"Tuan Muda Bu… bagaimana rasanya?"
Selepas seketika, Bu Fang masih tak berkata apa-apa. Xiao Xiaolong dan lain-lain sudah tak mampu menahan diri. Qian Bao pula sudah hilang sabar untuk membuka mulut dan bertanya. Matanya merenung ke arah Bu Fang.
Tuan Chen menyilangkan tangan di dadanya sambil dia memerhati. Sajian Ikan Kap Batu Goreng Kering ini kepakarannya. Dia sudah memasaknya selama berpuluh-puluh tahun dan sangat arif tentang cara penyediannya. Dalam hatinya, hidangan itu sudah sempurna.
Bu Fang menghembuskan nafas sambil dia mengambil secawan air dari meja dan minum sepuas-puasnya. Selepas itu, barulah dia memandang mereka di sekelilingnya.
Dengan selambanya, dia mula memberi penilaian, "Jika dibandingkan dengan hidangan-hidangan lain yang banyak kesilapan, sajian Ikan Kap Batu Goreng Kering ini boleh dikatakan satu gred lebih baik."
Kata-kata Bu Fang menyebabkan semua orang terus berasa lega. Xiao Xiaolong dan lain-lain juga tersenyum.
'Nampaknya, Tauke Bu memuji hidangan ni. Rasa hidangan ini pasti agak sedap. Kita patut mencubanya.'
Sambil berkata-kata dalam hati, Xiao Xiaolong terus mengambil sekeping ikan dengan penyepitnya dan menyuapnya ke dalam mulut. Rasa savuri ikan itu terus meletus dalam mulutnya. Sedikit rasa rempah yang tersebar dalam mulutnya itu membuatkan matanya bercahaya.
Xiao Xiaolong mengangguk dan berkata dengan senyuman, "Sajian ini memang agak sedap. Ia lebih enak daripada sajian-sajian sebelum ini."
Bila Qian Bao mendengar kata-kata itu, matanya terus mengecil dan dia tak mampu menahan diri daripada tersenyum. Disebabkan mereka semua memuji hidangan ini, pada pandangannya, dia sudah menang.
Perasaan Qian Bao begitu seronok kerana dia memenangi lima puluh ribu syiling emas dengan mudah.
"Tuan Muda Bu, kalau begitu, kali ini… adakah saya menang?" Qian Bao berkata sambil tergelak kecil.
Namun, reaksi Bu Fang menyebabkan jantungnya hampir gugur. Bu Fang memandanganya dengan pelik sambil tersenyum kecil.
"Saya hanya memuji rasa hidangan ini. Jika dibandingkan dengan sajian-sajian sebelum ini, hidangan ini memang boleh tahan bagus. Cuma, masih terdapat banyak kelemahan."
"Hmm?" Semua orang terkejut mendengar kata-katanya.
Pandangan mereka tertumpu kepada Bu Fang. Mereka tak sangka perkara sebegini akan berlaku.
"Ada tiga langkah untuk memasak Ikan Kap Batu Goreng Kering ni, betul tak? Pertama sekali, letakkan ikan kap batu yang sudah disediakan ke dalam kuali dengan minyak yang penuh dan ikan digoreng celur sehingga kulitnya berkedut. Kedua, goreng kilas ramuan-ramuan lain. Ketiga, ramuan yang sudah digoreng dan ikan yang digoreng celur itu dicampur bersama dan digoreng kering dalam kuali."
Bu Fang berkata dengan perlahan. Anak mata Tuan Chen mengecil kerana analisis Bu Fang memang betul-betul sama dengan cara memasaknya!
"Hmph! Habis tu? Itu hanyalah langkah-langkah memasak secara umum. Ada banyak lagi proses rumit dalam setiap langkah. Itu yang lebih penting bila memasak hidangan ni." Tuan Chen menyindir sambil berkata dengan yakin.
Bu Fang mengangguk dan memandang ke arah Ikan Kap Batu Goreng Kering itu dan berkata, "Betul tu. Jadi saya akan tunjukkan apa kekurangannya secara terperinci. Mula-mula sekali, bila kamu menyediakan ikan kap batu, kamu buat hirisan di kedua-dua belah ikan itu. Kamu buat dua hirisan di setiap bahagian, betul tak? Inilah kekurangan pertama. Kamu sepatutnya buat hirisan itu mengikut panjang dan lebar ikan. Kalau ikut panjang ikan ni, tiga hirisan yang terbaik; dua hirisan pendek dan satu hirisan panjang. Bila buat begitu, barulah ikan itu dapat menyerap perisa sepenuhnya semasa digoreng celur dan digoreng kering."
Tuan Chen mengerutkan kening. Dia memang selalu buat dua hirisan tanpa mengira saiz ikan. Dia sudah terbiasa dengannya dan tak pernah terfikir yang tiga hirisan lebih baik.
"Untuk kedalaman hirisan itu, rasanya tak perlulah saya sebut. Seterusnya, masa untuk goreng celur. Disebabkan masalah hirisan tadi, proses goreng celur menjadi lebih panjang dan menyebabkan ikan terlebih masak. Ini menyebabkan isi ikan itu hilang kelembutan… Ramuan lain yang digoreng kilas tak begitu teruk sebab ia tak memerlukan kemahiran pun. Akhir sekali, masalah dengan goreng kering. Masa untuk menggoreng kering kurang beberapa saat. Supnya tak cukup pekat dan ikan itu tak dapat menyerap perisanya dengan baik."
Bu Fang berkata dengan mudah. Namun, kata-katanya telah menyebabkan Tuan Chen termangu-mangu. Pada mulanya, Tuan Chen hendak membantah, tapi bila difikirkan balik kata-kata Bu Fang, dia sedar yang cara memasak itu lebih baik.
Gulp.
Tuan Chen menelan air liur. Muka tembamnya berpeluh-peluh dan matanya penuh rasa tak percaya. Dia berkata dalam hati, 'Siapa lelaki ni? Macam mana dia boleh mengesan begitu banyak kesilapan hanya dengan merasa hidangan ni?!'
Xiao Xiaolong dan lain-lain pun terkejut. 'Tauke Bu… Hebatnya! Dia baru rasa hidangan tu sekali dan dia berjaya membuatkan cef Restoran Phoenix Abadi terkesima.'
"Tu… Tuan Chen… Betul ke apa yang dia cakap?" Ekspresi Qian Bao kini kurang menyenangkan sambil dia bertanya kepada Tuan Chen yang berpeluh sejuk.
Kak Chun yang berdiri berhampiran pun begitu terperanjat. Dia tak sangka yang Tuan Muda Bu ini sangat berkuasa sampai membuatkan Tuan Chen berpeluh sejuk mendengar kata-katanya.
"Tauke Qian… Apa yang Tuan Muda Bu katakan itu memang betul. Saya sudah memasak Ikan Kap Batu Goreng Kering selama berpuluh-puluh tahun dan saya faham yang setiap langkah memasak akan mempengaruhi rasanya… Apa yang Tuan Muda Bu katakan tadi ialah perkara-perkara yang saya tak pernah terfikirkan selama ini." Tuan Chen menerima nasihat Bu Fang dengan tenang sambil dia mengeluh dan berkata kepada Qian Bao.
Qian Bao terus berasa bingung. Lima puluh ribu syiling emas… hilang serta merta!
Bu Fang memandang Qian Bao yang kaku itu lalu berdiri tanpa perasaan dan berjalan keluar.
"Xiaoyi, ikut saya. Kita akan pergi ke tingkat tiga."
"Ah… Eh? Tunggu kami!" Xiao Xiaolong dan lain-lain tersedar daripada rasa kagum mereka. Mereka terus mengikut di belakang Bu Fang.
Qian Bao juga kembali sedar dan eskpresinya kurang menyenangkan. Dia mengetap giginya dan menuruti Bu Fang juga.
Qian Bao membawa keempat-empat mereka ke tingkat tiga. Ini tingkat paling terhormat di Restoran Phoenix Abadi dan ia tak dibuka kepada khalayak umum.
"Tuan Muda Bu, silakan!"
Qian Bao berubah serius. Kejadian tadi meyakinkan dia yang Bu Fang bercakap benar dan seorang yang berkebolehan.
Kawasan sekeliling tingkat tiga itu lebih hebat daripada tingkat dua. Bila mereka masuk saja, mereka sudah dapat merasakan tenaga semangat yang padat di udara. Qian Bao menghabiskan banyak duit untuk menyediakan pembentukan kuasa ajaib untuk mengumpulkan tenaga semangat di tingkat tiga!
Xiao Xiaolong dan lain-lain terkesima. Mereka tak pernah sampai ke tingkat tiga dan mereka dapat peluang ini kerana Bu Fang. Mereka rasa terharu dengan serta merta melihat perkara baharu ini.
"Tuan Muda Bu, sila duduk. Saya akan dapatkan seseorang untuk menghidangkan makanan! Tingkat tiga Restoran Phoenix Abadi ni hanya menyediakan tiga sajian." Kata Qian Bao.
Bu Fang mengangguk. Dia duduk dia meja lapan hidup abadi yang diperbuat daripada kayu cendana merah dan menunggu hidangan sampai dengan senyap.
Dengan ekspresi suram, Qian Bao meninggalkan tingkat tiga dan memberi arahan kepada pekerja-pekerjanya untuk menyediakan hidangan-hidangan itu.
Xiao Xiaolong dan lain-lain memandang sekeliling mereka dengan rasa ingin tahu. Bila melihat perkara baru, semua orang pasti tertanya-tanya.
Namun, Bu Fang duduk di situ dan tak bergerak. Matanya tertutup sambil dia menunggu hidangan untuk sampai.
Selepas hampir setengah jam, Qian Bao kembali. Seorang pelayan wanita dengan badan menggiurkan berjalan menurutinya. Dia memakai gaun yang menampakkan kakinya yang cantik.
"Tuan Muda Bu, hidangan pertama ruang tertinggi, Daging Khinzir Semangat Masak Merah."
Bu Fang mengangguk. Dia memandang pinggan porselin besar di hadapan mereka. Ada seketul daging khinzir merah yang menggiurkan di atas pinggan itu dan ia berbau harum. Pada tanggapan awalnya, daging itu nampak berlemak tapi tak berminyak. Ia nampak indah seperti jadeite merah.
"Ini hidangan kedua ruang tertinggi, Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis!"
Seorang lagi pelayan wanita yang cantik dengan badan menggiurkan membawa hidangan itu. Dia meletakkannya di hadapan Bu Fang dan membuka penutupnya. Warna oren hidangan itu kelihatan terang di matanya.
Bu Fang mengangkat keningnya. Dia memandang hidangan itu dengan penuh minat sambil hujung mulutnya tersenyum. Tulang Rusuk Masam Manis?
"Hidangan ketiga, yang juga hidangan paling agung, Itik Bunga Panggang Kaca Berwarna!"
Bila Qian Bao mengumumkan hidangan terakhir itu, nadanya berubah menjadi lebih yakin dan penuh bangga. Dengan separa sedar, dia mendedahkan rasa yakinnya terhadap hidangan terakhir ini.
Bu Fang mengecilkan matanya dan memandang badan itik yang seakan-akan kaca berwarna itu. Itik itu didirikan di atas pinggan dan tengkuknya dibentukkan menjadi huruf S. Kepaknya pula didepangkan sedikit dan ia kelihatan seolah-olah mahu terbang.
Mata Bu Fang berkelip-kelip dan dia rasa hairan… "Ini, inikah Itik Bunga Panggang? Bukankah ini itik panggang yang mahu terbang?"
"Tuan Muda Bu, pada asalnya kalau mengikut peraturan, kamu tak layak masuk ke tingkat tiga Restoran Phoenix Abadi. Ini kerana sehingga hari ini, hanya pegawai kerajaan, Baginda Maharaja dan putera raja dibenarkan masuk ke ruang tertinggi ini. Saya hanya membenarkan Tuan Muda masuk kerana kebolehan kamu menilai hidangan. Kalau tak, walaupun apa saja yang kamu buat, saya tak akan benarkan kamu masuk ke sini."
Qian Bao berkata dengan serius. Dia menganggap ruang tertinggi ini sangatlah penting. Itu sebabnya dia begitu berhati-hati.
Kalau ruang umum dan ruang tetamu terkemuka ialah asas penubuhan Restoran Phoenix Abadi di bandar diraja, ruang tertinggi di tingkat tiga itu pula ialah asas reputasinya.
Qian Bao hanya memberi perhatian serius kepada Bu Fang kerana dia boleh menyenaraikan kesilapan proses masakan Ikan Kap Batu Goreng Kering yang Tuan Chen sendiri tak sedar.
Penilaian Bu Fang terhadap sajian Restoran Phoenix Abadi yang menyebabkan dia berjaya naik ke tingkat tiga itu merupakan satu penghinaan besar kepada reputasi mereka. Qian Bao tak boleh biarkan penghinaan ini berterusan. Dia mesti mencari cara untuk menyelamatkan reputasinya dan caranya ialah di tingkat tiga.
Bu Fang memandang Qian Bao sekilas dan berkata tanpa perasaan, "Kalau ada orang yang mahu saya menilai hidangan mereka, saya mungkin tak akan hiraukan. Kalau tak kerana keadaan tertentu, saya tak akan bersusah payah merasa hidangan sampah kamu ni."
Nada Bu Fang sangat selamba. Walaupun kata-katanya berbunyi seperti sindiran, dia langsung tak berniat sedemikian. Dia hanya menyatakan kebenaran.
Qian Bao kaku seketika dan tak terkata apa. Namun, dia mengecilkan matanya dan tiba-tiba tertawa, "Jadi, mahukah Tuan Muda Bu rasa tiga sajian ini?"
"Ini tiga hidangan terbaik Restoran Phoenix Abadi."
Berkelip-kelip mata Xiao Xiaolong dan lain-lain sambil mereka melihat tiga hidangan menggiurkan itu dengan penuh keinginan.
Hidangan di ruang tertinggi Restoran Phoenix Abadi bukanlah sesuatu yang mereka biasa jumpa. Walaupun sajian-sajian ini tak sesedap di restoran Bu Fang, pengalaman makan di tingkat tiga itu lebih utama daripada menikmati rasa hidangannya. Apa yang penting ialah nikmat status dan identiti.
Mula-mula sekali, Bu Fang mencuba rasa Daging Babi Semangat Masak Merah. Sajian ini dibuat menggunakan ramuan daripada binatang semangat, walaupun ia hanyalah daging bermutu rendah daripada binatang semangat kelas pertama, Babi Hutan Pertempuran. Namun, kemahiran cef itu agak hebat dan dagingnya berjus selepas dimasak. Ia setanding Ikan Kap Batu Goreng Kering.
Namun...
"Disebabkan ini daging daripada binatang semangat, ramuannya perlulah dipilih dengan cermat. Untuk hidangan ini, pemilihan daging daripada Babi Hutan Pertempuran sudah salah. Daging babi ini lebih sesuai dimasak stew. Daging Babi Berapi ialah pilihan terbaik untuk masakan tumis-reneh. Lagi satu, kawalan haba semasa proses menumis-reneh agak lemah dan cecair tumis-reneh ini... terlalu manis."
Selepas satu suapan, Bu Fang meletakkan penyepitnya dan memberi penilaiannya tanpa belas kasihan. Tiba-tiba, beberapa kesilapan sajian kelas pertama ini disebut oleh Bu Fang.
Qian Bao tercengang. Dengan segera dia menyuruh pelayannya menulis kesilapan-kesilapan yang disebut Bu Fang.
Qian Bao tak begitu terperanjat yang Bu Fang boleh mengesan begitu banyak kesilapan dalam hidangan Daging Babi Semangat Masak Merah itu. Apatah lagi, hidangan ini hampir sama taraf dengan Ikan Kap Batu Goreng Kering.
"Tuan Muda Bu, cuba rasa hidangan ini juga, Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis." Qian Bao berkata.
Namun, hasilnya tak seperti yang dijangka. Penilaian Bu Fang terhadap hidangan ini teramat rendah dan kesilapan yang dikesan Bu Fang lebih banyak daripada Daging Babi Semangat Masak Merah.
Qian Bao terkejut. Dia berfikir, 'Kenapa? Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis lebih sedap daripada Daging Babi Semangat Masak Merah…'
Xiao Xiaolong dan lain-lain menahan diri daripada tersenyum. Dia macam sengaja nak kena marah dengan membesar-besarkan hidangan Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis di depan Tauke. Pada pandangan Bu Fang, Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis itu langsung tak berkualiti.
Bu Fang tidak menghiraukan Qian Bao sambil pandangannya beralih ke arah Itik Bunga Panggang yang kelihatan mahu terbang.
"Persembahan hidangan ini… agak menarik." Hujung mulut Bu Fang tersentap sambil dia menggunakan penyepitnya untuk mencucuk badan itik itu. Ada sedikit daya pantulan yang mengalir dari penyepit ke tangannya.
"Tepuk tepuk!" Bila Qian Bao nampak yang Bu Fang hendak mencuba sajian istimewa, Itik Bunga Panggang. Dia tiba-tiba bangun dan bertepuk tangan dengan penuh semangat.
Kemudian, pelayan wanita dengan badan menggiurkan dan berpakaian gaun yang menampakkan kakinya itu berjalan dengan lemah lembut ke sebelah Fang. Bau badannya begitu harum.
Wajah Bu Fang berkerut sambil dia berkata dengan selamba, "Tolong jangan dekat sangat. Bau wangi kamu tu akan menjejaskan penilaian saya terhadap hidangan ni."
"Ah?" Pelayan itu terkejut dan wajah cantiknya penuh kehairanan. Tangannya yang memegang pisau berhenti di udara dan dia nampak tak berdaya.
Qian Bao tercengang seketika dan mukanya berkerut. Dia menggaji pelayan-pelayan perempuan cantik ini untuk melayan pegawai tertinggi dan orang-orang kenamaan. Dia juga telah menghabiskan banyak duit membeli produk kosmetik berkualiti tinggi supaya mereka nampak lebih cantik dan menarik. Dia tak sangka yang taktiknya itu menjejaskan selera pelanggannya.
Dia berfikir seketika dan membiarkan pelayan wanita itu beredar. Dia kemudiannya memegang pisau dan mula memotong itik itu.
Qian Bao nampak berpengetahuan dalam mengendalikan hidangan itu. Tangannya stabil sambil dia menghiris satu bahagian daging dengan cepat dan menghidangkannya kepada Bu Fang.
Bu Fang membalut daging itu dengan kulit popia bersama-sama sedikit kobis dan dia menambah sedikit cuka. Dia kemudian menelan keseluruhan makanan itu.
Rasa daging itik dan kobis itu sempurna dan memberikan tekstur yang dapat digambarkan dengan kata-kata. Bila ditambah dengan kekenyalan kulit popia, Bu Fang dapat menikmati satu rasa enak yang tak dapat dilupakan.
Dia mengaku yang rasa Itik Bunga Panggang itu teramat sedap.
"Tuan Muda Bu, bagaimanakah rasa sajian istimewa Restoran Phoenix Abadi ni?" Qian Bao menjilat bibirnya sambil merenung Bu Fang dengan tajam. Dia yakin hidangan yang dipuji Maharaja sebagai hidangan itik nombor satu di Empayar Bayu itu mampu menawan lelaki ini.
"Hmm, hidangan ini agak sedap." Bu Fang berkata sambil menghiris sekeping lagi daging itik. Kali ini, dia hanya makan daging begitu saja tanpa membalutnya dengan kulit popia.
Dia juga seseorang yang menikmati makanan sedap. Setiap cef seorang pelahap yang sebenar.
"Kalau begitu, Tuan Muda Bu… Bolehkah kamu nyatakan kelemahan hidangan ini?" Qian Bao menarik nafas dengan dalam dan berkata sambil merenung Bu Fang.
Bu Fang meminum secawan air dan berkata, "Sajian ini boleh dikatakan yang paling sempurna dalam Restoran Phoenix Abadi. Rasanya sangat sedap."
"Saya boleh teka yang hidangan ini dibuat dengan mengikuti resepi secara teliti. Tak ada satu langkah pun yang tertinggal dan setiap perincian diambil kira." Bu Fang berkata.
Anak mata Qian Bao mengecil sambil dia berdiri. Dia merenung Bu Fang dengan bersungguh dan matanya penuh dengan rasa tidak percaya.
Tepat sekali! Sajian Itik Bunga Panggang Kaca Berwarna ini diambil daripada resipi yang diperolehi tanpa diduga. Disebabkan resipi inilah dia dapat mengendalikan Restoran Phoenix Abadi sehingga ke tahap ini dan mendapat sokongan orang kenamaan itu.
"Kamu tak salah mengikut setiap langkah dalam resipi itu. Namun, kamu terlalu mengikut peraturan dan kurang fleksibel sampaikan kamu terlepas pandang beberapa perkara penting. Kamu perlu faham yang setiap resipi disemak banyak kali sebelum direkodkan. Ia tak sempurna dan masih boleh diperbaiki. Sama seperti hidangan ini, ada kesilapan dalam pemilihan ramuan."
"Pemilihan ramuan?"
"Betul tu. Resipi ini menyatakan yang itik matang perlu digunakan, betul tak? Dan itik itu mestilah itik semangat berkualiti tinggi. Tapi, sebenarnya lebih baik kalau itik muda yang dipilih. Kulit itik matang terlalu tegang dan dagingnya terlalu liat. Kesilapan lain tak begitu penting jadi saya tak akan sebut tentangnya." Bu Fang berkata tanpa perasaan.
Qian Bao menarik nafas dalam dan menenangkan dirinya. Namun, air mukanya tak begitu menyenangkan.
Dia tak setuju dengan pernyataan Bu Fang. "Tuan Muda Bu, Itik Bunga Panggang ialah sajian istimewa restoran kami dan ia sudah melalui pelbagai percubaan. Saya tak setuju dengan pendapat kamu yang kami patut gunakan itik muda. Saya lebih percayakan kaedah yang dinyatakan dalam resipi."
Walaupun kata-kata Bu Fang kedengaran munasabah, Qian Bao tak mudah mempercayainya. Lagipun, itu sajian istimewa mereka. Jadi takkanlah senang-senang dia nak mengubahnya?
Bu Fang memandangnya sekilas dengan acuh tak acuh dan berkata, "Sama ada kamu percaya atau tak, tak ada kena mengena dengan saya. Saya hanya menilai hidangan ini. Baiklah, saya dah nilai kesemua hidangan. Jadi, saya ingin minta diri. Ini bayaran untuk bil saya."
Bu Fang bangun dan meletakkan lima kristal di atas meja. Dia kemudiannya berjalan menuruni tangga dengan elegan.
Ekspresi Qian Bao suram dan dia kekal berdiri di tempat yang sama. Sambil dia memandang ketiga-tiga hidangan yang tak terusik, emosi dalam matanya bercampur aduk.
"Tuan Muda Bu… Siapa kamu sebenarnya?!" Qian Bao menarik nafas dalam dan berkata pada dirinya. Kemudian, pandangannya beralih ke arah Xiao Xiaolong yang baru hendak beredar.
"Tuan Muda Xiao, bolehkah kamu beritahu saya identiti Tuan Muda Bu… Seseorang yang boleh mengesan kesilapan dalam hidangan secara terperinci bukanlah orang biasa. Adakah dia seorang cef diraja daripada dapur diraja?" Qian Bao bertanya sambil membuat tabik genggam.
Xiao Xiaolong terkejut seketika dan senyuman nakal kelihatan di wajahnya. Dia mengecilkan mata dan berkata, "Tauke Bu seorang yang hebat, bukan? Kemahiran memasaknya sememangnya tinggi. Kebolehan dia menilai sajian pun di kelas pertama. Saya memang kagum dengannya."
"Tauke Bu?!" Qian Bao mengerutkan keningnya bersama. Dia kemudian mengecilkan matanya dan menarik nafas sambil berkata, "Adakah dia… pemilik kedai tak berhati perut tu?"
Xiao Xiaolong memberikan senyuman misteri dan tak menjawab soalannya. Dia memusingkan badan dan berjalan di belakang Bu Fang.
Pada masa itu, Bu Fang berjalan perlahan sambil menyilangkan tangan di belakangnya. Suara bersungguh sistem kedengaran dalam mindanya.
"Tahniah Tuan kerana menyelesaikan misi mendadak: mencuba tiga belas hidangan di Restoran Phoenix Abadi dan cari kekurangan mereka. Sekarang, ganjaran misi akan diberikan."
ความคิดเห็นย่อย
คุณลักษณะความคิดเห็นย่อหน้าอยู่ในขณะนี้บนเว็บ! เลื่อนเมาส์ไปที่ย่อหน้าใดก็ได้แล้วคลิกไอคอนเพื่อเพิ่มความคิดเห็นของคุณ
นอกจากนี้คุณสามารถปิด / เปิดได้ตลอดเวลาในการตั้งค่า
เข้าใจแล้ว