapa mereka pilih Qu Ling Yue? Sebagai Cik Muda Bandar Seribu Binatang, kalau apa-apa berlaku padanya, orang-orang dari sana pasti akan terbabit sekali. Lei Chen hanyalah Putera Mahkota Negara Yan, dia tak akan dapat melibatkan diri dalam hal ini. Lagipun, Maharaja juga tak akan beri peluang padanya." Jun Wu XIe menerangkan dengan tenang. Kalau Lei Chen dapat buat sesuatu tentang situasi ini, Jun Wu Xie tak akan berada di dalam bilik penjara itu ketika ini.
"Maharaja tua tu dah nyanyukkah? Kenapa perlu bertindak begini? Lei Chen dan Lei Fan kan anaknya juga? Jangan beritahu saya yang Maharaja tu dah tahu yang Lei Chen bukan anak kandungnya?" tanya Qiao Chu sambil tersenyum jahat.
Kedua-dua putera raja itu langsung tidak ada hubungan dengan Maharaja. Kalau orang tua tu dapat tahu tentang hal ini, pasti dia mati sebab terlalu marah.
"Kalau dia tahu, Lei Chen dah mati sekarang ni." Jun Wu Xie memandang Qiao Chu dengan tidak berdaya. [Bilalah budak dungu ni nak berakal sikit?]
"Maharaja hanya mahu Lei Chen turun dari kedudukannya sebagai Putera Mahkota, bukannya nak bunuh dia. Tapi sebaliknya, Lei Fan mungkin tak akan berfikiran sebegitu." Jun Wu Xie hanya berinteraksi dengan Lei Fan sekali sahaja, ketika pertemuan singkat mereka sebelum ini. Tetapi dalam satu pertemuan itu sahaja Jun Wu Xie sudah memahami bahawa sikap dan personaliti Lei Fan tidak sama seperti orang biasa. Jun Wu Xie hanya menolak pelawaan untuk menjadi rakan belajar dan tiba-tiba mendapati dirinya sudah dicampakkan ke dalam penjara.
Cepat betul Lei Fan bertindak.
Mata Jun Wu Xie mengecil dan tiba-tiba bersinar dengan emosi yang tidak dapat ditafsirkan.