Satu tekanan yang menggunung dapat dirasai oleh Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen. Seluruh badan mereka tiba-tiba menjadi kaku. Mereka langsung tak dapat memanipulasi daya tulen yang seolah-olah membeku dalam badan.
Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen bersusah payah menolehkan kepala mereka dan melihat Song Tao yang sedang merenung tajam.
Satu cahaya yang tak dapat difahami bersinar dalam matanya. Daya tulen terus terpancar dari dalam matanya sambil satu aura menakutkan keluar dari badannya. Sememangnya, Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen tak dapat melawan Song Tao yang merupakan Maharaja Pertempuran kelas keenam.
"Akhirnya aku dapat juga tangkap kamu berdua!" Song Tao mencemuh sambil tangannya menekan bahu kedua-dua budak itu. Dengan itu, dia dapat mengawal mereka seperti boneka supaya mereka tak lari ke khalayak ramai.
Song Tao berasa sangat teruja. Akhirnya dia berjaya menyelesaikan apa yang diarahkan oleh tuannya. Tugasan itu memang sangat sukar. Kalau pemilik Restoran Phoenix Abadi tak datang ke situ untuk mencabar Bu Fang, dia tak akan dapat peluang sebaik itu. Dia juga tak boleh tersilap langkah kerana dua orang budak berdua ini terlalu penting.
Semua orang tahu betapa berharganya Ouyang Xiaoyi iaitu puteri keluarga Ouyang. Dia juga memberi tekanan yang paling hebat kepada keluarga itu. Yang Chen, anak kepada Marquis Yang pula, pewaris tunggal keluarga Yang. Jadi, dia merupakan harta paling bernilai.
Asalkan mereka dapat mengawal kedua-dua budak nakal ni, mereka telah mendapat satu kelebihan untuk berunding dengan kedua-dua keluarga itu.
Sementara orang lain sedang tertarik dengan keindahan bunga tauhu seribu lapis, Song Tao berniat meninggalkan tempat itu diam-diam sambil membawa Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen.
Disebabkan daya tulen mereka telah dikawal oleh Song Tao, Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen langsung tak dapat berkata-kata. Mata mereka penuh rasa resah tapi mereka tak mampu berbuat apa-apa.
"Oi, nak bawa mereka pergi mana tu?" Bu Fang bertanya Song Tao dengan hairan di tengah-tengah khalayak ramai itu.
Badan Song Tao terus kaku dan dia mendengus marah dalam hatinya. Dia ingat dia dapat beredar dari situ tanpa disedari sesiapa, tapi Bu Fang perasan pula apa yang dia cuba buat. Disebabkan Bu Fang dibantu binatang semangat agung, Song Tao hanya mampu memikirkan untuk melarikan diri.
Song Tao memandang Bu Fang sekilas sebelum mengangkat Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen, dan mengepit mereka di bawah ketiaknya. Daya tulen memancar keluar dari kakinya sambil dia cuba melarikan diri.
Bu Fang terus memahami apa yang berlaku. Lelaki ini sudah menculik dua orang kanak-kanak secara terang-terangan. Perbuatannya langsung tak boleh dimaafkan.
Mata Bu Fang penuh konsentrasi sambil dia mengangkat tangannya dan melepaskan daya tulen dalam badannya. Asap hijau berkumpul di tapak tangannya dan Pisau Dapur Tulang Naga pun muncul. Dia membalingnya sekuat mungkin ke arah Song Tao yang sedang melonjak ke udara.
Pisau itu yang sudah bercampur dengan daya tulen Bu Fang dan membawa semangatnya, terbang ke sasarannya dengan pantas.
Pada masa itu, Song Tao menoleh ke belakang. Bila dia nampak pisau dapur yang dibaling oleh Bu Fang, matanya penuh ejekan sambil dia tersenyum sinis. Dia seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam. Takkanlah sebilah pisau dapur boleh menghentikannya. Walaupun dia mengaku yang kemahiran memasak Bu Fang agak bagus, seorang Semangat Pertempuran kelas keenam tak akan mampu berlawan dengannya!
Kedua-dua tangan Song Tao sedang digunakannya, jadi dia mengentakkan kakinya ke arah pisau dapur hitam biasa itu. Dia memang memandang rendah pada pisau itu. Itu pisau dapur saja, bukannya senjata suci, betul tak?
Bila Pisau Dapur Tulang Naga itu menyentuh tapak kaki Song Tao, dia terus kaku. Baru dia sedar yang daya tulen di kakinya telah hancur dan dia tak ada sebarang perlindungan. Selepas itu, darah memancut keluar bila pisau itu menikam kakinya!
"Celaka!" Song Tao menjerit. Wajahnya nampak gerun dan mananya penuh ketakutan bila dia memandang Bu Fang. Dia berkata dalam hati, 'Tak guna… Pisau dapur itu boleh menusuk ke dalam penghalang daya tulen seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam? Biar betul?'
Song Tao tak sanggup berada di situ lagi. Hampir keseluruhan tapak kakinya terpotong disebabkan Pisau Dapur Tulang Naga itu… Sambil daya tulen meletus dari badannya, dia cuba melarikan diri. Dia tak mahu berdepan Bu Fang lagi.
Namun, saat Song Tao terbang di udara, satu jeritan lembut tapi penuh berani, kedengaran dari jauh. Walaupun itu suara seorang perempuan, bunyinya berderam-derum seperti guruh.
Song Tao terkejut seketika. Selepas itu, anak matanya mengecil dan dia menjadi berhati-hati. Satu kelibat yang lemah-lembut menghampiri dari jauh, sambil memegang tombak dengan rambu-rambu merah. Kelibat itu seolah-olah membelah udara sambil dia menuju terus ke arahnya.
"Setan jahanam! Lepaskan anak lelaki marquis itu!"
Tombak itu, yang penuh dengan daya tulen, sebenarnya mempunyai kuasa Raja Pertempuran. Pada masa itu, Song Tao—yang sedang terapung di udara—tak mampu mempertahankan dirinya daripada serangan itu.
Kedua-dua tangannya sedang memegang orang dan kakinya sudah cedera disebabkan pisau dapur hitam legam Bu Fang...
Song Tao menangis dalam hati… He berfikir, "Apalah salah aku? Kenapa susah sangat nak selesaikan misi ni!"
Luo Sanniang daripada keluarga Yang, iaitu seorang Raja Pertempuran, kakak ipar ketiga Yang Chen. Tahap pertapanya sangat hebat dan dia dianggap antara wanita terkuat dalam bandar diraja. Tidak… Lebih tepat lagi, wanita dalam keluarga Yang semuanya sangat gagah dan berkuasa.
Song Tao tak sangka yang seseorang dari keluarga Yang akan sampai begitu cepat. Dalam situasi ini, dia perlu melepaskan salah seorang daripada mereka untuk mempertahankan dirinya daripada Luo Sanniang.
Dengan itu, dia melepaskan Ouyang Xiaoyi. Berbanding Yang Chen, keluarga puteri Ouyang itu tak sepenting mana.
Ouyang Xiaoyi terus tergamam bila dia tiba-tiba dilepaskan oleh Song Tao di tengah-tengah udara itu. Dia melambai-lambaikan tangannya dan menjerit sambil dia jatuh, sehinggakan dia lupa yang dia seorang Semangat Pertempuran kelas keempat.
Bu Fang pula sangatlah tenang. Dia segera melangkah ke hadapan dan menangkap Ouyang Xiaoyi dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi menangkap Pisau Dapur Tulang Naga yang terbang kembali kepadanya. Walaupun dia tak pandai berlawan, dia masih mampu menangkap seorang loli dengan tahap pertapanya.
Bang bang bang!
Di udara, Song Tao dan Luo Sanniang berbalas tiga serangan sekaligus. Luo Sanniang jatuh ke tanah dan tersandung beberapa langkah ke belakang. Dadanya yang besar bergerak ke atas dan ke bawah, sementara wajahnya yang berani itu merah padam.
Apa-apa pun, Song Tao seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam. Jadi, Luo Sanniang bukanlah lawan baginya bila mereka bertembung.
"Bedebah, siapa yang suruh kau culik anak marquis ni! Kau memang menempah maut!" Luo Sanniang menjerit. Kakinya yang langsing itu melonjak ke depan dengan lembingnya menghala ke arah Song Tao.
Daya tulen meledak keluar dari badan Luo Sanniang bagaikan bola api dan menyaluti seluruh lembing itu dengan api marak.
"Kau gila ke! Kita ni dalam the bandar diraja..."
Bila Song Tao nampak apa yang dilakukan Luo Sanniang, anak matanya mengecil dan dia mula berasa panik. Kalau dia hanya gunakan sebelah tangan untuk menahan serangan ini, kesan api marak itu akan menghancurkan kawasan sekeliling. Disebabkan ramai penonton di situ, pasti ramai yang akan mati. Teruk akibatnya kalau perkara sedemikian berlaku.
'Ahli keluarga Yang semuanya sudah hilang akal! Kamu semua dah gila!' Song Tao menyumpah seranah dalam hatinya. Dia tak ada pilihan melainkan untuk melepaskan Yang Chen. kemudian, dia mengangkat tangannya dan dua gumpalan daya tulen melenyapkan api yang menyaluti lembing itu.
Dari jauh, pengawal bandar semakin menghampiri. Song Tao menjerit dengan penuh kecewa sambil dia beredar dengan terhincut-hincut.
Selepas menghabiskan masa yang lama untuk membuat rancangan dan dilayan seperti pengemis, dia masih gagal… Song Tao rasa sangat berang. Kalau tapak kakinya tak cedera disebabkan serangan Bu Fang, dia mungkin dapat melarikan diri.
Luo Sanniang melihat kelibat Song Tao yang terhincut-hincut. Dia meludahkan darah dengan penuh rasa marah dan mendengus.
Selepas itu, dia berjalan ke arah Yang Chen yang selamat mendarat.
"Kakak ipar ketiga!" Yang Chen menjerit dengan takut bila dia nampak Luo Sanniang berjalan menghampirinya.
Dia berhenti di hadapan Yang Chen dan mula memulas telinganya. "Budak tak guna! Berani kau ponteng! Kau memang nak kena kali ni!"
"Kakak ipar ketiga… saya tak akan ulang lagi lepas ni." Yang Chen, yang rasa malu, segera meminta belas kasihan.
Sambil Luo Sanniang menghembus nafas dengan marah, dia mula terbatuk dan dadanya bergetar-getar.
"Cepat ucap terima kasih pada Tauke Bu. Kalau tak kerana dia, kamu berdua dah lama kena culik sekali lagi." Luo Sanniang berkata dengan berang.
Pada saat itu, Bu Fang berjalan ke arah mereka bersama-sama Ouyang Xiaoyi yang ketakutan. Dia memandang sekilas ke arah Luo Sanniang dan dadanya yang montok. Dengan riak wajah serius dia bertanya, "Siapa dia orang yang cuba menculik Xiaoyi dan shota ni?"
Luo Sanniang baru sempat menarik nafas dan anak matanya mengecil mendengar kata-kata Bu Fang. Dadanya bergetar sambil dia menjerit, "Oh tidak! Marquis and Jeneral Ouyang sudah keluar mencari Putera Mahkota!"
"Pagi ni, marquis dan Jeneral Ouyang menerima satu surat rahsia daripada Putera Mahkota. Dia memaklumkan yang dia mempunyai maklumat tentang lokasi kamu. Jadi, mereka berdua telah pergi ke istana Putera Mahkota." Luo Sanniang berkata dengan wajah yang kurang senang.
Yang Chen dan Ouyang Xiaoyi memahami kata-kata Luo Sanniang tetapi tidak bagi maksud di sebaliknya.
Bu Fang pula mengetahui serba sedikit tentang kisah itu tapi dia langsung tak berminat nak ambil tahu. Malah, sesiapa yang jadi maharaja pun sama saja pada dia kerana dia hanya mahu menjalankan perniagaannya di bandar diraja itu. Asalkan maharaja baru itu tak mengganggu dia, semuanya tak ada masalah.
"Baiklah, disebabkan kamu dah berjaya menghalau lelaki itu, kamu patut bawa budak berdua ni pulang." Bu Fang berkata kepada Luo Sanniang.
Luo Sanniang agak terkejut sebelum memandang Bu Fang dan mengangguk. "Dah lama saya dengar nama Tauke Bu. bila saya nampak sendiri depan mata tauke yang selalu disebut-sebut ni, memang betullah awak bukan orang biasa."
Kemahiran bertempur Bu Fang sememangnya menakjubkan. Dia hampir membelah tapak kaki seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam dengan satu serangan pisau dapur. Maharaja Pertempuran sudah dikira pakar tahap tertinggi dalam Empayar Bayu. Namun, halangan pelindung seorang Maharaja Pertempuran berjaya ditembusi sebilah pisau dapur yang dimiliki Semangat Pertempuran kelas keempat. Memang tak dapat dibayangkan oleh Luo Sanniang.
"Saya kawan baik dengan Yanyu, jadi saya banyak dengar cerita tentang Tauke Bu. Saya memang sentiasa mencari peluang untuk melawat restoran Tauke Bu untuk merasa hidangan lazat yang Yanyu selalu puji. Bila saya ada masa lain kali, saya akan datang ke sini." Luo Sanniang berkata dengan bersungguh-sungguh.
"Baiklah, kamu sangat dialu-alukan." Bu Fang mengangguk. Jadi, perempuan berdada montok di hadapannya ini kenal Xiao Yanyu. Padan pun dia menyapa seperti mereka kawan lama.
Luo Sanniang menggapai tangan Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Bu Fang, dia segera beredar dengan budak-budak itu. Putera Mahkota pastinya merancang menggunakan maklumat tentang lokasi mereka untuk memaksa keluarga Ouyang dan keluarga Yang menyokongnya. Sebab itulah dia menghantar surat rahsia itu. Pastinya perkara ini akan membantunya mendapatkan takhta.
Namun, hakikatnya Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen tidak berada dalam genggaman Putera Mahkota. Lebih tepat lagi, budak nakal berdua ni berjaya melepaskan diri tanpa disangka.
Disebabkan itu, situasi ini menjadi tidak tentu hala.
...
Pekerja-pekerja Restoran Phoenix Abadi sudah pun mengalihkan meja dan bahan-bahan yang digunakan untuk perlawanan itu. Bunga tauhu seribu lapis yang dibuat oleh Bu Fang pun diambil dengan berhati-hati oleh Qian Bao. Hasil kerja ini boleh dianggap satu karya agung teknik pemotongan dan juga teknik mengukir.
Lorong itu kembali lengang. Namun, berita tentang teknik pemotongan Bu Fang yang luar biasa tahap dewa itu sudah tersebar. Seorang cef daripada Restoran Phoenix Abadi kalah teruk kepada pemilik restoran yang tak berhati perut itu. Ini bukan iklan yang tak bermakna. Sekurang-kurangnya, ramai penonton yang mengikut Bu Fang dengan harapan dapat merasai kemahiran memasaknya.
Bu Fang kembali ke restoran tapi dia mula menutup pintu masuk dengan papan. Dia langsung tak menghiraukan orang ramai yang sedang berkumpul di luar.
"Tauke Bu, kenapa tutup awal sangat?" Seorang pelanggan berpotensi bertanya. Mereka sudah menyaksikan teknik pemotongan Bu Fang dan mahu merasai keenakan masakannya disebabkan mereka sudah berada di restoran itu. Mereka tak sangka langsung yang Bu Fang akan menutup restorannya.
"Waktu operasi hari ni sudah tamat. Kalau nak rasa masakan saya, datanglah awal esok untuk beratur." Bu Fang berkata dengan bersahaja dan langsung tak mengendahkan orang ramai di luar kedai yang semakin rasa tak puas hati.
"Awak ni tak patutlah buat macam ni. Bukannya kami tak nak bayar makanan tu. Kenapa tak beri kami masuk?"
"Bukan ke kau berniaga untuk dapatkan duit? Inilah masanya untuk kau buat duit tapi kau tak berminat? Kau ni bodoh ke?"
...
Rungutan orang ramai yang rasa tak puas hati itu kedengaran di lorong. Jelas sekali, keputusan Bu Fang untuk menutup kedai telah membuat mereka naik angin.
Bu Fang sedang bersandar di pintu masuk sambil memandang orang ramai dengan wajah selamba. Dia langsung tak berebut-rebut untuk membalas rungutan mereka. Dia sekadar memandang mereka tanpa perasaan sambil mendengar rungutan dan makian mereka.
Bila semua orang sudah penat, Bu Fang bangun dan mengambil kepingan papan terakhir untuk pintu itu. Dia berkata, "Saya cakap waktu operasi dah tamat. Kalau nak makan di sini, datang awal esok untuk beratur. Restoran ini tak menyediakan apa-apa servis di luar waktu operasi."
Selepas Bu Fang habis bercakap, dia menutup pintu dengan papan terakhir dan ia menghasilkan bunyi yang kuat.
Semua orang terkejut. Tak sangka ada juga tauke yang pelik dan dan degil macam ni? Dia langsung tak berminat nak dapatkan duit?!
"Ptui! Restoran ni macam sampah! Kau ingat kau tu siapa?! Aku dah tak berminat nak makan di sini lagi" Salah seorang daripada penonton tadi meludah marah dan memusingkan badan dengan niat untuk beredar.
Namun, belum sempat dia melangkah, dia merasakan satu tekanan yang begitu kuat. Dia tersungkur dan terjatuh betul-betul di tempat dia meludah. Selepas badannya mengesat air ludah itu, barulah tekanan yang dirasai itu hilang.
Wajahnya penuh rasa takut sambil dia bangun dan bergegas lari dari lorong itu. Ada sesuatu yang pelik di situ!
Mereka yang lain tidak merasai tekanan itu jadi mereka rasa pelik melihat orang itu lari lintang pukang.
Disebabkan pintu masuk restoran sudah ditutup, mereka tidak lagi memaksa dan seorang demi seorang pergi meninggalkan lorong itu. Keadaan kembali aman seperti sediakala.
Si Hitam menjelingkan matanya sambil berbaring di pintu masuk restoran. Dia menggerakkan kepalanya dan mengubah kedudukannya sebelum sambung tidur. Berani orang itu meludah di sini... Tak mungkin Si Hitam akan biarkan dia pergi tanpa membersihkannya dulu.
Bu Fang mengambil kot luarnya bila dia masuk ke dalam restoran. Dia meregangkan badannya dan berjalan menuju ke dapur.
Ganjaran sistem sudah pun diberikan, tapi nampaknya Bu Fang tak begitu menghiraukannya. Misi sistem kali ini nampak seperti membalas dendam dan membuatkan Bu Fang rasa terhibur. Dia tak sangka yang sistem tahu buat perangai.
Di dapur, asap hijau melingkari tangan Bu Fang dan Pisau Dapur Tulang Naga yang begitu tajam itu pun muncul.
Pisau Dapur Tulang Naga yang hampir membelah tapak kaki seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam masih nampak biasa. Langsung tak ada kesan habuk mahupun darah padanya.
Namun, Bu Fang masih menggunakan mata air yang disediakan sistem untuk membasuh bilah pisau itu seperti biasa. Lagipun, sebagai seorang cef, Bu Fang memang taksub dengan kebersihan.
Selepas Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu, Bu Fang mengibaskan tangannya dan pisau itu menjadi asap hijau sebelum kembali menjadi tanda di pergelangan tangannya. Dia kemudiannya tergamam seketika sambil merenung papan pemotong di hadapannya.
Bu Fang tiba-tiba hilang keinginan untuk memasak sajian dalam menu restoran itu. Dia sudah rasa penat memasak benda yang sama setiap hari. Setiap manusia ada rasa malas dan Bu Fang pun seorang manusia juga.
Dia terasa hendak masuk ke biliknya dan tidur tapi masih terlalu awal untuk berbuat demikian.
Disebabkan itu, Bu Fang rasa keliru apa yang hendak dilakukan.
Tiba-tiba, dia mengecilkan matanya dan mengambil satu bahagian daging Lembu Naga Kelana daripada ruang penyimpanan sistem. Daging yang diambil daripada bahagian kaki Lembu Naga Kelana itu penuh dengan tenaga semangat.
Bu Fang mengusap dagunya sambil memandang daging paha itu. Tiba-tiba, dia rasa teringin memasak hidangannya sendiri dan bukannya sesuatu daripada menu.
Mencipta dan mengkaji masakan baru ialah minat seorang cef. Bu Fang juga tak terkecuali.
Lembu Naga Kelana ialah seekor binatang semangat kelas ketujuh. Dagingnya sangat keras dan tak boleh dipotong dengan pisau biasa. Jadi, Bu Fang perlu menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga sekali lagi dan mencincang daging Lembu Naga Kelana itu.
Melihat daging cincang itu, Bu Fang tiba-tiba teringat satu hidangan yang lazat. Namun, untuk memasak hidangan itu, banyak persediaan dan proses yang perlu dibuat. Cara-cara memasaknya juga agak rumit.
Tapi, bila dia teringat rasa makanan itu, minda Bu Fang yang keletihan terus menjadi bertenaga.
Dia mengambil usus Lembu Naga Kelana dari ruang simpanan sistem dan membasuhnya berkali-kali untuk membersihkan darah. Dia menggunakan mata air yang disediakan sistem bagi memastikan tenaga semangat dalam usus itu terpelihara.
Selepas membersihkannya, Bu Fang mengasingkan lapisan luar usus itu, iaitu lapisan submukosa.
Submukosa ialah bahan penting dalam makanan yang Bu Fang akan sediakan.
Bạn cũng có thể thích
bình luận đoạn văn
Tính năng bình luận đoạn văn hiện đã có trên Web! Di chuyển chuột qua bất kỳ đoạn nào và nhấp vào biểu tượng để thêm nhận xét của bạn.
Ngoài ra, bạn luôn có thể tắt / bật nó trong Cài đặt.
ĐÃ NHẬN ĐƯỢC