Xiao Yue membawa Ru'Er ke Restoran Fang Fang? Apa sebenarnya budak nakal ini hendak buat?
Apabila Xiao Meng melihat Xiao Yue telah menyorok di dalam Restoran Fang Fang, dia menghembus nafas lega. Disebabkan Xiao Yue telah memilih untuk masuk ke restoran itu, dia tahu yang Xiao Yue tidak akan mengapa-apakan Ji Ru'Er.
Apabila Xiao Meng teringat kembali aura dahsyat yang telah menghancurkan daya tulennya tadi, raut wajahnya menjadi serius ketika dia melihat anjing hitam besar yang sedang berbaring di pintu masuk itu.
Dia meletakkan kedua-dua tangannya bersama dan membuat tabik genggam ke arah Si Hitam untuk memohon maaf atas tindakannya yang tidak senonoh sebentar tadi. Kalau ada orang lain yang menyaksikan kejadian ini, mulut mereka pasti akan ternganga besar.
Pakar nombor satu dari Empayar Bayu telah meminta maaf kepada seekor anjing hitam besar. Ini memang sesuatu yang sangat mengejutkan.
Si Hitam melihat Xiao Meng sekilas lalu sebelum ia mendengus dan kembali tidur. Pada masa yang sama, Xiao Meng menghembus nafas lega apabila dia rasa tekanan yang menyelubunginya tiba-tiba telah hilang.
Selepas melihat Si Hitam dengan rasa tidak sedap hati, Xiao Meng berpusing dan melangkah masuk ke dalam restoran Bu Fang.
...
Di ruang penyimpanan sistem, Bu Fang mengeluarkan dua jenis bahan yang telah diberikan oleh Xiao Yue kepadanya, iaitu Orkid Jantung Ametis dan Abalone Semangat Langit.
Keseluruhan Orkid Jantung Ametis itu memancarkan cahaya ungu yang cerah dan auranya pula seakan-akan terbakar sedikit. Tenaga dalam Orkid Jantung Ametis itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi apabila seseorang menutup matanya, dia akan rasa tenaga yang terpancar daripadanya seperti matahari bersaiz kecil.
Saiz Abalone Semangat Langit lebih besar sedikit berbanding saiz Abalone Semangat Hitam dan jumlah tenaga semangat yang terkandung dalamnya juga jauh lebih banyak. Lagipun, ramuan ini merupakan binatang semangat kelas kelima. Nilainya memang tidak setanding dengan Abalone Semangat Hitam.
Tambahan pula, corak barik-barik pada cangkerang Abalone Semangat Langit jauh lebih kompleks daripada corak barik-barik pada cangkerang Abalone Semangat Hitam dan kelas susunan semangatnya juga lebih tinggi.
Sebelum ini, Bu Fang telah berlatih memasak Sup Abalone Semangat Ametis sebanyak dua kali dengan menggunakan bahan-bahan pengganti, jadi dia telah menghafal langkah-langkah untuk memasak sup tersebut. Di samping itu, Bu Fang telah menyesuaikan kaedah memasak daya tulen mengikut perbezaan tahap tenaga semangat antara dua set bahan itu.
Setelah mencuci Abalone Semangat Langit, Bu Fang mengeluarkan sebuah periuk tanah yang besar dan satu-satunya periuk yang dia ada yang boleh memuatkan seluruh Abalone Semangat Langit itu.
Dengan menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga, Bu Fang memotong sedikit pada daging Abalone Semangat Langit. Selepas itu, dia menyiang herba-herba semangat yang lain dan meletakkannya di sekeliling Abalone Semangat Langit. Selepas itu, dia mengisi periuk tanah itu dengan mata air dari Banjaran Gunung
Sambil abalone itu mereneh, Bu Fang mula memproses Orkid Jantung Ametis.
Kudup bunga orkid itu berwarna biru. Kedua-dua kelopak dan daunnya tebal, seolah-olah mengandungi tenaga yang sangat banyak di dalamnya.
Dengan Pisau Dapur Tulang Naganya, Bu Fang memotong kelopak dan daunnya dengan berhati-hati dan meletakkannya di atas meja secara berasingan. Selepas membuat potongan pada setiap kelopak, jus pekat yang berwarna ungu mengalir keluar dari tempat yang dipotong itu. Jus itu mempunyai ciri yang aneh kerana ada sedikit rasa pedas berdesing bila berada berhampirannya.
Bu Fang menuangkan jus dari kelopak itu ke dalam sebiji cawan jed sehingga penuh. Jus ungu itu jernih dan mengeluarkan aroma yang sungguh harum.
Seterusnya, Bu Fang mengangkat tudung periuk tanah dan aroma Abalone Semangat Langit yang harum terus tersebar ke udara. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada menghidu aroma itu.
Aroma Abalone Semangat Langit tidak berbau hanyir seperti makanan laut yang lain, sebaliknya ia berbau sungguh manis. Walaupun Bu Fang belum mencuba rasanya, fikirannya sudah terjejas dengan bau manis itu dan kedua-dua tubuh dan mindanya terus menjadi tenang.
Selepas Bu Fang mendadu daun Orkid Jantung Ametis, dia memasukkannya ke dalam periuk belanga dan menutup periuk itu sekali lagi. Ekspresinya menjadi serius.
Dengan satu tangan diletakkan di atas penutup periuk, daya tulen yang beredar di dalam pusat dayanya terus berpindah ke tangannya dan menyebabkan telapak tangannya bersinar. Daya tulen itu kemudiannya mengalir masuk ke dalam periuk belanga itu.
Dalam fikiran Bu Fang, dia dapat melihat pemandangan di dalam periuk belanga itu dengan jelas, seolah-olah ia sedang berlaku di hadapan matanya.
Aliran daya tulen itu telah merangsang tenaga semangat di dalam periuk belanga untuk terus beredar dan mula menyerap ke dalam Abalone Semangat Langit. Potongan yang dibuat pada Abalone Semangat Langit terbuka sedikit dan mula berbuih. Apabila bebuih itu meletup, tenaga semangat pun dilepaskan di dalam periuk belanga itu.
Semasa Bu Fang menyaksikan kejadian ini, dia menjadi lega dan terus merangsang tenaga semangat di dalam periuk itu untuk menyelubungi Abalone Semangat Langit. Tidak lama kemudian, dia pun selesai dengan fasa pertama proses masakannya.
Peluh menitik di dahinya. Bu Fang berasa agak letih selepas dia memasak Abalone Semangat Langit kerana dia perlu menggunakan lebih banyak daya tulen berbanding semasa dia memasak dengan menggunakan bahan-bahan pengganti.
Apabila dia mengangkat tudung periuk itu, aromanya lebih kuat daripada sebelum ini dan terdapat cahaya berkilau-kilau yang beredar di dalam periuk belanga itu. Ia berlaku kerana daya tulen Bu Fang telah mengaktifkan susunan semangat pada cangkerang Abalone Semangat Langit.
Apabila kelopak Orkid Jantung Ametis dimasukkan ke dalam periuk belanga, sup yang sedang menggelegak itu terus menenggelamkannya. Bu Fang mengambil cawan jed yang terasa panas itu dan menuangkan isinya ke dalam periuk itu. Keamatan aroma yang tersebar dari periuk belanga itu meningkat dua kali ganda dalam masa yang singkat.
Ketika Bu Fang menghidu aroma itu, dia berasa sangat senang sehingga dia mahu menangis keriangan. Rasa senang sebegini tidak menjejaskan tubuhnya, tetapi ia menjejaskan fikirannya sahaja.
Kuasa magik yang dihasilkan apabila dua jenis bahan digabungkan bersama untuk merawat trauma mental memang tidak dapat dibayangkan.
Selepas penutup periuk itu diletakkan semula, Bu Fang terus menggunakan kaedah pemasakan daya tulen untuk mereneh masakan eliksir itu.
Apabila Bu Fang telah mencapai langkah ini, sajian masakan eliksir tersebut pun telah siap. Sama ada dia berjaya memasaknya ataupun tidak, ia bergantung kepada cara Bu Fang mengendalikan daya tulennya pada fasa yang seterusnya. Walau bagaimanapun, selepas berlatih selama dua hari, Bu Fang sudah mempunyai keyakinan yang cukup untuk melengkapkan masakan eliksir ini.
…
Apabila Xiao Meng melangkah masuk ke dalam restoran, kehangatan di dalam restoran itu tidak dapat menghilangkan langsung kedinginan pada wajahnya. Ekspresinya masih dingin apabila dia melihat Xiao Yue yang sedang duduk di atas kerusi.
Xiao Yue memegang dadanya sambil tercungap-cungap. Daya tulen berpusar-pusar di telapak tangannya semasa dia merawat kecederaan di dalam tubuhnya.
"Apa yang kamu sedang merancang sebenarnya? Kamu tak rasa yang kamu sudah banyak mencederakan Ru'Er? Apa yang kamu cuba lakukan sekarang? Adakah kamu benar-benar merancang untuk bunuh ibu kamu demi mencapai keunggulan?!" Suara Xiao Meng dingin bagaikan aisberg di Antartika dan setiap ayat yang diujar olehnya penuh dengan kemarahan.
Xiao Yue tertawa kecil dan dia menggelengkan kepalanya. Kerumitan terpancar di matanya apabila dia memandang Xiao Meng dan berkata, "Ayah tahu objektif saya. Saya datang ke restoran Tauke Bu bukan untuk mengapa-apakan ibu... sebaliknya saya mahu menyelamatkan ibu."
"Selamatkan ibu kamu?" Xiao Meng terkejut seketika. Selepas itu, anak matanya mengecil dan dia bertanya, "Adakah kamu meminta Tauke Bu untuk menyediakan masakan eliksir untuk menyelamatkan Ru'Er?
"Tak... Sup Herba Sej Ayam Phoenix tak boleh merawat kecederaan Ru'Er. Ayah mesti sudah tahu tentang perkara itu. Serangan pedang Ayah bukan sahaja telah menghancurkan hati ibu kamu, malah mindanya juga telah luka parah." Xiao Meng mengeluh dan menggelengkan kepalanya.
Senyuman terukir di mulut Xiao Yue, tetapi dia tidak menjawab dan memalingkan kepalanya ke arah dapur.
Seorang lelaki yang kurus keluar dari dapur yang gelap itu dengan membawa sebuah periuk belanga. Wap keluar dari periuk belanga itu dan aromanya sungguh lazat.
Apabila aroma itu menyelubungi seluruh restoran, semua orang di situ menghidu aroma tersebut dengan fikiran separa sedar dan mereka terus menjadi segar dan bertenaga.
Xiao Meng terkejut dengan bau itu dan matanya terpaku pada periuk belanga itu. Berdasarkan baunya... masakan eliksir kali ini jelas bukan Sup Herba Sej Ayam Phoenix!
Bu Fang melihat Xiao Meng yang sedang berdiri di ambang pintu dengan terkejut dan kemudian dia terus berjalan ke arah Xiao Yue lalu meletakkan periuk belanga itu di hadapannya.
Selepas tangannya dilepaskan daripada periuk belanga itu, barulah Bu Fang menghentikan peredaran daya tulennya dan menghembus nafas lega...
Selepas memasak Sup Abalone Semangat Ametis ini, Bu Fang menjadi sangat letih sehingga dia rasa seperti dia akan pengsan dan daya tulen yang beredar di dalam pusat dayanya hampir habis. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada mengeluh dalam hatinya. Tahap pertapanya terlalu rendah.
"Inilah Sup Abalone Semangat Ametis kamu. Jemput makan." Bu Fang berkata kepada Xiao Yue.
Apabila dia mengangkat tudung periuk belanga itu dengan berhati-hati, cahaya yang bersinar-sinar terus terpancar dari periuk belanga itu, diikuti dengan gelombang aroma yang sungguh lazat.
---
Sajian itu bersinar!
Kedua-dua Xiao Meng dan Xiao Yue tergamam dan mereka sudah tertarik sepenuhnya dengan sinaran dan bau harum yang kaya di hadapan mereka. Dalam periuk tanah itu, pancaran cahaya nampak seperti muncul daripada pupa dan menjadi semakin besar. Cahaya itu begitu mempesonakan dan menarik perhatian.
Cahaya itu hanya muncul seketika sebelum hilang. Wap terbit dari periuk tanah dan menyebabkan seolah-olah bau sajian itu dapat dilihat.
Xiao Yue menelan air liur. Dia merasakan seolah-olah kecederaan yang disebabkan oleh Xiao Meng sudah pulih pada saat itu dan dia tak rasa sakit langsung. Pandangannya teralih ke arah sajian dalam periuk tanah itu.
Sup Abalone Semangat Ametis tidak pekat dan berbeza daripada Sup Ayam Phoenix Herba Sej. Supnya tak berminyak tapi begitu menyegarkan. Sup itu jernih seperti mata air daripada pergunungan. Abalone Semangat Langit yang berada di dasar periuk itu jelas kelihatan.
Abalone Semangat Langit sudah siap dimasak. Isi abalone itu terkeluar dari tempat yang dipotong dan mengeluarkan bau yang wangi. Sup itu langsung tak ada sebarang bendasing dan Orked Jantung Ametis sudah larut ke dalam sup itu tanpa sebarang kesan.
Sup Abalone Semangat Ametis itu nampak seperti dimasak hanya menggunakan Abalone Semangat Langit dan mata air dari Tian Shan.
Bu Fang membawa keluar mangkuk
Bila Xiao Yue mengambil mangkuk sup daripada Bu Fang, dia kembali tersedar daripada lamunannya dan menegakkan badan ibunya yang bersandar di kerusi. Xiao Meng melangkah ke depan dan mengambil mangkuk itu dari tangan Xiao Yue.
Wajah tenang Xiao Meng, pakar nombor satu empayar, sudah lama hilang. Hanya kelihatan ekspresi yang penuh berhati-hati dan rasa tidak pasti.
Dengan tangan yang menggeletar, Xiao Meng mencedok sesudu sup dan perlahan-lahan menyuap Ji Ru'Er. Jantungnya berdebar-debar memandang wajah pucatnya tanpa berkelip mata.
Tiba-tiba, matanya bersinar terang. Dia mendapati yang wajah pucat Ji Ru'Er berubah sedikit kemerah-merahan selepas sesuap sup. Ini tak pernah berlaku sebelum ini!
Memang berkesan! Sup itu memang berkesan!
Xiao Meng terasa sangat teruja sehingga dia hampir menumpahkan sup dalam mangkuk di tangannya. Dia segera bertenang dan terus menyuap sup itu kepada Ji Ru'Er.
Sesudu demi sesudu, dia menyuapnya berhati-hati seolah-olah dia menjaga harta yang paling disayangi.
Bu Fang memandang sekilas ke arah mereka berdua sebelum menggunakan penyepit untuk mengambil Abalone Semangat Langit di dasar periuk tanah, dan menyepit cangkerang abalone itu. Susunan magik cangkerang itu memancarkan cahaya pendarfluor dan agak panas bila disentuh. Isi abalone itu pula bergetar-getar.
Asap hijau menyaluti tangannya dan Pisau Dapur Tulang Naga pun muncul. Selepas memusingkan pisau di tangannya, Bu Fang memotong halus isi Abalone Semangat Langit itu.
"Suapkan dia isi abalone ni. Selepas menyerap khasiat Orked Jantung Ametis dan herba-herba semangat lain daripada sup, lebih berkesan lagi bila dia makan isi Abalone Semangat Langit itu. Ini kerana susunan semangat pada cangkerang ada kesan pemangkinan khasiat-khasiat itu." Bu Fang berkata sambil dia memberikan abalone cincang itu kepada Xiao Meng.
Xiao Meng memandang Bu Fang dengan penuh berterima kasih dan menyuap abalone itu kepada Ji Ru'Er. Ji Ru'Er tak pernah memberi reaksi sebelum ini tapi kali ini, badannya tiba-tiba menggeletar. Mulutnya terbuka luas dan dia menghembus nafas perlahan.
Nafas yang dihembus penuh dengan tenaga semangat dan menyebabkan restoran itu penuh dengan bau wangi.
Xiao Meng semakin tak tenang. Dia memandang dengan rasa teruja sambil bulu mata Ji Ru'Er yang panjang itu bergetar sedikit dan matanya pun perlahan-lahan terbuka...
...
Bila cuaca menjadi semakin sejuk, emping salji pun semakin tebal. Laluan di Jalan Panjang di bandar diraja itu diselimuti salji.
Dua kelibat dengan berjalan perlahan di Jalan Panjang. Ji Chengxue berpakaian jubah putih dengan mantel bulu yang tergantung di bahunya. Sambil dia berjalan mengharungi salji yang turun, dia ditemani seorang lelaki berbadan sasa yang memakai pakaian linen berlengan pendek. Lelaki ini berjambang dan matanya sebesar loceng tembaga.
Sambil mereka berjalan perlahan, kelihatan kesan tapak kaki mereka.
"Tuan Putera, esok ialah pemakaman Maharaja, tapi Ketua Sida-sida Lian memanggil semua putera hari ini. Adakah dia nak umumkan titah-perintah selepas kemangkatan Baginda Maharaja?" Lelaki sasa berjambang itu bertanya dengan suara yang dalam.
Ji Chengxue memandang lelaki itu dan membalas dengan senyuman, "Ada kemungkinan. Tapi apa-apa pun yang tertulis dalam titah-perintah itu… kekanda-kekanda Beta pasti akan bergaduh."
Lelaki berjambang itu memandang Ji Chengxue dan tiba-tiba bertanya, "Tuan Putera rasa ada kemungkinan tak Maharaja melantik Tuan Putera sebagai pewaris takhta?"
Bila Ji Chengxue mendengar soalan itu, dia terperanjat. Dia berhenti berjalan dan berdiri tegak di situ. Salji turun bersama-sama angin sejuk yang berhembus.
"Tak mungkin. Tak ada sebab kenapa ayahanda nak pilih Beta. Lagipun… Betalah anak yang dia paling benci." Ji Chengxue membalas dengan suara yang penuh kekesalan.
Selepas itu, Ji Chengxue meneruskan perjalanan ke Dewan Utama yang megah dan lelaki berjambang itu mengikut di belakangnya sambil berdiam..
Di Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan, Raja Yu berdiri dengan semangat yang kuat. Kelihatan mahkota ungunya dan tali pinggang yang dipenuhi batu permata. Seorang lelaki pertengahan umur berjalan di belakangnya dengan penuh hormat dengan senyuman bangga. Memang jelas kelihatan yang dia merupakan seorang yang berfikiran licik.
Lelaki ini adalah Menteri Kewangan, Sun Qing, yang menjaga hal-hal kewangan bandar diraja.
Sambil Ji Chengxue berjalan menghampiri, Raja Yu melirikkan matanya dan tersenyum sinis. Dia memusingkan badan sebelum melangkah masuk ke dalam Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan dan menuju ke arah Dewan Utama.
Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan sangat luas dan kawasan plaza itu dipenuhi salji putih. Ada dua batu obelisk berukir yang berdiri megah di plaza yang lengang itu. Bahagian atas batu obelisk itu dipenuhi salji. Kelihatan warna putih yang terbentang jauh, sejauh mata memandang.
Terdapat sida-sida di sana sini di plaza Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan yang sedang membersihkan salji di lantai. Pemakaman Maharaja akan dibuat pada keesokan harinya dan perarakan itu akan melalui plaza sebelum sampai ke makam diraja. Jadi, salji itu perlu dibersihkan.
Di Dewan Utama yang megah tapi agak menakutkan, orang ramai berkumpul di situ dengan resah gelisah. Mereka merupakan pegawai berpangkat tinggi kerajaan diraja dan mereka merupakan orang yang dihormati dalam Empayar Bayu.
Menteri Kiri berdiri di situ dengan wajah murah dan berpakaian seragam kerajaan. Dia menutup matanya dan nampak seperti sedang berehat.
Keluarga Ouyang, keluarga Yang, Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai tertinggi lain juga berdiri di situ sambil diam membisu dan menantikan kemunculan Ketua Sida-sida Lian. Mereka tahu hari itu hari biasa.
Selepas sekian lama dirahsiakan, titah-perintah selepas kemangkatan Maharaja akan diumumkan dan akan menentukan pewaris takhta.
Adakah orang itu Putera Mahkota? Atau mungkin Raja Yu? Pegawai-pegawai kerajaan yang hadir berasa sangat resah.
Bagi putera ketiga pula… pegawai-pegawai ini langsung tak rasa optimistik dengan peluangnya. Sikap Maharaja terhadap Ji Chengxue menyebabkan mereka rasa putera itu tak disayangi dan turut diabaikan. Disebabkan itu, Ji Chengxue sendiri rasa peluangnya untuk mewarisi takhta paling tipis.
Ketiga-tiga putera itu berdiri dalam Dewan Utama di hadapan singgahsana naga di atas platform yang diperbuat daripada emas. Mereka hanya memerlukan satu langkah sahaja untuk berdiri lebih tinggi.
Tiba-tiba, Dewan Utama yang penuh dengan bunyi bisikan tadi tiba-tiba senyap. Orang ramai itu memberi laluan kepada Lian Fu untuk masuk ke Dewan Utama dengan langkah perlahan. Dia membawa titah-perintah diraja di tangannya. Ekspresinya suram tapi penuh ketokohan dan menyebabkan orang yang berkumpul di situ rasa seram sejuk.
Lagipun dia seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh dan berada di tahap di mana sebarang perubahan emosinya boleh mempengaruhi emosi orang-orang di sekelilingnya.
"Gonggong, ini… titah-perintah selepas kemangkatan ayahanda?" Putera Mahkota bertanya untuk mendapatkan kepastian sambil memandang titah-perintah diraja di tangan Lian Fu itu.
Lian Fu memandang Putera Mahkota dan mengangguk dengan serius.
Putera Mahkota tiba-tiba rasa gembira kerana dia rasa yang dia berpeluang baik untuk dipilih oleh Maharaja. Ini bukan sahaja kerana dia seorang Putera Mahkota, tapi dia juga anak yang paling dihormati bapanya.
Lian Fu memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama sambil membuka titah-perintah diraja. Dengan itu, dia berdiri di hadapan singgahsana naga dan bersedia mengumumkan titah-perintah itu.
Di bawah, semua orang sedang menahan nafas sambil memandang Lian Fu dan menunggu pengumuman maharaja seterusnya.
Bạn cũng có thể thích
bình luận đoạn văn
Tính năng bình luận đoạn văn hiện đã có trên Web! Di chuyển chuột qua bất kỳ đoạn nào và nhấp vào biểu tượng để thêm nhận xét của bạn.
Ngoài ra, bạn luôn có thể tắt / bật nó trong Cài đặt.
ĐÃ NHẬN ĐƯỢC