Mereka berenam yang datang dari Akademi Zephyr telah dipandang keji. Di jamuan itu, ramai pelajar dari akademi lain menunjuk-nunjuk ke arah mereka dan berbisik-bisik tentang mereka. Akademi Zephyr sudah pun menjadi "topik hangat" tahun ini dan layanan Lei Chen yang menyebelahi mereka terus membuatkan mereka terpalit dengan lumpur.
Sejujurnya, keenam-enam orang ini memiliki rupa paras yang menawan. Tetapi semua pemuda lain di situ langsung tidak menyukai mereka. Lagipun mereka semua ke sini untuk bertanding dan mengatasi orang lain dalam Kejohanan Pertempuran Roh. Sebelum kejohanan itu bermula, orang-orang dari Akademi Zephyr sudah pun mendapat layanan baik oleh Putera Mahkota, Lei Chen. Macam mungkin orang lain boleh berasa gembira dengan hal ini?
"Meow~" Hitam Kecil sedang berbaring di riba Jun Wu Xie sambil menggoyang-goyangkan ekornya dengan perlahan. Telinganya tegak mendengar cemuhan-cemuhan yang pedas dan tajam..
[Budak-budak biadab ni betul-betul tak ada kerja. Bukankah ini cuma Kejohanan Pertempuran Roh. Mengapa mereka berkelakuan seolah-olah Putera Mahkota sedang memilih gundik!? Perangai mereka semua ni macam perempuan yang cemburu.]
[Lei Chen hanya bercakap sepatah saja pada Jun Wu Xie dan semua orang bersungguh-sungguh berharap mereka boleh mengunyah-ngunyahnya.]
Jun Wu Xie mengusap-usap bulu Hitam Kecil dengan lembut dan tidak mengendahkan semua kata-kata yang berlegar di sekelilingnya. Dia tidak berminat untuk membazirkan masa dengan budak-budak itu. Satu-satunya sebab dia datang ke situ adalah untuk menggunakan peluang di sebalik jamuan ini bagi menyiasat lebih lanjut tentang Putera Mahkota. Ini akan membolehkan mereka lebih mudah bertindak selepas berakhirnya Kejohanan Pertempuran Roh nanti.
Mungkin disebabkan keadaan di jamuan itu terlalu bising dan kecoh sehingga membuatkan Jun Wu Xie tiba-tiba berdiri sambil memegang Hitam Kecil. Lei Chen yang sedang berbual santai dengan para pelajar lain menyedari tindakan Jun Wu Xie lalu bertanya sambil tersenyum, "Adik Jun, ada apa-apa yang tak kena?"
Jun Wu Xie memandang Lei Chen yang sedang tersenyum itu lalu berkata tanpa perasaan, "Sesak sangat." Kemudian dia terus berjalan keluar daripada jamuan. Qiao Chu dan yang lain saling berpandangan. Mereka tahu apa yang Jun Wu Xie mahu lakukan lalu meneruskan sahaja perbualan rancak sesama sendiri.
Putera Mahkota menunjukkan sikap pemurah dan mesra dengan para peserta kejohanan tersebut dengan membenarkan para pemuda yang datang ke jamuan ini untuk bergerak bebas di dalam Kediaman Putera Mahkota. Dengan cara ini, dia akan dapat menunjukkan sikap baiknya dan para pemuda itu juga dapat melihat sendiri kawasan Kediaman Putera Mahkota yang kelihatan gah.
Lei Chen merenung Jun Xie yang berlalu pergi itu dan matanya terlintas sedikit kegembiraan.
Seseorang yang bersikap sombong tidak akan suka orang lain terlalu bersungguh-sungguh mengampu mereka. Walaupun dia berharap untuk memenangi hati Jun Xie, dia tidak akan terlalu mendesak. Tentulah dia ada cara tersendiri untuk membuatkan pemuda itu berkhidmat padanya dengan sepenuh hati.
Diam-diam Lei Chen memandang barisan pemuda yang duduk di belakangnya. Mereka semua merupakan pelajar Akademi Pembunuh Naga. Sebaik sahaja Jun Xie bangun meninggalkan jamuan, mereka turut bergerak. Senyap-senyap para pelajar ini bangun untuk mengekori Jun Xie.
"Kakanda, mengapa kakanda begitu bersopan dengan budak kecil tu? Dia tu kurus dan lemah, tak macam ada apa-apa kebolehan pun." Lei Yuan yang sedap lahap makan di sisi Lei Chen memandang Jun Xie yang sedang beredar. Lei Yuan merungut dengan mulut yang penuh.
Lei Chen tersenyum lalu membalas, "Jarang kita dapat lihat orang mewakili Akademi Zephyr pada usia semuda itu. Kalau kita ketepikan hal lain pun, dia masih lagi peserta paling muda tahun ini. Lumrahlah kalau kita melindungi dia sedikit. Kenapa Adinda Kedua cakap begini?"
Nada suara Lei Chen teramat lembut tetapi maksud di sebalik kata-katanya tetap jelas. Walaupun dia banyak memberi perhatian pada Jun Xie, itu hanyalah disebabkan usia pemuda itu yang terlalu muda. Dengan cara ini, orang lain tidak akan mengesyaki Putera Mahkota Yan ini mempunyai sebarang niat tersembunyi. Sebaliknya mereka akan merasakan dia seorang yang sering mengambil berat, sama seperti yang telah dikhabarkan.