Aubree terus berjalan dengan wajah marah. Dia tahu jika Meliani akan menggunakan apa saja cara untuk membuatkan hidup dia susah di tempat ini.
Tapi Aubree tidak menyangka yang Meliani akan menggunakan cara seperti ini.
Meliani sengaja membawa banyak Elf lain untuk datang ke makan malam itu supaya mereka boleh menyokong Meliani dan pada masa yang sama menunjukkan kepada mereka yang sebenarnya Aubree ialah Elf yang jahat.
Aubree berhenti sekejap sambil mencuba untuk melepaskan rasa marahnya.
Dia menunduk dan memandang ke arah tangan kanannya yang mempunyai kesan merah.
Tiada yang sedar kecuali Aubree sendiri jika tangannya melecur terkena teh yang panas tadi.
Aubree tidak mahu mengatakan yang tangannya terkena teh panas tadi kerana dia tahu jika semakin banyak dia bercakap, semakin banyak mulut Elf lain mengutuknya.
Jadi, Aubree hanya membiarkan saja keadaan tangannya begitu sehinggalah Aubree tiba di bilik.
Di bilik nanti bolehlah dia menyapu ubat pada luka itu.
Aubree mengeluh dalam hati. "Nasib baik makan malam sempat saya makan. Kalau tidak, sudah tentu selera makan saya akan hilang kerana masalah ini."
"Teruk betullah perempuan yang satu ni! Tiada benda lain kah dia nak buat selain nak cari hal dengan saya?"
Aubree memandang kembali tangannya yang masih sakit. 'Tak mengapa, Meliani... Saya akan bayar semua ini suatu hari nanti...'
Kemudian, Aubree berjalan kembali ke biliknya sambil diikuti oleh White hanya diam di sampingnya.
"Audrey!"
Belum sempat Aubree menoleh ke belakang, bahu Aubree sudah pun disentuh oleh seseorang dan menarik Aubree ke belakang.
Aubree hampir saja jatuh ke dalam pelukan Issac jika dia tidak berhenti tepat pada waktunya.
Kerana Issac seorang Elf yang tinggi, Aubree harus mendongakkan kepalanya untuk menatap Issac.
"Kenapa kau boleh ada di sini?" tanya Aubree kehairanan.
Issac tidak mempedulikan kata-kata Aubree. Dia terus menaikkan tangan kanan Aubree yang terluka itu dan memeriksa keadaan tangan Aubree.
Aubree tidak selesa bila ada orang lain memeriksa lukanya. Jadi Aubree segera menarik tangannya dari genggaman tangan Isaac.
"Jangan bergerak!"
Issac tidak melepaskan tangan Aubree. Malah dia menarik tangan Aubree lagi dan menyelak kain lengan baju Aubree yang panjang.
Sekali lagi, Issac memeriksa luka melecur di tangan kanan Aubree.
"Kecil saja... Kalau saya letak ubat, besok akan sembuh..."
Issac menatap ke wajah Aubree yang nampak muram itu. 'Dia mesti masih marah sebab apa yang Meliani buat pada dia...'
"Saya memang sudah agak jika ada luka di tangan kau. Mari ikut saya ke bilik saya... Saya akan ubatkan luka kau ni," kata Issac.
"Ikut kau kembali ke bilik kau? Tidak mahu! Saya boleh ubatkan luka saya ini sendiri! Kau tidak perlu bebankan diri kau untuk merawat saya," balas Aubree.
Aubree menarik kembali tangannya dan menolak Isaac pergi.
Issac masih tetap berdegil dan terus menarik tangan Aubree lagi. "Saya tetap mahu mengubat luka kau itu sendiri. Ini adalah arahan!"
Aubree menjadi semakin marah kerana kata-kata Issac yang suka mengarahnya. Aubree paling tidak suka bila dia diarahkan oleh orang lain. Mungkin kerana dia memang marah dari awal setelah mengetahui yang Issac ialah kawan rapat musuhnya, Meliani.
Aubree terus menepis tangan Issac dengan kasar. "Saya tidak perlukan simpati dari kau! Saya tidak mahu semua perhatian dari kau! Saya tidak suka ini sama sekali! Kalau kau bersimpati pada saya, kau kembali ke tempat kawan rapat kau tu dan beritahu dia, jangan pernah kacau saya lagi. Kerana jika tidak, saya tidak akan teragak-agak buat benda yang lebih teruk pada dia!"
Issac menatap Aubree yang sudah membebel dengan wajah marah. Dia tidak menunjukkan perasaan marah atau sedih kerana Aubree menolak permintaannya tadi tapi dia hanya berdiri diam di sana dan mendengar apa yang dikatakan oleh Aubree.
"Apa yang kau tunggu lagi? Kembalilah ke tempat kawan rapat kau tu! Saya tidak perlukan pertolongan kau! Saya tidak suka!" tempelak Aubree lagi.
"Saya akan pergi... Tapi selepas saya ubatkan luka di tangan kau..."
Aubree menggetap bibirnya kerana geram. 'Kenapa lelaki ni tidak faham bahasa, ya? Saya sudah cakap banyak kali untuk suruh dia pergi. Kenapa dia masih mahu mengubati luka saya?'
Issac mencuba untuk menarik tangan Aubree lagi tapi Aubree mengelak daripada dipegang oleh Issac.
Aubree memandang Issac dengan tajam. "Kau datang ke sini sebab kau nak berjumpa dengan kawan rapat kau tu... Meliani ialah kawan rapat kau, bukan? Oh, kalau saya tidak silap... Hubungan kamu berdua lebih dari sekadar kawan rapat? Bukan begitu?"
Senyuman sinis muncul di wajah Aubree saat gadis itu memandang ke arah Issac.
Dahi Issac berkerut hebat. "Benda mengarut apa yang kau cakap ni?"
"Bukankah sudah jelas? Kau datang ke sini untuk berjumpa dengan kawan rapat kau tu... Dan sengaja nak kenakan saya di depan semua orang? Dalam diam, kau pun ketawakan saya macam orang lain, kan?"
Wajah Issac berubah menjadi kelat setelah mendengar tuduhan itu.
Aubree mengeluarkan suara tawa yang kecil. "Dengar, Issac... Saya tidak kisah jika kau datang ke sini kerana kau ingin berjumpa dengan kawan lama kau itu atau apa pun benda yang kau ingin lakukan... Tapi saya mohon, jangan pernah kacau saya lagi... Saya—"
"Jadi kau percaya jika saya datang ke sini hanya kerana saya ingin berjumpa dengan Meliani, begitu? Heh, dalam seumur hidup saya... Saya tidak pernah akan gunakan alasan tak masuk akal itu untuk datang ke sini..."
Aubree yang terdiam itu memandang Issac dengan wajah bingung.
"Bukankah saya sudah katakan sebelum ini yang kita akan berjumpa lagi? Tempat ini memang sukar untuk dimasuki oleh orang awam tapi saya rela buat apa saja agar saya boleh masuk ke sini..."
Aubree tidak mengatakan apa-apa dan hanya memandang Issac. Dia terlihat masih tidak mahu percaya terhadap Issac.
"Kau tidak tahu bagaimana susah payahnya saya datang ke sini hanya untuk menunaikan janji saya pada kau. Kalau perkara ini diketahui oleh Ahli Sihir Yang Tertua, saya akan diusir dari sini..."
Aubree terus mengangkat tangannya untuk menyuruh Issac untuk berhenti bercakap. "Saya tidak suruh kau berjanji apa-apa pun... Sedangkan saya berjanji apa-apa pada kau. Kau seharusnya tidak berjanji apa-apa..."
Issac diam untuk sekejap. Senyuman kecil mula terlihat di wajahnya. "Kau tidak setuju tapi saya tetap akan berjanji..."
Aubree mencebik dengan wajah mencemuh. "Saya tidak perlukan janji kau..."
Issac tidak mengatakan apa-apa lagi untuk membalas kata-kata Aubree. Dia terus menarik tangan Aubree dan membawa dia pergi ke bilik Issac.
Aubree menarik tangannya yang sudah pun ditarik namun tidak dapat kerana genggaman tangan Issac yang kuat.
"Issac... Saya boleh ubatkan luka saya sendiri..."
Issac tidak berhenti dan terus menarik tangan Aubree.
White yang ditinggalkan di belakang itu hanya memandang mereka. "..."
Setelah tiba di bilik Issac, Issac membiarkan Aubree duduk di bangku yang kosong sebelum dia mencari ubat untuk menyembuhkan luka Aubree.
Setelah menjumpai botol ubat itu, Issac mengambil bangku kosong yang lain dan duduk di depan Aubree. Tangan Aubree diangkat dan diletakkan dengan hati-hati di atas meja.
Issac menggunakan jarinya sendiri untuk menyapu ubat itu ke tangan Aubree. Saat melihat kesan merah di tangan kanan Aubree membuatkan Issac merasa marah tanpa sedar.
Aubree memerhati tindakan Issac yang sedang mengubati lukanya. Dia agak terkejut kerana dia tidak menyangka yang seorang putera Kerajaan Timur suatu hari akan menolong menyapu ubat di tangannya.
Jika Jake atau Angela tahu jika Issac mengubati Elf lain dengan tangannya sendiri, mereka tentu akan termuntah darah. Lebih-lebih lagi Angela, tentu dia akan pengsan selama berhari-hari.
"Kau tidak perlu susahkan diri kau untuk tolong saya. Saya boleh..."
Issac berhenti sekejap dan merenung ke wajah Aubree. "Jangan pernah cakap begitu lagi pada saya. Kau hanya buat saya rasa seperti orang asing... Saya tidak mahu terlihat seperti orang asing pada kau..."
"Kita memang ibarat orang asing... Yang Mulia Putera Issac... Atau kau lupa jika status kau dan saya berbeza?" balas Aubree.
Issac tersenyum saja sambil menumpukan perhatian ke luka Aubree lagi. "Ya, memang status kita berbeza... Tidak kira di masa lalu atau di masa sekarang... Tapi kau lupakah? Saya jenis Elf yang tidak kisah dengan status. Status tidak penting bagi saya..."
Aubree mencebik lagi. Dia menjulingkan matanya ke atas. "Suatu hari, kau akan sedar yang status akan menentukan segalanya..."
Issac tidak mengatakan apa-apa. Dia menyimpan botol ubat tadi ke tempat asal. Kemudian dia memandang ke arah Aubree lagi.
"Mungkin perkara itu akan terjadi tapi jika perkara itu akan terjadi... Saya tidak akan takut melawan apa pun... Jika itu bermaksud saya akan tetap bersama kau..."
Suasana senyap memenuhi tempat itu.
Di dalam bilik yang hanya diterangi dengan cahaya lilin, terdapat dua orang Elf di mana seorang sedang berdiri manakala seorang lagi duduk.
Mereka saling berpandangan antara satu sama lain, seolah-olah ingin menghantar pesan tersembunyi yang berbeza.
Beritahu saya jika ada sesuatu yang pelik di sini... (>_<)