Tải xuống ứng dụng
33.33% bercerita kisah seram / Chapter 1: Siri Tamar Jalis - Siri Bercakap Dengan Jin (Jilid 1) Siri Bercakap Dengan Jin Jilid 1(1) : Bercakap Dengan Jin
bercerita kisah seram bercerita kisah seram original

bercerita kisah seram

Tác giả: linchufeng

© WebNovel

Chương 1: Siri Tamar Jalis - Siri Bercakap Dengan Jin (Jilid 1) Siri Bercakap Dengan Jin Jilid 1(1) : Bercakap Dengan Jin

Suatu petang dalam tahun 1960. Datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya "Kamu usah jadi pemburu." "Kenapa tok?" Dia tidak terus menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. "Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu," tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan lagi padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.

Datuk memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketdiak kanannya lalu dilemparkanya sebelah kiri.

Datuk dapat senapang bukan kerana dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun, kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya diaitu ibu saya. Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemaranya. Dia pemurah dan suka mendengar orang mengaji Al-Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca al-Al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan melalui saya.

Biasanya, kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja, yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: "Suatu ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran denga Pantai Remis. Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk mengahala muncung senapang pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.

Datuk terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ. Seekor rusa lain muncul di depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi. Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.

Bila datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat, kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh, berperahu ke Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga, empat, lima, enam dan tujuh. Kokok ayam hutan bertambah nyaring.

Daun-daun hutan di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.

Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.

"Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup angin. Datuk diam bertafakur.

"Kau tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh datuk. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.

"Tidak," jawab datuk dengan berani.

"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."

"Aku sudah meminta kebenaran."

"Aku tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak-gerak.

"Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi." Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.

"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok hutan bergerak-gerak.

(Bersambung.....)


Chương 2: Siri Tamar Jalis - Bertemu dengan penunggu babi hutan.

Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.

Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :

Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi

melemang"¦"¦"¦

Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu."

Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang ialah sebatang pokok besar dengan akar-akar bergayutan yang mencecah muka bumi.

Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : "Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu."

Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudian baru kawan-kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Angldia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawankawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama-sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.

"Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu." Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.

Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah gdiat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu sdiang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk.

Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup rajin belajar ilmu-ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak susut.

Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan-segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri," kata datuk.

Pada suatu pagi Ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port Weld, dekat Taiping diaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang hajat mereka untuk memburu babi.

Hasrat datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Angldia mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki. Sampai ke kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi.

Kemudian datuk dan kawannya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti, dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga

petang. Dia mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk memang cekap menembak.

Jalan punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya mengelilingi belukar kecil itu, tiba-tiba babi itu keluar dari belukar dan berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.

"Dia sudah luka," Datuk memberi tahu kawannya.

"Hati-hati babi hutan luka selalunya ganas."

"Aku tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan diserangnya," tambah datuk lagi. Kawannya akur pada cakap datuk.

Datuk memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya. Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.

Suatu ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut dan terus lari. Datuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang. Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondolnyondol tanah dengan tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang.

Jadi berada di kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh satu kolam kecil yang airnya keruh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira-kira lima kaki itu. Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik.

Babi hutan itu itu terus juga menyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara. Tiba-tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi berpinar-pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya. Dengan pokok-pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntadian. Datuk mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga kerana belari. Dia mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan diserangnya.

Datuk tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datuk meletakkan buntut senapang di bahu. Dengan hati-hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik pokok besar.

Dari celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi. Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan-akan melayang-layang.

Datuk segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya. Dia terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia ke seberang sungai. Datuk menentang kuasa itu dengan penuh keyakinan. Kali ini datuk terasa dia mula tewas. Dia terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka mata. Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya. Datuk berpatah balik.

Bila datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya tidak berkunang. Pokok-pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi, ternyata hanya pokok-pokok kecil yang tidak ada akar bergayut. Datuk duduk di situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.

"Kenapa ?" tanya kawan datuk

"Kita balik."

Mereka pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa.

Datuk kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.

"Kenapa Tok," tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.

"Kalau saya tahu tadi, awak nak memburu mesti saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu Dendang," kata Sarjan Ali.

Datuk diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.

"Saya dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setdiawan hilang ghaib entah ke mana berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang tinggal," sambung Sarjan Ali. Meremang bulu roma datuk mendengarnya.

Kemudian datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang diberikan oleh Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan. Orang itu berkata pada datuk begini : "Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana."

"Saya nak jumpa juga."

"Tambahkan lagi ilmu pendinding diri untuk kau." Kata orang tua itu. Namanya Tok Aki Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar.

Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.

(Bersambung....)


Load failed, please RETRY

Tình trạng nguồn điện hàng tuần

>Cần 15.000 từ để xếp hạng.

Đặt mua hàng loạt

Mục lục

Cài đặt hiển thị

Nền

Phông

Kích thước

Việc quản lý bình luận chương

Viết đánh giá Trạng thái đọc: C1
Không đăng được. Vui lòng thử lại
  • Chất lượng bài viết
  • Tính ổn định của các bản cập nhật
  • Phát triển câu chuyện
  • Thiết kế nhân vật
  • Bối cảnh thế giới

Tổng điểm 0.0

Đánh giá được đăng thành công! Đọc thêm đánh giá
Bình chọn với Đá sức mạnh
Rank N/A Bảng xếp hạng PS
Stone 0 Power Stone
Báo cáo nội dung không phù hợp
lỗi Mẹo

Báo cáo hành động bất lương

Chú thích đoạn văn

Đăng nhập

tip bình luận đoạn văn

Tính năng bình luận đoạn văn hiện đã có trên Web! Di chuyển chuột qua bất kỳ đoạn nào và nhấp vào biểu tượng để thêm nhận xét của bạn.

Ngoài ra, bạn luôn có thể tắt / bật nó trong Cài đặt.

ĐÃ NHẬN ĐƯỢC