ดาวน์โหลดแอป
66.09% Legenda Chu Qiao : Agen Puteri Divisyen Ke-11 / Chapter 193: Bab 193

บท 193: Bab 193

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Pasukan Tentera Yan Bei mengelilingi mereka. Pertempuran jarak dekat di antara kedua-dua tentera terasa begitu sengit sekali di tengah-tengah dataran bersalji yang dipenuhi dengan darah. Barisan hadapan kedua-dua tentera Yan Bei dan Zhuge Yue bertempur antara satu sama lain dengan begitu lincah bersama pedang berkilat mereka bagaikan dua ombak yang bertemu dengan masing-masing sementara darah pula terpercik di mana-mana seperti lahar gunung berapi yang bercampur dengan tanah bersalji.

Bunyi angin berderu dan jeritan kedengaran begitu membingitkan. Bunyi ringkikan kuda pertempuran yang bercampur-baur dengan suara para askar tatkala mereka merebah ke tanah. Medan perang itu kelihatan begitu huru-hara seperti periuk yang sedang mendidih dan segala jenis strategi tidak lagi berguna, hanya kekuatan sahaja yang bakal menentukan pemenangnya dalam pertempuran jarak dekat ini. Pada saat itu juga, semua orang kelihatan seperti orang gila yang menghayunkan pedang mereka pada musuh dengan mata yang merah. Anggota badan terputus, otak berkecai... Para askar rebah sebaris demi sebaris seperti rumput yang layu pada musim luruh apabila si pemenang dalam sebuah perlawanan jarak dekat ini terus dibunuh oleh orang lain, tetapi sebelum mereka mati, mereka sempat merentap kaki musuh apabila mereka rebah dengan harapan dapat melengahkan masa supaya rakan-rakan mereka yang lain dapat menyerang.

Walaupun tentera dari Yan Bei melebihi pihak lawan, tetapi mereka tidak boleh memecahkan pembetukan formasi para Pengawal Yue kerana sebaik sahaja lapisan luar askar tumbang, tempat kosong tersebut akan lantas diisi dengan para tentera bahagian dalam, teguh berdiri sambil menghayunkan pedang mereka. Kuda-kuda mereka yang kelihatan seolah-olah ingin tumbang disebabkan serangan bertubi-tubi masih berdiri tegak dengan penuh bangga. Sekalipun mereka sudah berada di ambang kekalahan dengan ramai rakan seperjuangan mereka yang telah tewas, mereka masih lagi tidak menyerah kalah dengan kukuh ibarat ubat penampal yang masih melekit, meneruskan perjuangan mereka demi diri sendiri dan membunuh pihak musuh tanpa henti. Mereka langsung tidak berasa takut akan darah dan sekalipun anggota badan mereka dikerat, ditikam, mereka akan terus menumpaskan musuh mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir!

Mereka ini telah mengikuti Zhuge Yue sejak muda lagi. Disebabkan Zhuge Yue merupakan anak sulung dalam keluarga utama, tokoh yang lebih tua dalam keluarganya telah melengkapi dirinya dengan puluhan orang yang handal dalam seni mempertahankan bersama pengawal peribadi yang lebih daripada 500 orang. Lebih sepuluh tahun mereka berentap bersama-sama Zhuge Yue dari selatan ke utara, menghadapi pelbagai pertempuran tanpa sekalipun berundur. Pada saat ini, mereka mempamerkan semangat juang yang berkobar-kobar di hadapan para tentera Yan Bei.

Pengawal komander, Nie Gu, yang baru dilantik oleh Yan Xun menempik sambil mengayunkan pedangnya, "Bunuh mereka! Bunuh mereka semua!"

Darah terpancut pada Yue Jiu sebaik sahaja dia menikam musuh di bahagian leher, tidak lagi kelihatan tenang seperti selalu. Dia serta-merta mengelap darah pada wajahnya dan menjerit, "Saudara-saudara! Ayuh kita buat jejak darah!" Mayat dan pedang bergelimpangan di mana-mana sehingga kelihatan seperti tiada ruang lagi. Para pahlawan lantas menghayunkan pedang mereka dan menendang mayat ke tepi sambil ditemani dengan teriakan untuk membunuh serta teriakan meronta-ronta yang kedengaran membingitkan bersama darah dan cebisan daging manusia yang bergelimpangan di merata tempat.

Seorang askar Yan Bei memenggal kaki salah seorang pengawal Yue namun tentera muda itu langsung tidak membuat sebarang bunyi, malah sebaliknya telah menikam dada tentera Yan Bei tersebut. Sebelum tentera Yan Bei itu rebah, dia sempat menggenggam pinggang pengawal Yue tersebut, membuatkan kedua-dua mereka yang sudah nyawa-nyawa ikan itu berguling di atas tanah seperti anjing liar yang menggigit satu sama lain. Mereka kelihatan seolah-olah mempunyai persengketaan yang sangat mendalam tetapi sebelum mereka dapat menggigit satu sama lain sehingga mati, lebih dari sepuluh kuda perang telah memecut ke arah mereka dan para tentera yang sedang berada di atas kuda perang yang masih lagi bertempur itu langsung tidak menyedari kedua-dua orang di bawah mereka dipijak sehingga mati. Tulang mereka habis hancur manakala otak mereka pula sudah bersepai sebaik sahaja dipijak oleh kuda-kuda perang tersebut.

Medan pertempuran itu terus berubah menjadi sebuah lubuk pusar merah bersama 300 orang pengawal Yue yang berada di tengah-tengahnya. Formasi kedua-dua belah pihak sudah tidak teratur lagi dengan tentera Yan Bei yang sedang berada di luar lubuk pusar itu tidak dapat memecah masuk formasi pasukan lawan mereka dan hanya berdiri di luar medan pertempuran bersama kuda mereka yang meringkik dengan kuat. Apabila rakan-rakan seperjuangan mereka terbunuh, tentera-tentera yang lain akan mengambil tempat rakan mereka itu di barisan hadapan. Pada saat ini, pembentukan formasi pengawal Yue di bahagian barat laut sudah dimusnahkan yang lantas mendapat teriakan keriangan daripada Nie Gu apabila para pahlawan mengangkat pedang mereka dan mengikutinya dari belakang sambil melaungkan laungan perang yang bingit.

"Lindungi jeneral!" Tempik Yue Jiu. Wajah mudanya telah dipenuhi dengan darah sehingga raut wajahnya sudah tidak dapat dibezakan lagi. Pengawal Yue, dengan mata yang merah berpaling untuk memenuhi ruang tetapi telah berjaya dilengahkan oleh pihak musuh di tepi.

Nie Gu menjerit dengan kuat, "Serang! Bunuh pengkhianat nama Zhuge!"

Swoosh! Setelah dia menghabiskan kata-katanya, sebilah pedang mengekar lehernya lalu meninggalkan kesan darah yang banyak dan lantas kepala komander muda itu terbang melayang ke udara. Badannya melengkung ke belakang lalu dia rebah bersama kesan darah. Zhuge Yue berdiri tegak sambil memegang pedangnya. Mantel hijaunya menaikkan lagi seri wajahnya itu. Renungannya kelihatan mendalam apabila dia merenung medan perang yang sudah kucar-kacir di hadapannya itu. Setitik darah mengalir keluar dari dahinya dan melalui wajahnya yang tampan itu, di belakangnya pula terdapat timbunan mayat manakala di belakang timbunan mayat itu, terdapat kepulan asap yang datang dari bandar yang telah dibakar. Nun jauh di belakang sana pula terdapat sebuah medan perang utama antara Yan Bei dan Xia.

Peperangan sedang meletus, rakyat terpekik lolong meminta bantuan. Benua Barat Meng kini bergegar manakala langit dan bumi sedang tercemar dengan darah. Pemuda itu berdiri megah di tengah-tengah medan pertempuran yang berdarah tatkala pembunuhan kejam sedang berlaku di sekelilingnya.

"Jeneral!"

"Jeneral memang hebat!" Bunyi sorakan bergema sejurus itu. Zhuge Yue berdiri di tengah-tengah medan pertumpahan darah itu lalu menjerit dengan kuat, "Tiada sesiapa di antara kamu yang akan mati! Serang!"

"Ya!" Mereka menyahut dengan serentak. Zhuge Yue berdiri di hadapan dan memimpin pasukannya secara peribadi. Ketangkasannya mengaburkan penglihatan orang lain apabila pemuda itu muncul sesuka hatinya sahaja dan menerbangkan orang ke udara ibarat sebuah gelombang putih, ditambah pula dengan perwatakannya kelihatan begitu menggerunkan.

Kini, hanya 100 orang pengawal Yue yang tinggal namun semangat mereka semakin dirangsang apabila teriakan untuk membunuh menjadi semakin kuat, membuatkan Pasukan Tentera Yan Bei yang dianggap kebal itu kini harus berhadapan dengan suatu pemandangan yang menggerunkan lantas memaksa mereka untuk berundur. Medan perang itu berubah menjadi buntu. Para pegawai Yan Bei yang berada di belakang medan pertempuran menyumpah seranah dan menghamun, tetapi tidak kira sebanyak mana cemuhan yang dilontarkan, mereka masih lagi tidak dapat menakluki cenuram medan pertempuran tersebut. Tidak kira seramai mana tentera yang telah dikerahkan ke bahagian hadapan, mereka masih tidak mampu mengatasi kumpulan askar seramai 100 orang itu.

Raut wajah Yan Xun tidak berubah tetapi dia mengecilkan matanya. Zhuge Yue akhirnya muncul. Dia berdiri di barisan hadapan dengan memakai mantel hijau sambil memegang pisau belatinya dan menghayunkannya dengan sungguh tangkas. Sepintas lalu, Yan Xun dapat melihat cahaya yang terpancar keluar daripada Zhuge Yue yang kelihatan begitu terang sehingga menyilaukan, tetapi pandangannya kelihatan dingin. Yan Xun kemudian memerintah dengan suara yang rendah, "Bawa busur saya ke mari."

Lantas, orang gajinya menyerahkan busur emas berkilau miliknya itu. Yan Xun sedang memakai sehelai mantel hitam dan raut wajahnya kini sudah tidak mesra seperti dahulu lagi. Pada saat ini, dia merupakan sebuah mesin membunuh di tengah-tengah keributan dan mantelnya habis dipenuhi darah sementara jari-jemarinya menyentuh busurnya itu dan perlahan-lahan, dia mencengkamnya. Dia meraba-raba anak panahnya yang berada di karungnya di belakang pemuda itu lalu memasukkannya ke dalam busur silang sebelum menariknya bersama dengan tali takdir. Kenangan masa lalu terlintas dalam fikirannya apabila dia mengumpulkan kekuatannya untuk memanah.

Angin kencang bertiup di medan pertempuran lantas membekukan mayat-mayat yang bergelimpangan di serata tempat bersama awan mendung yang berarak di langit membuatkan empingan salji berterbangan di udara. Sekumpulan kuda pertempuran lantas menghampiri belakang Yan Xun sementara renungan matanya kelihatan dingin. Dia berdiri tegak dan dikelilingi oleh 10,000 orang askar. Dengan gaya dan ketepatan sempurna, dia melepaskan anak panahnya itu! Anak panah yang berkilat itu meninggalkan busurnya lalu terbang melayang ke arah satu tubuh di medan perang itu!

Beribu-ribu mata terpaku pada anak panah yang dilepaskan. Dalam keadaan yang cerah dan menyinarkan itu, anak panah itu telah ditakdirkan untuk melayang ke arah dada Zhuge Yue.

Zhuge Yue telah mencantas badan salah seorang tentera Yan Bei yang menyebabkan darah memancut keluar dari belakang tapak tangannya seperti minyak yang terbakar. Pemuda itu tidak perlu melihat apa yang sedang meluru ke arahnya dan hanya perlu menggunakan deria pendengarannya untuk mengesan anak panah yang sedang melayang ke arahnya. Dengan ketangkasan yang tiada tandingannya, dia beralih ke sisi untuk mengelak anak panah tersebut, menyebabkan ia terkena lengannya, lantas mengoyakkan sebahagian pakaiannya isi dagingnya. Sebelum sempat dia berdiri, sebatang anak panah lagi meluru ke arahnya.

Serangan bertubi-tubi! Teknik yang terkenal dan disempurnakan oleh Chu Qiao dari Yan Bei! Sewaktu jamuan makan pada malam bersalji sungguh lama dahulu, di medan perang bahagian barat laut, pemuda itu telah ternampak Chu Qiao menggunakan teknik ini dan dia bukan lagi asing kepada teknik itu. Walau bagaimanapun, pada saat ini, anak panah ini telah dipanah oleh Yan Xun. Sekalipun pergerakannya tidaklah selemah lembut dan seindah jika dibandingkan dengan Chu Qiao tetapi kekuatannya jauh melebihi gadis itu.

Yan Xun melepaskan tujuh anak panah dan kesemuanya disasarkan pada organ penting Zhuge Yue dan pemuda itu telah mengelak semua serangan tersebut dan berjaya berdiri dengan menyentak badannya sewaktu anak panah tersebut meluru ke arahnya. Mereka memandang antara satu sama lain sekilas, tetapi ia seolah-olah mengandungi persaingan sepanjang hayat mereka.

Seketika itu, Zhuge Yue memusingkan badannya lalu menerpa ke arah Yan Xun. Pedang berkilatnya kelihatan seperti petir apabila dia menyerang dengan pergerakannya tersendiri yang lantas mendapat desahan kedengaran tidak jauh dari situ. Lelaki yang hampir ditikam dengan pedang itu tersenyum kecil. Dia tidak mengelaknya ataupun berasa terkesan dengan serangan tersebut, sebaliknya dia mengeluarkan anak panah emas terakhirnya lalu menarik busurnya ke belakang dan melepaskan anak panah tersebut.

Masa seolah-olah terhenti pada saat ini. Kedua-dua mereka memandang antara satu sama lain dalam diam, dipisahkan oleh beribu-ribu orang tentera. Mereka mengumpulkan segala kekuatan mereka untuk sebuah serangan terakhir, tidak menghalang serangan masing-masing dan hanya menyerahkan hidup mati mereka kepada takdir sahaja.

"Tuanku, awas!"

"Jeneral!"

Sebelum teriakan itu sampai ke telinga mereka, seekor kuda perang meringkik panjang. Pedang berkilat dan tajam yang berada di dalam genggaman tangan pemuda itu kelihatan seperti bintang yang bersinar dalam kegelapan, lantas membelah udara ke arah belakang Yan Xun. Namun, sebelum sempat pedang Zhuge Yue menembusi jantung Yan Xun, ia berlaga dengan pedang milik raja Yan Bei itu! Pedang Zhuge Yue hanyalah pedang biasa yang digunakan untuk pertempuran, jadi bagaimana mungkin ia dapat dibandingkan dengan pedang berharga Yan Xun? Impaknya telah menyebabkan pedang Zhuge Yue berkecai manakala pedang Yan Xun pula mara ke hadapan, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan impak tadi. Anak panah Yan Xun terbang ke arah dadanya, diikuti dengan pedangnya yang terpahat di bahagian belakang anak panah tersebut yang terbang menegak ke bawah lalu mendarat di dada Zhuge Yue, menyebabkan darah mengalir keluar dari dada ke pedangnya sehingga ke penghujung. Perkataan "Poyue" kini dapat kelihatan secara samar-samar.

Darah terpancut keluar dari mulut Zhuge Yue tatkala dia rebah ke belakang, hilang segala keseimbangannya. Walau bagaimanapun, pemuda itu tidak terus rebah ke tanah sementara para pengawal Yue melangkah ke hadapan untuk melindunginya. Mata Yue Jiu kini mula memerah dan air matanya juga mula mengalir. Pemain pedang yang muda itu berpaling bersama renungan yang penuh dengan kemarahan tatkala melihat tentera serba hitam berdiri di dalam salji itu.

Chu Qiao terduduk di atas kudanya bersama 2,000 orang askar dari Pasukan Tentera Xiuli di sampingnya. Telapuk kuda itu kedengaran bingit apabila memijak tanah bersalji tersebut. Mata Chu Qiao terbeliak apabila dia ternampak wajah yang dikenalinya di dalam salji itu dan jantungnya terus berdebar-debar manakala anggota badannya pula terasa kebas, berasa seakan-akan jantungnya sudah terkeluar daripada badannya apabila wanita ini menyaksikan kejadian di hadapan matanya.

Yan Xun tersenyum jelas apabila dia menghulurkan tangannya untuk menjentik emping salji yang mendarat pada bahunya, lalu dia berjalan ke arah Chu Qiao dan menghulurkan tangannya sambil berkata dengan lembut, "Sampai pun awak."

Zhuge Yue sudah dilumuri darah disebabkan pendarahan yang tidak henti di bahagian dadanya dan renungan matanya kini kelihatan kelam. Kebenaran benar-benar menghilangkan aura keangkuhannya itu semasa dia mengangkat keningnya dan menatap orang itu sambil menahan darah yang keluar daripada kerongkongnya.

"Zhuge Yue, sebanyak mana lagi kamu nak memalukan diri kamu itu?" Lelaki itu ketawa dengan penuh dingin, suaranya kedengaran rendah dan serak ketika dia menggumam, "Nampaknya memang kamu hanya bertepuk sebelah tangan."

Dia menatap Chu Qiao dengan dingin dan menyebabkan dada gadis itu terasa sesak. Dia tidak dapat bergerak atau bekata apa-apa tatkala dia turun daripada kudanya. Dia juga tidak dapat melihat senyuman hipokrit Yan Xun, timbunan mayat, bandar Yuegong yang dibakar mahupun angin dingin bersalji di hadapannya lagi. Dia hanya dapat melihat Zhuge Yue yang berlumuran dengan darah dan pemandangan di hadapannya ini sudah cukup membuatkannya terasa seperti dipanah-panah.


Load failed, please RETRY

ของขวัญ

ของขวัญ -- ได้รับของขวัญแล้ว

    สถานะพลังงานรายสัปดาห์

    Rank -- การจัดอันดับด้วยพลัง
    Stone -- หินพลัง

    ป้ายปลดล็อกตอน

    สารบัญ

    ตัวเลือกแสดง

    พื้นหลัง

    แบบอักษร

    ขนาด

    ความคิดเห็นต่อตอน

    เขียนรีวิว สถานะการอ่าน: C193
    ไม่สามารถโพสต์ได้ กรุณาลองใหม่อีกครั้ง
    • คุณภาพของการแปล
    • ความเสถียรของการอัปเดต
    • การดำเนินเรื่อง
    • กาสร้างตัวละคร
    • พื้นหลังโลก

    คะแนนรวม 0.0

    รีวิวโพสต์สําเร็จ! อ่านรีวิวเพิ่มเติม
    โหวตด้วย Power Stone
    Rank NO.-- การจัดอันดับพลัง
    Stone -- หินพลัง
    รายงานเนื้อหาที่ไม่เหมาะสม
    เคล็ดลับข้อผิดพลาด

    รายงานการล่วงละเมิด

    ความคิดเห็นย่อหน้า

    เข้า สู่ ระบบ