"Sajian peribadi tuan telah dikesan. Penilaian harga sajian akan bermula sekarang... " Suara sistem yang serius itu bergema dalam fikiran Bu Fang sebelum ia menjadi senyap.
Bu Fang menunggu beberapa saat, tapi dia hairan apabila sistem itu tak memberi apa-apa respons.
Walau bagaimanapun, suara sistem itu kembali bergema dalam fikirannya.
"Sosej Lembu Naga Kelana yang dibuat daripada daging paha Lembu Naga Kelana. Sosej ini kaya dengan tenaga semangat dan ia mengandungi pelbagai herba semangat semula jadi yang boleh meningkatkan rasa sosej dan juga nilai perubatannya. Submukosa Lembu Naga Kelana telah digunakan sebagai kulit sosej supaya tenaga semangat di dalam sosej itu tak akan hilang. Penilaian sistem bagi harga hidangan ini ialah: dua ratus lima puluh biji kristal untuk setiap sosej, ia tak boleh dimakan oleh mereka yang mempunyai tahap pertapa bawah Raja Pertempuran Kelas Kelima."
Dua ratus lima puluh biji kristal untuk setiap sosej... Apabila Bu Fang mendengar sebut harga itu, dia menjadi bingung dan tak boleh berkata apa-apa.
Seketul sosej akan dijual dengan harga dua ratus lima puluh biji kristal. Setakat ini, sajian ini merupakan sajan yang paling mahal di restorannya. Tambahan pula, dialah pencipta sajian itu. Entah sebab apa, Bu Fang tiba-tiba rasa agak teruja.
Tapi, selepas dia berfikir seketika, Bu Fang rasa harga sosej itu berpatutan kerana hidangan itu berbeza dengan Mi Beras Gulung. Bu Fang hanya memasukkan sedikit saja daging Lembu Naga Kelana ke dalam Mi Beras Gulung, manakala keseluruhan sosej itu disumbat dengan daging paha Lembu Naga Kelana. Perbezaan kuantiti daging dalam kedua-dua sajian itu bagaikan langit dan bumi.
Selain menggunakan daging Lembu Naga Kelana, sosej itu juga mempunyai herba semangat yang mahal. Oleh itu, dua ratus lima puluh biji kristal untuk seketul sosej tidak mahal pun sebenarnya. Lagipun, orang biasa memang tidak berpeluang untuk memakan binatang semangat kelas ketujuh ini.
Ada dua puluh satu sosej secara keseluruhannya. Kalau dia menjual semua sosej itu, dia akan mendapat lima ribu dua ratus lima puluh biji kristal. Untuk menjadi Raja Pertempuran Kelas Kelima, dia memerlukan sepuluh ribu biji kristal selepas pertukarannya. Menurut nisbah pertukaran tenaga semasa, dia perlu mencapai angka jualan sebanyak dua puluh ribu biji kristal.
Selepas menjual kesemua sosej ini, Bu Fang akan jimat satu per empat daripada masa yang diperlukan untuk mencapai tahap pertapa yang seterusnya. Ini memang satu kejutan yang tidak dijangka olehnya.
Perkara yang paling penting ialah... dua puluh satu ketul sosej hanya menggunakan sedikit sahaja daging daripada satu kaki Lembu Naga Kelana. Dia masih ada seluruh badan Lembu Naga Kelana. Kalau dia memasak dan menjual semua daging lembu itu, Bu Fang mungkin akan dapat menjadi Raja Pertempuran Kelas Keenam...
Dia sebenarnya mahu terus memasak seketul sosej yang mahal itu supaya dia boleh merasainya. Malangnya, proses mengawet kering sosej itu mengambil masa yang lama.
Oleh itu, Bu Fang pun pergi ke biliknya sambil meregangkan badannya. Selepas dia mandi, dia baring di atas katilnya dan tidur.
Sebagai seseorang yang mahu menjadi Tuhan Masakan, mendapat tidur yang mencukupi juga sangat penting.
...
Kediaman keluarga Yang.
Kedua-dua belah kaki Luo Sanniang menggeletar apabila dia pulang ke kediamannya. Ketika dia melangkah masuk ke dalam kediamannya, seorang wanita yang cantik gegas berlari ke arahnya untuk membantunya.
"Kak Luo, awak okey tak?" Suara yang lemah lembut keluar dari mulut wanita itu.
"Juan'Er, cepat bawa saya berjumpa marquis!" Luo Sanniang berkata dengan laju sambil memegang wanita cantik yang memakai gaun berwarna firus itu.
Ekspresi di wajah Luo Sanniang betul-betul menakutkan Juan'Er. Dia pun bertanya dengan nada suara yang lembut, "Kak Luo dah jumpa Xiaochen ke?"
"Kakak dah jumpa dia dan berjaya menyelamatkannya. Kakak cuba untuk bawanya pulang ke sini... tapi ada orang lain menculiknya." Wajah Sanniang tiba-tiba menjadi dingin.
Mulut Juan'Er ternganga sedikit sebelum dia bertanya dengan rasa tak percaya, "Siapa yang berani menculik orang di bawah perlindungan Kak Luo di bandar diraja ni?"
Luo Sanniang hanya mampu tersenyum kecil. Bukan mudah untuk dia memberitahu Juan'Er tentang perkara sebenar yang telah terjadi. Sehingga kini, dia masih tidak boleh percaya yang lelaki yang seluruh badannya diselubungi dengan aura Buddha itu adalah Zhao Musheng, iaitu Menteri Kiri yang terkenal dengan gelaran sarjana lembik dan sikapnya yang berpekerti halus!
Ternyata semua orang telah tertipu dengan Zhao Musheng. Orang tua ini bukan sahaja seorang sarjana biasa, malah dia seorang pakar yang sangat menakutkan dan tahap pertapanya sangat tinggi sehingga Luo Sanniang tidak mampu melawannya.
Luo Sanniang tak pernah rasa sesuatu yang menakutkan seperti itu dan dia rasa seolah-olah seluruh dunia di sekelilingnya berputar dengan laju sekali.
Pakar nombor satu dalam Empayar Bayu itulah Xiao Meng, Santo Pertempuran Kelas Ketujuh.
Zhao Musheng adalah Santo Pertempuran Kelas Ketujuh? Luo Sanniang sangat keliru... Dia sendiri pun tak percaya dengan dakwaan yang luar biasa ini.
Semasa pemerintahan Maharaja Changfeng, Zhao Musheng lulus dalam peperiksaan empayar dan sedikit demi sedikit, dia telah bertukar daripada menjadi seorang sarjana muda kepada seorang yang telah mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan empayar. Dia telah menjadi Menteri Kiri dalam masa sepuluh tahun sahaja. Kerjayanya memang meningkat dengan laju sekali. Semua orang menganggap Zhao Musheng hanyalah seorang sarjana.
Itulah sebab ramai orang tidak peduli tentangnya. Kerajaan Empayar Bayu menghargai keupayaannya dalam seni mempertahankan diri walaupun dia bijak dalam membuat muslihat. Mereka semua anggap yang seorang sarjana sebegitu tidak mampu berbuat apa-apa yang drastik.
Apabila hari bertukar malam, bandar diraja masih dalam keadaan huru-hara.
Keadaan di bandar diraja masih tidak stabil dan sangat membahayakan.
Di kediaman keluarga Yang, Marquis yang Menenangkan Barat, Yang Mo, pulang dengan ekspresi muram. Luo Sanniang melaporkan apa yang dia telah lihat dan dengar kepada lelaki tua yang beruban itu.
"Saya faham." Yang Mo berkata dan memberi isyarat kepada Luo Sanniang dan Jian'Er untuk beredar dari dewan utama itu.
Dia pun duduk dalam dewan utama itu tanpa berkata apa-apa. Memang jelas penculikan Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen oleh Zhao Musheng untuk memaksa kedua-dua keluarga menyokong Putera Mahkota itu adalah satu perisytiharan perang ke atas Raja Yu...
"Kalau Zhao Musheng benar-benar Santo Pertempuran Kelas Ketujuh, mengapa dia sembunyikan tahap petapanya selama bertahun-tahun? Zhao Musheng... Siapakah kamu sebenarnya? Apa yang kamu sedang rancang?" Yang Mo menggumam pada dirinya sendiri.
Dia tidak bimbang tentang keselamatan Yang Chen. Lagipun, Zhao Musheng akan menghantar orang bawahannya untuk menyelamatkan Yang Chen dalam beberapa hari lagi. Walau bagaimanapun, ia tak akan mengubah apa-apa pun kalau dia tahu perkara sebenar.
Ini kerana sudah diketahui yang keluarga Yang dan keluarga Ouyang berpihak kepada Putera Mahkota. Ramai pegawai kerajaan yang mengikut mereka, jadi mustahil bagi mereka untuk menarik balik kenyataan itu. Maksudnya, mereka akan terus menyokong Putera Mahkota.
"Tapi... Adakah Putera Mahkota itu sesuai dijadikan sebagai Maharaja?" Yang Mo mengeluh. Walaupun Putera Mahkota itu tidak bodoh atau kejam, orangnya biasa sahaja. Perbezaan keupayaan antara Putera Mahkota dengan Raja Yu masih agak besar.
Yang Mo betul-betul tidak faham mengapa Zhao Musheng mahu menyokong Putera Mahkota itu.
Di kediaman keluarga Ouyang, keluhan yang sama juga kedengaran.
...
Walaupun ada orang tidak dapat tidur kerana keadaan bandar diraja yang sedang huru-hara, tetapi Bu Fang dapat tidur dengan nyenyak sekali.
Urusan keluarga diraja itu tidak ada kena mengena pun dengannya. Objektifnya hanya untuk menguruskan restorannya. Sebaik sahaja matahari terbit di ufuk, Bu Fang pun bangun daripada tidurnya pada waktu yang tetap.
Bu Fang memakai baju bulu dan keluar daripada biliknya untuk pergi ke dapur. Setiap hari pada waktu ini, dia akan berlatih teknik pemotongannya. Walaupun Bu Fang mempunyai sistemnya, tapi dia masih perlu berlatih dengan teliti. Tiada jalan pintas untuk menjadi seorang yang berjaya.
Namun begitu, Bu Fang tidak merancang untuk berlatih teknik pemotongannya pada hari itu. Teknik Pemotongan Meteornya telah mencapai kemuncak tahap pertama. Walaupun tahap kedua sudah dibuka, Bu Fang tidak tergesa-gesa. Mula-mula, dia mahu berlatih Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar yang dia dapat.
Bu Fang sebenarnya mahir dalam teknik-teknik pemotongan bahan. Pada hari semalam, dia telah menggabungkan beberapa teknik pemotongan semasa membuat Bunga Tauhu Seribu Lapis. Walaupun dia tidak membuat begitu banyak ukiran, Bunga Tauhu Seribu Lapisnya masih mengagumkan orang ramai.
Sekarang dia akan memulakan latihan teknik pemotongan sistem. Walaupun kesukarannya mungkin lebih tinggi daripada membuat Bunga Tauhu Seribu Lapis, dia tidak perlu menggabungkan teknik-teknik pemotongan rumit yang lain semasa latihannya.
"Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar: teknik pemotongan khas yang memerlukan daya tulen. Tuan perlu menggunakan daya tulen sepanjang proses pemotongan. Perhatian berat dan kejituan yang tinggi perlu diambil kira semasa memotong untuk mengawal daya tulen daripada pisau dapur ke atas permukaan sajian. Ini akan meningkatkan kecantikannya dan mencapai kesan bagaikan mimpi. Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar juga menyediakan pelbagai susunan magik. Apabila proses pemotongan selesai, pemilihan pinggan akan menambah kecantikan sesuatu sajian itu."
Bu Fang memeriksa pengenalan Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar oleh sistem itu. Selepas menelitinya, dia mendapati yang teknik ini bukan teknik pemotongan yang biasa dan dia juga perlu menggunakan daya tulennya. Dalam sekelip mata, teknik ini menjadi canggih, elegan dan anggun.