Carl gelisah dalam bilik tidurnya. Sekejap tubuhnya mengiring ke kanan kemudian ke kiri setelah itu ke kanan semula. Akhirnya, dia terlentang kepasrahan. Apa yang tak kena dengan diri aku ni? Fikir Carl sejenak. Dia berfikir lagi, sejak akhir-akhir ini kerja di pejabat semakin melambak. Ditambah lagi karenah Eliza yang semakin menjadi-jadi. Itu salah, ini salah. Apa yang kau nak sebenarnya perempuan? Tiba-tiba dia merasakan hidupnya semakin kusut dan galau.
Malam harinya tidak lagi seperti dahulu yang aktif melawat kelab-kelab malam. Berfoya-foya dengan rakan kenalannya. Apalah nak jadi pada diri aku ni…Keluh hatinya.
Dia menganalisa kembali aktiviti hariannya, lepas kerja dia terus pulang ke rumah. Kalau tidak menonton televisyen dia akan bermain video game. Kadang-kadang dia terus lelap hingga ke pagi. Sudahnya, di pagi hari dia perlu bersiap menghambakan dirinya dengan kerja-kerja di pejabat. Makin sendu je hidup aku. Ngomel Carl di dalam hati.
Carl mengeluh untuk sekian lamanya. Lelah berada dalam bilik tidurnya tanpa melakukan apa-apa, dia ambil keputusan untuk berjalan di perkarangan villa milik keluarganya sambil menghirup udara malam. Dia ternampak susuk tubuh anak saudaranya yang sedang enak duduk di gazebo dan pandangannya menghala ke arah kolam renang yang terbentang luas.
Dari sisi, jelas kelihatan bibir nipis Gabriel sesekali mengukir senyuman. Sekejap senyumannya melebar luas kemudian raut wajahnya kembali sedia kala. Selepas itu, dia akan tersengih sendirian menampakkan giginya yang putih berseri dan tersusun rapi. Hampir tergelak Carl dibuatnya. Hatinya tercuit melihat gelagat Gabriel tapi dalam pada masa yang sama hampir naik meremang bulu romanya. Kalau tidak kerana penampilan Gabriel yang normal pasti dia sudah melabelkan Gabriel seperti orang gila.
Walaupun pandangan Gabriel tetap ke arah kolam renang, tapi dia tahu minda lelaki itu tiada di sini. Entah terbang melayang ke mana agaknya? Setelah itu, Carl ternampak muka Gabriel semakin bercahaya apabila melihat skrin telefon bimbitnya dan kemudian senyumannya melebar lagi. Jari-jemarinya tangkas menaip sesuatu. Setelah selesai dia menggenggam telefon bimbit itu seakan itu barang yang sangat berharga.
Hehehe…telefon bimbit memang barang berharga apatah lagi zaman sekarang ini tapi gelagat budak ni macam pegang setongkol emas. Kalaulah telefon itu benda hidup mesti mereka rimas sebab hampir setiap masa berkepit dengan tuannya. Komen Carl dalam hati.
Carl menggosok belakang kepalanya. Hairan dengan dirinya sendiri. Rasanya ini bukan kali pertama dia mengintip anak saudaranya berkelakuan seperti ini. Kalau dalam perkiraannya mungkin ini kali yang ketiga almaklumlah dia banyak masa sangat sejak akhir-akhir. Banyak masa lah sangat! Gerutu hati Carl.
Tiba-tiba bibir Carl mengukir senyuman nakal. Dalam kepalanya dia terfikir sesuatu. Kantoi lah lepas ni. Belagak dengan aku yaa…nak tunjuk happy tak kena tempat budak ni. Hati aku galau, kau boleh pula tersengih-sengih macam orang gila kat sini. Hehehe…siap kau! Dia tersenyum keriangan.
Langkahnya diatur kemas. Seperti memburu mangsa masuk ke dalam perangkap, dia mendekati targetnya dengan perlahan-lahan. Bila dia pasti targetnya leka dengan dunianya sendiri, apalagi Carl terus melompat dan menerkam ke arah mangsanya.
"Wargghhh!!" Sergah Carl di hadapan Gabriel sambil tangannya mendepa luas dan kakinya terbuka seperti ingin menghadang mangsanya daripada terlepas dari kepungannya.
"Oiii!!!" Suara garau Gabriel menjerit. Akibat terkejut, dia melompat bangun dari tempat duduknya dan melambung telefonnya ke atas. Dalam keadaan dirinya yang kalut dan hatinya berdegup pantas, kedua-dua tangannya masih tangkas menangkap kembali telefon bimbitnya daripada jatuh berkecai menyembam bumi.
"Kahkahkah..." Berdekah-dekah Carl ketawa hingga terbit air jernih di hujung matanya.
"Kurang asam punya orang tua, " Desis Gabriel mengurut dada bidangnya. Dia menjeling tajam ke arah Carl yang masih dengan sisa-sisa tawanya yang menyakitkan hati.
Carl tidak ambil hati dengan gelaran yang dipanggil oleh Gabriel kerana malam ini dia menerima bayaran yang agak lumayan.
"Wahhh...puas hati aku!" Teriak Carl dengan riang. "Dapat juga aku tengok muka pucat dengan aksi ultraman kau tu. Hahaha...hilang cool. Hahaha..." Carl menyambung lagi tawanya bila mindanya masih terbayang lagi aksi Gabriel sebentar tadi.
"Kau memang tak boleh tengok aku senang sikit. Kalau telefon aku pecah macam mana?"
"Stingy man! Beli je baru. Kau kan kaya."
"Ni bukan fasal duit. Maklumat bisnes dalam ni banyak..." Belum sempat Gabriel memberi alasan kata-katanya terus dipotong.
"Tak payah nak kelentong dengan aku. Yang kau pegang tu telefon personal kau. Maklumat yang kau maksudkan adalah mesej-mesej budak kafe tu kan? Kalau pecah sunyi lah kau malam ni. Tak de bunyi ting..ting..menandakan mesej masuk." Perli Carl terlentang baring di gazebo.
Gabriel terdiam. Sakit hatinya semakin berganda bila mendengar kata-kata Carl. Memang tiada rahsia yang boleh dia tutup daripada Carl. Mata bapa saudaranya itu seperti helang. Tahu saja gerak gerinya. Dia mengerling ke arah Carl yang santai terbongkang atas gazebo.
"Tak keluar malam ni?" Tanya Gabriel bersahaja sambil duduk kembali di tempatnya.
"Malas, " jawab Carl sepatah. Gabriel memandang pelik ke arah Carl.
Hmm...sungguh luar biasa. Sejak akhir-akhir ni aku perasan orang tua ni selalu ada kat rumah. Telefon pun tak ada kat tangan. Kalau tidak berkepit dengan telefon 24 jam. Kata hati Gabriel.
"Kau ada masalah?" Tanya Gabriel ingin tahu.
"Aku tak ada masalah tapi kau macam cari masalah, " kata Carl penuh makna. Gabriel rasa tidak senang mendengar kata-kata Carl.
"Apa maksud kau?"
"Aku bukan jealous tapi aku nak tanya. Kau memang serius dengan budak kafe tu?" Tanya Carl dan dia kembali duduk menegak. Matanya merenung dalam ke arah Gabriel. Gabriel mengalih pandangannya ke arah lain.
"Apa yang kau merepek malam-malam ni?"
"Tak payah nak berbelit dengan aku. Sejak kes Dragon tu pedajalkan kita, time break je kau lesap. Keluar rumah awal pagi tinggal aku terkontang-kanting. Nasib time balik je kau ada terus kat rumah. Tu belum lagi isu kau larang aku pergi kat kafe tu. Aku tak settle lagi kes Dragon tu pedajalkan aku tempoh hari. Berani betul perempuan tu. Tiba-tiba aku rasa nak marah." Keluh Carl.
"Hahaha...Rasa menegak bulu roma aku dengar cara kau cakap ni. Kau nak buat apa sibuk pergi kafe tu lagi. Mary tak kerja kat situ lagi dah so lupakan jelah. Bagilah chance kat aku nak usha buah hati aku. Aku tak nak kau spoiled kan misi aku sebab tu aku larang kau pergi kafe tu." Luah Gabriel, nak berahsia dengan Carl macam tak guna saja, baik dia berterus terang.
"What?" Tanya Carl sedikit terkejut. "Kau cakap apa tadi?" Tanya Carl dalam keresahan.
"Muka kau tu dah kenapa? Aku ada salah cakap?" Tanya Gabriel kehairanan bila dilihat wajah Carl yang terkejut kemudian berubah kepada tidak puas hati.
"Semua yang kau cakap tu tak salah tapi bermasalah." Rahang kiri dan kanan Carl bergerak-gerak seperti menahan perasaannya yang terpendam. Selama 28 tahun hidup membesar bersama-sama dengan bapa saudaranya itu, seperti Carl, Gabriel juga sangat arif tentang apa yang tersimpan dalam lubuk hati Carl.
"Kau buat aku pening. Masalah sebenarnya adalah kau. Tak settle lagi ke dalaman kau tu? Aku cakap let her go." Tegur Gabriel. Nadanya sudah naik satu oktaf.
"No! I won't let her go." Balas Carl dengan tegas. Gabriel mengeluh melihat kedegilan Carl. Tidak tahu pula lelaki ini suka menyimpan dendam dengan seorang perempuan yang baru ditemui sebanyak dua kali.
"Kau boleh buat apa? Dia tak kerja kat situ lagi." Cabar Gabriel. Carl terpana.
"Ni semua salah kau. Kenapa baru hari ni kau cakap?" Gabriel menjadi sasaran Carl melempiaskan ketidakpuasan hatinya.
"Mary tu siapa pada kau? Nak aku report bagai. Tapi sebelum kau tanya lagi baik aku jawab. Semester break over, so dia resign. Aku nasihat kan kau, jangan cari masalah. Mary tu kawan baik Eylem. Aku tak nak ada masalah yang boleh merosakkan hubungan aku dengan dia." Tegur Gabriel memberi amaran. Walaupun nadanya bersahaja tapi ada ketegasan di dalamnya.
Carl mendengus tidak puas hati. Kenapa semua tak berjalan seperti di rancang? Sakit kepala dibuatnya. Carl memandang Gabriel sambil tersenyum sinis.
"Aku rasa kau silap besar kalau kau fikir aku boleh jadi perosak kepada hubungan kau dengan gadis kafe tu. Kau jangan lupa masalah terbesar adalah kedua orang tua kau. Apa kau nak buat dengan permintaan mereka? Jangan kata kau lupa. Kalau kau lupa, sia-sia Mag ada abang macam kau." Berdas-das tembakan yang diberi oleh Carl membuatkan Gabriel termenung.
Inilah yang dimaksudkan oleh Carl, dia mencari masalah.
"It's okay. Kita masih ada masa." Kata Gabriel seolah memujuk hatinya sendiri walau risikonya jelas terbentang depan mata.
"Not okay. " Balas Carl perlahan. Dengar berita dari kau fasal Dragon, aku lagi tak okay. Bila dendam aku boleh terbalas? Hanya mampu ungkap kenyataan itu di dalam hatinya saja. Akhirnya, kedua-dua lelaki pujaan malaya termenung sendirian memikirkan nasib yang menimpa diri mereka.
Eylem membungkus sarapan pagi yang ringan dan air kopi kegemaran Gabriel. Tangannya ligat bekerja tanpa dia sedar bibir mungilnya sentiasa mengukirkan senyuman manis. Dari jarak yang tidak jauh Gabriel juga tersenyum senang.
Matanya memerhati gerak geri buah hatinya. Mereka tidak bercinta tetapi hubungan rapat yang mula terbina antara mereka berdua menyebabkan hati Gabriel terasa angau dilamun cinta. Ini kali pertama dia sangat tertarik dengan seorang perempuan.
"Your breakfast." Kata Eylem tersenyum lalu menghulurkan makanan tersebut pada Gabriel. Dia menerima dengan senang hati.
"Nanti kita lunch sama." Ajak Gabriel. Eylem terdiam. Senyumnya mati di situ.
"Kenapa diam? Awak macam tak suka luangkan masa dengan saya, " luah Gabriel seperti berkecil hati. Bukan gadis ini kah yang dulu teruja melihat dirinya?
"Bukan macam tu." Teragak-agak dia ingin meneruskan kata-katanya. "Awak tak rasa awak kerap datang sini? Nanti apa orang kata?" Jujur kata sebenarnya dalam kalangan rakan kerjanya semua sudah mula bergosip tentang dirinya dengan lelaki tampan dan segak yang sedang utuh berdiri di hadapannya kini. Ada yang baik, ada yang buruk tetapi wajar kalau kata gosip negatif yang lebih mendominasi.
"Nak kata apa? Saya beli makanan, berbual sikit dengan awak. Macam customer yang lain." Protes Gabriel.
Eylem mengeluh. Susah bercakap dengan orang yang lain tahap pemikiran dengannya.
"Kenapa awak ajak saya lunch? Awak tahu, bukan senang saya nak kompromi dengan rakan kerja lain untuk tukar masa dengan mereka, " luah Eylem. Awak tak tahu mereka semua cemburu melihat awak dengan saya. Sambung kata hatinya.
Gabriel hanya tersenyum mendengar luahan Eylem. Dia tahu perbualan ini agak tegang tapi dia tidak peduli itu semua. Keharmonian antara dia dan Eylem perlu dijaga.
"Kalau awak tak tolak permintaan saya hantar awak balik dari kerja, tak ada lah saya gatal nak ajak awak lunch. Awak pilih. Lunch dengan saya atau balik dengan saya. Pilih." Kata Gabriel bersahaja.
Eylem terkesima. Suara lelaki ini memang membunuh jiwa Eylem. Kalau sesiapa yang mendengarnya pasti cair dengan kelembutan nada suaranya, tetapi siapa sangka lelaki yang berwajah tenang ini ada sisi yang memaksa orang lain ikut kehendaknya.
Dia tersepit. Kalau dia terima ajakan Gabriel makan tengah hari, gosip di tempat kerjanya semakin menjadi-jadi. Kalau pulang kerja dengan lelaki ini, pasti di rumah dia akan di soal siasat tanpa henti oleh Mary. Lebih parah kalau Gabriel tahu Mary masuk kerja pukul 5 petang. Kantoi nanti dia menipu lelaki ni.
"Kenapa awak macam ni?" Rungut Eylem. "Saya ingat muka kacak bukan pembuli, " ujar Eylem tanpa segan silu. Kalau hatinya geram atau teruja pasti apa yang terfikir dalam mindanya akan terkeluar dibibir. Dia tanpa sedar mengkritik karakter dan penampilan Gabriel. Gabriel ketawa senang mendengar komen Eylem.
"Thanks for the compliment. Tapi bila masa saya buli awak?" Usik Gabriel lagi.
Eylem merengus kecil kerana terlepas kata. Hish...tak sayang mulut kau ni. Suka memalukan diri sendiri. Marah Eylem di dalam hati. Selepas menimbal balik baik dan buruk sesuatu tindakan akhirnya dia buat keputusan.
"Okay, no more talk. Kita lunch sama but just for today." Eylem sebulat hati menyuarakan keputusannya.
"Good!" Kata Gabriel dengan senang hati. Tidak mengapa, lain hari lain pula strategi yang akan diatur. Misinya hingga gadis kafe ini menjadi miliknya. Dia tersenyum penuh makna.