Xiao Xiaolong kelihatan sungguh teruja. Wajahnya yang berkulit cerah bertukar kemerahan persis wajah gadis cantik, cukup menjolok mata sehingga orang lain mahu menggigitnya.
Bu Fang tiba-tiba berasa tergoda untuk mencuba. Dia berfikir di dalam hatinya, "Oh tuhanku, mengapa aku fikiran sebegini?!"
Bu Fang menggelengkan kepalanya supaya fikiran yang menakutkan ini boleh dihilangkan. Dia terus berfikir, "Dia si pondan, bukan gadis!"
"Aku mesti bertahan, aku mesti kekal normal!"
Walaupun demikian, Bu Fang masih duduk di kerusinya tanpa emosi dan kelihatan tidak peduli pada perbuatan Xiao Xiaolong yang mengerikan tetapi cukup mempersona di hadapannya.
"Beritahu aku! Ini pasti bukan Nasi Goreng Telur biasa! Aku dapat rasa daya tulen di dalam badan aku yang hampir mencecah hadnya!" Bibir Xiao Xiaolong terkumat kamit dengan mata yang bersinar.
Sebagai seorang berbakat yang terkenal di bandar diraja dan anak seorang jeneral yang hebat, Xiao Xiaolong hebat dalam bidang seni sastera dan seni mempertahankan diri. Dengan pencapaian tahap bertapa di puncak Guru-Perjuangaan Kelas Kedua, dia dikira berkebolehan tinggi di kalangan anak-anak pegawai diraja ini.
Walau bagaimanapun, dia dapat rasa loncatan daya tulen dalam tubuhnya secara tiba-tiba selepas Xiao Xiaolong menghabiskan Nasi Goreng Telur itu. Selepas lebih daripada sebulan, ia seolah-olah hampir tidak aktif dan tiba-tiba pula ia meningkat. Itulah tanda bahawa tahap bertapa dia akan maju ke Maniak Pertempuran Kelas Ketiga!
Bagi seorang pertapa, kebolehan dalam kekuatan adalah paling penting. Jika satu mangkuk Nasi Goreng Telur boleh membantunya mencapai kejayaan, maka ia akan setanding dengan eliksir ...
Tidak, ia akan menjadi lebih berharga, kerana eliksir tidak mempunyai rasa. Berbeza dengan Nasi Goreng Telur yang dimasak oleh Bu Fang ... ini adalah masakan yang indah.
Bukan sahaja ianya lazat tetapi ia juga berpotensi untuk mencapai kejayaan, ini berita yang baik kepada para pertapa!
Satu kristal terlalu murah!
"Minta maaf ke atas kebodohan aku tadi. Sekiranya jangkaan aku betul, telur yang digunakan bukan telur biasa. Berdasarkan rasa dan tekstur telur itu, ia sepatutnya telur Semangat Binatang Kelas Ketiga, Merpati Badai Ribut. "
Xiao Xiaolong berasal dari keluarga berprestij dan disiplin tinggi. Dia menenangkan diri dengan serta-merta dan berkata pada Bu Fang.
Fikiran Bu Fang masih teralih. Sebelum ini, dia tidak pernah terfikir untuk mengenali ramuannya dengan terperinci dan selalu menganggap telur itu hanya telur ayam biasa.
"Sistem, adakah telur itu memang betul telur burung merpati seperti yang dikatakan si pondan?" Bu Fang bertanya kepada sistem itu.
Sistem itu terdiam seketika dan tidak lama kemudian, suaranya yang serius mula bercakap.
"Resipi Nasi Goreng Telur biasa: Telur yang dipilih adalah telur pertama Semangat Binatang Kelas Ketiga, Merpati Ribut Petir selepas ia bunting. Ia mengandungi tenaga semangat yang banyak. Bukan sahaja tahap pencapaian pertapa akan ditingkatkan selepas dimakan, malah ia juga dapat membantu untuk melepasi batasan pertapa. Beras yang dipilih adalah Beras Mutiara dari Tanah Tandus Selatan, Empayar Bayu. Ia kaya dengan daya semangat dan hanya boleh di tuai sekali setahun. Ia mempunyai bahan-bahan yang bermanfaat untuk menguatkan seseorang pertapa, maka ia kini telah menjadi ufti kepada kerabat diraja untuk Empayar Bayu. Minyak yang dipilih pula, dibuat daripada lemak Babi Hutan Cangshan, ia tidak berminyak mahupun berlumpur. Garam yang dipilih pula adalah Garam Laut Halus dari Tanah Tandus Selatan.
Bu Fang tidak bersuara selepas mendengar penjelasan dan pengenalan daripada sistem, tetapi dia merasakan seolah-olah anak panah yang tidak kelihatan telah menusuk ke dalam dadanya. "Aduh, sakit!" terfikir di dalam hatinya.
"Sistem, bolehkah kita semak semula harga Nasi Goreng Telur itu? Aku rasa kita akan mengalami kerugian buruk dengan harga hanya satu kristal, kenapa kita tidak naikkan kepada sepuluh kristal?"
"Harga yang ditetapkan oleh sistem adalah munasabah dan adil, ia berdasarkan harga bahan-bahan asal. Pangkat tuan sekarang terlalu rendah, harga tidak boleh diubah."
Bu Fang hanya boleh mengetap gigi dengan kecewa!
Telur adalah dari Semangat Binatang Kelas Ketiga. Beras itu adalah ufti kepada kerabat diraja. Minyak itu pula daripada lemak Semangat Binatang Kelas Kedua. Akhir sekali, walaupun garam itu macam nampak biasa tetapi ia juga luar biasa.
"Rugi besar bagi aku untuk jual semangkuk Nasi Goreng Telur ini dengan hanya satu kristal!
Nasib baik, semua ramuan disediakan oleh sistem. Jika tidak, aku akan nangis malam ini. "
"Tuan restoran, sangkaan aku betul bukan! Telur yang kau gunakan itu pasti telur Badai Ribut Merpati. Rasa yang mencucuk dan kebas ketika telur itu masuk ke dalam mulut aku, itu pasti telur merpati! Tidak mungkin aku salah! " Xiao Xiaolong berasa gembira sekali lagi.
Bu Fang yang berada dalam suasana murung, melihat Xiao Xiaolong dengan gelisah dan berkata.
"Nasi Goreng Telur kami: Telur yang dipilih adalah telur pertama Semangat Binatang Kelas Ketiga, Merpati Badai Ribut. Ia mengandungi daya semangat yang kuat..."
Bu Fang mengulang semula apa yang dikenalkan oleh sistem kepada Xiao Xiaolong, dari mula sehingga akhir.
Xiao Xiaolong terkejut, matanya yang besar menjadi semakin besar dan berfikir di dalam hatinya, "Oh Tuhanku, satu mangkuk Nasi Goreng Telur ini menyembunyi banyak rahsia! Telurnya bukan telur biasa seperti yang aku fikirkan! Beras itu juga tidak disangka, ia juga luar biasa!
Dan garam..." Xiao Xiaolong berasa dia telah menelan satu mangkuk yang penuh dengan emas!
"Jadi, adakah kau masih berfikir bahawa satu mangkuk Nasi Goreng Telur tidak patut bernilai satu kristal?" teriak Bu Fang dan mendengus.
"Tak, tak, tidak pun! Tuan restoran, aku ingin pesan satu pinggan lagi Nasi Goreng Telur!" Xiao Xiaolong serta merta menggelengkan kepalanya dengan penuh senyuman. Nasi Goreng Telur itu boleh meningkatkan pencapaian tahap pertapa! Jika ia berharga lima kristal, Xiao Xiaolong tetap rasa ia amat berbaloi!
"Maafkan aku, peraturan restoran aku ini hanya membenarkan pelanggan memesan setiap hidangan sekali sahaja." Bu Fang berkata dengan sombong sambil duduk di atas kerusi.
Xiao Xiaolong terkejut, lalu mengeluarkan sebuah paket dengan jahitan bunga peony dari dadanya. Mulut Bu Fang melopong ketika terlihat jahitan bunga peony itu. Sekiranya Xiao Xiaolong tidak mempunyai halkum yang menonjol dan payudara, Bu Fang pasti akan berfikir dia adalah seorang gadis yang menyamar!
"Di sini tuan restoran, aku ada lima biji kristal. Tambah lagi satu mangkuk untuk aku!" Xiao Xiaolong meletakkan kristal yang berkilauan di atas meja dengan riang dan bercakap penuh manja pada Bu Fang.
Bu Fang mengabaikan Xiao Xiaolong dan mengambil sebiji kristal dengan kualiti terbaik. Tanpa emosi dia berkata, "Jika pelanggan lelaki bermanja dengan tuan restoran, dia akan ditambah ke dalam senarai hitam restoran aku dan tidak akan dilayan lagi."
Xiao Xiaolong tahu dia tidak akan dapat makan Nasi Goreng Telur pada hari itu, maka dia berdiri dan berlalu pergi.
Sebaik sahaja Xiao Xiaolong melepasi pintu masuk, dia berhenti dan melihat mangkuk kosong yang berada di hadapan anjing hitam besar. Dia sekali lagi merasakan satu anak panah yang tidak kelihatan telah menusuk ke dadanya.
"Nasi Goreng Telur yang begitu berharga diberi kepada anjing untuk makan! Membazir betul! Hmph!"
Anjing hitam besar itu kelihatan lebih malas selepas makan, ia menjilat kukunya sendiri dan melihat Xiao Xiaolong dengan malas dan tidak memberi perhatian kepadanya.
Xiao Xiaolong mengendahkan anjing itu dan meninggalkan restoran kecil yang unik ini di dalam lorong-lorong yang terpencil.
Selepas Bu Fang berdiri dan mengumpul mangkuk di hadapan Si Hitam, dia menutup pintu masuk dan perniagaan dia berakhir untuk hari itu.
Setelah Bu Fang meletakkan hidangan ke dalam mesin pencuci pinggan mangkuk yang disediakan oleh sistem, selesai sudah semuanya. Dia kembali ke biliknya dengan penuh harapan.
"Tuan, tahniah kerana telah menyelesaikan misi sistem yang pertama dan menerima ganjaran daripada sistem. Tuan, telah berjaya mendapat pelanggan pertama dan mengambil langkah pertama ke jalan untuk menjadi Tuhan Memasak."
Bu Fang duduk di atas kerusi dengan penuh semangat di dalam biliknya sementara suara suara sistem itu bercakap di dalam fikirannya.
"Hehe! Akhirnya datang juga, apa ganjarannya, aku sudah tak sabar!"
Mata Bu Fang bersinar-sinar ketika dia menggosok tangannya dengan gembira. Rupa yang tenang tadi telah hilang sepenuhnya.
"Ganjaran sistem: Peningkatan tahap Nasi Goreng Telur dan satu keping Set Cebisan Tuhan Masakan."
Sistem mengumumkan ganjaran Bu Fang dengan suara yang dingin.
Selepas mendengar pengumuman sistem, wajah Bu Fang yang gembira perlahan-lahan bertukar kepada tiada emosi.
"Kenapa Nasi Goreng Telur lagi? Apa bezanya Nasi Goreng Telur yang telah ditambah baik?" Bu Fang berasa sangat kecewa. Pada asalnya, dia ingat hidangan baru akan diperkenalkan, tidak sangka ia masih Nasi Goreng Telur. Walaupun ia telah pun ditambah baik… tetapi ia masih hanya Nasi Goreng Telur!
"Kelas Nasi Goreng Telur yang telah ditambah baik adalah lebih tinggi daripada Nasi Goreng Telur biasa dan ia menggunakan bahan-bahan asal yang berlainan. Pertapa di bawah tahap Maniak Pertempuran Kelas Ketiga tidak dibenarkan untuk memesan hidangan ini."
Sementara sistem menjelaskan perbezaan antara versi yang telah ditambah baik dengan versi biasa dengan serius, Bu Fang masih dalam keadaan terkejut dan tidak berfikir apa-apa mengenainya. Semestinya versi tahap tinggi ada kelebihannya tersendiri.
"Jadi, apakah Set Cebisan Tuhan Masakan?"
"Set Cebisan Tuhan Masakan: Tuan boleh menukar alat memasak baru melalui koleksi Set Cebisan Tuhan Memasak. Peralatan masakan yang tuan gunakan hanyalah alat biasa."
"Rasanya Set Tuhan Masakan ini bunyinya lebih menarik!" Bu Fang terkejut sambil mengelipkan mata. Senyuman juga mula muncul pada mukanya yang tiada emosi sebentar tadi.
Hidangan yang baru juga muncul pada menu restoran kecil itu dengan misteri bersama dengan harga yang terpapar tidak lama kemudian.
Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, sepuluh kristal.
"Sebagai seorang pemuda yang mengimpikan untuk menjadi Tuhan Memasak, mana boleh tiada matlamat jangka pendek? Misi sistem: sila kumpulkan keuntungan sekurang-kurangnya seratus kristal dan seribu syiling emas dalam masa seminggu."
Sistem menyampaikan misi kepada Bu Fang dengan serius.
Untuk mengutip keuntungunan sebanyak seratus kristal dalam masa seminggu, dia perlu menjual seratus mangkuk Nasi Goreng Telur biasa atau sepuluh mangkuk versi tahap tinggi. Selain itu, dia juga perlu menjual sepuluh pinggan Sayur Goreng atau Mi Kering Campur untuk seribu syiling emas ...
"Sistem, ini terlalu sukar! Aku hanya dapat menjual satu mangkuk Nasi Goreng Telur hari ini dan kau hendak aku jual seratus mangkuk Nasi Goreng biasa dalam masa tujuh hari... Mengapa kau tak bunuh aku sahaja!?" Bu Fang mengadu kepada sistem itu dengan sedih.
Namun, sistem dengan dingin pula menggalakkan Bu Fang. "Untuk menjadi seorang Tuhan Masakan, kau jangan takut kepada kesusahan. Semua kesusahan hanyalah batu loncatan untuk kau menjadi yang terbaik!"
Walaupun begitu, Bu Fang masih kekal tidak beremosi. Dia tidak mahu peduli dengan galakan sistem itu. Hakikatnya, jika sistem itu tidak bercakap dengan nada yang dingin, Bu Fang mungkin telah berjaya ditipunya.
Dengan keluhan, Bu Fang berbaring di atas katilnya dan menutup mata.
...
Xiao Xiaolong sudah pulang ke rumahnya di kediaman jeneral. Tetapi dia kelihatan sedikit bingung. Daya tulen di dalam tubuhnya masih dalam keadaan aktif dan membuatkan dia berasa segalanya tidak benar.
"Dengan hanya makan satu mangkuk Nasi Goreng Telur sudah boleh melepasi tahap cerutan, ini... Ini memang sukar dipercayai." Xiao Xiaolong kelihatan seperti mabuk selepas mengenangkan rasa Nasi Goreng Telur itu, seolah-olah dirinya terapung di dalam lautan aroma.
Keluasan Kediaman Jeneral adalah sangat besar. Ketika Xiao Xiaolong melepasi hamba yang sedang sibuk di sepanjang jalan, mereka terkejut sambil menutup mulut selepas melihat rupa dia.
"Kenapa dengan tuan muda Xiao?"
"Wajah muka dia sungguh menyeramkan!"
"Bleh! Menakutkan betul! Imej sempurna tuan muda Xiao telah musnah dalam hati saya, dia adalah cinta pertama saya!"
...
Perbualan antara hamba telah mengejutkan Xiao Xiaolong dari lamunan. Renungan mereka yang menyebabkan dia melajukan langkahnya dan menghilangkan diri dari pandangan.
Xiao Xiaolong sedang duduk bersila di dalam bilik yang kelihatan sederhana dengan matanya tertutup. Daya tulen sedang beredar di dalam tubuhnya dan kulitnya berkilau, menyebabkan dia kelihatan bercahaya suci.
Satu letupan daya bergegas keluar dari teras tenaga Xiao Xiaolong menuju ke kaki dan seluruh titik akupunturnya. Daya tulen itu lembut seperti sungai yang mengalir dan menyuburkan semua benda yang dilaluinya, seperti diurut dengan tangan gadis dengan lembut.
Tepat lima belas minit kemudian, wajah Xiao Xiaolong menjadi merah dan matanya tiba-tiba terbuka. Tenaga yang dihasilkan oleh tubuhnya semakin meningkat, matanya bersinar dan mulutnya dibuka sambil meletuskan satu tenaga yang keruh.
Apabila had ekstrem telah dicapai, tiba-tiba ia berundur sepenuhnya dari tubuhnya seperti ia tidak pernah wujud.
Sambil Xiao Xiaolong berdiri, bunyi tulang-tulangnya bertembung di seluruh badannya bergema. Daya tulen muncul dan berlingkar di tengah tapak tangan semasa dia mengangkat tangannya.
"Haha! Manifestasi daya tulen! Saya memang benar telah mencapai Maniak Pertempuran Kelas Ketiga!"
Xiao Xiaolong ketawa dengan gembira.
"Zhao Ruge! Sekarang, aku adalah Maniak Pertempuran Kelas Ketiga! Aku sudah tidak takut kepada kau!" Mulut Xiao Xiaolong melebar dan ketawa tidak henti.
Namun, tiba-tiba pintu biliknya dibuka sebelum dia habis ketawa. Daya tulen yang dia gunakan untuk mengunci pintunya dipecahkan oleh satu daya tulen yang lebih kuat.
"Xiao Xiaolong! Kau mesti sudah sangat berkebolehan sekarang, berani kau bertaruh kakak kau dalam perjudian dengan Zhao Ruge!"
Sementara pintu dipecahkan, satu kelibat yang anggun melangkah ke dalam bilik diiringi dengan suaranya yang indah.
"Eh? Ah... Kakak!
Xiao Xiaolong terkejut apabila dia melihat penceroboh itu dan seluruh badannya menggigil.
Penceroboh itu adalah seorang gadis yang cantik. Kulitnya cerah dan lembut seperti salji. Dia berpakaian jubah salji putih dipadankan dengan kot hijau yang nipis. Rambutnya yang seperti sutera dibiarkan terurai bebas di belakang bahunya.
Xiao Yanyu memandang Xiao Xiaolong dengan keningnya yang dikerutkan. Dia berasa marah kerana adiknya yang suka berfoya-foya, berani menggunakan dia sebagai barang pertaruhan.
"Kakak, dengar cakap saya dahulu. Saya termakan muslihat Zhao Ruge! Jangan risau, saya pasti akan menang! Tengok, saya sudah menjadi Maniak Pertaruhan Kelas Ketiga!"
Dengan cepat Xiao Xiaolong katakan dengan tangannya diangkat diikuti dengan satu bebola daya tulen yang berlingkar di atasnya.
Walaupun Xiao Yanyu masih marah tetapi dia juga terkejut. Dia sedar kemampuan adiknya yang sudah agak lama tersekat di puncak Guru Perjuangan Kelas Kedua. Tiada sebarang tanda penemuan yang baru semalam, bagaimana dia berjaya dengan tiba-tiba?
"Kakak! Walaupun ada kemungkinan Zhao Ruge juga adalah Maniak Pertempuran Kelas Ketiga, tetapi awak harus percaya pada adik awak! Saya pasti akan kalahkan dia!" Xiao Xiaolong berkata sambil ketawa.
Kecantikan Xiao Yanyu sangat terkenal di dalam bandar diraja. Sudah sekian lama Zhao Ruge mengagumi kecantikanya. Tetapi, dia adalah anak perempuan Jeneral Besar Xiao Meng, maka Zhao Ruge tidak berani melakukan apa-apa, meskipun dia adalah anak kepada Menteri Kiri.
Jika Xiao Yanyu adalah anak perempuan kepada orang biasa, kemungkinan besar dia sudah menjadi gundik Zhao Ruge sekarang.
"Kakak, awak tidak rasa pelik dengan bagaimana saya boleh meningkat?" tanya Xiao Xiaolong dengan penuh godaan.
Xiao Yanyu mengangkat kainnya sedikit dan duduk di atas kerusi. Matanya yang cerah memandang Xiao Xiaolong dan berkata, "Mula cerita, saya dengar."
Xiao Xiaolong tersengih, dia tahu kakaknya mesti dapat mengesan penemuan ini adalah sesuatu yang pelik.
Xiao Yanyu seorang yang sangat pintar dan dikenali sebagai gadis yang berbakat luar biasa di dalam Empayar Dayu. Dia pasti kakaknya akan berasa pelik.
Dengan itu, Xiao Xiaolong berbisik ke telinga Xiao Yanyu dan berkata dengan sangat serius, seolah-olah dia sedang memberitahu satu rahsia.
Xiao Yanyu terkejut sebentar dan berfikir, "Nampaknya rahsia ini sesuatu yang luar biasa. Adik saya yang biasanya bersikap sambil lewa pun menjadi serius tentang hal ini. Saya mesti dengar betul-betul."
"Kakak! Rahsia penemuan saya... sebenarnya disebabkan oleh... satu mangkuk Nasi Goreng Telur!"
"Rupanya Nasi Goreng Telur! Eh? Huh? Nasi Goreng Telur?!"
Wajah Xiao Yanyu yang cantik itu membeku dan bertukar menjadi merah cerah. Budak ini, berani dia mempermainkan kakaknya!
Dengan cepat, jari Xiao Yanyu yang putih dan panjang memutar telinga Xiao Xiaolong. Dengan ketawa yang dingin dia berkata, "Saya rasa, kau semakin berkebolehan untuk mempermainkan kakak kau. Kau ingat Nasi Goreng Telur adalah eliksir? Ia juga boleh bantu kau tingkatkan tahap? Merepek!"
Xiao Xiaolong merasakan seolah-olah satu anak panah yang tidak kelihatan telah menusuk ke dadanya. "Saya bercakap jujur, mana kepercayaan antara adik beradik?"
Sambil berkerut, Xiao Xiaolong menceritakan seluruh proses penemuannya. Dalam penerangannya, restoran kecil di lorong itu adalah tempat yang penuh misteri.
"Jadi, maksudnya awak telah gunakan satu kristal untuk makan satu mangkuk Nasi Goreng Telur?!"
Mata Xiao Yanyu menjadi besar sambil memandang adiknya yang berkelakuan seperti pemenang, tiba-tiba dia rasa mahu mencabut telinga budak ini.
"Kakak! Jika awak tak percaya, saya akan bawa awak ke restoran kecil itu esok, awak pasti rasa gembira. Rasa Nasi Goreng Telur itu, aroma itu... Ohh, seolah-olah kenangan zaman kanak-kanak saya telah dibangkitkan. "
Mata Xiao Xiaolong dipenuhi dengan rasa kagum.
Walau bagaimanapun, Xiao Yanyu masih tidak percaya dan berfikir, "Budak ini pasti sudah kena sihir yang pelik. Hanya satu mangkuk Nasi Goreng Telur sahaja, betapa lazatkah ia?
Hmph! Kita akan lihat esok, wajah sebenar Nasi Goreng Telur misteri ini!"
Bạn cũng có thể thích
bình luận đoạn văn
Tính năng bình luận đoạn văn hiện đã có trên Web! Di chuyển chuột qua bất kỳ đoạn nào và nhấp vào biểu tượng để thêm nhận xét của bạn.
Ngoài ra, bạn luôn có thể tắt / bật nó trong Cài đặt.
ĐÃ NHẬN ĐƯỢC