Bahagian I
Aku tersenyum apabila insan yang paling kusayangi berada di hadapanku. Dia memandangku dengan lembut. Kerinduan yang terbuku dalam hatiku, membuatkan kegembiraanku memuncak bertemu dengannya. Apatah lagi, sudah mustahil untuk aku menatapi wajahnya itu.
"Yami, mak bangga dengan kamu..."
Aku cuba untuk membalas kata-kata itu, tetapi...
Kring.....!!!!
.....................
"Ah, aku bermimpi lagi..." Monologku itu, mengembalikan aku ke dunia nyata. Aku membuka mata lalu memandang kosong ke arah siling bilikku. Kemudiannya, aku memejam mata kembali, berharap kalau-kalau dapat menyambung mimpi itu. Bunyi kuat locengku tidak langsung memotivasikan aku untuk bangun. Aku hanya membiarkan bunyi loceng itu menjerit dan menyambung semula tidurku. Kantukku cukup kuat mengekangku untuk bangun. Sekalipun begitu, aku yang baru sahaja diulit mimpi kembali, berasakan diriku bergegar dek dikejut oleh seseorang.
"Yami-san, bangun. Awak akan terlewat..." Suara gadis lembut bergema, mengejutkanku dengan sopan....
"Huh?" (hairan) Aku ada adik atau kakakkah? Setahu aku, hanya aku sahaja di rumah ini. Nee-san? Dia sudah lama tidak berkunjung ke rumah ini. Mustahil kawan perempuanku, Sacchan, datang mengejutkanku kerana dia sibuk membantu keluarganya. Mustahil bapaku yang membangunkanku kerana dia masih berada jauh di luar negara, apatah lagi suara yang mengejutkanku ialah suara perempuan. Ibuku? Tidak, aku tidak pernah mengharapkan keajaiban untuk bertemunya semula...
"Lima minit lagi... Bukan, 5 tahun cahaya lagi...." Kataku, selamba.
"Yami-san, bangun! 5 tahun cahaya ialah ukuran jarak, bukan masa! Bangun!" Empunya suara itu menarik gebarku, mendedahkan pandanganku pada sinar mentari pagi. Langsir bilikku sudah disisipkan di hujung tingkap, membuatkan bilikku sudah terang-benderang.
Aku pun mengalah lalu bangkit dan duduk di atas tilam empukku itu. Mataku tertatap pada wajah ayu, gadis yang membangunkan aku daripada tidurku. Kelibat gadis heroin semalam, kini berhadapan denganku yang masih bersemayam di katilku. Rambutnya tidak lagi perak tetapi hitam dan anak matanya kembali seperti warna normal. Pakaiannya juga normal, kasual seperti gadis sebayanya, cuma dia berapron, bagai sedang memasak.
"Selamat pagi, Yami-san..." Ucap gadis itu.
"Pagi... Huh? Amamiya Aya? Mengapa kamu berada di sini?" Ujarku, melihat kelibat mahou shoujo yang sepatutnya menjadi rahsia kerajaan ini, berada di rumah rakyat marhen seperti aku ini.
"Saya sebenarnya.... (terkesima) Kiiiiiiiiyaaaaaaaaaaaaaaa......." Amamiya secara tiba-tiba menjerit, memekakkan telingaku pagi-pagi ini.
"Kenapa? Ada raksasa lagi? Lipas?" Kataku menolehkan kepala ke kanan dan ke kiri mencari punca jeritan Amamiya yang memekakkan itu.
"Lebih teruk daripada itu!" Jarinya tertunjuk ke arah seluar pendekku. Tengah-tengah lokasinya, lebih tepat lagi. Ya, ya.... Fenomena lelaki.... Dah macam eroge pula. Nanti, lepas ini pasti....
"Tunggu... Ini...." Aku dengan tenang cuba menerangkan.
"Ecchi.... (Gatal)!"
"Pang!" Ya, seperti ramalan anda, aku ditampar. Kadangkala, aku tertanya-tanya tentang keadilan di dunia ini yang terus menjatuhkan hukuman tanpa mendengar keterangan defendan terlebih dahulu!
.........................
Selepas bersiap-siap dan lengkap beruniform sekolah, aku pun turun ke ruang tamu dan melihat sarapan pagiku sudah terhidang di atas meja makan. Di sisi meja, wajah mencuka Amamiya sedang duduk menghadap juadah pagi itu, cuba mengabaikan kewujudanku di situ. Aku duduk bertentangan lalu mengambil copstik yang ada di hadapan dan memulakan hariku ini dengan mengisi perutku.
"Itadakimasu!" Aku mula menjamah makanan yang terhidang dengan penuh berselera. Enak dan sedap masakan yang disediakan ini. Setiap kunyahan menerbitkan rasa kelazatan yang tidak berbelah-bahagi. Amamiya yang sedang muncung tanpa bahasa mula memberikan reaksi kepadaku.
"Jangan abaikan saya!" Aku berhenti menjamah lalu memandangnya. Amamiya agak gugup apabila aku mula bereaksi dengan serius.
"Baiklah... Apakah tujuan kedatangan kamu ke rumah aku?" Soalan pertama aku, lagak seperti seorang polis yang sedang menyoal siasat.
"Kenapa..." Amamiya bagai berat untuk menyatakan sesuatu kepadaku.
"Hmmm?" Kataku, memulakan kembali suapan dan menelan kuyahan sarapanku yang enak itu.
"Kenapa awak bertindak sedemikian?" Amamiya berbicara lembut, menyoal diriku. Aku menggeleng kecil. Adakah gadis ini masih bersekolah rendah? Takkan dia tidak tahu akan fenomena seorang lelaki muda, atau lebih dikenali remaja, yang sihat ini?
"Itu ialah reaksi lelaki pada....."
"Bukan itu! Isyh... (marah) Yang saya maksudkan malam tadi..." Amamiya berasa segan mengenangkan peristiwa tadi. Oh, aku salah sangka dengan soalan tadi. Tanyalah betul-betul. Amamiya ingin mengetahui tindakanku malam, ketika kami berdua ditimpa bahaya. Apabila difikirkan balik...
"Tunggu dulu..." Aku pula bersuara. Ingin mempersoalkan sesuatu.
"Ya?" Jawab Amamiya.
"Sebelum aku menjawab soalan itu, terangkan bagaimanakah kamu boleh tahu aku tinggal di sini. Aku pasti yang aku meninggalkan kamu tanpa sebarang kata-kata...." Soalku pula. Gadis itu dapat mengesan tempat tinggalku dengan begitu mudah. Malah, siap boleh mencerobohinya tanpa pengetahuan aku.
"Melalui badan perisik peribadi saya. Mahou shoujo dapat banyak kelebihan dan kami dilindungi kerajaan. Petik jari sahaja untuk tahu di mana awak tinggal..." Amamiya dengan rasa bangga berbicara.
"So ka? (Yakah)" Aku menyambung suapanku.
"Adakah makan ini juga datang daripada perisik kamu? Sungguh sedap! Lama sungguh aku tidak menikmati makanan ini sejak Nee-san dan Sacchan tidak lagi singgah di rumah aku...." Kataku, yang sangat menyenangi makan pagi hari ini.
"A-awak menyukainya...?" Amamiya kemerahan mukanya. Aku tidak tahu kenapa dia berasa gembira mendengar kata-kataku itu.
"Ya, siapakah yang membencikan makanan enak?" Aku meneruskan kunyahanku. Oleh sebab semalam aku terus sahaja tidur akibat keletihan, jadi pagi ini aku benar-benar lapar. Sudahlah dihidangi makanan masakan 'rumah' yang masih panas-panas, malah sedap dan menyelerakan.
"Uhum (batuk sengaja).... Yami-san.... Jawab soalan saya pula. Kenapakah awak sanggup mengorbankan "nyawa" awak untuk saya? Awak tidak menghiraukan masa hadapan awak?" Amamiya dengan nada serius, kembali kepada topik.
"...." Soalan itu memerlukan jawapan yang kompleks. Ya, aku telah mengorbankan nyawaku untuk menyelamatkan Amamiya. Aku mungkin tidak akan hidup lama. Aku sendiri bersetuju dan sanggup berkorban untuk menyelamatkan Amamiya, dengan nyawaku sebagai galang gantinya. Aku masih teringat-ingat akan kisah yang berlaku pada malam tadi. Kisah yang akan mengubah seluruh hidupku, selama-lamanya.....
...............
"Sanggupkah kau berkongsi nyawa dengan gadis ini?" Pedang kristal Amamiya bersuara, meminta kepastian untuk aku menyelamatkan gadis ini. Aku tersenyum lega. Aku masih ada pilihan. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu berhutang nyawa dengan gadis ini. Aku enggan mengulangi sejarah hitamku. Kehilangan orang yang disayangi...
"Nyawa?! Bagaimana?!" Soalku serius.
"Mudah sahaja, kami perlu menyalurkan "kuasa hidup"mu kepada gadis itu. Semudah itu sahaja... Namun, "masa" kamu untuk hidup akan menjadi singkat kerana menjadi bahan korban untuk [kekuatan] Primula..." Jawab pedang itu, dengan nada robotiknya.
"Begitukah...? (Tarik nafas) Kalau begitulah, ambillah seberapa banyak "masa" hidupku, aku tidak kisah! Ambillah..." Aku menjawab tanpa sebarang keraguan lagi. Aku sudah membulatkan hati ini.
"Kalau begitu...." Ujar pedang itu, mula memberikan arahan.
"Ya?" Aku sudah bersedia.
"Cium gadis itu..." Pedang itu bersuara memberikan aku arahan.
"Baiklah....(tergamam seketika) TUNGGU!!!! (muka pucat) Apa maksud kamu dengan cium!?" Aku terkejut dengan permintaan itu. Bagiku, kelakuan sedemikian sangat asing, terutamanya aku yang merupakan "antiwanita" terkenal di sekolahku. Mungkin aku ada beberapa kawan perempuan, tetapi perkataan "cium" tidak pernah berlegar dalam diari hidupku.
"Tiada cara lain?" Tanyaku.
"S*ks?" Suara pedang itu menjawab.
"Pufffff....." (tersedak) Tersembur air liurku, mendengarkan kata bersahaja pedang kristal itu. Lagilah teruk! Maksudnya cium sahaja yang paling mudah?
"Huh... Tiada lagi cara lebih baik?" Aku berkata lagi.
"Masa semakin suntuk... Buatlah pilihan kamu wahai manusia..." Pedang itu semakin malap cahaya. Aku terdesak. Ciuman atau sesalan. Adakah ini dinamakan ciuman putera kepada puterinya yang disumpah? Oh, dah macam filem D*sney pula! Aku peminat filem Gh*bli...
"..." Aku lihat wajah Amamiya, sambil menelan air liur. Ciuman pertamaku...
"Baiklah...." Aku menghampiri wajah gadis yang hilang kesedaran itu. Ayu dan comel. Aku mengangkat kepalanya secara lembut dan mendekatinya ke arah wajahku. Badan itu masih ada kehangatan, menunjukkan ada lagi sisa nyawa untuk Amamiya. Bau wangi Amamiya mula menyerang hidungku. Pertama kali aku terbau keharuman seorang perempuan sebegitu dekat. Bibirku disuakan ke arah bibir mugil gadis itu. Aku cuma mahu gadis itu hidup seperti gadis-gadis sebayanya. Aku memeluk erat gadis itu. Aku pun menutup mataku perlahan-lahan.
"Cup..." Kucupan itu bersatu, dan aku hilang punca dalam kelembutan yang amat itu. Cahaya mula menyelubungi kami, seolah-olah menyinari gadis itu. Aku rasa kekuatanku disedut oleh Amamiya. Entah berapa ketika, aku melepaskan Amamiya daripada pelukanku dan kucupan kami pun berakhir. Tubuh Amamiya terapung dan mula bercahaya. Aku dapat lihat pakaian magikalnya turut memberi reaksi, menunjukkan bahawa kuasa gadis itu sudah kembali.
"Ah?" Amamiya membuka mata, lalu memandang sekeliling. Mungkin dia berasa hairan dan tertanya-tanya kenapa dia masih hidup. Aku berasa lega. Gadis itu akan meneruskan kehidupannya, tidak seperti yang menimpa nasib ibu aku...
"Awak... Kenapa?" Amamiya dapat meneka apa yang berlaku. Wajahnya kemerahan sedikit, sambil jemarinya menyentuh bibir yang kukucup tadi.
"Berjuanglah...!" Aku yang keletihan terduduk lesu. Terasa tenaga tubuhku hilang setelah kuasa hidupku disedut Amamiya. Cahaya terang Amamiya menyebabkan raksasa tadi dapat mengesan tempat persembunyian kami. Kemunculannya tiba-tiba itu mengejutkan aku dan Amamiya. Dia mendekati kami dengan begitu yakinnya.
"Menarik... Kau sudah "kembali". Bagus..." Kelibat Al-Parasit... Al-Parasut? Lupa pula nama raksasa itu, mula menyerang Amamiya dengan senyum sinis. Amamiya lantas mengelak lalu menyeru pedang kristalnya. Dia menghunuskan pedang itu ke arah raksasa itu.
"Al-Pharase! Terimalah hukuman daripada saya, Mahou Shoujo Primula! Hoshi no ken (Pedang Bintang), La la li pi la lu, Fo̱s ti̱s alí̱theias!" Jerit Amamiya, membuat gaya mahou shoujo lalu memancarkan cahaya lazer ke arah raksasa itu.
"Mustahil..." Lazer itu menembusi raksasa itu. Raksasa itu akhirnya hancur ditelan cahaya letupan lazer dari gadis itu...
Aku yang berasa lega dengan kemenangan Amamiya itu, sudah pun langkah seribu meninggalkan tapak pembinaan itu kerana enggan bertemu lagi dengan gadis itu. Lagipun, wajah aku masih lagi kemerahan, tanda malu setelah berkucupan dengan Amamiya. Pertama kali buatku merasakan keindahan ciuman itu.....
.......................
Malang sekali, gadis yang cuba aku elakkan itu kini sudah berada di hadapan aku, menjamah sarapan bersama-sama, dan sedang menantikan jawapan daripada tindakan aku menciumnya, mungkin.
"Maaf, aku menciumi kamu tanpa kebenaran...."
"Tunggu, saya tidak marah mengenai tindakan awak menciumi saya itu. Saya tidak kisah kerana awak penyelamat hidup saya. Biarpun itu ialah ciuman pertama saya...."
"Huh?" Aku tidak mendengar bahagian akhir kata-kata Amamiya kerana sengaja diperlahankan.
"Uhum (batuk sengaja)... Saya tahu akan erti tindakan awak itu. Tetapi itu bukanlah masalah sebenar. Maksud sebenar saya, kenapa awak sanggup memberikan "nyawa" awak kepada saya? Adakah awak faham akan akibat tindakan awak yang melulu itu?" Kata Amamiya, yang sangat serius. Gadis itu begitu prihatin akan keadaan diriku ini. Aku hanya bertenang dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi kerana aku tahu akibatnya dari mula lagi. Seperti kata-kata Amamiya, aku sedar bahawa aku akan mati. Tidak, semua manusia akan mati, cuma cepat atau lambat sahaja. Aku mungkin tidak tahu hakikat sebenarnya, tetapi pada hemah aku, "masa" atau 'hayat' aku telah banyak aku serahkan kepada gadis ini sebagai galang ganti untuk kuasanya. Entah berapa nilainya, aku tak pasti, lantaran membuatkan kematianku semakin hampir, bila-bila masa sahaja.
"Jadi, berapa lama masa yang aku ada?" Aku berterus terang sahaja. Amamiya agak keberatan untuk menjawab, tetapi akhirnya mengalah...
"Mungkin dalam beberapa tahun, mungkin beberapa bulan, saya sendiri pun tak pasti akan hal ini. Teras "magika" saya penuh dengan kuasa nyawa awak. Secara logiknya, kemungkinan besar, saya telah menyedut hampir seluruh usia awak, Yami-san." Amamiya meluahkan kenyataan yang mungkin membuatkan manusia normal menjadi gila. Tetapi bukan aku. Agaknya, kalau usia aku digunakan untuk menyelamatkan manusia, bukankah itu sudah mencukupi bagiku?
"So ka... (ya kah?)" Aku selamba, tiada reaksi takut.
"Ma-maafkan saya kerana melibatkan awak dalam hal ini..." Amamiya tunduk. Aku sekadar menjamah, menghabiskan baki hidangan makanan dengan perasaan yang tenang.
"Bukankah sudah aku katakan, aku enggan berhutang budi dengan perempuan..." Ujar serius, menyebabkan Amamiya tidak menjawab lagi. Suasana makan pagi itu berakhir dengan kesepian bisu seribu bahasa.
Setelah sarapan, aku bersiap-siap untuk menjalani latihan pada sebelah pagi. Sebagaimana aku maklumkan pada permulaan cerita novel ini, semua kelab akan ditutup selama dua minggu untuk 'festival ilmu', namun begitu guru penasihat kami membenarkan kami mengadakan latihan ringan pada waktu pagi sahaja. Itupun, hanya pada minggu ulangkaji (minggu pertama), bukannya pada minggu peperiksaan (minggu kedua). Selepas Amamiya selesai membasuh pinggan mangkuk yang digunakan dan aku juga habis membantu mengemas meja makan, kami berdua pun keluar dari rumah aku dan mengucapkan salam perpisahan antara satu sama lain lalu menuju ke destinasi masing-masing. Gadis itu berlalu meninggalkan kediaman aku itu, dan harapanku ialah aku tidak akan bertemu dengannya lagi. Terus sahaja aku menapak ke arah sekolah, seorang diri seperti selalu. Dalam perjalanan, tiada apa-apa yang pelik lagi berlaku, kecuali jiran di sekeliling rumahku sudah berpindah secara tiba-tiba dan kerja-kerja pembinaan sedang berlaku berdekatan rumahku.
Agaknya, inilah dikatakan sebagai "ketenangan sebelum ribut melanda...."
Hai semua, selamat membaca dan kepada rakyat Malaysia, selamat menyambut hari kebangsaan.
Sokong saya dengan komen, review dan kalau boleh power stone!