Setiap hari Aubree akan bangun pagi dan pergi bersarapan sebelum latihan. Della selalu membantu Aubree untuk bersiap-siap kerana tiada pembantu lain yang datang untuk membantu Aubree.
Della tidak puas hati dengan layanan para pembantu Elf di sini namun Aubree menahan Della untuk melaporkan keadaan ini.
Bagi Aubree, dia lebih selesa jika pembantu lain tidak membantunya memandangkan Aubree tidak biasa dengan sesiapa kecuali Della dan White.
Setiap hari Aubree tidak akan pernah terlepas daripada latihan yang berat dari Tuan Gildam. Kerana Aubree seorang yang tidak putus asa dan sering melakukan latihan yang diberikan dengan tekun, Tuan Gildam akan menambahkan bilangan latihannya.
Bermula daripada melakukan larian keliling padang selama 100 kali sehari, berlari dengan membawa beban di kaki dan tangan, berlari dengan menarik beban di bahunya, melatih tubuh badannya untuk menahan nafas di bawah air, terkadang dia akan disuruh ulang alik berlari dari kaki bukit sehingga ke puncak mengikut jumlah yang diberikan.
Yang paling tidak masuk akal adalah Aubree disuruh memanjat pokok dan melompat dari satu pokok ke pokok lain seperti seekor monyet. Walaupun Aubree tidak suka namun dia hanya mengikuti arahan dari Tuan Gildam dengan akur.
Setelah sebulan Aubree berlatih di bawah bimbingan Tuan Gildam, ditambahkan lagi dengan latihan yang diibaratkan seperti sebuah neraka oleh Tuan Gildam, akhirnya kekuatan fizikal Aubree meningkat.
Dia tidak lagi selemah seperti yang mula-mula dia datang ke tempat ini.
Setelah Tuan Gildam berpuas hati dengan keadaan fizikal Aubree, dia pun mula mengajarkan Aubree cara untuk menggunakan senjata dan ilmu bela diri.
Tuan Gildam tahu jika Aubree mempunyai pengetahuan ilmu bela diri, jadi dia hanya mengajarkan beberapa ilmu bela diri kepada Aubree dan menekankan pengajarannya tentang senjata.
Apa yang mengejutkan Tuan Gildam adalah Aubree boleh menggunakan semua senjata dengan sangat baik, seolah-olah dia sudah pun belajar menggunakan senjata itu sejak kecil lagi.
Tentu saja Tuan Gildam tidak yang roh di dalam badan Aubree adalah berbeza. Roh yang menetap di dalam badan Aubree sekarang ialah seorang pembunuh upahan yang sudah pun belajar menggunakan senjata sejak kecil lagi.
Melihat bagaimana Aubree sudah tahu dan cekap menggunakan senjata dan ilmu bela diri, Tuan Gildam agak bingung kerana dia tidak tahu hendak mengajarkan apa lagi kepada Aubree.
Suatu pagi di sebuah pondok gazebo, Tuan Gildam sedang berfikir sambil jarinya diketuk beberapa kali ke atas meja.
Aubree yang berdiri di depan Tuan Gildam hanya mendiamkan diri sambil menunggu Tuan Gildam untuk mengatakan sesuatu.
"Kamu sudah tahu semua benda yang perlu saya ajarkan. Saya agak terkejut bila melihat kamu boleh belajar dengan cepat... Tapi tentu saja, semua ini berkat sumbangan kekuatan dari Kristal Kehidupan itu. Walaupun selepas ini saya tidak akan mengajar kamu lagi, kamu harus terus berlatih..."
Aubree hanya menganggukkan kepalanya beberapa kali seperti seekor ayam yang sedang mematuk tanpa bersuara.
"Dalam masa satu atau dua bulan, ujian untuk menentukan kamu lulus atau tidak akan diadakan. Tapi melihat kepada perkembangan kamu yang cepat ini, saya rasa dalam masa sebulan kamu bersiap, kamu boleh menjalani ujian ini..."
"Saya perlu menjalani ujian lagi untuk lulus latihan ini?" tanya Aubree, terkejut. Dia tidak menyangka yang ujian untuk menentukan dia lulus atau tidak akan dijalankan.
Tuan Gildam mengangguk dengan wajah serius. "Tentu saja... Kamu fikir kamu hanya berlatih begini tanpa ujian? Sebagai seorang penjaga Kristal Kehidupan, kamu harus menjalani ujian agar kami boleh tahu jika kau boleh berhenti latihan atau tidak..."
Aubree mengangguk lagi. Semenjak Aubree berlatih di bawah ajaran Tuan Gildam, akhirnya dia sudah terbiasa dengan mood Tuan Gildam yang sering berubah.
Walaupun Tuan Gildam menggunakan suara yang garang dan membuat wajah yang bengis, tidak bermakna dia sedang marah.
Sifat garang Tuan Gildam memang alami sejak dulu dan Aubree yang sudah biasa dengan sikap garang Tuan Gildam itu sudah tidak lagi mengatakan apa-apa.
Tuan Gildam juga sudah biasa memarahi Aubree dan tahu jika Aubree tidak akan ambil kisah jika dia dimarahi.
Jika Elf lain melihat yang Tuan Gildam memarahi Aubree dan menyangka yang Aubree sudah membuat kesalahan. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Gildam yang garang dan cerewet itu. Mereka merasa Aubree tidak bernasib baik kerana mendapat guru seperti Tuan Gildam.
"Saya akan baik-baik saja selepas ini. Tuan tidak perlulah menjaga saya setiap kali latihan. Saya hanya perlu belajar kembali semua teknik yang Tuan ajarkan kepada saya. Tuan Gildam bolehlah berehat untuk seketika sementara menunggu hari ujian dilaksanakan..."
Tuan Gildam menjeling ke arah Aubree dengan wajah tidak percaya. "Setiap kali kamu katakan begitu, ada saja masalah yang berlaku semasa saya tidak ada di sekitar kamu. Bagaimana saya mahu berehat dengan tenang kalau kamu akan menganggu masa rehat saya dengan masalah yang kamu buat?"
Aubree menggaru kepalanya saat mendengar bebelan dari Tuan Gildam. "Itu... Semua masalah tu bukan saya yang buat..."
Memang betul pun bukan Aubree yang memulakan masalah ini. Ini kerana setiap kali Aubree ditinggalkan seorang diri oleh Tuan Gildam untuk berlatih, Tentera Elf yang lain akan datang menganggu Aubree.
Masalah yang dibuat oleh mereka dibuat-buah sehingga ia menampakkan masalah itu berasal dari Aubree dan Aubreelah yang melakukan semua masalah itu.
Aubree tidak tahu sama ada hendak membela dirinya atau mempertahankan dirinya kerana dia sendiri bingung dan tiada Elf yang mahu membela dirinya — kecuali Hensel.
Tapi hanya Hensel seorang saja tidak cukup untuk membantu Aubree membersihkan namanya yang difitnah oleh Elf-Elf lain jadi Aubree hanya membiarkan saja mereka menang.
Tuan Gildam yang tidak pernah berat sebelah itu segera menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum masalah itu menjadi semakin teruk.
"Memang bukan kamu yang melakukannya tapi di mana ada kamu, masalah mesti akan ada."
"Jadi, maksud Tuan... Di mana saja saya pergi, masalah akan mengikuti saya, begitu?" Aubree bertanya dengan wajah bengang pula.
"Kamu yang katakan seperti itu, bukan saya..."
Aubree terus mengeluarkan muncungnya mendengar jawapan Tuan Gildam.
"Apa-apa pun, saya akan hantar seseorang untuk mengawasi kamu untuk beberapa minggu ini... Saya kena keluar dari kawasan Menara Kristal untuk melakukan suatu misi. Jadi selama saya tiada, kamu harus belajar untuk menjadi seorang pahlawan yang baik dan sabar. Jangan ikut perasaan saja nak berlawan dengan Tentera Elf yang lain..."
Aubree mengangguk dengan wajah acuh tidak acuh. "Baik, baik... Saya faham..."
Tuan Gildam menajamkan matanya ke arah Aubree membuatkan Aubree terpaksa mengalah.
"Iya, saya faham. Saya akan mencuba yang terbaik untuk tidak membuat masalah selama Tuan Gildam tak ada..."
Kerana jawapan itu, Tuan Gildam pun merengus puas hati lalu berjalan meninggalkan pondok gazebo itu.