"Tuan Guru Mu sangat mengambil berat tentang keadaan badan kami. Duke Jun Xian juga telah membenarkan dia menggunakan sepuluh orang askar dari Tentera Rui Lin untuk memberikan bantuan dalam apa jua keperluannya, demi membolehkan dia membuat eliksir untuk kami." Nada suara Long Qi tenang sahaja, tetapi tidak sukar untuk menyedari yang dia amat mengagumi Mu Chen.
Kening Jun Wu Xie tiba-tiba terangkat.
Tentera Rui Lin ialah kebanggaan Jun Xian. Dia amat menghargai setiap askar-askarnya. Malah pemilik asal tubuh Jun Wu Xie juga tidak dibenarkan untuk memindahkan walau seorang askar di dalam Tentera Rui LIn. Ini menunjukkan yang Jun Xian tidak akan membenarkan sesiapa sewenang-wenangnya memberikan arahan pada anggota tentera yang amat disayanginya. Jun Xian membenarkan Mu Chen menggunakan sehingga sepuluh orang askar di dalam Tentera Rui Lin. Jelas sekali yang Jun Xian mempercayai Mu Chen.
Berdasarkan reaksi Jun Xian, Jun Wu Xie tahu yang Mu Chen benar-benar ikhlas dalam menunaikan janjinya pada Jun Wu Xie sewaktu mereka berada di Puncak Berawan.
Mu Chen memang orang yang berpegang pada janji.
"Apa khabar Datuk dan Pak Cik?" Satu-satunya soalan yang dipendamkan di dalam hatinya. Soalan yang teragak-agak mahu dia tanyakan. Jun Wu Xie lama mendiamkan diri sebelum tidak dapat menahan dirinya lagi, lalu dia menyuarakannya.
Dia tidak pernah mengalami atau tahu apa itu perasaan rindu pada kampung halaman. Setelah dia meninggalkan Istana Lin, barulah dia merasainya buat pertama kali.
Dia merindui senyuman Jun Xian. Dia rindukan gelak ketawa Jun Qing. Walaupun dia cuba untuk tidak memikirkannya, semua ini pasti akan muncul di mindanya.
Long Qi memandang Jun Wu Xie. Matanya tiba-tiba kelihatan lembut. Long Qi tersenyum sedikit, tetapi dia menundukkan kepala untuk menyembunyikan senyuman itu. "Duke Jun Xian dan Tuan Jun Qing sihat-sihat sahaja. Cuma mereka berdua….amat merindui Cik Muda."
Jun Wu Xie jelas dapat mendengar degupan jantungnya.
Dia menundukkan kepala, cuba menyingkirkan kekecewaan yang terpancar di matanya.
Jun Wu Xie juga amat merindui Datuk dan Pak Cik Keduanya. Tetapi dia masih belum boleh pulang.
Dia takut kalau dia balik nanti, dia akan menjadi tamak dengan kemesraan keluarganya sehingga melemahkan hati serta kemahuannya.
Pengajaran pahit dengan Kumpulan Qing Yun mengajarnya yang walaupun dia tidak mencari pasal dengan sesiapa, orang lain akan menyasarkan dia dan memburunya kerana dia memiliki Teratai Salji yang jarang ditemui.
Walaupun air Mata Air Syurga di dalam Kelalang Syurga itu membolehkan dia menyembunyikan kehadiran Teratai Salji dan orang lain tidak akan dapat mencarinya, Jun Wu Xie tidak mahu hidup sebagai pelarian. Bersembunyi dan hidup tanpa tujuan.
Selagi Teratai Salji kekal menjadi roh berkontraknya serta selagi dia masih hidup di dunia ini, bahaya boleh bersembunyi di mana-mana dan muncul pada bila-bila masa. Ketika ini diam masih terlalu lemah dan tidak berupaya menentang Dua Belas Istana. Kalau salah satu daripada Dua Belas Istana itu mendapat tahu identiti sebenarnya, bukan dia sahaja, seluruh Keluarga Jun dan Tentera Rui Lin akan turut terlibat.
Kekuatan Alam Pertengahan ialah sesuatu yang Jun Wu Xie sudah lihat dan alami sendiri. Kekuatan yang hebat dan sukar dipercayai itu mampu membuatkan seseorang berputus asa serta memusnahkan semua yang disayanginya, dalam sekelip mata.
Rumahnya, keluarganya.
Dia tidak boleh balik!
Tidak kira betapa dia merindui rumahnya, dia tidak boleh kembali. Sebaik menyedari yang dia perlu terus berada di situ, Jun Wu Xie membuat keputusan untuk menemani Qiao Chu dan yang lain pergi mencari makam Maharaja Kegelapan. Dia mahu mendapatkan harta karun makam itu dan mewarisi kekuatan serta kuasanya supaya dia mampu menghapuskan sepenuhnya semua musuh yang mahukan Teratai Salji!
Dia mahu menjadi lebih kuat. Cukup kuat untuk membuatkan orang tidak berani menginginkan barang kepunyaannya. Cukup kuat untuk menghalang sesiapa jua daripada menyakiti orang-orang yang dia sayangi.
Inilah azam Jun Wu Xie. Dia akan menggunakan perasaan rindu untuk bertemu Jun Xian dan Jun Qing dan mengubah perasaan tersebut menjadi motivasi untuk dia mencari kekuatan yang lebih tinggi.
Hanya setelah dia memadamkan segala ancaman di dunia ini barulah dia boleh kembali ke Istana Lin tanpa perlu berasa risau. Jika dia kembali ke rumah yang disayanginya, dia tidak mahu sebarang bahaya yang mengekorinya datang dekat pada keluarganya.
"Cik Muda, benar-benar tidak akan pulang?" Long Qi terlihat Jun Wu Xie menundukkan pandanganya dan hati Long Qi menjadi perit.
Istana Lin tanpa Jun Wu Xie tiba-tiba dirasakan sudah kekurangan sesuatu. Semua orang merasai kehilangannya.