Malangnya….
Selepas beratur selama satu hari, mereka berlima tidak dapat menyentuh pintu pagar Akademi Zephyr sekalipun. Daripada terus berada di celah-celah lautan manusia itu, Jun Wu Xie mengambil keputusan untuk keluar dan berdiri di tepi. Proses kemasukan pelajar ke Akademi Zephyr akan dihentikan menjelang waktu malam dan disambung keesokan paginya. Jun Wu Xie melihat hari sudah mulai senja dan memutuskan yang mereka tak akan mendapat peluang hari ini.
Sebaik matahari hampir terbenam, sekumpulan orang yang berpakaian warna putih dihiasi warna biru, keluar dari pintu pagar Akademi Zephyr. Lelaki yang mengetuai mereka kelihatan seperti berusia awal tiga puluhan. Wajahnya kelihatan tegas dan matanya bertenaga. Orang-orang di belakangnya terdiri daripada anak-anak muda berusia lapan belas dan sembilan belas tahun. Di dada mereka tersemat lambang jed yang diukir menjadi bentuk bintang.
Sewaktu kumpulan itu melangkah keluar dari pintu pagar Akademi Zephyr, semua pemuda yang sudah beratur selama satu hari itu tiba-tiba menjadi teruja.
"Di mana Tuan Tua Mu dari Kumpulan Qing Yun?" Ketua kumpulan itu bertanya pada pengawal yang berdiri di pintu.
Salah seorang pengawal itu membisikkan beberapa perkataan dan lelaki itu berkerut. Wajahnya kelihatan kecewa. Sambil mengeluh panjang, dia membawa kumpulannya masuk kembali ke dalam akademi.
Fei Yan memerhatikan semua ini sambil bersembunyi di sebalik pemuda-pemuda lain. Kemudian, berbekalkan kecantikan wajah yang membuatkan jantinanya sukar ditentukan, dia berjalan satu pusingan dalam kalangan kerumunan orang ramai itu sebelum kembali berkumpul dengan Jun Wu Xie dan rakan-rakannya yang lain.
"Nampaknya umpan Xie Kecil bukan saja membolehkan kita mendapatkan wang, tetapi turut menangkap ikan yang besar," kata Fei Yan sambil tersenyum dan bersandar di dahan pokok.
"Apa yang kamu dapat tahu?" Qiao Chu bertanya dengan teruja.
Fei Yan tidak berlengah lalu berkongsi maklumat yang telah dikumpulkannya. "Lelaki yang baru keluar tadi ialah salah seorang guru dari fakulti roh senjata. Guru Besar Akademi Zephyr mempunyai seorang anak lelaki yang lemah tubuh badannya dan sering sakit sejak kecil lagi. Dia dapat terus hidup dengan bantuan pelbagai ubat-ubatan yang perlu diambilnya setiap hari serta herba-herba dan eliksir milik Guru Besar yang jarang ditemui dan amat berharga. Memandangkan tubuh badan tuan muda itu lemah dan dia tak boleh berjalan jauh, dia diarahkan untuk hanya duduk di rumah demi menguatkan badannya. Anak Guru Besar itu akhirnya cukup kuat untuk menempuh perjalanan ke Kumpulan Qing Yun supaya Qin Yue dapat merawatnya. Tanpa disangka-sangka, Kumpulan Qing Yun pula dibubarkan! Lelaki itu tadi pasti telah mendapat khabar tentang kemunculan Mu Chen dan bergegas keluar untuk berjumpa dengannya, tapi sayangnya…."
Fei Yan tersenyum lebar sewaktu memberitahu maklumat ini kepada rakan-rakannya yang lain. Di mana saja ada kerumunan orang ramai, dia selalu berjaya mendapatkan maklumat yang diperlukan.
"Hei, kamu rasa kalau Guru Besar Akademi Zephyr itu mendapat tahu orang yang sama yang bertanggungjawab menghapuskan Kumpulan Qing Yun sedang memohon untuk masuk ke akademinya sekarang ini, dia akan hantar orang-orangnya untuk membunuh kita?" Qiao Chu menambah-nambah sambil ketawa.
Kumpulan Qing Yun itu bukanlah sebaik yang disangka. Harga yang tinggi perlu dibayar untuk mendapatkan pertolongan Qin Yue.
"Tentulah! Tapi Ruo Kecil dan saya tak akan apa-apa. Kamu pula…." Fei Yan berkata sambil ketawa nakal.
Tapi anak Guru Besar itu pasti benar-benar bernasib malang. Sudah bertahun-tahun dia hidup tetapi badannya tidak cukup kuat. Sebaik saja dia sudah sihat sedikit untuk menempuh perjalanan jauh, Jun Wu Xie pula dah menghapuskan Kumpulan Qing Yun.
Malang betul.
"Saya dengar Guru Besar itu sampai menjemput tabib-tabib genius untuk datang ke Akademi Zephyr demi merawat anaknya. Tak siapa tahu kalau usahanya itu ada membuahkan hasil," kata Fei Yan. Dia menggosok-gosok dagunya sambil berfikir. Matanya tertumpu ke satu arah.
Sebaik Fei Yan berkata demikian, mata tiga orang yang lain itu juga tertumpu ke susuk tubuh kecil Jun Xie.
Tabib genius?
Bukankah si kecil molek di sebelah mereka ini tabib paling genius dengan bakat terpendam?
Selepas melihat Jun Xie merawat Qiao Chu dan Hua Yao, mereka hampir melutut dan memuja-muja kemahirannya dalam bidang perubatan.
Jun Xie memandang renungan yang dilemparkan ke arahnya. Dia terus berpusing untuk berjalan menuju rumah tumpangan tempat mereka menginap.
"Dah lewat ni."
Nampaknya dia langsung tak berminat!