Kata-kata Bu Fang itu terus menyebabkan mata Ni Yan bersinar dan mengecil, seolah-olah dia memancarkan kegembiraan melalui matanya. Dia berkata dengan teruja, "Ingat janji kamu tu! Pinjamkan saya dapur kamu dulu!"
Sekali lagi, permintaannya itu ditolak dengan keras oleh Bu Fang.
"Pergi pinjam dapur Restoran Phoenix Abadi. Dapur saya tak boleh digunakan oleh orang luar." Bu Fang berkata dan berasa kagum dengan kepintarannya itu.
Ni Yan melihat Bu Fang dengan rasa sangsi dan mendengus sebelum dia keluar dari dapurnya. Memandangkan Ni Yan tidak boleh meminjam dapurnya, dia hanya boleh menggunakan dapur Restoran Phoenix Abadi. Ini sahaja pilihan yang dia ada. Sama ada Restoran Phoenix Abadi sanggup meminjamkan dapur mereka ataupun tidak... bukan mereka ada pilihan pun.
Bu Fang hanya boleh menghembus nafas lega apabila dia melihat Ni Yan telah beredar dari restorannya. Wanita itu telah mengikutnya seperti bayang-bayang sejak awal pagi lagi dan dia telah menjejaskan perniagaan Bu Fang.
Salji masih berpusar-pusar ditiup angin sejuk di lorong itu, tetapi di dalam restoran itu sangat hangat dan selesa.
Ji Chengxue yang memakai kot bulu putih berjalan masuk ke dalam lorong sambil menghembuskan nafasnya. Apabila dia melangkah masuk ke dalam restoran itu, suhu hangat di dalamnya membuatkannya rasa gembira. Dia menanggalkan kot luar bulu tebalnya dan menyapa Bu Fang sebelum berpaling ke belakang untuk melihat menu. Restoran itu sepatutnya ada beberapa sajian baru semasa dia sibuk menyertai ekspedisi menentang sekta-sekta. Dia berkata, "Tauke Bu, mari kita lihat sajian-sajian baru kamu."
"Tauke Bu, Beta nak pesan sepinggan Daging Masak Merah dan juga sebalang Wain Jed Penyejuk Hati."
"Ya Tuhan, Xiaoyi. Lama kita tak berjumpa. Kamu semakin tinggi dan cantik." Ji Chengxue tertawa kecil sambil mengusap kepala Ouyang Xiaoyi.
Bu Fang mengangguk. Semasa dia berjalan ke arah dapur, dia berkata, "Tunggu sebentar."
Senyuman kecil terukir di muka Ji Chengxue apabila dia menghidu udara di dalam restoran itu. Dia hanya rasa tenang apabila dia berada di dalam restoran itu. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa pun, termasuk keselamatannya apabila dia berada di situ. Dalam erti kata lain, dia rasa sangat selesa dengan suasana di dalam restoran itu.
Sementara Ji Chengxue menunggu Bu Fang untuk siap memasak Daging Masak Merahnya, kedengaran orang tertawa di lorong itu. Ketawa itu penuh dengan godaan dan kedengaran juga bunyi loceng berdencing-dencing.
"Kak, bukan ini ke restorannya? Restoran yang tak berhati perut dari khabar angin tu?" Seorang wanita bertanya dengan bingung.
"Restoran itu dibuka di lorong kawasan pedalaman. Kalau mengikut kata-kata Hun Qianyun, si lelaki tua tu, inilah restorannya. Jom masuk, kakak-kakak sekalian. Mari kita tengok magik apa yang ada di dalam restoran ni sampai Hun Qianyun boleh dikalahkan."
Kedengaran ketawa berdekah-dekah serta bunyi loceng berdencing-dencing sekali lagi. Kemudian, beberapa orang wanita yang cantik dan mempesonakan masuk ke dalam restoran itu.
Ketika kaki Wei Xiangsi yang kecil melangkah masuk ke dalam restoran yang hangat dan selesa itu, mata merah phoenixnya terbeliak sedikit. Suasana di luar restoran itu bagaikan dunia yang diperbuat daripada ais dan salji, tetapi di dalam restoran itu, suasananya bagaikan musim bunga. Dia benar-benar terkejut dengan perubahan persekitaran itu.
Selain itu, bau di dalam restoran itu menyebabkan Wei Xiangsi menjadi sangat gembira. Bau itu benar-benar aromatik.
"Xiaoyi, tolong hidangkan sajian ni." Bu Fang berkata apabila dia meletakkan Daging Masak Merah di tingkap dapur. Xiaoyi berlari ke arah tingkap dapur dengan gembira dan membawa Daging Masak Merah itu ke meja Ji Chengxue.
Kemudian, Bu Fang keluar dari dapur dengan membawa sebalang Wain Jed Penyejuk Hati dan meletakkannya di hadapan Ji Chengxue.
"Jemput makan." Bu Fang berkata. Apabila dia selesai bercakap, pandangannya terpaku pada tiga orang yang baru masuk ke restoran itu.
Ketiga-tiga wanita ini memakai pakaian yang menjolok mata dan mereka nampak sungguh cantik dan menggoda. Sifat-sifat inilah yang dikatakan sebagai daya tarikan seseorang wanita.
"Ya Tuhan, pemiliknya seorang pemuda yang tampan. Mari sini, Kakak nak buat pesanan." Apabila pandangan Wei Xiangsi terpaku pada Bu Fang, dia tiba-tiba memekap mulutnya dan tertawa kecil.
Ji Chengxue mencemuh sambil menggelengkan kepalanya dan terus mengalihkan perhatiannya kepada Daging Masak Merah di atas mejanya. Dia tidak kisah kalau wanita-wanita dari Sekta Penyatuan Menggembirakan ini datang ke sini untuk makan, tetapi kalau mereka hendak buat kacau... suasana di dalam restoran ini pasti akan menjadi sangat menarik.
Apabila Ji Chengxue memandang Daging Masak Merah yang aromatik itu, dia menelan air liurnya. Dia memegang penyepitnya dan terus mengangkat seketul daging lalu menyuapkannya ke dalam mulutnya.
Rasa daging itu seperti satu bom yang meletup di dalam mulutnya. Rasa itu terus menyelubungi tunas rasanya dan menyebabkannya menjadi sungguh gembira.
"Jika kamu nak pesan makanan, lihat menu di belakang kamu dulu." Bu Fang berkata tanpa ekspresi sambil melihat ketiga-tiga wanita yang seksi itu sekilas lalu sebelum menuju ke dapurnya.
Wei Xiangsi tidak sangka yang Bu Fang akan mengabaikannya dan dia terus naik berang.
'Kakak ni cantik, apa kata kamu renung Kakak lagi?'
Kelenting, kelenting, kelenting...
Dengan bunyi loceng berdencing-dencing, Wei Xiangsi muncul di belakang Bu Fang dan tangan kecilnya memegang bahu Bu Fang. Bibir merahnya yang menggoda berbisik ke dalam telinga Bu Fang, "Jangan pergi, duduk di sini dengan Kakak dan beritahu Kakak sajian apa yang kamu rasa paling sedap."
Ouyang Xiaoyi hanya dapat menghidu bau yang wangi melewatinya dan matanya terbeliak apabila dia melihat seorang wanita sedang berpaut pada tauke busuk itu seolah-olah dia hendak melekatkan seluruh tubuhnya pada Bu Fang.
'Ada juga perempuan yang tak senonoh sebegitu di dunia ni!' Ouyang Xiaoyi berkata dalam hatinya, 'Adakah dia cuba untuk menggoda tauke busuk tu?'
Bu Fang mengerut dahinya apabila dia melihat wanita itu. Dia berkata dengan acuh tak acuh, "Lepaskan saya dan jangan berdiri hampir dengan saya. Bau badan kamu terlalu kuat."
"Oh, adakah cik abang ni malu?" Wei Xiangsi terkejut seketika sebelum dia tertawa kecil. Dia menghulurkan tangannya yang putih melepak ke dagu Bu Fang.
"Pang!" Bu Fang mengangkat tangannya dengan tak berperasaan dan terus memukul tangan Wei Xiangsi.
Wei Xiangsi tergamam seketika. Selepas itu, raut wajahnya menjadi dingin dan daya tulen terus menyelubungi tubuhnya.
"Kamu memang tak nak hormat Kakak." Wei Xiangsi mencemuh. Sejak dia masuk ke bandar diraja, dia selalu dengar yang pemilik restoran yang tak berhati perut itu sangat sombong. Bukan sahaja harga sajiannya mahal, malah orangnya juga panas baran. Sekarang, orang yang berkenaan ada di depan matanya dan dia bersetuju yang orang itu memang darah panas.
"Kamu rancang untuk buat kacau di dalam restoran ke?" Bu Fang bertanya dengan bingung sambil melihatnya.
'Sehingga sekarang, masih ada lagi orang bodoh yang nak buat kacau di dalam restoran aku? Ketiga-tiga wanita ni mungkin kurang cerdik ataupun mereka ni pendatang asing... ' Bu Fang berkata dalam hatinya.
Duduk berhampiran dengan mereka, Ji Chengxue berasa sangat gembira. Dia menyuapkan seketul Daging Masak Merah ke dalam mulutnya dan menghirup seteguk Wain Jed Penyejuk Hati. Secara kebetulan, dia juga boleh melihat Tauke Bu sedang diusik oleh wanita itu. Angin Ji Chengxue sangat baik kerana dia berada dalam keadaan yang santai sepanjang hari.
Berhampiran dengannya, Ouyang Xiaoyi memandang Wei Xiangsi dengan geram dan dia berkata dalam hatinya, 'Perempuan yang tak tahu malu...'
Apabila wanita itu tidak menjawab persoalannya, Bu Fang rasa sangat meluat dengannya dan dia terus berjalan ke dapur. Walau bagaimanapun, ketika dia mengambil langkah pertama, Wei Xiangsi yang baru sedar dari kebingungannya itu terus menghampiri Bu Fang sekali lagi.
Bzzz...
Satu sinaran cahaya merah menyala dan Si Putih pun muncul di hadapan Wei Xiangsi. Mata mekanikalnya memandang wanita itu dan ia berkata, "Orang yang suka buat kacau akan dibogelkan untuk dijadikan contoh kepada orang lain."
"Ya Tuhan, budak nakal ni, kamu memang nak bogelkan Kakak! Geramnya! Tapi, Kakak suka adik lelaki yang jenis macam ni." Senyuman sinis terpancar di wajah Wei Xiangsi dan matanya menjadi dingin. Daya tulen di dalam tubuhnya berjalin dengan tangannya yang putih melepak. Kemudian, dia menghulurkan tangannya itu ke arah Bu Fang.
Gedebuk!!
Tiba-tiba, kedengaran bunyi seperti sesuatu yang terjatuh dan Wei Xiangsi menjerit ketika dia mengambil beberapa langkah ke belakang. Dia memandang ke arah Si Putih yang telah menolaknya ke belakang dengan tiba-tiba.
"Boneka ni agak menarik. Adakah ia satu tipu muslihat bagi restoran kamu seperti yang diceritakan oleh Hun Qianyun? Kakak-kakak sekalian... Mari kita serang dan musnahkan boneka keluli ni! Kita akan bawanya pulang dan tayangkan di hadapan Hun Qianyun. Kita juga boleh jadikannya sebagai buah tangan kepada Tuan Putera." Wei Xiangsi berkata sambil ketawa.
Memandangkan mereka bekerja bersama dengan Raja Yu, mereka mesti membawa buah tangan kepadanya. Sekurang-kurangnya, mereka perlu memaklumkan kepada Raja Yu tentang Sekta Penyatuan Menggembirakan dan cara terbaik untuk melakukannya dengan menunjukkan keupayaan mereka. Buat masa sekarang, Raja Yu sangat menghargai jasa Hun Qianyun. Walau bagaimanapun, selagi mereka dapat berhadapan dengan restoran yang telah menewaskan Hun Qianyun ini, mereka akan dapat membuktikan mereka lebih berkeupayaan daripadanya.