Tải xuống ứng dụng
2.04% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 15: Serangan Muktamad

Chương 15: Serangan Muktamad

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Waktu subuh tiba. Lokasi di atas penara. Setelah beberapa purnama Meng Hao berniaga dan kemudian Lu Hong pula datang mencari gaduh, hanya ada sedikit sahaja Pertapa yang datang, lebih-lebih lagi pada waktu awal pagi begini. Hanya ada seorang dua sahaja yang duduk bersila di atas penara.

Sebaik sahaja Meng Hao tiba, mereka membuka mata dan mengeluh kerana tidak tahu apa pula yang akan jadi hari ini.

Beberapa detik kemudian, mereka ternganga kehairanan pula. Meng Hao tidak memasuki penara, tetapi hanya duduk bersila di luar sempadannya sambil memejamkan mata. Dia terpaku di sana, tidak bergerak.

Sikap aneh ini membingungkan Pertapa lain. Mereka saling berpandangan dan kemudian bagaikan tersedar sesuatu, lalu membuatkan mereka ketawa geli hati.

Masa berlalu dan pagi semakin lewat. Lebih ramai orang tiba di penara itu dan setiap seorang daripada mereka melihat Meng Hao dalam kedudukan pelik itu. Mereka mula berteka-teki tentang apa yang terjadi. Semua orang begitu menyibuk sehingga tiada siapa pun yang mula berlawan.

"Mungkinkah ancaman Abang Lu benar-benar berkesan? Meng Hao jadi terlalu takut sampai tak berani berniaga lagi?"

"Mestilah. Abang Lu ialah pengikut tahap rendah nombor satu. Kalau dia suruh berambus, apa lagi yang boleh dibuat selain berambus?"

"Tak sangka dia pengecut juga sebenarnya. Dia hanya berani membuli orang yang lebih lemah daripada dia. Tengok betapa angkuhnya dia. Dia ingat hanya kerana dia tak membawa sepanduk kedai, Abang Lu akan lepaskan dia." Memang ini perangai kebanyakan Pertapa tinggi. Mereka tidak berani melawan apabila dibuli orang yang lebih kuat daripada mereka. Namun, jika seseorang yang lemah dan berhati baik mencuri pelanggan mereka, mereka tak akan henti-henti merungut.

Sudah lama Lu Hong bermaharajalela di sini. Sejak serangan ganasnya yang pertama lama dahulu sehinggalah ke hari ini apabila dia memaksa semua orang membeli daripadanya, semua orang tidak berdaya mahu melawan. Mereka tiada pilihan selain menerima nasib mereka. Malah, kebanyakan daripada mereka merasakan perkara ini jauh lebih bagus berbanding keganasannya dahulu.

Meng Hao belum lama berada dalam aliran ini dan dia tidak berkuasa mahupun bersikap bongkak. Jadi, walaupun dia berniaga dengan telus, semua orang tetap merungut tanpa henti.

Meng Hao mendengar semua desas-desus mereka tetapi wajahnya kekal tanpa perasaan. Sebenarnya, dia bertapa di luar Zon Awam bukan kerana dia enggan masuk, tetapi oleh kerana asas Pertapaannya kini sudah memasuki peringkat keempat Pemekatan Qi, jadi dia tidak dapat masuk juga walaupun dia mahu.

Sedang mereka sibuk bergosip, terdapat seseorang muncul di kaki gunung itu. Dia memakai jubah hijau, berusia kira-kira 30 tahun dan riak wajahnya sangat angkuh. Lu Hong perlahan-lahan mendaki gunung itu sambil menekup tangannya di belakang.

Sebaik sahaja dia muncul, mata Meng Hao terbuka dan bersinar dengan sangat terang. Semua orang melihat dia bangun dan menepuk beg saktinya. Sebilah pedang putih kecil muncul. Aura pedang itu bergemerlapan dengan aura dingin. Meng Hao meluru ke hadapan dan aura pedang itu menuju terus ke arah Lu Hong.

Apabila hal ini berlaku, desas-desus perbualan tadi bertambah kuat. Semua orang kagum melihat keberanian Meng Hao. Dia betul-betul mahu cari pasal dengan pengikut tahap rendah nombor satu Lu Hong?

"Dia…dia mahu bertarung dengan Lu Hong!"

"Lambat-laun mereka akan bersemuka juga. Meng Hao mencederakan Cao Yang dan Lu Hong pula mencantas perniagaannya. Pertembungan ini tidak boleh dielakkan. Cuma saya tidak sangka Meng Hao akan menyerang begini. Saya rasa dia tidak sedar batas kemampuannya sendiri."

"Sudah bertahun-tahun Abang Lu berada di paras ketiga. Mesti Meng Hao akan kalah teruk."

Sambil Meng Hao meluru ke arahnya, mata Lu Hong terus bercahaya. Dia memang sudah merancang mahu berlawan dengan Meng Hao jika mereka bertemu hari ini. Sekarang, lawannya sudah berani membuka langkah pertama. Bagus juga. Dia mendengus, tubuhnya bertukar bagaikan pelangi apabila dia pun menerkam ke arah Meng Hao. Tangan kanannya menepuk beg saktinya dan sebilah pedang terbang berwarna ungu muncul.

Apabila pedang terbang itu muncul, ia diiringi bunyi siulan yang bingit dan bercahaya dengan sinaran emas dan ungu dalam lingkungan sejauh kira-kira 30 meter.

"Itu pedang Yang Ungu Abang Lu!"

"Betullah! Saya dengar dia dihadiahkan pedang Yang Ungu itu oleh Sekolah kerana dia berjasa. Ketajamannya memang luar biasa."

Dua orang, satu gunung. Di kaki gunung itu, mereka saling menerpa.

Dengan bunyi ngauman yang bergema, air muka Lu Hong berubah dan darah terpancut dari mulutnya. Dia melayang ke belakang sambil merenung Meng Hao dengan penuh rasa terkejut.

"Pemekatan Qi tahap keempat!"

Meng Hao kelihatan agak malu. Dia baru memasuki tahap keempat Pemekatan Qi dan dia masih belum boleh mengawal tenaganya sepenuhnya. Dia tidak berani melepaskan kuasa dengan banyak.

Dia hanya membuat satu serangan yang mudah tetapi ganas. Namun, pedang terbangnya sudah mula retak. Senjata lawannya mempunyai ketajaman luar biasa dan telah merosakkan senjatanya sendiri.

Tambahan lagi, Meng Hao tidak ada banyak pengalaman bertempur dan dia hanya menghabiskan masa separuh tahun lepas memburu haiwan liar di gunung tetapi tempoh masa tindak balasnya sudah bertambah laju. Tambahan lagi, semasa dia menghabiskan masa di penara, dia sudah menyaksikan banyak pertempuran. Sambil Lu Hong berundur, dia pula melangkah ke hadapan sambil menepuk beg saktinya. Satu lagi pedang terbang muncul di sebelah pedang yang retak tadi. Kedua-dua aura pedang itu bersatu dan meluncur ke arah Lu Hong.

Sambil dia menerpa, jari-jemari Meng Hao bergoyang dan lidah api mula terbentuk di sekelilingnya. Sejauh tiga langkah darinya, seekor Ular Api muncul; setebal lengannya dan sepanjang kira-kira setengah meter. Ia bergeliang-geliut di udara, mengaum dan mula menerkam Lu Hong.

Lu Hong terkejut, kemudian dia meludah darah dan berundur pantas. Matanya terpancar penuh kemarahan. Dia memiliki beberapa barang sakti tetapi Meng Hao pula baru memasuki tahap pemekatan Qi keempat, maka dia tidak boleh meramalkan kesudahan pertarungan ini. Namun, kalau dia berjaya menumpaskan Meng Hao, namanya tentu akan menjadi semakin harum.

Niat membunuhnya semakin meningkat. Dia juga menggoyangkan jarinya dan muncul bebola air yang bersinar-sinar dalam tangannya. Dia mencampakkan bebola air itu dan ia meletus kemudian berubah menjadi Panah Air yang meluncur laju ke arah Ular Api itu.

Jari-jemarinya bergerak lagi dan pedang Yang Ungu itu bertembung dengan dua pedang terbang Meng Hao. Bunyi dentuman kuat kedengaran seolah-olah besi bertemu dengan besi. Dua pedang terbang Meng Hao terus hancur menjadi serpihan kecil dan pedang Yang Ungu pula terus mengikut Panah Air untuk menikam Ular Api.

Dengan ngauman yang mengerikan, Ular Api itu ghaib menjadi kepulan debu. Panah Air berubah menjadi kabus dan pedang Yang Ungu kembali kepada Lu Hong. Aura emas dan ungunya sudah menjadi lebih pudar, retak muncul pada bilahnya tetapi ia masih tajam lagi.

"Dengan Pemekatan Qi peringkat keempat begitu dan tiada senjata yang cukup kuat, sudah tentu aku boleh bunuh kau dengan mudah. Berapa kali kau mahu guna Ular Api kau itu sedangkan kau tak sampai peringkat kelima pun lagi?" Dalam hati, Lu Hong bimbang dengan pedang terbang Meng Hao tetapi dia tetap tersengih mengejek. Dia tidak berundur setapak pun.

"Pedang awak mungkin sangat tajam tapi kita tengok berapa kali awak boleh menggunakannya. Lagipun, saya ada banyak lagi pedang terbang. Awak sebut tentang pemekatan Qi peringkat kelima tadi. Dengan semua pil ubat yang Kakak Xu beri kepada saya, tak lama lagi saya tentu akan mencapainya." Wajahnya tiada sebarang riak emosi tetapi sebenarnya Meng Hao berasa gementar. Lagipun, ini pertarungan sebenarnya yang pertama. Dia menepuk beg saktinya dan tiga lagi pedang terbang muncul. Ketiga-tiganya meluru ke arah Lu Hong.

Lu Hong nampak risau tetapi dia tidak membazirkan banyak masa. Dia memekik dan ketiga-tiga pedang terbang Meng Hao bertembung dengan pedang Yang Ungu Lu Hong.

Bang bang bang! Ketiga-tiga pedang itu jatuh berkecai. Namun, aura pedang Yang Ungu itu sudah berkurangan sebanyak separuh. Lebih banyak retak mengisi permukaannya dan Lu Hong sudah kelihatan begitu gusar.

Namun, sebelum dia sempat berbuat apa-apa, Meng Hao menepuk beg saktinya sekali lagi dengan santai. Tiga lagi pedang terbang muncul. Dia menghayun tangannya dan seekor lagi Ular Api terbentuk. Semua orang yang melihatnya rasa terkejut.

"Meng Hao…dia…dia benar-benar mencabar Abang Lu. Dia sudah berada di peringkat keempat Pemekatan Qi!"

"Dia baru saja memasuki Aliran ini tetapi dia sudah berada di peringkat keempat Pemekatan Qi. Ya, tentulah dia berada di peringkat keempat, tengok macam mana dia lawan Abang Lu. Tapi macam mana asas Pertapaan dia boleh naik secepat ini? Apa yang Kakak Xu bagi sampai dia boleh jadi sehebat ini? Kalau saya ada orang macam itu sebagai tempat bergantung saya, saya pun boleh meningkatkan asas Pertapaan saya dengan pantas." Orang ramai mula riuh bercakap dengan rasa cemburu yang amat sangat.

Air muka Lu Hong berubah lagi dan dia berundur sambil mengetap gigi. Jari-jemarinya bergoyang dan satu lagi Bebola Air muncul. Dia tidak sangka lawannya ada barang sakti sebanyak ini.

Bunyi dentuman kuat mengisi udara apabila tiga pedang terbang Meng Hao pecah berkecai dan Ular Api itu ghaib. Aura pedang Yang Ungu itu kini bertambah gelap. Walaupun begitu, apa yang paling buat Lu Hong terkejut ialah wajah Meng Hao yang tiada perasaan sewaktu dia dengan tiba-tiba mengeluarkan tiga lagi pedang terbang. Satu lagi bunyi letupan bergema apabila ketiga-tiga pedang itu hancur. Namun selepas itu, pedang Yang Ungu itu mengeluarkan bunyi desingan yang lemah dan terus pecah.

Mata Lu Hong terbeliak dan dia mengundur sambil terhuyung-hayang. Dia meludahkan darah dan merenung tajam pada Meng Hao.

Meng Hao masih tidak menunjukkan sebarang emosi tetapi dalam hatinya, dia berasa sangat gementar. Setiap satu pedang terbang bersamaan dengan sebiji Batu Rohani. Dia melambaikan tangan kanannya dan seekor lagi Ular Api muncul, mengaum dan melingkar-lingkar di udara di sekelilingnya. Ia menerkam Lu Hong.

Meng Hao menerpa ke arah Lu Hong yang sedang mengundurkan diri sambil membawa Ular Apinya. Satu lagi pedang terbang muncul dan dalam sekelip mata, ia meluncur mendekati Lu Hong dengan aura maut yang bergemerlapan.

"Awak yang paksa saya buat begini!" jerit Lu Hong, rambutnya kusut-masai dan pakaiannya dibasahi darah. Sejak hari pertama dia memasuki Sekolah sehingga sekarang, dia tidak pernah berada dalam situasi seteruk ini. Bebola matanya menggelegak. Dengan dengusan kuat, dia mengoyakkan jubahnya untuk mendedahkan sebuah labu air jadeit yang tergantung dari lehernya. Dia mengumpulkan keseluruhan tenaga rohaninya dan menyumbatkannya ke dalam mulut labu air itu.

Labu air jadeit itu mula bersinar terang dan bunyi berdengung memenuhi udara. Di hadapan Lu Hong, bayangan sebuah labu air gergasi muncul; berkali-kali ganda lebih besar daripada labu air yang tergantung di leher Lu Hong. Besarnya kira-kira separuh ketinggian lelaki dewasa.

Sebenarnya, asas Pertapaan Lu Hong masih tidak cukup kuat untuk mengerahkan kuasa labu air itu. Bayangan itu timbul tenggelam, sekejap pudar, sekejap jelas. Sebelum ia boleh terbentuk sepenuhnya, Lu Hong meludah darah dan mengundur ke belakang semula dengan wajah pucat lesi. Namun, dia masih memandang Meng Hao dengan amarah membara dalam matanya.

Walaupun labu air itu tidak lengkap, tenaga rohani yang terpendam di dalamnya menyebabkan air muka Meng Hao berubah. Kemudian, bayangan labu air itu mengeluarkan ngauman yang kuat dan pancaran cahaya hijau meletus dari mulut labu air itu lalu menembusi Ular Api dan menyelubungi badan Meng Hao.

"Barang sakti ini diberi kepada aku oleh Abang Wang Tengfei. Ia hanya boleh digunakan bila seseorang mencapai peringkat keempat Pemekatan Qi. Tetapi kau memang cari pasal dengan aku, Meng Hao, jadi aku terpaksa menggunakannya terlebih dulu dan aku terpaksa menerima akibatnya. Kali ini kau pasti akan mati." Lu Hong mula ketawa terbahak-bahak tetapi belum sempat ketawa itu terlepas dari mulutnya, dia nampak terkejut seolah-olah baru dipanah petir. Dia ternganga kehairanan.

Pancaran cahaya hijau itu menghentam Meng Hao dan dia terluncur ke belakang sejauh sepuluh meter. Namun, ia dihalang perisai merah jambu yang menyelubungi tubuh Meng Hao. Apabila pancaran hijau itu hilang, perisai merah jambu itu pun turut sama hilang. Ia mengecil menjadi kalung jed merah jambu yang digenggam Meng Hao. Permukaannya kini dipenuhi retakan.

Dia menggenggam kalung jed itu dengan kuat, peluh dingin membasahi bajunya dan ketakutan mula bersarang dalam hatinya. Jika dia tidak mengeluarkan kalung jed yang diberikan oleh Kakak Xu itu, sudah tentu dia sudah mati akibat kuasa labu air yang hebat itu.

"Apa barang sakti itu?!" Meng Hao melihat botol labu air jadeit yang tergantung dari leher Lu Hong yang kini sedang cedera parah. Dia melompat ke hadapan dan meragut botol labu air itu lalu terus memasukkannya dalam beg sakti.

"Itu diberi kepada aku oleh Abang Wang Tengfei! Kalau kau berani mencurinya, kau terimalah padahnya nanti!" Sekarang Lu Hong mula nampak takut dan dia mula menggeletar. Dia sangat terkejut kerana dia tidak sangka labu air itu pun boleh ditangkis oleh lawannya.

"Menurut undang-undang Sekolah, kalau kita berjaya ambil sesuatu dengan tangan kita, ia sudah menjadi milik kita," kata Meng Hao. Dia teragak-agak sebentar tetapi kemudian dia memutuskan labu air itu terlalu berkuasa. Dia takkan sesekali memulangkannya. Permusuhan yang dicipta pada hari ini tidak akan hilang dengan begitu mudah. Dia menjeling Lu Hong dengan penuh rasa benci.

"Ini bukan Zon Awam," kata Lu Hong, matanya penuh ketakutan dan kekalahan. Dia meninggikan suaranya agar boleh didengari semua orang dan menyambung, "Kalau kau berani bunuh aku, kau akan melanggar undang-undang Sekolah!"

"Saya, Meng Hao, tak akan sesekali melanggar undang-undang Sekolah. Namun, semalam awak ugut saya dan berkata awak akan melumpuhkan asas Pertapaan saya. Jadi hari ini, saya akan berbuat perkara yang sama pada awak." Dengan wajah yang tenang, dia menaikkan tangannya dan meluncurkan sebilah pedang terbang ke arah laluan Qi dalam tubuh Lu Hong lalu menghancurkan asas Pertapaannya. Dia tercegat memandang Lu Hong yang meraung kesakitan dan dengan penuh hiba, lalu membuatkan semua orang di penara itu terpaku memandangnya dengan rasa kagum dan gentar.


Load failed, please RETRY

Quà tặng

Quà tặng -- Nhận quà

    Tình trạng nguồn điện hàng tuần

    Rank -- Xếp hạng Quyền lực
    Stone -- Đá Quyền lực

    Đặt mua hàng loạt

    Mục lục

    Cài đặt hiển thị

    Nền

    Phông

    Kích thước

    Việc quản lý bình luận chương

    Viết đánh giá Trạng thái đọc: C15
    Không đăng được. Vui lòng thử lại
    • Chất lượng dịch thuật
    • Tính ổn định của các bản cập nhật
    • Phát triển câu chuyện
    • Thiết kế nhân vật
    • Bối cảnh thế giới

    Tổng điểm 0.0

    Đánh giá được đăng thành công! Đọc thêm đánh giá
    Bình chọn với Đá sức mạnh
    Rank NO.-- Bảng xếp hạng PS
    Stone -- Power Stone
    Báo cáo nội dung không phù hợp
    lỗi Mẹo

    Báo cáo hành động bất lương

    Chú thích đoạn văn

    Đăng nhập