Kabus hitam itu mengelilingi Jun Wu Xie sebelum menipis perlahan-lahan dan terus lenyap. Setelah kabus itu lenyap, sinaran cahaya merah mula terpancar daripada badan Jun Wu Xie. Cahaya merah itu datang daripada dalam badannya. Di bawah kulitnya yang cerah itu, arteri dan urat darahnya jelas kelihatan, berdenyut dengan cahaya merah yang sama.
"Kuasa rohani dalam tubuh kamu telah mencapai tahap optimum dalam lingkungan batasannya. Tetapi cara yang digunakan untuk memupuk roh tumbuh-tumbuhan tidak sama dengan roh berkontrak lain. Untuk mencapai kemajuan, ada perkara lain yang diperlukan selain tenaga rohani," kata Jun Wu Yao sambil mengecilkan matanya.
"Apa lagi yang diperlukan?" tanya Jun Wu Xie.
"Roh berkontrak."
"...….."
"Tenaga rohani roh tumbuh-tumbuhan sama seperti pertumbuhan semua benda hidup, malar dan tidak pernah berakhir. Tetapi roh jenis ini tidak mempunyai keganasan yang diperlukan untuk memecahkan rintangan. Kalau kamu mahu mencapai kemajuan, kamu perlu menyerap roh berkontrak lain dan gunakan kuasa roh itu untuk membantu kamu mencapai kemajuan." Jun Wu Yao menerangkan.
Jun Wu Xie terkejut. "Saya? Menyerap roh?"
Cadangan lelaki ini tak masuk akal.
"Kamu tahu kenapa tidak pernah ada satu sekalipun roh berkontrak jenis tumbuhan di sini?"
"Kenapa?" Jun Wu Xie sangat ingin tahu. Sejak dia dilahirkan semula, dia tidak pernah dengar tentang roh berkontrak jenis tumbuhan yang lain.
Menurut memori yang diwarisinya, di dunia ini hanya ada dua jenis roh berkontrak. Satu ialah jenis senjata dan satu lagi jenis binatang. Teratai Kecil ialah roh berkontrak jenis tumbuhan yang pertama, serta satu-satunya yang Jun Wu Xie ketahui.
Jun Wu Yao ketawa dan menerangkan lebih lanjut, "Sebelum roh berkontrak dan manusia membentuk hubungan, roh berkontrak dipilih berdasarkan kesesuaian dengan keadaan badan dan resam tubuh manusia tersebut. Dalam dunia ini, tidak ramai orang yang boleh menyerap tenaga rohani roh berkontrak dan roh jenis tumbuhan amat jarang datang ke dunia ini. Kalau ada yang muncul sekalipun, tuannya tidak akan tahu cara untuk mencapai kemajuan ke tahap seterusnya dan roh itu akan menjadi tidak berguna. Ada juga orang yang tidak menyedari kebangkitan roh mereka dan menjalani kehidupan biasa sahaja, mengheret roh jenis tumbuhan itu dengan cuai."
Dia sengaja tidak menyebut tentang satu perkara, iaitu...
Dunia yang dimaksudkan tadi hanyalah di tiga alam rendah, tempat Jun Wu Xie tinggal, dan bukan di alam sebenar yang lebih luas lagi.
"Tapi kamu berbeza. Kamu ada resam roh berpasangan. Kucing hitam kecil kamu mempunyai kebolehan untuk membaham roh berkontrak dan kamu juga ada kebolehan yang sama." Jun Wu Yao bangun dan berjalan. Dia berdiri di depan Jun Wu Xie. Sewaktu dia menyebut ayat terakhirnya, satu jarinya diletakkan ke dahi Jun Wu Xie.
"Kalau kamu mahu mencapai kemajuan, kamu perlu membaham roh berkontrak."
Jun Wu Xie menelengkan kepala, menghalakan pandangannya melepasi jari yang diletakkan di dahinya. Dia nampak wajah tampan Jun Wu Yao yang dihiasi senyuman jahat yang sukar difahami.
Jun Wu Yao tahu! Dia tahu roh kucing hitam kecil itu digabungkan dengan roh Jun Wu Xie.
"Semakin kuat roh yang dibaham oleh kamu, semakin mudah kamu mencapai kemajuan untuk ke tahap seterusnya. Jangan bazirkan peluang untuk mencapai kemajuan dan kamu akan mendapat hasil yang tidak dijangkakan." Jun Wu Yao menundukkan kepalanya dan jari yang menekan dahi Jun Wu Xie itu turun ke hidung, sehingga sampai ke dagu gadis itu yang runcing. Jari itu diletakkan di bawah dagu Jun Wu Xie dan kepala gadis itu didongakkan ke atas supaya Jun Wu Yao dapat memandang matanya sebelum berkata, "Kamu tak perlu risau. Abang akan sediakan segala keperluan untuk kemajuan tahap roh kamu yang pertama. Kamu cuma perlu menyerap roh itu saja. Selesai."
Roh berkontrak yang diserap oleh roh tumbuhan pada kali pertama mereka mencapai kemajuan, mempunyai kesan yang besar terhadap tuan mereka. Jun Wu Yao tidak mahu Jun Wu Xie memilih roh secara sembarangan dan membaham roh yang tidak berguna.
Gadis nakalnya ini hanya layak mendapat yang terbaik!
"Bagaimana saya boleh menyerapnya?" Jun Wu Xie tidak mempunyai pengetahuan dalam hal ini. Kucing hitam kecil itu yang telah membaham Singa Emas, bukan Jun Wu Xie yang melakukannya. Perkara yang merepek seperti menyerap roh berkontrak ini tidak pernah didengarinya, apatah lagi untuk dia tahu bagaimana untuk melakukannya.
"Abang akan ajar kamu," kata Jun Wu Yao sambil tersenyum. Dia terlihat kebimbangan muncul di wajah Jun Wu Xie dan ini membuatkan dia lebih terhibur.