Setelah pertarungan yang cukup lama, bilangan tentera dari kedua-dua belah pihak pun berkurang tapi yang paling banyak mendapat kesan adalah kumpulan di sebelah pihak Kilan.
Kerana mereka tidak mempunyai kuasa yang lebih kuat berbanding dengan Tentera Kegelapan yang mempunyai lebih dari empat elemen dunia, Tentera Elf di kumpulan Kilan mudah saja dibunuh.
Angela juga menghadapi masa yang sukar kerana terpaksa berhadapan dengan banyak Tentera Kegelapan yang mempunyai tingkat kekuatan yang tinggi.
"Ini tidak bagus. Kita sangat-sangat memerlukan bantuan lagi!" kata Jake. Dia sudah pun tercungap-cungap kecil dan dia sudah pun mendapat luka calar di bahagian wajah dan tangan walaupun tidak dalam dan kecil saja.
Issac yang juga merasa di pihak mereka tidak akan mampu bertahan lagi, menoleh ke arah Kilan yang sedang berdiri di depan mereka.
"Saya akan alihkan perhatian mereka. Hantarkan beberapa Tentera Elf pergi ke Istana untuk meminta bantuan tambahan!" kata Angela pula.
Selain daripada mereka berempat, terdapat sepuluh orang lagi Tentera Elf lain yang masih dapat bertahan tapi keadaan mereka juga tidak terlihat baik kerana mereka sudah lelah bertarung dalam jangka masa yang lama.
Dengan cepat, mereka dikelilingi oleh kumpulan musuh.
Tidak jauh dari tempat itu, di atas sebuah lereng bukit, di mana seorang wanita Elf yang memakai pakaian berwarna hijau tua dan sedang memandang ke arah kawasan pertarungan. Di belakangnya ialah seekor harimau bertanduk yang berwarna putih.
Wanita Elf ini mempunyai rambut emas yang panjang dan ditocang satu manakala anak matanya pula berwarna merah. Dengan menggunakan salah satu dari kekuatannya, Aubree mengubah penampilannya lagi tapi kali ini dia tidak mengubah penampilannya menjadi lelaki tapi masih sebagai seorang wanita dengan imej yang berbeza.
"Betul apa yang saya teka, Issac memang mempunyai rancangan lain untuk menyerang kawasan hutan ni. Tak sangka saya terlambat beberapa minit dari mereka, jika tidak saya sudah pasti menyertai mereka dalam pertarungan ini..."
[Yang Mulia, Yang Mulia masih boleh menyertai pertarungan ini. Mereka kelihatannya hampir kalah dan tidak mampu untuk bertahan. Yang Mulia harus membantu mereka.]
Aubree mencebik kecil sambil berpeluk tubuh. "Setahu saya Issac dan kawan-kawan dia tu kuat? Kenapa mereka harus memerlukan pertolongan saya?"
[Yang Mulia, Tentera Kegelapan yang mereka lawan ini adalah Tentera Kegelapan yang berada di tingkat kekuatan yang berbeza. Kekuatan mereka sudah diubah suai dan tentu saja kekuatan mereka lebih kuat dari para Tentera Elf.]
Aubree menggaru pipinya dengan wajah bingung. "Oh, yakah?"
[Ya, Yang Mulia.]
Aubree mengangkat bahunya tanda tidak kisah. "Baik, kalau macam itu, kita akan tolong mereka!"
Usai berkata seperti itu, Aubree dengan selambanya menjatuhkan dirinya dari atas tebing bukit itu ke bahagian bawah. Jarak ketinggian dari kaki bukit ke bahagian atas sangatlah tinggi tapi Aubree langsung tidak takut untuk melompat dari sana.
White tidak mengikuti Aubree dan sebaliknya hanya memandang dari atas bukit.
Badan Aubree semakin jatuh dan jatuh sehinggalah tinggal beberapa inci lagi dari atas tanah tapi Aubree dengan segera menegakkan badannya, menjadikan kakinya yang lebih dulu mendarat di atas tanah.
Dengan gelombang yang kuat, kawasan tanah di sekeliling Aubree terbentuk menjadi bulat.
Aubree segera berdiri dan terus berlari dengan kecepatan laju menuju ke kawasan perlawanan. Aubree mendepakan tangan kanannya ke atas dan anak matanya mengeluarkan cahaya berwarna ungu sebelum ia kembali menjadi warna merah.
Sebilah pedang yang panjang dan tajam dengan ukiran yang cantik dan berwarna emas muncul di tangan Aubree. Aubree menghayunkan pedangnya ke kiri dan ke kanan, membunuh setiap Tentera Kegelapan yang berada di jalannya.
Angela ingin menggunakan Shit terakhir untuk mengalihkan perhatian semua Tentera Kegelapan itu agar salah seorang dari Tentera Elf itu boleh meminta bantuan dari Istana tapi bila dia melihat seorang wanita Elf yang memakai pedang dan menggunakan kecepatan tertinggi menyerang semua Tentera Kegelapan itu, Angela berdiri di sana dengan mulut ternganga.
Bukan dia saja tapi Tentera-tentera Elf yang ada di belakang juga ikut ternganga. Hanya ada satu saja ayat yang muncul di minda mereka semua, iaitu 'Sangat kuat!'
"Wow, kuatnya wanita Elf ni! Siapa dia?" tanya Jake dengan suara teruja.
Tiada yang menjawab soalan Jake kerana tiada yang kenal siapa wanita Elf yang tiba-tiba datang dan menghulurkan mereka bantuan.
Issac mengecilkan matanya sambil memerhati wanita itu. Dia sepertinya mengenali wanita itu tapi pada masa yang sama dia juga tidak mengenali wanita itu. 'Yang membantu dia dulu ialah seorang lelaki Elf, tapi yang ini ialah seorang wanita Elf. Adakah mereka kembar?'
Kumpulan para Tentera Kegelapan menjadi panik dan gelabah bila mereka melihat ada bantuan yang datang tapi kali ini lebih kuat berbanding dengan kumpulan Elf yang menyerang lebih awal. Siapa pula perempuan kuat ni?!
Dalam masa sekelip mata saja, semua Tentera Kegelapan yang tadinya masih berdiri di setiap kawasan itu, sudah mati dan hilang diserang Oleh Aubree.
Aubree berhenti menyerang setelah semua Tentera Kegelapan mati dan dia berjalan mendekati kumpulan Tentera Elf yang terlihat beku dan terpegun di tempat mereka berdiri.
Dengan senyuman sinis di bibir, Aubree mengangkat pedang panjang di tangannya dan diletakkan di atas bahu dengan wajah selamba. Tangan kiri pula diletakkan di atas pinggang. "Kamu tak perlu berterima kasih pada saya. Saya lakukan ini kerana ini juga adalah misi saya!"
Kilan terus maju ke hadapan, menghampiri wanita Elf yang dia tidak kenali itu. "Boleh saya tahu siapa kamu?"
"Saya? Itu kamu tidak perlu tahu. Kamu hanya perlu tahu yang saya sudah pun selamatkan nyawa kamu semua pada hari ini." Dengan wajah selamba, Aubree berkata kepada mereka.
Yang lain hanya memandang Aubree dengan pandangan tidak percaya. Mereka tidak pernah dengar ada seorang pahlawan Elf seperti dia. Jika wanita ini adalah salah satu pahlawan Elf yang sangat kuat, mereka tentu akan mengenal dia tapi mereka tidak pernah tahu jika ada seorang pahlawan wanita yang kuat begini. Paling tidak pun, pahlawan yang kuat itu ialah seorang lelaki.
Di tengah-tengah situasi itu, terdapat seorang lagi Tentera Kegelapan yang tersisa dan sedang bersembunyi di sebalik dahan pokok. Dia bersembunyi tepat di belakang Aubree dan dia melihat ada kesempatan untuk menyerang Aubree kerana Aubree tidak melihat atau menyedari kehadirannya.
Tentera Kegelapan itu pun terus melompat dari atas dahan pokok itu dan menghunuskan pisau dari arah belakang Aubree.
Issac melihat Tentera Kegelapan itu dan segera memberi amaran kepada Aubree. "Hati-hati!"
Aubree hanya mengerling ke belakang. Wajahnya yang tidak berminat itu hanya memandang Tentera Kegelapan itu menyerangnya seolah-olah dia tidak takut untuk mati.
Tiba-tiba, muncul seekor harimau putih dari sebalik batang pokok dan terus melompat ke arah tentera tadi. Harimau itu mengaum dengan kuat sebelum ia menggigit leher Tentera Kegelapan tadi.
Tentera Kegelapan tadi gagal untuk membunuh Aubree dan kini nyawanya berada di hujung tanduk.
White tidak membunuh Tentera Kegelapan itu dengan segera tapi sebaliknya menindih badan tentera itu dengan tangannya yang besar. Tentera Kegelapan itu mencuba untuk melawan lagi tapi pedang Aubree yang panjang dihunuskan ke wajahnya membuatkan Tentera Kegelapan itu berhenti bergerak.
Tentera Elf yang lain memandang Aubree dengan wajah kagum. Mereka tidak menyangka jika ada seekor Haiwan Sakti yang akan menemani wanita Elf ini.
Aubree memandang setiap wajah para Elf di depannya. "Saya rasa kamu akan memerlukan seorang ini untuk hidup bukan? Saya biarkan yang terakhir ini hidup supaya kamu boleh siasat Tentera Kegelapan ini. Mungkin boleh berguna bagi kamu di masa depan."
Setelah berkata seperti itu, White terus menghembuskan angin yang berwarna putih ke wajah Tentera Kegelapan itu. Dalam masa sesaat saja, Tentera Kegelapan itu menjadi pengsan.
Dalam hatinya, Aubree merasa terkesan dengan apa yang dilakukan oleh White kerana dia tidak pernah tahu jika White boleh mengeluarkan asap tidur seperti tadi. Meskipun dia kagum, wajahnya masih tidak menunjukkan apa-apa ekspresi.
"Terima kasih kerana sudah membantu kami. Tanpa pertolongan kamu, kami mungkin sudah kalah..." Kilan mula bersuara setelah lama dia mendiamkan diri.
Kilan terkesan dengan kekuatan yang dimiliki oleh Aubree. Dia berfikir jika dia mahu membawa Aubree kembali ke kediamannya agar Kilan boleh berbincang beberapa perkara yang penting dengan Aubree.
Tentu saja, Kilan berfikir mahu bergabung tenaga dengan Aubree untuk menghapuskan semua Tentera Kegelapan yang masuk ke desa ini atau Kerajaan Barat. Jika Elf sekuat Aubree ada di kumpulan yang sama dengan mereka, pekerjaan mereka akan menjadi semakin ringan.
Aubree hanya mendengar kata-kata Kilan dengan wajah tidak berminat. Dia hanya mengangkat tangannya dengan gerakan malam sebelum pedang yang dia pegang menghilang lagi. Tentu saja anak mata Aubree tidak bertukar menjadi ungu kerana Aubree tidak mahu ada sesiapa yang melihat warna anak matanya berubah.
"Saya cuma datang ke sini sebab saya tidak mahu mereka menemukan di mana Kristal Kehidupan itu berada. Jika mereka menemukan di mana Kristal Kehidupan itu, Raja Kegelapan pasti akan datang menyerang Kerajaan Elf... Tapi saya rasa saya tak perlu terangkan pun kamu semua sudah tahu..."
"Kamu... Ialah pelindung kepada Kristal Kehidupan?" tanya Jake pula.
Aubree berfikir sejenak. 'Pelindung? White cakap yang saya ni adalah pemilik kepada Kristal Kehidupan. Tapi saya tetap melindungi Kristal tu... Jadi, maksudnya samalah, kan?'
Aubree memandang ke arah Jake lagi. "Boleh dikatakan begitu..."
"Siapa kamu yang sebenarnya? Mata kamu berwarna merah, tiada Elf yang mempunyai mata berwarna merah," kata Angela pula, menuding jarinya dengan wajah curiga ke arah Aubree.
Aubree tergelak kecil dengan soalan Angela. Dia berpeluk tubuh dan menjawab dengan suara acuh tak acuh saja. "Ini pertama kali kau nampak Elf bermata merah? Jangan risau, lepas ini kau akan mengenali Elf yang mempunyai warna marah yang berlainan lagi..."
Angela menggetap bibirnya. Sejak pertama kali dia melihat wanita itu, Angela merasakan sesuatu yang tidak kena. Dia merasakan perasaan yang sama seperti yang dia rasa ketika melihat lelaki Elf yang menjadi pemilik anak panah yang dicari oleh Issac.
Dan sekarang, perasaan tidak selesa itu muncul lagi ketika dia melihat Aubree. 'Kenapa ni? Tidak mungkin perempuan ni dengan pemilik anak panah hari itu adalah orang yang sama. Mereka tidak mempunyai raut wajah yang sama jadi mereka tentu bukan orang yang sama... Tunggu!'
Angela membacakan sebuah mantera dengan cepat dan mendepakan tangannya ke depan, menuju ke arah Aubree. Serta-merta, cahaya berkilau berwarna emas muncul dari telapak tangan Angela dan terbang menuju ke arah Aubree.
Kilan dan yang lain terkejut melihat tindakan Angela.
"Angela, apa yang kau lakukan!?" teriak Kilan.
Aubree segera mengayunkan tangannya dan datanglah angin lalu meniupkan debu emas itu agar tidak melekat padanya. Aubree memandang Angela dengan tajam. 'Ahli Sihir ni tidak habis-habis nak kenakan orang!'
Issac terus melompat dan berdiri di depan Angela, di tengah-tengah antara Aubree dan Angela. "Angela, berhenti! Jangan cederakan dia!"
"Saya curiga dia ialah orang yang sama dengan pemilik anak panah yang kau cari hari itu! Saya hanya mencuba meletakkan sihir saya kepada dia untuk melihat kebenaran!" kata Angela, mempertahankan dirinya.
Issac terdiam tapi dia masih lagi memandang Angela dengan wajah dingin. "Tidak mungkin mereka itu orang yang sama. Pemilik panah yang saya cari itu ialah seorang lelaki tapi dia seorang wanita..."
"Jangan percaya dengan apa yang kau nampak, Issac. Boleh saja wanita Elf ini juga ialah seorang ahli sihir atau mempunyai kekuatan yang lebih kuat dari saya. Dia boleh mengubah identiti dia sendiri. Lihat mata dia, mata dia yang berwarna merah dan pelik itu sudah cukup membuktikan yang dia bukan Elf biasa..." Angela yang tidak puas hati mendengar kata-kata Issac terus memandang Aubree dengan pandangan tajam.
Semua orang memandang Aubree pula. Bila mereka fikirkan, ini pertama kali mereka melihat seorang Elf bermata merah. Siapa dia sebenarnya?
Aubree mengeluh bosan dan menggeleng-gelengkan kepalanya dengan semua perkataan yang dikatakan oleh Angela. "Saya tidak tahu apa yang kau cakap ni dan saya tidak mahu tahu. Oleh kerana pekerjaan saya di sini sudah selesai, saya harus pergi. Banyak pekerjaan yang perlu saya selesaikan."
Aubree melompat naik ke atas badan White dan dalam sekelip mata, mereka menghilang.
Tiada yang sempat menghalang Aubree pergi kerana White menghilang dengan sangat cepat.
Melihat bagaimana orang yang sudah menolong mereka sudah pergi tanpa sempat Kilan mengatakan niatnya, Kilan pun memandang Angela dengan wajah tidak senang.
"Jika saja kamu tidak mengatakan apa-apa yang buruk tentang dia, pahlawan itu mungkin tidak akan lari begitu saja. Saya mungkin boleh berunding dengan dia untuk bergabung dengan kita melawan Tentera Kegelapan... Tapi sekarang... Kerana semua ayat tidak masuk akal kau, dia terus pergi dari sini," Kilan mengeluh kecewa. Tidak pernah dalam seumur hidupnya, dia merasa begini kecewa dengan Angela. Ini ialah yang pertama kali.
Angela terkedu mendengar kata-kata Kilan. Dia tidak terfikir pula jika Kilan mahu merancang mahu membawa wanita tadi bergabung dengan mereka untuk melawan Tentera Kegelapan. Dia hanya berfikir jika wanita itu akan mengancam mereka di masa depan—Bukan, Angela merasa yang wanita itu akan menjadi punca utama yang akan mengancamnya di masa depan nanti.
Issac mengeluh pula. Dia memandang Tentera Elf yang lain. "Periksa tempat ini lagi dan pastikan tiada jejak dari Tentera Kegelapan yang tertinggal. Jika ada apa-apa yang mencurigakan, segera laporkan kepada kami. Kita harus membersihkan tempat ini dan pergi secepat mungkin..."
Semua Tentera Elf itu menunduk, mengikuti arahan yang diberikan.
"Baik, Yang Mulia!"
Kerana arahan dari Issac, semua Elf pun bergerak untuk melakukan kerja mereka. Issac dan Kilan pun mengabaikan Angela setelah perkara yang dilakukannya. Jake pula ingin mengatakan sesuatu untuk melegakan hati Angela tapi bila dia terfikir yang Angela tidak pernah suka dengannya membuatkan Jake juga ikut diam dan mengikuti yang lain bekerja.
Angela ingin mempertahankan dirinya namun melihat tiga orang sahabatnya mengabaikan dia, Angela hanya mampu menggigit bibirnya dan menutup mulut. Rasa marah di dalam hati terhadap Aubree menjadi semakin besar.
'Semuanya kerana gara-gara wanita Elf yang bodoh itu!'
...
Di sisi lain, Aubree terus bersin saat namanya disebut di tempat lain. Aubree menggosok hidungnya dengan jari telunjuk.
"Ada orang mengumpat saya kah?"