Tải xuống ứng dụng
66.66% Sfera / Chapter 28: Magis

Chương 28: Magis

Walaupun aku berasa lega apabila dapat berada di rumah dan berehat untuk satu hari, aku tetap menyambung kerja-kerjaku yang masih belum diselesaikan. Sepanjang hari, aku menghabiskan masa dengan membaca apa yang telah aku lakukan untuk bahagian Riviu dan Santai. Keasyikkanku pada apa yang aku lakukan membawa fikiranku melayang ke Terry Lee. Aku asyik tertanya-tanya apakah agaknya yang berlaku di pejabat pada hari itu. Rasa bersalah timbul apabila memikirkan tentang mereka yang lain. Lalu, aku menelefon Dee yang aku kira sedang bertungkus lumus dengan yang lain. Namun, Dee memberitahu yang dia tidak berada di pejabat. Setelah bertanya lanjut, barulah aku tahu yang Daniel tidak hanya melepaskan aku, malah dia telah menghubungi yang lain dan memberitahu yang mereka tidak perlu hadir ke pejabat pada hari itu. Apa yang aku dengar dari mulut Dee membuatkan aku tertanya-tanya. Tindakan Daniel sedikit sebanyak merisaukan aku. Aku ingin sekali menghubungi Daniel dan bertanyakan kepadanya tentang keadaan sebenar di Terry Lee. Terbayang sosok Daniel yang sedang bersendirian di pejabat. Namun, aku melupakan hasratku itu kerana bagiku, Daniel mungkin telah tersedar yang dia perlu memberikan kami sedikit ruang bagi mengembalikan semula semangat kami yang hampir lumpuh setelah ditekan selama beberapa hari.

Aku cuba bertanya khabar dengan menghantar satu mesej kepada Daniel yang kemudiannya dijawab dengan ringkas

Saya okey. Kamu semua rehat dahulu untuk hari ini. Esok datang semula.

Aku tidak bertanya lanjut. Aku cuma berharap agar tiada apa-apa yang berlaku kepada Daniel kerana kami memerlukan dia untuk terus mengetuai kami.

Sekembalinya kami ke Terry Lee, Daniel memanggil kami bagi membincangkan strategi terpantas untuk menyelesaikan edisi terbaru Hey yang hanya tinggal beberapa belas hari sahaja lagi sebelum dihantar untuk pencetakan. Terlebih dahulu, dia meminta maaf atas apa yang berlaku. Menurutnya, segala yang berlaku tidak pernah diduga dan dia berasa bertuah kerana kami masih ada untuk menemaninya. Kami hanya mendiamkan diri sambil mengangguk-angguk tanda faham dengan situasi yang berlaku. Daripada apa yang dikatakan oleh Daniel yang tidak secara terus meminta maaf atas perlakuannya tetapi meletakkan segala yang berlaku atas ketentuan takdir, kami tahu, dia menyedari akan kesilapannya dan rehat yang diberi kepada kami adalah satu cara bagi Daniel menzahir permohonan maafnya.

Selepas daripada itu, keadaan di Hey menjadi bertambah baik. Masing-masing nampaknya sudah berjaya mengawal perasaan dan tekad untuk bersatu bagi menjayakan edisi Hey yang terbaru. Dengan ingatan yang kami hanya mempunyai beberapa belas hari sahaja lagi sebelum edisi terbaru itu dihantar untuk dicetak membuatkan kami komited untuk memberikan yang terbaik kepada Hey. Kami cuba untuk memanfaatkan masa yang ada dengan memberikan fokus seratus peratus untuk menyempurnakan edisi Hey yang terbaru.

Setiap hari, kami datang ke pejabat seawal pukul tujuh pagi dan pulang ke rumah sekitar jam sembilan malam untuk melengkapkan bahagian-bahagian paling penting di dalam Hey seperti Riviu dan artikel-artikel yang disumbangkan oleh jurnalis-jurnalis tetap kami setiap bulan. Malah, Rushdee dan Teresa sanggup tidur di pejabat untuk menjimatkan masa mereka agar tidak terbazir di jalan raya. Untuk memeriahkan suasana pejabat dan menurunkan kadar stress yang tidak menentu, kami membawa pelbagai benda masuk ke dalam pejabat seperti aromaterapi, soft toy, gula-gula, coklat, selipar Donald Duck, tikar dan bermacam-macam lagi. Tidak keterlaluan jika aku katakan yang ianya seperti satu perkhemahan.

Dalam ketika itu, kami telah mendapat berita daripada Chan dan Miss B bahawa bahawa tempoh kuarantin mereka sudah hampir tamat. Aku berasa gembira dan bersyukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku. Apabila aku sampaikannya kepada Daniel, dia menyuruh mereka untuk kembali pada awal bulan berikutnya supaya mereka benar-benar sembuh sebelum kembali bertugas.

Selepas lima hari bertungkus-lumus, Daniel mengadakan satu mesyuarat bagi tujuan penambahbaikan. Pada saat itu, dia nampak tenang, bicaranya halus dan tersusun. Dalam mesyuarat itu, dia memberitahu kami betapa bangganya dia dengan apa yang telah kami lakukan. Daniel berterima kasih kepada kami dan begitu gembira sekali dengan hasil kerja dan fokus yang kami berikan sepanjang lima hari tersebut. Dia juga menyatakan kekagumannya dengan apa yang kami hasilkan walaupun hanya kami berlima sahaja yang bertungkus lumus cuba menyiapkan edisi Hey pada ketika itu.

"Kali ini, dalam masa lima hari sahaja kita semua dapat menyiapkan sesuatu yang selalunya memerlukan lima belas hari. Syabas!" kata Daniel dengan penuh bangga. "Namun begitu..." Daniel mula berkata-kata dalam nada penuh konspirasi. Masing-masing memasang telinga, cuba memberi perhatian akan butir-butir kata yang keluar dari mulut Daniel "kita perlukan satu magis untuk edisi ini"

"Magis yang bagaimana?" tanya Dee.

Daniel tersenyum dan memandang ke arahku.

*****

Dua malam sebelumnya, Daniel mengajak aku keluar untuk makan malam sebelum aku beransur pulang ke rumah.

''Marina'' Daniel memanggilku ketika aku sedang mengemas barang yang ingin dibawa pulang ke rumah. ''Awak mahu terus pulang?''

''Ya. Boleh juga saya fikirkan apa yang patut untuk esok"

''Kalau awak tidak kisah, apa kata kalau kita keluar makan sekejap? Saya belanja. Boleh kita berbual-bual sedikit''

"Tetapi saya perlu bangun awal esok..." aku sengaja mencari alasan. Cuba mengelak.

"Tidak mengapa, awak datang lewat sedikit esok pun tidak mengapa"

Aku sebolehnya enggan pergi. Setelah apa yang berlaku di Asia Cafe, aku terfikir akan kemungkinan Daniel mengulangi apa yang berlaku. Tambahan pula, dia dan Jennifer telah kembali bersama. Tidak manis jika aku sesuka hati keluar dengan Daniel tanpa memikirkan tentang hubungan mereka berdua.

"Sepatutnya saya keluar dengan Jennifer. Tetapi dia kepenatan dan menyuruh saya keluar dengan sesiapa sahaja yang ada di pejabat" terang Daniel. Dia seolah-olah menjawab apa yang sedang aku soalkan di dalam fikiran. Ah! Lelaki seperti Daniel memang tahu apa yang wanita sepertiku fikirkan dan dengan mudah dia boleh mereka seribu permainan. Aku bersetuju untuk keluar makan dengannya. Apabila dia memberitahu yang dia ingin membawaku ke Kerinchi untuk menikmati Char Kuey Teow kegemarannya, aku membuang jauh kerisauanku kerana mereka sudah semestinya tidak menyediakan alkohol di situ. Di dalam fikiran, aku ligat menyusun ayat kalau-kalau Jennifer datang menyerang dan menuduh yang bukan-bukan. Aku tahu aku agak pesimis dan terlebih paranoid. Namun tidak salah jika kita bersiap sedia untuk segala-galanya bukan? Lebih-lebih lagi dengan apa yang terjadi, aku punyai hak untuk berasa begitu.

''Maaf atas apa yang berlaku tempohari Marina" kata Daniel sebaik sahaja kami habis menjamah Char Kuey Teow yang ditempah.

"Saya sudah lupakan semua itu Daniel" jawabku ringkas tanpa memandang ke arahnya. Aku sebenarnya kurang selesa bercakap tentang topik itu.

''Kini awak tahu siapa saya bukan?''

"Saya tidak boleh menghukum dan melabel awak hanya kerana awak mabuk tempohari. Lagipun ianya satu pengalaman berharga buat saya"

"Kenapa pula?" Daniel kehairanan.

"Itu adalah kali pertama saya berhadapan dengan orang mabuk awak tahu?" jawapanku membuatkan Daniel ketawa kecil. Mungkin dia terfikir betapa naifnya aku ini.

"Betulkah? Jadi apa pendapat awak tentang orang mabuk Marina?"

"Saya rasa apabila seseorang itu mabuk, mereka akan jadi orang yang paling jujur di dalam dunia"

"Adakah ia satu perkara yang bagus?" tanya Daniel. Jawapanku seolah-olah mengelirukannya.

"Awak rasa bagaimana?" aku tanyakan kembali soalan itu kepada Daniel.

"Saya tidak fikir begitu Marina. Ianya memalukan. Lebih-lebih lagi kalau...." Daniel teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya. 'lebih-lebih lagi kalau ianya sesuatu yang memalukan' hatiku berkata-kata. Cuba meneka apa yang tidak terkeluar dari mulut Daniel. Walaupun ianya satu tekaan, aku yakin yang ianya tepat. Itulah yang ingin dikatakan oleh Daniel "Ah! Lupakan sahaja..." sambung Daniel. Tetapi saya serius Marina, saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku"

Aku hanya mendiamkan diri dan menghirup air dihadapanku yang belum aku sentuh. Kemudian aku memandang Daniel. Lantas, aku teringat akan segala apa yang dikatakannya tempohari di Asia Cafe. Aku tertawa kecil.

"Kenapa awak ketawa Marina?"

"Bila bercakap tentang hal ini. Saya teringat apa yang awak ceritakan kepada saya tempohari. Sungguh tidak saya sangka Daniel. Sungguh tidak saya sangka..."

"Apa dia Marina? Awak ini suka berteka-tekilah..."

"Saya tidak sangka awak yang nampak begitu flambouyant sebegini rupanya pernah terluka kerana cinta. Jadi kini barulah saya tahu cerita disebalik perangai player awak itu rupanya"

Daniel hanya mampu tersenyum apabila mendengar kata-kataku. Mungkin juga, dia cuba mencari poin penting untuk dikatakan.

"Jadi kita seri satu sama okey? Nasib kita serupa. Kita berdua pernah kecewa dan pernah juga ditinggalkan."

"Bagaimana pula kita boleh seri satu sama? Awak dan Jennifer sudah kembali bersama sekarang. Jadi markah kita sekarang adalah satu-kosong?"

"Satu kosong?" tanya Daniel kehairanan. Mungkin dia tidak pasti bagaimana aku melakukan pengiraan.

"Jadi bagaimana hubungan awak dan Jennifer sekarang ini? Orang kata, peluang kedua selalunya buat kita lebih menghargai apa yang kita ada"

"Kalau boleh. Saya tidak mahu beri apa-apa komen tentang hubungan kami buat masa ini Marina"

"Daniel, itu ayat yang selalu public figure beri apabila ditemuramah wartawan. Saya bukan wartawan dan saya bukan menemuramah awak" kataku apabila mendengar jawapan Daniel yang menggelikan hati itu.

"Oh ya?" tanya Daniel.

"Tidak mengapalah kalau awak tidak mahu beritahu. Saya tidak paksa" kataku kepada Daniel. Apabila difikirkan, ada baiknya juga Daniel tidak berkata apa-apa mengenai Jennifer kerana aku pasti akan mencemburui cerita tentang kemesraan mereka berdua. Aku cuba mencari sesuatu yang boleh kami berdua bincangkan, namun, Daniel terlebih dahulu menyambung kembali perbualan kami.

"Marina. Awak tidak pernah rasa marah pada Norman?" tiba-tiba sahaja Daniel membangkitkan nama itu kepadaku. Aku mengambil sedikit masa sebelum bibirku mengeluarkan perkataan pertama untuk menjawab soalan itu.

"Bohong kalau saya tidak pernah berasa marah kepada Norman. Perkenalan yang lama terbazir begitu sahaja" jawabku disertai dengan keluhan yang bercampur kesal. Tetapi apa yang terjadi menyedarkan saya tentang banyak perkara yang saya terlepas pandang selama ini..."

"Maksudnya awak sudah boleh melupakan Norman?" pertanyaan Daniel kedengaran seperti dia akan berasa gembira jika aku memberi jawapan yang positif.

"Mustahil. Saya tidak mungkin dapat melupakan dia Daniel. Sudah bertahun lama Norman wujud dalam hidup saya dan sehingga kini, saya masih boleh merasai kehadirannya. Cuma perasaan saya sahaja yang sudah tidak sama lagi terhadap Norman. Tetapi, apa yang dilakukannya telah berjaya mengubah pandangan saya terhadap cinta"

"Harap ianya ke arah yang lebih baik" kata Daniel. Dia kedengaran bimbang.

"Ya. Semuanya ke arah yang lebih baik" aku tersenyum. Cuba memberitahu yang segala-galanya okey.

Daniel termenung seketika, pandangannya dilemparkan ke langit.

Aku memerhatikan gelagatnya. Di saat itu, aku berfikir betapa beruntungnya menjadi lelaki seperti Daniel. Pilihan sentiasa ada di tangannya. Sekalipun dia terperangkap dalam situasi, itu adalah kerana pilihannya sendiri. Aku tetap mengagumi Daniel walaupun dia pernah membuat aku berasa marah. Kemarahanku itu tidaklah sampai ke tahap membenci. Aku cuma berpendapat yang dia tidak sepatutnya membuatkan aku keliru dan menenggelamkan aku dalam emosi dan ketidakpastian.

Selepas mengetahui tentang hubungannya dengan Jennifer, Daniel muncul dalam mimpiku pada satu malam. Di dalam mimpi itu, aku menjadi Marina yang lebih berani dari realiti. Dalam mimpiku itu, aku memberanikan diri dan pergi berjumpa dengan Daniel yang berada di satu ruang gelap sambil ditemani sinaran bulan. Di bawah sinaran bulan itu, wajah Daniel nampak jelas. Dengan penuh yakin, aku bertanyakan tentang status hubungan kami. Sebaik sahaja soalan itu diajukan kepadanya, wajahnya berubah. Penuh ketidakpastian.

"Kenapa awak tanyakan soalan itu Marina?" tanya Daniel dengan dingin. Soalanku tidak dijawab. Raut wajahnya memberi petanda yang dia enggan bercakap berkenaan dengan hal yang aku bangkitkan.

"Saya hanya mahukan kepastian!" kataku tegas.

"Sudah berkali-kali saya katakan kepada awak. Kita ini kawan baik sahaja Marina. Awak masih tidak fahamkah?"

"Kawan baik? Kita hanya kawan baik? Awak tidak sedarkah apa yang telah awak lakukan selama ini Daniel?"

"Apa yang telah saya lakukan pada awak selama ini? Awak jangan pula mereka cerita Marina" wajah Daniel cuak.

"Saya bukan hendak mereka cerita. Tetapi tidakkah awak sedar yang awak tidak melayan saya seperti kawan baik. Tetapi lebih dari itu!"

"Awak sudah salah sangka Marina... Awak salah sangka selama ini..."

"Awak kata saya salah sangka? Jadi awak ingin katakan yang awak membawa semua kawan perempuan awak berjumpa dengan keluarga awak?" tanyaku dengan penuh emosi. Air mataku mengalir di pipi.

"Selama ini... saya menganggap awak seperti adik saya sendiri Marina" jawab Daniel. Wajahnya tunduk ke bumi.

Aku tidak dapat menahan perasaanku, lalu aku berpaling dan berlari meninggalkan Daniel.

Saat aku terjaga dari mimpi itu, aku dapati pipiku basah dengan deraian air mata. Sambil mengelap air mata yang berjujuran, aku berkata-kata sendirian.

"Kalaulah aku ada keberanian sebegitu rupa... Kalaulah..."

"Ehem" Daniel berdehem membetulkan kerongkongnya. Dia menyedari yang aku sedang memerhatikannya.

"Ada yang tidak kena dengan muka saya?" tanya Daniel.

"Tiada apa-apa. Jauh sungguh awak bermenung Daniel?" aku cuba mengawal perasaanku.

"Merenung masa depan..." jawab Daniel.

"Saya ingatkan awak sedang meramal masa depan tadi"

"Dengan hanya berpandukan bintang di langit?"

"Ya..." aku ketawa lucu.

"Awak ingat saya ini ahli nujum?"

"Nujum Pak Belalang"

"Setahu saya Nujum Pak Belalang tidak meramal dengan melihat bintang"

"Ya. Dia gunakan semangkuk air"

"Ha... Kalau begitu biar saya cuba tilik masa depan awak ya Marina. Biar saya gunakan air di dalam gelas ini" Daniel mengambil gelasnya yang masih penuh berisi air. "Fuh kanan! Fuh kiri!" Daniel mula beraksi seperti seorang bomoh yang sedang menjampi. Mulutnya terkumat-kamit membaca jampi yang direkanya sendiri. Konon-kononnya dengan cara itu, dia dapat melihat bayangan masa depanku. Beberapa orang yang duduk berdekatan dengan meja kami ketawa kecil apabila terlihat gelagat Daniel.

"Daniel. Malulah orang tengok" aku cuba menghentikannya. Namun, Daniel tidak mempedulikanku.

"Okey. Siap!" kata Daniel.

" Jadi apa yang awak lihat?" walau aku tahu jawapan yang akan diberikan itu hanya rekaan semata, aku begitu teruja untuk mendengar apa yang ingin Daniel katakan.

"Wah! Masa depan yang sungguh cerah dan bahagia..."

"Lah... Itu sahaja? Penat saya tunggu dan menebalkan muka melayan karenah awak tadi" kataku kepada Daniel. Walaupun jawapannya tidak sekreatif yang diharapkan, gelagatnya tetap melucukanku. Dalam pada itu juga, terdetik hatiku untuk bertanya adakah dirinya berada di dalam tilikannya itu. Namun, aku tidak seberani Marina yang wujud di dalam mimpiku.

''Jadi apa jangkaan awak dalam tempoh lima tahun akan datang Daniel?'' aku cuba mengubah arah perbualan kami.

"Untuk Hey?"

"Apa-apa sahaja yang sedang awak fikirkan"

Daniel berfikir sejenak. Nampak seperti cuba menyelak catatan minda yang pernah ditulisnya. Kemudian, setelah bersedia, dia mula bercakap tentang rancangan dan harapannya.

"Saya ingin memperluaskan lagi pengaruh Hey dan memperbanyakkan penerbitan Terry Lee. Saya pernah memberitahu idea untuk membina cawangan Terry Lee di Jakarta dan menerbitkan Hey Indonesia pada satu hari nanti kepada semua pemegang saham kita dan nampaknya mereka positif dengan idea itu" terang Daniel.

"Wow!" kataku penuh kekaguman.

Aku ingin sekali bertanya di mana letaknya Jennifer dalam rancangannya itu, namun, aku mengingatkan diriku bahawa ianya akan mengganggu perasaanku dan merubah mood perbualan kami. Lantas, aku beralih kepada yang lain.

"Saya tahu awak tidak akan suka soalan ini Daniel, tetapi kita semua pasti akan tua satu hari nanti"

"Oh tidak! Jangan suruh saya gambarkan bagaimana rupa saya ketika itu okey?"

"Tidak. Saya cuma hendak tanya sekiranya awak diberi peluang untuk menceritakan tentang kisah hidup awak. Apa medium yang akan awak pilih?"

"Apa pilihan yang saya ada?"

"Awak boleh pilih sama ada filem, buku, novel grafik atau awak boleh pilih untuk tidak langsung menceritakannya"

"Kalau saya diberi peluang saya akan pilih novel grafik"

"Hmm. Menarik"

"Kenapa awak tanya?"

"Tiada apa-apa. Cuma saya fikir kalau awak pilih novel grafik untuk menggambarkan realiti awak, ini menandakan yang awak suka untuk mengekalkan elemen fantasi dalam menempuh realiti"

"Itu teori yang bagus. Tetapi saya mungkin akan mengubah jawapan saya jika awak tanyakannya kepada saya beberapa tahun akan datang"

"Ya. Mungkin juga"

"Jadi apa pendapat awak tentang isu ini Marina?" Daniel seperti mahu lari dari tajuk yang dibincangkan. Mungkin dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang apa yang akan berlaku dua puluh tahun akan datang.

"Sejujurnya Daniel. Kita telah buat sebaik mungkin dan ianya satu edisi Hey yang sederhana sifatnya" kataku jujur. "Pembaca masih akan beli majalah ini sebab topik-topik yang kita ketengahkan pun relevan dengan apa yang terjadi sekarang. Tetapi kita boleh buat dengan lebih baik dan jika kita mahu melakukannya, kita perlukan satu magis"

"Magis?"

"Ya. Pada pendapat saya, ianya masih kurang berbisa"

"Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikannya lebih berbisa?"

''Novel grafik!" kataku setelah lama diam mencari idea.

"Novel grafik?" berkerut kening Daniel apabila mendengar cadanganku.

"Bercakap tentang novel grafik, awak pernah baca novel grafik Diana Sinclair?''

''Mestilah. Siapa yang tidak kenal Diana Sinclair? Novel grafik yang dihasilkannya memang meletup!''

''Saya setuju! Saya sudah baca novel grafiknya berulang-ulang kali''

''Kenapa awak tanya? Awak hendak buat riviu untuk Secret Garden?'' Daniel merujuk kepada tajuk novel grafik yang dihasilkan Diana.

''Tidak. Kita sudah cukup bahan untuk bahagian riviu. Cuma awak tahu yang dia akan datang ke Kuala Lumpur bukan?"

''Diana Sinclair akan ke Kuala Lumpur?'' Daniel bagaikan tidak percaya.

''Ya.''

''Saya tidak tahu langsung mengenainya. Bagaimana saya boleh terlepas tentang perkara ini?'' tanya Daniel.

"Ya. Saya pun pelik juga. Apa sudah jadi dengan awak sebenarnya Daniel?" aku berpura-pura bingung walaupun di dalam hati, aku berkata-kata yang dia terlepas perkara-perkara penting seperti itu kerana asyik memikirkan tentang Jennifer.

''Semua sedang memperkatakan mengenai Diana Sinclair sekarang Daniel. Kita boleh masukkan dia ke dalam isu ini. Novel grafiknya sedang hangat diperkatakan sekarang. Orang-orang politik pula sedang menyerang Diana''

''Awak pasti dia boleh menghangatkan isu kita kali ini?''

"Ya! Jika kita berjaya menjadikan dia sebagai penghias kaver!"


Load failed, please RETRY

Tình trạng nguồn điện hàng tuần

Rank -- Xếp hạng Quyền lực
Stone -- Đá Quyền lực

Đặt mua hàng loạt

Mục lục

Cài đặt hiển thị

Nền

Phông

Kích thước

Việc quản lý bình luận chương

Viết đánh giá Trạng thái đọc: C28
Không đăng được. Vui lòng thử lại
  • Chất lượng bài viết
  • Tính ổn định của các bản cập nhật
  • Phát triển câu chuyện
  • Thiết kế nhân vật
  • Bối cảnh thế giới

Tổng điểm 0.0

Đánh giá được đăng thành công! Đọc thêm đánh giá
Bình chọn với Đá sức mạnh
Rank NO.-- Bảng xếp hạng PS
Stone -- Power Stone
Báo cáo nội dung không phù hợp
lỗi Mẹo

Báo cáo hành động bất lương

Chú thích đoạn văn

Đăng nhập