Sementara itu, di Istana Kerajaan Barat, semua Elf yang berpangkat tinggi berkumpul di suatu ruangan di mana utusan dari Menara Kristal juga sedang berkumpul.
Kilan dan dua orang Putera Elf yang lain juga sudah tiba di sana beberapa saat yang lalu. Mereka sedang menunggu berita yang dibawa oleh Utusan tersebut.
Seorang lelaki Elf yang sudah terlihat agak tua dengan janggutnya yang berwarna putih dan panjang sehingga dada, maju ke hadapan. Jubahnya yang besar dan agung berwarna merah dengan corak emas itu memberi tanda jika lelaki ini ialah salah seorang dari penjaga Kristal Kehidupan yang tertinggi di Menara Kristal. Dia dikenali sebagai Tuan Merrah, Menteri Tertinggi Pertama.
Seorang pembantu lelaki yang memakai baju hijau gelap mengikuti dari belakang. Di tangannya terdapat sebuah dulang yang diperbuat daripada emas dan di atas dulang itu ialah sehelai gulungan kertas yang diikat dengan tali berwarna merah.
Pembantu lelaki itu berhenti di tepi bahagian belakang Tuan Merrah dan menaikkan sedikit dulang yang dipegang.
Tuan Merrah mengambil kertas itu, membuka ikatan tali dan membuka gulungan kertas tersebut.
Kemudian suaranya yang besar dan lantang mula bergema di seluruh ruangan, "Berdasarkan kepada ramalan Ahli Sihir Yang Tertua, pemilik Kristal Kehidupan yang kedua telah muncul dan berita ini sudah dinyatakan kepada semua raja Kerajaan Elf ketika mereka berkumpul di Ruang Olligan. Oleh itu, setiap pergerakan yang mencurigakan harus dilaporkan ke Ahli Sihir Yang Tertua."
"Baru-baru ini, Ahli Sihir Yang Tertua mengesan satu gelombang aura yang luar biasa dari Kerajaan ini. Mohon agar Yang Julia Raja Kerajaan Barat untuk segera melaporkan hal ini dengan lebih teliti kepada pihak kami."
Setelah selesai membaca isi kandungan dalam gulungan kertas tadi, Tuan Merrah kembali menggulung kertas di tangannya dan meletakkan kembali gulungan kertas itu di atas dulang.
Raja Kerajaan Barat, Raja Willden Farthok yang sedang duduk dengan resah di atas takhtanya memandang ke arah Putera Kilan. Dia telah dilaporkan oleh Kilan dan dua orang Putera Kerajaan dari dua buah kerajaan jiran bahawa baru-baru serangan dari Tentera Kegelapan menjadi kerap. Mereka juga telah menemui seorang 'wanita misteri' yang telah menolong mereka dalam menghapuskan semua Tentera Kegelapan tersebut.
"Memang betul jika ada sesuatu yang berlaku di Kerajaan Barat sejak baru-baru ini. Tentera Kegelapan sudah semakin kerap masuk ke wilayah ini untuk mencari kesempatan bagi mendapatkan maklumat tentang Kristal Kehidupan. Putera Ketiga dalam Kerajaan Barat, Putera Kilan bertanggungjawab dalam hal menghapuskan semua Tentera Kegelapan ini. Seperti yang Menteri Tertinggi Pertama katakan, memang benar ada kejadian yang luar biasa yang berlaku di kerajaan ini..."
Kerana balasan dari Raja Willden itu membuatkan Tuan Merrah mengangkat keningnya dengan rasa tertarik. "Oh, betulkah Yang Mulia? Jika begitu, boleh kami tahu apakah perkara yang luar biasa yang berlaku di sini? Mungkin saja hal ini berkaitan dengan pemilik Kristal Kehidupan. Jika benar begitu, kami harus membawa dia kembali ke Menara Kristal..."
Raja Willden diam dan tidak membuka mulut. Namun anak matanya bergerak menuju ke arah Putera Kilan yang sedang duduk di bahagian tepi kanan ruangan, yang bersebelah dengan takhta raja.
Putera Kilan yang memahami renungan dari Raja Willden itu segera berdiri dan berjalan ke tengah ruangan. Dia menunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada Tuan Merrah. "Tuan Menteri Tertinggi Pertama, izinkan saya untuk menjelaskan hal ini. Saya dan kumpulan saya telah merancang sebuah rancangan untuk menyerang kumpulan Tentera Kegelapan yang sedang bersembunyi di salah satu hutan di Kerajaan ini. Sayangnya, kumpulan saya tidak mampu menandingi kekuatan Tentera Kegelapan dan kami mengalami kekalahan. Di saat itu juga, kami mendapat pertolongan dari seorang wanita Elf yang bermisteri. Setakat ini, hanya itu saja maklumat yang saya dapat kumpulkan. Tuan Menteri Tertinggi boleh bertanya kepada saya jika ada apa-apa soalan berkenaan dengan Elf bermisteri ini..."
Issac yang sedang duduk di sebelah tempat duduk Kilan tadi hanya memandang Kilan dengan wajah bosan. Dia sangat bosan berada di ruangan itu, sebab itu kenapa saat ini dia sedang menyandarkan kepalanya ke atas tangannya yang digenggam.
Issac serasa ingin tergelak dengan jawapan yang dilontarkan oleh Kilan. Ini kerana Issac tahu siapa 'wanita misteri' itu sebenarnya. Tapi meskipun dia tahu siapa wanita misteri itu, Issac tidak berfikir untuk memberitahu sesiapa. Baginya, lebih baik jika hanya dia seorang saja yang tahu siapa sebenarnya wanita misteri itu.
Jadi, dia pun mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan hanya mengikuti sidang perjumpaan ini dengan wajah acuh tak acuh. Dia merasa yang tinggal di sini sangat membosankan berbanding tinggal diam di kediaman Kilan dan mengganggu 'wanita misteri' yang sedang dicari-cari.
"Wanita misteri yang kamu maksudkan ini, di manakah dia sekarang?" tanya Tuan Merrah.
Kilan mengeluh kecil mendengarkan pertanyaan itu. Wajahnya berubah menjadi kesal dan kepalanya digeleng kecil. "Saya minta maaf, Tuan Menteri tapi saya juga sedang mencari di mana dia berada. Sejak malam itu setelah dia menolong kami, dia terus menghilang tanpa jejak."
Jika saja Kilan tahu yang wanita misteri yang ingin dia cari itu ialah pembantu yang sudah pun dia usir dari kediamannya sendiri, tentu Putera Ketiga ini akan muntah darah dan pengsan setelah mengetahui khabar ini.
Issac tersenyum kecil dengan jawapan Kilan. Dia menyembunyikan senyumannya itu dengan meminum teh yang sudah disediakan. Jake yang duduk di sisi lain tidak menyedari perubahan wajah Issac kerana dia sedang asyik memandang para wanita Elf yang berada di ruangan yang sama.
Tuan Merrah menutup matanya dalam keadaan kesal. Dia mengusap-usap janggutnya yang panjang itu. "Oh begitu ya? Sayang sekali. Saya harus memastikan jika wanita misteri yang kamu katakan ini adalah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua..."
"Tuan Menteri Tertinggi, jika kamu sudah mengetahui siapa pemilik Kristal Kehidupan yang kedua ini, adakah kamu akan segera membawanya kembali ke Menara Kristal?" tanya Raja Willden.
Tuan Merrah masih mengangguk sambil mengusap-usap janggutnya. "Sudah tentu. Dia harus dibawa kembali ke Menara Kristal."
"Tapi sekarang wanita misteri itu sudah hilang tanpa dijejaki... Bagaimana kita harus mencari dia lagi?" tanya Putera Kilan pula.
Tuan Merrah memandang ke arah Putera Kilan sebelum dia tersenyum lebar. "Tiada masalah. Saya masih boleh mencari dia dengan menggunakan sihir. Kamu hanya perlu membawa saya ke tempat terakhir dia menghilang dan setelah itu, serahkan semuanya kepada saya. Kami akan mencari wanita misteri ini sendiri..."
Putera Kilan memandang Tuan Merrah dengan wajah ragu-ragu. Entah kenapa dia merasa ada sesuatu yang pelik tapi dia tidak tahu apa itu. Akhirnya, Kilan pun membiarkan perasaan itu kerana dia tidak tahu apakah penyebab perasaan pelik itu.
"Baiklah kalau begitu. Yang Mulia Putera Ketiga yang akan memimpin kami menuju ke lokasi tersebut," kata Tuan Merrah.
Kilan mengangguk. Dia memandang ke arah Raja Willden sebelum dia menunduk ke arah raja tersebut sebagai tanda meminta diri. "Yang Mulia Raja, izinkan anakanda untuk membawa utusan dari Menara Kristal ini untuk pergi ke lokasi serangan kelmarin!"
Raja Willden hanya mengangkat tangannya dengan gaya lembut, tanda memberi kebenaran kepada Kilan untuk melakukan apa yang perlu dia lakukan.
Setelah mendapatkan kebenaran, Kilan pun beredar dari ruangan itu.
Tuang Merrah dan kumpulannya juga memberi salam hormat kepada Raja Willden sebelum mereka mengikuti Kilan.
Issac dan Jake jugs ikut keluar dari ruangan itu dan mengikuti Kilan tapi yang sebenarnya, hanya Jake saja yang mengikuti Kilan. Bila Jake bertanya kenapa Issac tidak mahu mengikuti mereka, Issac hanya menjawab yang dia masih perlu melakukan sesuatu. Jake yang tidak mencurigai apa-apa itu hanya membiarkan Issac pergi dan dia mengikuti Kilan bersama yang lain.
Issac tidak membuang masa dan segera menaiki kenderaannya sendiri untuk kembali ke kediaman Putera Ketiga. Dia kembali ke kediaman Putera Ketiga adalah tidak lain tidak bukan untuk memberi amaran kepada Aubree tentang kedatangan utusan dari Menara Kristal. Issac tidak tahu jika tindakannya ini tepat atau tidak tapi Issac tahu yang dia perlu memberitahu Aubree tentang ini.
Manakala wanita misteri yang sedang dicari itu sedang berjalan-jalan di hutan seolah-olah dia sedang berjalan-jalan di taman. Dengan gaya selambanya dia meredah setiap semak tanpa memandang ke belakang lagi.
Ketika Issac tiba di halaman kediaman Putera Kilan, dia segera mencari di mana Aubree berada.
Angela mendengar yang Issac sudah kembali dari istana dan segera bergegas untuk menyambut Issac. Namun sebaik saja dia melihat Issac dari jauh, hanya ada satu perkataan saja yang dia dengar dari mulut lelaki berwajah dingin itu.
"Dia sudah berhenti?"
Angela berhenti melangkah dan memandang Issac dengan wajah penuh tanda tanya. 'Berhenti? Apa maksud Issac?'
Okey, dua bab untuk hari ini!
Nantikan bab seterusnya pada esok hari!
Byee!