ดาวน์โหลดแอป
10.15% Pakar Makanan Dunia Lain / Chapter 97: Tauke Bu, Kamu Tak Rasa Malu?

บท 97: Tauke Bu, Kamu Tak Rasa Malu?

บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

Zhao Ruge memakai jubah kain broked dan dia kelihatan sungguh kacak dan berbudi pekerti tinggi. Dia berdiri di pintu masuk restoran sambil tersenyum apabila dia melihat ke arah Bu Fang yang sedang berlingkar di atas kerusi.

Dahi Bu Fang berkerut. Dia tahu lelaki itu siapa kerana sebelum ini, lelaki itu pernah cuba berunding sebanyak dua kali dengan menawarkan kristal. Tapi dia menolak tawaran lelaki itu dengan tegas. Walaupun pertemuan mereka ringkas, Bu Fang masih ingat rupa Zhao Ruge.

Bu Fang bangun dari kerusi. Matanya melirik ke arah Zhao Ruge dan bertanya, "Kamu mahu pesan apa?"

Zhao Ruge melangkah masuk ke dalam restoran dan mengibas-ngibaskan salji dari pakaiannya. Dia menghembus nafas lega sebelum dia duduk di atas kerusi. Selepas dia melihat menu dengan sekilas pandang, dia mendapati restoran itu telah menambah banyak sajian baru sejak kunjungan terakhirnya ke sana.

Apabila bayangan sajian-sajian lazat Bu Fang muncul dalam benak fikirannya, perutnya terus berkeroncong. Zhao Ruge memesan Tulang Rusuk Masam Manis, Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi dan juga sebalang Wain Jed Penyejuk Hati.

Bu Fang mengangguk kepalanya. Dia kembali ke dapur dan mula memasak sajian-sajian itu. Beberapa ketika kemudian, aroma yang sungguh lazat keluar dari arah dapur. Aroma yang kuat itu menusuk hidung Zhao Ruge.

Tak lama kemudian, Bu Fang pun keluar dari dapur sambil membawa sajian di tangannya dan meletakkannya di hadapan Zhao Ruge.

Zhao Ruge hanya melihat sajian itu. Walaupun aroma yang dibebaskan daripada sajian itu membangkitkan selera makannya, Zhao Ruge masih menahan dirinya daripada terus memakannya. Matanya bersinar-sinar kegembiraan apabila dia melihat ke arah Bu Fang.

"Tauke Bu, mana Xiaoyi? Bukan ke dia datang ke sini hari ni?" Nada Zhao Ruge penuh dengan sindiran.

Bu Fang melihatnya tanpa ekspresi, kemudian dia menarik kerusi lalu duduk tegak di hadapan Zhao Ruge. Pergerakannya santai dan tidak tergesa-gesa.

"Dia tak datang hari ni." Bu Fang menjawab dengan acuh tak acuh dan anak matanya memandang ke arah pipi Zhao Ruge.

Zhao Ruge berasa sangat tenang. Walaupun Bu Fang sedang memerhatinya, tapi ekspresinya tak berubah langsung. Selepas restoran itu mengalami banyak kerugian, ini kali pertama dia rasa yang dia mempunyai kuasa bertindak. Dia memang perlu bersikap meninggi diri apabila dia berhadapan dengan Bu Fang.

"Tauke Bu nak tahu kenapa dia tak datang?" Zhao Ruge bertanya sambil bersenyum.

Kali ini, Bu Fang tak menjawab persoalannya dan hanya memandang Zhao Ruge. Zhao Ruge tak gelabah. Dengan senyuman kecil, dia menarik kain penutup Wain Jed Penyejuk Hati dan menuangkan secawan wain untuk dirinya sendiri. Aroma lazat wain itu terus tersebar ke seluruh restoran. Apabila aroma itu menusuk hidungnya, dia menunjukkan ekspresi yang sangat gembira di mukanya.

Dulu, dia ingat wain nombor satu dalam Empayar Bayu adalah Wain Nektar Berhias Permata di istana diraja. Tapi, sejak dia rasa Wain Jed Penyejuk Hati di restoran itu, dia betul-betul jatuh cinta dengan wain yang sedap itu.

"Tauke Bu, kamu mahu secawan wain tak?" Zhao Ruge bertanya kepada Bu Fang dengan sopan sambil menggoncang-goncangkan cawan wain porselin biru dan putih di tangannya.

"Oh, sebentar ya." Bu Fang menjawab dengan perlahan. Kemudian, dia berdiri dan menuju ke dapur sambil direnung hampa oleh Zhao Ruge. Selepas beberapa ketika, dia kembali dengan sebiji cawan wain porselin yang bersih.

"Tuang sampai penuh, jangan malu-malu." Bu Fang berkata.

Zhao Ruge terdiam apabila dia melihat Bu Fang. Dia berkata dalam hatinya, 'Kau tahu tak aku ajak-ajak ayam saja? Selepas apa yang telah berlaku antara kita berdua, kau ingat aku mahu kau minum dengan aku? Sebalang wain ni berharga lima belas biji kristal. Kuantitinya pun sedikit.'

Bu Fang melihatnya dengan hati yang penuh ikhlas, jadi Zhao Ruge tak dapat menolak permintaannya itu. Dia pun mengisi cawan wain Bu Fang sehingga penuh dengan muka yang selamba.

Bu Fang mengangkat cawan porselin itu ke mulutnya dan menghirup wain di dalam. Matanya memancarkan kegembiraan.

Memanaskan badan dengan meminum wain sewaktu musim sejuk merupakan satu nikmat yang sungguh indah.

"Tauke Bu, kamu betul-betul tak nak tahu kenapa Xiaoyi tak datang?" Zhao Ruge bertanya sekali lagi. Dia menghabiskan wain di dalam cawannya dan mengecilkan matanya ke arah Bu Fang.

Bu Fang memandangnya dan meletakkan cawan wainnya yang sudah kosong di atas meja. Kemudian dia mengambil balang wain itu dengan selamba. Selepas mengisi cawan wainnya, dia hanya menjawab, "Perlu ke saya tahu…"

Zhao Ruge hanya mampu melihat Bu Fang yang sedang meminum Wain Jed Penyejuk Hatinya dengan biadap sekali. Dia tiba-tiba rasa sedih dan menyesal apabila dia bertanya kepada Bu Fang.

"Dia pekerja kamu! Sebagai majikan, bukan ke kamu patut ambil berat tentang pekerja kamu?" Zhao Ruge bertanya.

"Saya memang ambil berat." Bu Fang menjawab.

"Macam ni rupa seseorang yang ambil berat tentang pekerjanya?" Zhao Ruge mencebik bibirnya kerana dia tak mampu berkata apa-apa.

Apabila Bu Fang menghabiskan wain di dalam cawannya sekali lagi, pipinya yang putih melepak menjadi merah. Itu petanda alkohol sudah memberi kesan terhadapnya.

Namun begitu, apabila seseorang mula meminum Wain Jed Penyejuk Hati, mereka akan rasa yang mereka tak boleh berhenti meminumnya. Oleh itu, Bu Fang pun menuangkan secawan wain lagi untuk dirinya...

Perasaan geram dalam hati Zhao Ruge meluap-luap apabila dia memandang Bu Fang... Dia berkata dalam hatinya, 'Dahlah wain dalam balang tu sedikit, kau pergi tuang lagi walaupun kau dah minum dua cawan! Kau tak rasa malu ke?'

Bu Fang meletakkan cawan wainnya di atas meja dan menghembuskan nafas lega sebelum menjawab, "Saya memang ambil berat, tapi saya tak bimbang kerana saya tahu kamu tak akan buat apa-apa pada dia."

Bu Fang memandang Zhao Ruge dengan serius dan anak matanya mengecil. Zhao Ruge tak sangka Bu Fang tahu yang dia telah menculik Ouyang Xiaoyi.

"Tak ada sebab tertentu kamu datang ke sini untuk beritahu saya tentang perkara ni. Bunyinya seperti kamu mengaku yang kamu dah buat salah... Tapi, saya tak bimbang kerana kamu tak berani buat apa-apa pada dia. Kamu tak sanggup menyinggung keluarga Ouyang." Bu Fang berkata.

"Hahaha! Tauke Bu dapat lihat di balik rancangan saya. Saya betul-betul bertindak secara melulu. Saya tertanya-tanya kalau Tauke Bu berminat untuk bekerja dengan saya. Memandangkan kota diraja sekarang dalam keadaan huru-hara, inilah peluang kamu untuk menyebelah pihak saya. Selagi Tauke Bu sanggup bekerjasama dengan saya, saya akan pastikan Restoran Fang Fang akan menjadi restoran paling terkenal di kota diraja dan juga di seluruh Empayar Bayu."

Mata Zhao Ruge tiba-tiba bersinar apabila dia melihat Bu Fang.

"Kerjasama?" Bu Fang memandang ke arah Zhao Ruge tanpa ekspresi. "Tak berminat."

"Tauke Bu, jangan cepat sangat tolak tawaran saya. Ayah saya merupakan Menteri Kiri bagi dinasti sekarang. Kami memang berkeupayaan untuk menjadikan Restoran Fang Fang sebagai restoran nombor satu dalam Empayar Bayu. Dengan adanya boneka dan binatang semangat kamu yang kuat itu, senang bagi kami untuk bantu salah seorang putera itu menjadi maharaja nanti." Zhao Ruge berkata.

Bu Fang menggelengkan kepalanya. Dia menuangkan lagi secawan wain dan akhirnya, Wain Jed Penyejuk Hati pun habis seperti itu sahaja.

Selepas menghabiskan wain di dalam cawannya, Bu Fang tak memberi apa-apa respons kepada Zhao Ruge. Dia berdiri dan badannya terhuyung-hayang sedikit, kemudian dia berjalan ke arah dapur.

Pembisuannya itu bermaksud yang dia telah menolak tawaran si Zhao Ruge.

Perasaan geram yang membara dalam hati Zhao Ruge hilang sedikit demi sedikit. Kemudian, dia mula memakan Tulang Rusuk Masam Manis dan Nasi Goreng Telur dengan ekspresi yang tenang. Walau bagaimanapun, apabila dia mengangkat balang Wain Jed Penyejuk Hati, dia mendapati yang balang itu sudah kosong...

Pada masa itu, Zhao Ruge benar-benar mahu mencampak balang kosong itu ke arah kepala Bu Fang! Lelaki itu memang melampau!

Selepas dia habis makan, Zhao Ruge melemparkan beberapa biji kristal ke atas meja dan beredar dari restoran itu dengan marah. Daripada sebalang Wain Jed Penyejuk Hati yang berharga lima belas biji kristal itu, dia hanya dapat minum secawan sahaja. Selebihnya berada di dalam perut Bu Fang. Geramnya!

...

Di kediaman Zhao, Zhao Musheng berjalan dengan perlahan di tamannya sambil memakai kot luar yang dijahit dengan gambar-gambar burung jenjang. Tapi, taman yang diliputi salji itu tak seindah mana pun.

Seorang lelaki berlari masuk ke dalam kediamannya dan berhenti di depan Zhao Musheng. Lelaki itu berkata dengan penuh hormat, "Surat rahsia telah diserahkan kepada Putera Mahkota."

Zhao Musheng mengangguk kepalanya. Dia mengangkat tangannya dan satu bebola daya tulen berwarna kuning muda terapung di telapak tangannya. Bebola daya tulen itu memberikan perasaan ketenangan dan keharmonian.

"Bagus. Anak muda Marquis Yang dah ditangkap?" Zhao Musheng bertanya dengan serius.

"Ya, dia sudah ditangkap. Kami telah meletakkannya di dalam bilik yang sama dengan Ouyang Xiaoyi." Lelaki itu menjawab dengan penuh hormat.

Zhao Musheng menghembuskan nafas lega. Emping salji melayang ke atas telapak tangannya dan ia dihancurkan dengan serta-merta oleh daya tulen yang terapung di situ.

Ada daya yang menakutkan tersembunyi di dalam daya tulen yang bersifat tenang dan harmoni itu.

"Memandangkan kita ada marquis muda dan gadis daripada keluarga Ouyang bersama kita, Putera Mahkota pasti tak akan tolak tawaran kita... Maharaja Empayar Bayu, sangat bagus."

Zhao Musheng melepaskan daya tulen yang terapung di atas telapak tangannya. Dia memijak salji dengan perlahan dan beredar dari taman itu dengan meninggalkan kata-kata yang penuh makna.


Load failed, please RETRY

ของขวัญ

ของขวัญ -- ได้รับของขวัญแล้ว

    สถานะพลังงานรายสัปดาห์

    Rank -- การจัดอันดับด้วยพลัง
    Stone -- หินพลัง

    ป้ายปลดล็อกตอน

    สารบัญ

    ตัวเลือกแสดง

    พื้นหลัง

    แบบอักษร

    ขนาด

    ความคิดเห็นต่อตอน

    เขียนรีวิว สถานะการอ่าน: C97
    ไม่สามารถโพสต์ได้ กรุณาลองใหม่อีกครั้ง
    • คุณภาพของการแปล
    • ความเสถียรของการอัปเดต
    • การดำเนินเรื่อง
    • กาสร้างตัวละคร
    • พื้นหลังโลก

    คะแนนรวม 0.0

    รีวิวโพสต์สําเร็จ! อ่านรีวิวเพิ่มเติม
    โหวตด้วย Power Stone
    Rank NO.-- การจัดอันดับพลัง
    Stone -- หินพลัง
    รายงานเนื้อหาที่ไม่เหมาะสม
    เคล็ดลับข้อผิดพลาด

    รายงานการล่วงละเมิด

    ความคิดเห็นย่อหน้า

    เข้า สู่ ระบบ