Daging tulang belakang Babi Semangat Api Kilat itu dicucuk dengan dahan kayu yang tak diketahui jenisnya dan sedang dipanggang di atas api. Bila suhu semakin panas, dahan pokok itu menghasilkan aroma yang menarik perhatian. Aroma itu tidak seperti bau daging. Baunya lebih kepada haruman buah segar.
Daging panggang itu bertukar kemerah-merahan yang menggiurkan. Minyak mula terhasil dari daging itu dan sedikit daya elektrik melonjak-lonjak di permukaannya.
Bu Fang menggolekkan daging itu dengan mahir untuk memastikan ia dipanggang sempurna. Ini sebenarnya menguji cara seorang cef mengawal haba. Panggang golek nampak mudah tapi sebenarnya memerlukan banyak teknik tertentu.
Disebabkan daging itu ialah daging Babi Semangat Api Kilat kelas keenam, api biasa tak memberi kesan kepadanya. Oleh itu, Bu Fang perlu memasukkan daya tulennya ke dalam api sepanjang masa. Ini juga boleh dikira sebagai kulinari daya tulen.
Semakin lama daging dipanggang, bau harum daging itu meresap keluar dari pemanggang dan merebak ke seluruh hutan batu.
Tang Yin dan Lu Xiaoxiao menelan air liur mereka pada masa yang sama dan mata mereka melirik ke arah daging itu. Warnanya yang merah bersinar dengan minyak dan kelihatan begitu menarik.
"Baunya sungguh sedap!" Tang Yin tak mampu menahan dirinya daripada bersuara. Bau daging itu matang tapi tak terlalu berminyak dan turut bercampur dengan bau harum buah-buahan. Ia memberikannya perasaan gembira yang tak terhingga.
Pandangan Lu Xiaoxiao sudah terkunci pada daging panggang itu. Setelah sekian lama hidup bertapa dalam Sekta Cakerawala Rahsia, tak mungkin mereka dapat menahan diri daripada bau lazat itu.
Dalam sekta, sesiapa yang menjadi Raja Pertempuran kelas kelima biasanya memilih untuk berpuasa. Makan tak berapa perlu untuk mereka.
Bu Fang menggolek daging itu tanpa ekspresi. Bila minyak mula menitis dari daging panggang itu, dia menaburkan sedikit perisa yang menjadikan aromanya lebih kaya dan pelbagai.
Bu Fang mengambil dua pencucuk dan memberikannya kepada Tang Yin dan Lu Xiaoxiao. Dia menyuruh mereka mencuba rasanya.
"Daging Panggang Resipi Rahsia Keluarga Bu. Selamat menikmati hidangan." Bu Fang berkata tanpa ekspresi.
Air liur Tang Yin dan Lu Xiaoxiao hampir meleleh. Sambil mereka menghidu bau daging panggang dari jauh, selera mereka sudah terbuka dan mereka tak sabar nak mencuba rasa daging itu.
"Terima kasih, senior." Tang Yin agak berdisiplin. Dia berterima kasih dengan Bu Fang sebelum menggigit daging itu.
Walaupun Lu Xiaoxiao seorang perempuan, adab makannya tidak sesopan Tang Yin. Bila Tang Yin baru hendak menyuap, mulut Lu Xiaoxiao sudah pun penuh dengan daging.
"Oh, oh… Panas! Panas!" Pipi Lu Xiaoxiao penuh dengan makanan dan matanya terbuka luas. Dia memegang daging panggang dengan sebelah tangannya sementara sebelah lagi mengipas-ngipas pipinya.
Tang Yin menggigit daging panggang itu untuk pertama kalinya. Saat giginya menyentuh daging itu, satu perisa yang kaya meresap masuk ke dalam mulutnya. Daging itu tersangat lembut dan langsung tak kering atau keras seperti daging panggang biasa. Bila dia menggigitnya lagi, minyak daging itu meleleh ke bibirnya. Dari jauh, nampak macam dia memakai gincu.
Bila Tang Yin mengunyah daging itu, rasanya melitupi lidahnya dan menyebabkan sedikit rasa kebas. Mulutnya berair dan dan meremang bulu roma di seluruh badannya.
Selepas menelan daging itu, rasa kebas itu masuk ke dalam esofagusnya dan terus ke perut. Dia merasakan seolah-seolah seluruh badannya dibersihkan dan dia rasa sangat selesa sehingga dia mahu mengerang kuat-kuat.
"Macam mana rasa sesedap ni boleh wujud di dunia! Saya tak tahu pun daging Babi Semangat Api Kilat rasa sesedap ni!" Tang Yin terasa ingin menitiskan air mata. Selepas hidup sekian lama, ini kali pertama dia makan sesuatu yang menjadikan dia beremosi.
Lu Xiaoxiao sudah sampai tahap yang dia tak boleh berhenti makan. Matanya merah. Dia pun turut rasa beremosi dengan kelazatan daging itu.
Sebagai anak murid kepada salah satu daripada sepuluh sekta tertinggi di luar sempadan, Sekta Cakerawala Rahsia, mereka perlu melalui latihan sukar sejak kecil. Mereka hanya makan bubur kosong dan ban kukus tiga kali sehari selama bertahun-tahun. Bila mereka mencapai kelas kelima, ramai di antara mereka yang memilih untuk berpuasa. Jadi, mereka tak pernah tahu apa itu rasa.
Merasai daging panggang yang dibuat Bu Fang untuk kali pertama menyebabkan mereka terkejut. Rasanya menusuk ke dalam lubuk hati mereka.
Bu Fang memandang mereka makan tanpa eskpresi dan hujung mulutnya tersenyum. Kemudian, dia mengambil pencucuk terakhir mula menikmatinya.
Sambil dia makan, dia cuba mencari kelemahan daging panggang itu.
Huf!
Bila angin bertiup, aroma daging panggang itu mula merebak ke kawasan sekeliling. Bau daging panggang itu sangat mudah dihidu di Tanah Belantara. Banyak binatang semangat yang tertarik dengan lokasi bau enak itu.
Di atas batu tongkol itu, ada binatang berhantu seperti citah dengan mata hijau yang bersinar. Taringnya kelihatan dan mulutnya basah dengan air liur sambil dia memandang ke tempat Bu Fang.
Sementara itu, ada juga beberapa aura binatang semangat lain yang menghampiri mereka.
Bau daging panggang itu bukan sekadar menarik perhatian manusia. Aroma itu turut menawan binatang semangat.
Tang Yin menggigit daging itu dan menelannya sekaligus. Dia nampak berpuas hati sambil dia bangun.
"Kemahiran memasak senior begitu mengagumkan saya. Biar saya uruskan benda-benda di sekeliling ini supaya tak mengganggu kamu." Tang Yin menarik pedangnya dengan satu tangan dan memegang daging panggang di sebelah lagi tangannya. Ketajaman pedang itu menakutkan.
Bu Fang meneruskan makan sambil mencari kelemahan daging panggang itu.
Lu Xiaoxiao juga memberi perhatian sepenuhnya untuk makan.
Bila Tang Yin sedar yang tak ada sesiapa mengendahkannya, dia terasa sangat malu. Dia tersengih dan menggigit daging itu lagi. Dia tertawa dan daya tulen dalam badannya meletus keluar dan berlingkar di badannya seperti seekor naga.
"Hahahaha! Kalau dulu-dulu, hero-hero minum wain sambil membunuh jembalang! Sekarang, saya, Tang Yin, makan daging sambil membunuh binatang semangat!"
Kelibat Tang Yin menuju ke arah binatang-binatang semangat yang semakin menghampiri. Kekuatan kebanyakan binatang ini pada kelas kelima. Binatang-binatang ini ketua dia rantau masing-masing. Kalau tak kerana godaan daging panggang tu, binatang-binatang ini tak akan tinggalkan kawasan masing-masing.
Sambil pedangnya yang dingin itu bersinar dalam kegelapan, Tang Yin bergerak mudah di antara binatang-binatang itu. Dia nampak begitu bersahaja sambil bajunya berkibas di udara. Pada masa yang sama, dia akan meratah daging panggang itu sambil dia bertarung sepenuh hatinya.
Sememangnya nampak pelik bila seseorang bertarung dengan binatang semangat sambil makan daging panggang…
Selepas selesai bertarung, Tang Yin kembali semula dengan pedang di satu tangan dan daging panggang di sebelah yang lain.
Terdapat darah yang menitis di pedang sedingin aisnya, tapi Tang Yin masih meratah daging dengan bersahaja. Wajahnya puas tak terkata sambil bercampur rasa terpegun.
"Senior, semua binatang semangat sudah dibunuh." Tang Yin berkata sambil tergelak.
Bu Fang mengangguk dan menyuap kepingan daging terakhir dan mengunyahnya perlahan-lahan.
"Senior, daging panggang ni… boleh menambah semula daya tulen ke? Walaupun saya bertarung dengan binatang semangat kelas kelima berseorangan, saya tak rasa yang daya tulen saya berkurangan. Malah, saya rasa semakin kuat bila bertarung. Daya tulen saya mencurah-curah keluar dari badan..." Tang Yin menghela nafas panjang dan bertanya bersungguh-sungguh.
Berhampirannya, Lu Xiaoxiao sangat berpuas hati selepas habis meratah daging dan dia mengusap perutnya yang buncit. Dia menghembus nafas dan bercadang untuk berehat seketika.
Namun, matanya terbeliak kerana terkejut. Dia memandang sekilas ke arah Tang Yin dan kemudian duduk bersila. Daya tulen yang padat mengalir dalam badannya dan dia dalam keadaan bertapa.
"Seperti yang kamu lihat, daging panggang ni memberikan kamu daya tulen yang secukupnya. Tak perlu kecoh-kecoh. Ini masakan daya tulen biasa saja. Kalau kamu nak rasa makanan sebegini, datanglah ke bandar diraja Empayar Bayu dan cari Restoran Kecil Fang Fang." Bu Fang berkata dengan mudah. Pada masa yang sama, dia mengiklankan kedainya.
Empayar Bayu, Restoran Kecil Fang Fang… Tang Yin mengecilkan matanya dan mengangguk bersungguh-sungguh. Dia berkata dalam hati, 'Sajian makanan yang enak dan setanding eliksir kelas kelima! Senior kita memang banyak rahsia!'
Kemudian, selepas habis meratah daging panggang, Tang Yin duduk bersila dan mula bertapa juga. Disebabkan sistem sudah mengekstrak daya tulen dari makanannya, Bu Fang mengambil tempat untuk tidur.
Malam itu berlalu tanpa sebarang insiden. Hari berikutnya, bila matahari mula terbit, mereka bertiga meneruskan perjalanan ke Lembah Phoenix Rebah.
Selepas melepasi hutan batu, pemandangan di hadapan mereka berubah.
Apa yang ada di depan mereka ialah sungai dengan tumbuhan subur. Bunyi air terjun kedengaran di telinga mereka. Lembah Phoenix Rebah kini ada di depan mata.