Menurut sistem pengelasan Benua Naga Tersembunyi, kelas pertama adalah tahap bertapa yang paling rendah. Tahap bertapa ini tidak dapat mempengaruhi apa-apa di dalam bandar diraja ini.
Bagaimanapun, apa yang dicurigakan oleh Bu Fang ialah bagaimana dia tiba-tiba memperolehi daya tulen.
Adakah kerana dia sudah selesaikan misi sistem? Misi pertamanya untuk mendapatkan pelanggan pertamanya, tetapi ganjaran itu hanya Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi dan Set Cebisan Tuhan Masakan. Tidak pernah pun daya tulen itu disebutkan.
"Sistem, adakah saya akan mendapat daya tulen dan menjadi lebih kuat dengan hanya menyelesaikan misi?" Bu Fang bertanya dengan bingung.
Sistem menjawab dengan serius, "Tahap Kekuasaan Daya Tulen tuan bersangkut paut dengan jumlah kristal yang diperolehi. Selepas transaksi wang itu selesai, kristal akan ditukarkan kepada Tahap Kekuasaan berdasarkan nisbah penukaran. Tuan boleh memerhati tahap kekuasaan itu berserta dengan nisbah pertukaran dalam panel watak.
"Tahap sistem sekarang ialah satu bintang dan nisbah penukaran kristal sepuluh peratus. Apabila tahap sistem mencapai dua bintang, lebih banyak fungsi akan diperolehi: lebih banyak perabot boleh digunakan dan pelanggan boleh membawa bahan-bahan masakan mereka sendiri.
"Tuan sekarang telah memperoleh dua puluh dua kristal hari ini, menurut nisbah penukaran, dua kristal yang bernilai tenaga telah diperolehi. Tahap daya tulen adalah hampir sama dengan Pahlawan Kelas Pertama."
Bu Fang tergamam dan tidak bersuara, dia tidak tahu kristal mempunyai maksud sedemikian. Bagaimanapun, selepas difikirkan semula, dia sedar itu perkara biasa. Ini kerana, kristal adalah keperluan penting untuk pertapa. Mereka boleh meningkatkan tahap bertapa mereka. Pertukaran oleh sistem itu hanya jalan pintas untuk Bu Fang.
"Eh... Kalau macam itu, adakah itu bermakna saya boleh jadi lebih kuat dengan cara memperolehi lebih banyak kristal?" Senyuman yang semakin melebar mula muncul di wajah Bu Fang dengan perlahan-lahan.
Untuk menjadi Maniak Pertempuran Kelas Ketiga, memerlukan sepuluh kristal. Semangat Pertempuran Kelas Keempat pula memerlukan seratus kristal. Sementara Raja Pertempuran Kelas Kelima pula memerlukan seribu kristal" umum sistem.
Bu Fang hilang kata-kata.
"Baiklah, nampaknya jalan ini masih jauh untuk saya."
"Apa maksud kamu pelanggan boleh bawa bahan masakan mereka sendiri?" Bu Fang berasa ingin tahu.
"Tuan boleh menggunakan bahan yang dibawa oleh pelanggan untuk membuat hidangan dan harga hidangan itu akan ditentukan mengikut penilaian yang diberikan oleh sistem," sistem menjelas dengan serius.
"Jadi itulah yang berlaku." Mata Bu Fang kelihatan bersinar. Fungsi itu agak bertimbang rasa dan kaedah yang digunakan oleh sistem untuk membantu dia mendapatkan kristal. Malangnya, tahap dia sekarang masih tidak mencukupi. Dalam dunia fantasi ini, terdapat banyak bahan sangat bagus yang boleh digunakan. Jika pelanggan dibenarkan membawa bahan mereka sendiri, dia pasti peroleh lebih banyak kristal.
Untuk meningkatkan tahapnya, dia perlu menyelesaikan misi yang diberikan oleh sistem. Misi terbaru: mengutip keuntungan sekurang-kurangnya seratus kristal dan seribu syiling emas dalam masa seminggu.
Misi Kemajuan: 22/100, 100/1000
Bu Fang mengeluh dalam hati, menyedari bahawa ia satu lagi misi yang sukar dicapai.
Sebagai seorang cef yang bagus, dia perlu memastikan dia mendapat tidur yang cukup. Selepas Bu Fang keluar dari panel sistem, dia menutup matanya dan tidur. Bunyi pernafasan yang sekata boleh didengari tidak lama kemudian.
Keesokan paginya.
Bu Fang bangun tepat pada waktunya. Setelah bersiap sedia, dia memulakan latihan memasaknya hariannya. Setelah selesai berlatih kesemua hidangan yang dipelajari, Bu Fang membuka kedai sambil menguap.
Anjing hitam besar itu masih berbaring di hadapan kedai. Ia seperti berbaring di lokasi yang sama, tanpa bergerak. Bu Fang juga terkejut dengannya.
"Selamat pagi, Si Hitam," sapa Bu Fang tanpa ekspresi.
Anjing hitam itu berasa menyampah dan mengabaikan dia.
Bu Fang juga tidak berasa malu. Dia kembali ke dapur dan menuangkan Nasi Goreng Telur yang dibuat semasa latihannya ke dalam mangkuk. Apabila dia kembali, dia berdiri di hadapan Si Hitam bersama dengan mangkuk itu.
"Sudah tiba masa makan, Si Hitam," kata Bu Fang.
Si Hitam mencium wangian dari mangkuk itu dan bertenaga serta merta, sangat berbeza dengan keadaan yang malas tadi. Dengan lidah merah yang dijulur keluar, matanya penuh harapan sambil menatap mangkuk di tangan Bu Fang.
Bu Fang dengan marah berfikir. 'Anjing ini terus berubah tingkah laku apabila ada makanan enak, tetapi terus tidur sebaik sahaja selesai makan.
'Apa yang berlaku kepada hubungan antara manusia dan anjing?
Tak tahukah penting untuk senangkan hati saya, cef awak? Dia hanya akan mendapat makanan yang enak jika saya gembira!'
Tiada apa yang boleh dilakukan Bu Fang dengan anjing pelahap ini. Sejurus sahaja dia meletakkan mangkuk di hadapan Si Hitam, ia terus makan sambil ekor digoyang.
Bu Fang menarik kerusi dan berbaring dengan selesa sambil menunggu pelanggan muncul.
Hari ini ini juga satu hari mudah yang indah.
Pada ketika itu, sekumpulan orang yang ganas sedang berkumpul di sekitar jalan utama bandar diraja.
Sun Qixiang yang berpakaian warna-warni memimpin kumpulan itu. Dia ialah salah seorang daripada tiga kaki perempuan yang paling terkenal di bandar diraja, semua orang yang berada di jalan utama mula mengelak sambil melihat dengan takut.
Sun Qixiang berpuas hati dengan cara mereka memandang dia. "Betul, itu cara yang betul kau tengok aku! Kau perlu takut kepada aku sebab aku begitu hebat!"
"Ikut aku! Jika aku tidak menghancurkan restoran kecil itu hari ini, nama keluarga aku bukanlah Sun!"
Selepas dibogelkan dan dia dicampak keluar dari restoran semalam, Sun Qixiang bermimpi buruk sepanjang malam dan tidak dapat tidur dengan lena. Itulah mengapa dia mengumpul semua hamba keluarganya pada awal pagi ini untuk balas dendam kepada Bu Fang.
Ini kali pertama Sun Qixiang berasa begitu malu, dia tidak akan lega selagi Bu Fang tidak mati.
Sementara hari ini, Xiao Yanyu pula tinggal di rumah. Selepas makan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi pada hari sebelumnya, Tahap Kekuasaan Daya Tulen dia meningkat dan dia terpaksa mengasingkan diri dari orang lain. Itulah sebab hanya Xiao Xiaolong yang sedang menuju ke restoran kecil itu.
Bagaimanapun, ketika dia tiba di jalan utama, dia terlihat Sun Qixiang membawa lebih dari seratus lelaki untuk memecahkan restoran itu.
"Oh Tuhanku, aku masih mahu makan Nasi Goreng Telur lagi! Apa yang kau nak buat ini!" Xiao Xiaolong sangat marah, di mana lagi dia dapat menikmati Nasi Goreng Telur yang begitu lazat dan mampu membantu meningkat tahap bertapanya jika restoran itu hilang?!
Ketika rombongan yang terdiri lebih dari seratus orang itu melewati Restoran Phoenix Abadi dan berjalan masuk beberapa meter lagi, persekitaran itu menjadi sunyi.
Lorong yang biasanya sunyi telah penuh sesak dengan orang pada hari ini.
Semua anak buah Sun Qixiang sedang memegang batang kayu sambil melihat ke arah restoran kecil di lorong itu.
"Budak sial itu! Berani sebuah restoran kecil ini membuli tuan muda kami! Ini memang cari nahas!"
Di pintu masuk restoran, Bu Fang dengan selesa berbaring di atas kerusi sambil mengecilkan mata apabila cahaya matahari menyinari tubuh malasnya.
Anjing hitam besar itu pula berbaring berdekatan sambil menggoyang ekor menikmati makanan di dalam mangkuk dengan gelojoh.
"Aku datang untuk hancurkan kedai kau!" Sun Qixiang menunjuk kipas kertasnya pada Bu Fang dengan sombong sambil menjerit dengan dingin. Dia percaya Bu Fang akan takut kerana dia membawa ramai orang.
Jika Bu Fang tidak berlutut dan mohon maaf, dia tidak akan melepaskannya!
Suasana lorong itu amat sunyi. Selepas Sun Qixiang selesai berteriak, harapannya supaya Bu Fang akan memohon maaf tidak menjadi kenyataan. Malah Bu Fang masih berbaring di atas kerusi sambil berjemur di bawah sinar matahari.
Semua orang sedang melihat Sun Qixiang dengan bingung.
Sun Qixiang berasa bodoh dan tidak sangka dia akan diabaikan seperti ini.
Dia berasa sangat marah, seperti Bu Fang telah menamparnya mukanya beberapa kali.
"Hancurkan! Hancurkan semua yang kau lihat! Runtuhkan kedai kecil ini! Celaka, aku mahu budak sial ini tahu apa yang berlaku kepada orang yang menyakiti hati aku!"
Xiao Xiaolong berdiri penuh risau di jalan masuk lorong itu. Dia tidak dapat melaluinya kerana terlalu ramai orang dalam lorong itu dan terlalu ramai yang menonton.
Tidak kira sama ada di dunia lain mahupun di Bumi, pastinya akan ada orang yang suka menyibuk. Ini satu sikap semulajadi manusia. Namun, ada juga yang datang menonton tanpa mengetahui apa yang berlaku. Mereka hanya berkumpul kerana minda mereka yang suka menyibuk.
Sementara Xiao Xialong memikirkan cara untuk melepasi orang yang berkerumun ini, dia terasa ada orang mencuit bahunya dan menoleh terkejut.
Seorang lelaki kacak yang menawan sedang memandangnya. Lelaki itu memakai jubah labuh yang sangat indah dan topi yang ditenun dengan benang emas. Dia juga memakai tali pinggang yang dijahit di kelilingnya binatang ganas dengan gaya sedang menari, terdapat juga sekeping jed yang tergantung dari tali pinggan itu. Lelaki itu mengeluarkan aura keberanian dan bangsawan.
Apabila Xiao Xiaolong melihat lelaki itu, air mukanya berubah, matanya terbeliak manakala mulutnya ternganga terkejut.
"Ketiga… Ketiga…" Xiao Xialong gagap seketika tapi tidak mampu mengungkapkannya.
Lelaki muda itu mengangkat tangan untuk menghentikan Xiao Xialong daripada bercakap, dan kemudiannya mengangguk perlahan dan berkata, "Kamu boleh panggil saya tuan muda ketiga. Apa yang sedang kamu lihat? Kenapa begitu ramai orang berkerumun di sini?"
"Tuan muda ketiga, si Sun Qixiang sekali lagi sedang menyeksa orang." Xiao Xialong menghembus nafas lega walaupun masih rasa gelisah. Lelaki di hadapannya ini ialah seseorang yang begitu luar biasa.
"Sun Qixiang? Bukankah dia kaki perempuan dan anak kepada menteri kewangan, Sun Qing?" tuan muda ketiga itu berfikir sejenak sebelum membalas..
Xiao Xiaolong mengangguk, kemudian membalas dengan gembira, "Bila tuan muda ketiga pulang ke bandar Diraja? Saya tak tahu langsung… Kakak saya tahu perkara ini?"
Tuan muda ketiga itu tertawa kecil dan berkata, "Saya dipanggil pulang secara khas, jadi tiada sambutan. Sedangkan Yanyu pun tidak tahu, apatah lagi kamu."
Xiao Xialong sedikit gelisah dan senyum tersipu-sipu dengan muka kemerahan.
Lelaki muda itu melihat ke arah orang yang berkerumun sekali lagi dan kemudian berjalan ke hadapan sambil berkata, "Xiaolong, ikut saya dengan rapat. Mari kita pergi lebih dekat."
Kemudiannya, lelaki muda itu menyelit di sebalik orang ramai, atau dengan lebih tepat, dia berjalan masuk ke dalam khalayak ramai itu. Ini kerana setiap langkah yang diambil, seperti ada satu kuasa ghaib yang menyebabkan orang ramai memberikan laluan kepadanya.
"Raja Pertempuran kelas kelima ini sangat hebat sehingga benteng manusia pun tidak dapat menghentikannya." Xiao Xiaolong menggumam penuh rasa cemburu sambil memerhati tuan muda ketiga yang elegan itu dan segera dia mengekorinya.
Kedua-dua mereka berjaya sampai dengan segera di hadapan khalayak ramai dan pada masa itu mereka sempat menyaksikan Sun Qixiang mengarahkan orang suruhannya untuk memusnahkan kedai itu.
…..
Cahaya matahari yang hangat itu menyinari badan Bu Fang, menjadikannya rasa sedikit malas. Walaupun lebih dari seratus orang lelaki di lorong itu sedang mengancam untuk memusnahkan kedainya dengan hingar bingar, tuan kedai itu dengan pelik berkelakuan tenang.
Dia sesungguhnya begitu tenang tanpa ada sedikit pun kerisauan.
Air muka Bu Fang yang begitu tenang menjadikan Sun Qixiang jadi berang. Dia mengarahkan orang suruhannya untuk pergi menyerang Bu Fang.
Apabila Xiao Xiaolong menyaksikan perkara itu, dia serta-merta bimbang dan ingin masuk campur.
Namun, dia terasa bingung apabila ditahan oleh lelaki muda disebelahnya.
"Kenapa tuan muda halang saya?"
"Tuan kedai itu nampak agak yakin dan dia langsung tidak nampak takut, jadi saya ingin tahu apa muslihatnya," lelaki muda itu berkata sambil tersenyum.
Bu Fang duduk di hadapan kedainya sambil hampir sekumpulan lelaki datang menyerangnya. Apabila salah seorang daripada mereka menjejak kaki ke dalam kedai, dia menghayun kayunya dengan ganasnya ke arah kepala Bu Fang.
Orang-orang suruhan ini sudah banyak melakukan perkara jahat atas arahan Sun Qixiang dan mereka tiada halangan langsung kerana sudah terbiasa.
"Bang!"
Kayu yang dihayun itu terbang di udara lalu jatuh berkeletak di atas lantai.
Orang-orang suruhan yang sedang menyerang itu terus terhenti seketika sambil melihat dengan perasaan takut dan bingung kepada sebuah robot yang berdiri di hadapan mereka.
Mata mekanikal Si Putih berkelip manakala badannya tegapnya berjaya menyekat sebarang percubaan untuk menyerang Bu Fang dan seluruh badan robot itu berkilau dengan kilauan metalik.
Si Putih ialah robot yang dicipta oleh sistem untuk menguruskan keselamatan kedai dan pembuangan sisa. Kebiasaannya, tiada pelanggan di kedai itu jadi tidak timbul sebarang isu keselamatan. Namun, disebabkan lebih dari seratus lelaki yang datang membuat masalah, Si Putih terpaksa keluar dan menghalang mereka.
"Pergaduhan tidak dibenarkan di Kedai Kecil Fang Fang. Sesiapa yang melanggar peraturan akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada orang lain."
Suara mekanikal yang keluar dari mulut Si Putih itu bunyinya agak lucu dan ia bergema ke sepanjang lorong itu.
Orang-orang suruhan itu terus tergamam. "Dari manakah datangnya seketul besar logam ini? Berani dia menghalang lebih dari seratus lelaki?"
Walaupun pencapaian purata tahap pertapa mereka agak lemah, di mana yang paling kuat adalah Pahlawan kelas pertama, namun jumlah mereka ramai.
Walaupun perbezaan agak ketara antara kekuatan seorang Pahlawan dan seorang Mahaguru Pertempuran, jumlah Pahlawan yang ramai berkemungkinan mengatasi kekuatan Mahaguru Pertempuran.
Disebabkan robot boneka di hadapan mereka itu tidak mempunyai daya tulen sebenar di dalam tubuhnya, mereka langsung tidak risau.
"Itu seketul logam, hancurkan sekarang!"
Apabila Sun Qixiang melihat Si Putih, matanya menjadi merah dan terus berasa marah. "Berani betul dia sebut bogelkan!"
Apabila menerima arahan dari Sun Qixiang, orang-orang suruhan itu terus menyerang semula kedai Bu Fang.
Namun, apa yang berlaku selepas itu membuatkan mereka terhenti. Orang suruhan yang menyerang di bahagian paling hadapan tercampak keluar dan pakaiannya terkoyak serta merta, kecuali cawat yang menutup bahagian sulitnya.
Kemudian orang suruhan kedua, dan ketiga…
Satu demi satu, orang suruhan yang datang menyerang kedai itu yang lengkap berpakaian tetapi mereka tercampak keluar di lorong itu dalam keadaan hampir telanjang.
"Sungguh jijik." Salah seorang penonton wanita di situ menutup mukanya yang kemerah-merahan. Namun begitu, tangannya terbuka luas dan dia melihat di meneruis jari-jemarinya… Mukanya merah menyala.
Sambil Sun Qixiang melihatsatu demi satu orang suruhannya yang telanjang dicampak keluar dari restoran itu, mukanya hampir menjadi ungu akibat terlalu marah.
"Kamu ini bodoh! Tak akan kamu tak tahu kamu patut serang beramai-ramai? Kenapa kamu masuk seorang demi seorang?"
Suaranya yang penuh berang mengejutkan orang-orang suruhan itu. Mereka memandang satu sama laini dan terus menyerang Si Putih sambil menghayunkan kayu mereka. Lima daripada mereka menyerang ke dalam kedai sempit itu namun hasilnya tetap sama.
Tidak kira berapa ramai yang masuk menyerang, semuanya akan terbang keluar dari kedai itu. Kesemua pakaian mereka dikutip oleh Si Putih dan disimpan ke dalam perutnya sebagai sampah.
Dalam sekelip mata, lebih dari seratus daripada mereka meraung kesakitan di atas lantai.
Kaki Sun Qixiang mengigil dan dia tidak dapat memahami apa yang baru sahaja berlaku…
Sedangkan Maniak Pertempuran kelas ketiga pun perlu mengelak apabila berdepan dengan lebih daripada seratus penyerang. Dia tidak menyangka yang restoran kecil di tempat terpencil itu ada satu boneka besi yang sangat kuat.
Bu Fang yang duduk di belakang Si Putih di sepanjang kejadian itu, hanya melihat kosong..
Dia kemudian berdiri dengan malas dan menguap selepas semua orang suruhan Sun Qixiang tumbang.
Sambil Bu Fang berdiri di pintu masuk kedai kecil itu, dia tunduk melihat Sun Qixiang yang muram sambil berkata, "Si Putih, bogelkan lelaki ini juga. Dia mengganggu mood aku untuk masak hari ini, aku akan rasa menyampah kalau dia tidak menerima sebarang hukuman!"
"Faham!"
Kedengaran suara mekanikal Si Putih. Air muka Sun Qixiang berubah dan dia terus berpaling untuk melarikan diri. Namun begitu, tangan Si Putih tiba-tiba terpisah dari badannya dan terbang berpuluh meter jauhnya untuk mencengkam baju Sun Qixiang dan menariknya kembali ke kedai.
"Pembuat Masalah di Kedai Kecil Fang Fang, kamu akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada yang lain," Si Putih berkata dengan suara mekanikalnya.
Sun Qixiang terasa ingin menangis kerana terkilan dia diperlakukan sebegitu rupa. "Bukankah kamu yang menarik saya masuk ke dalam kedai ini?"
"Bang!"
Badan bogel Sun Qixiang sekali lagi tercampak dan mendarat atas jalan di atas lorong itu. Lebih daripada seratus orang tidak berpakaian berkumpul bersama, menjadikan satu pemandangan yang… cantik.
"Oh… pemandangan ini terlalu jijik!" Penonton wanita itu masih lagi melihat menerusi jari-jemarinya sambil mukanya bertukar kemerah-merahan...
Sun Qixiang berasa amat malu berada di situ. Dia membawa lebih dari seratus orang untuk membalas dendam, tetapi hasilnya…
Ini satu tragedi.
Sekumpulan besar lelaki yang tadinya tiba dengan megah datang kini pulang dengan lebih megah, dengan tangan kosong. Insiden ini memberi impak hebat dalam bandar Diraja itu. Sambil mereka melalui jalan utama itu, begitu ramai orang mengerumuni lorong itu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.
Lorong yang sesak itu akhirnya kosong dan orang ramai mula beredar. Yang tinggal hanyalah mereka yang berminat dengan kedai itu.
"Rupanya ada restoran di lorong ini? Walaupun saya sudah tinggal di bandar Diraja ini bertahun-tahun lamanya, saya tidak pernah tahu pun!" berkata seorang wanita dengan rasa terkejut.
"Restoran ini pasti ada pengaruh kuat di belakang mereka kerana berani membogelkan Tuan Muda Sun!" komen seorang lelaki tua.
"Robot itu sangat comel! Mari kita masuk untuk lihat!" Beberapa orang gadis nampaknya terpesona dengan Si Putih.
Dengan itu, ramai orang mula masuk ke restoran kerana rasa kagum.
Bu Fang kembali ke dapur tanpa emosi, tetapi mulutnya melebar kerana rasa terhibur.
"Harapnya mereka tidak takut dengan harga makanan di sini."