Masa tidak mengizinkan Meng Hao menghabiskan waktu untuk berfikir. Pintu bangunan itu terbuka lebar tanpa bunyi. Di dalamnya gelap gelita dan mencetuskan suasana yang menyeramkan.
"Kamu masih belum masuk," kata Shangguan Xiu, suaranya dingin. Meng Hao teragak-agak, kemudian dengan mata berkedip redup, dia menyedari yang dia tidak boleh berundur. Setelah memikirkannya seketika, perasaan resahnya semakin meningkat. Dia melangkah masuk ke dalam bangunan.
Di dalam, sinar cahaya secara beransur-ansur muncul. Walaupun keadaan masih agak malap, cahayan itu mendedahkan persekitarannya. Shangguan Xiu duduk dengan jubah emasnya, tanpa ekspresi di wajahnya. Matanya dingin saat melihat Meng Hao masuk.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk, mata Shangguan Xiu tiba-tiba berkelip, dan dia mengangkat tangan kanannya. Sebatang jarum keluar, menusuk jari Meng Hao, kemudian terbang kembali dengan pantasnya. Semua beg yang dipegangnya terbang darinya, keadaan ini di luar kawalannya. Beg-beg itu kemudiannya mendarat di hadapan Shangguan Xiu.
Ada darah yang masih tersisa di jarum terbang tadi, dan sekarang sedang dijilat oleh Shangguan Xiu.
"Tidak ada kesan-kesan bahan berharga..." Shangguan Xiu mengerutkan dahi. Renungannya pada Meng Hao seolah-olah dia dapat mengetahui semua rahsia yang tersimpan. Teras Syaitan di dalam diri Meng Hao berkocak, dan dia menyembunyikan perkara ini daripada Shangguan Xiu dengan sebaik-baiknya.
Riak wajah Meng Hao menunjukkan ekspresi ketakutan. Dia membuka mulutnya tetapi seolah-olah tidak tahu apa yang hendak dikatakan.
Dengan wajahnya yang masih lagi berkerut, Shangguan Xiu membuka salah satu beg Meng Hao. Dia menggeledah beg itu tetapi langsung tidak mempedulikan jumlah pedang terbang yang banyak. Kelihatan seolah-olah dia tidak perasan kewujudan cermin tembaga itu. Selepas mendapati tiada apa yang luar biasa, kerutan di wajahnya semakin mendalam.
"Tuan Guru Shangguan, apa... apa yang Tuan cari?" Meng Hao menunjukkan riak wajah yang ketakutan, tetapi di dalam hatinya dia tertawa dingin. Dia sudah lama membuat persiapan untuk situasi seperti ini. Pedang kayu itu, bersama-sama dengan kebanyakan Batu Rohani dan pil perubatannya telah disembunyikan. Semuanya selamat berada di dalam jagaan Si Gempal.
"Biar saya tanya kamu," kata Shangguan Xiu, pandangannya seperti kilat pada Meng Hao, "Bagaimana asas pertapaan kamu dapat berkembang dengan cepat?"
"Kakak Xu dan Orang Lama Ouyang telah menjaga saya," jawabnya, mulai gementar. "Mereka memberikan saya pil ubat..." Dia berpura-pura memaksa dirinya untuk cuba tenang, tetapi di dalam hatinya, dia tidak bimbang. Nampaknya dia dipanggil di sini bukan kerana apa yang telah berlaku dengan Wang Tengfei, tetapi kerana pertapaannya yang cepat berkembang.
Shangguan Xiu mengerutkan kening lagi. Dia sememangnya tahu Orang Lama Ouyang menyukai Meng Hao, kalau tidak, masakan dia tidak berkasar ketika bertanyakan soalan.
Saat itu, suara Han Zong kedengaran dari luar.
"Han Zong melaporkan kepada Tuan Guru Shangguan. Gua Dewa Meng Hao kosong."
"Kamu boleh pergi," jawab Shangguan Xiu. Dia bertafakur seketika sambil Han Zong berlalu pergi. Dia merenung Meng Hao tanpa berkata apa-apa.
Waktu berlalu, malam mula menjelma. Meng Hao kelihatan semakin gugup dan penuh dengan ketakutan. Akhirnya, dia bercakap sambil, menggeletar, "Tuan Guru..."
"Baiklah, Kamu boleh pergi," kata Shangguan Xiu dengan lambaian tangannya. Dia kelihatan jengkel.
Meng Hao berdiri, memberi tabik genggam, dan pergi dengan penuh lega. Setelah sampai ke bahagian bawah gunung, kelajuannya meningkat saat dia berlari menuju Gunung Selatan.
Sewaktu Meng Hao berlalu pergi, ekspresi wajah Shangguan Xiu berubah. Dia mengangkat jarum perak itu dan memeriksa dengan teliti dengan menjilat lebih banyak darah. Matanya berkilauan. "Ada sesuatu yang tidak kena. Darah ini mempunyai sejumlah besar aura Teras Syaitan tahap rendah. Aku tidak menyedarinya sebelum ini kerana menumpukan kepada kemungkinan pengaruh Orang Lama Ouyang. Tetapi sekarang sekarang setelah darahnya mengering, keadaan sebenar lebih jelas. Dia pasti telah makan beratus-ratus Teras Syaitan. Dari mana dia boleh mendapatkan begitu banyak? Meng Hao pasti ada menyimpan rahsia." Niat membunuh memenuhi mata Shangguan Xiu dan tubuhnya melonjak ke udara untuk mengejar Meng Hao.
Meng Hao memecut dengan kelajuan yang tinggi, merasa lega, tetapi juga gelisah. Dia tiba di luar Gunung Selatan Gua Dewa, dan ketika dia semakin hampir, dia terlihat Si Gempal menjengokkan kepalanya keluar dari celah-celah pokok. Sebaik terlihat Meng Hao, Si Gempal berlari ke arahnya.
"Saya takut sehingga setengah mati," kata Si Gempal, mengeluh lega. "Meng Hao, kamu keluar sepanjang petang..." Dia mengeluarkan beg Meng Hao yang dipegangnya. "Syukurlah tiada siapa menyedari saya telah menyembunyikannya."
Dengan ekspresi wajah yang kelihatan terhormat, Meng Hao mengangguk dan mengambil begnya. Namun, sebaik sahaja tangannya menyentuh beg itu, satu bunyi siulan nyaring kedengaran dari jauh. Satu sinar cahaya prismatik kelihatan semakin manghampiri mereka. Di dalamnya terdapat seorang lelaki tua yang memakai jubah emas. Orang itu tidak lain tidak bukan adalah Shangguan Xiu.
Dia terbang! Hanya Pertapa yang telah mencapai Kewujudan Asas boleh terbang. Dengan bantuan barangan ajaib, seseorang boleh meluncur sekejap, seperti Kakak Xu, tetapi itu bukan penerbangan yang sebenar.
Melihat keadaan ini, hati Meng Hao bergetar. Dia melihat lawannya terbang turun dari puncak gunung. Shangguan Xiu bergerak dengan kelajuan yang sama seperti ketika Meng Hao menggunakan momentum dari pedang terbangnya.
Shangguan Xiu segera melihat Si Gempal menyerahkan beg yang dipegangnya kepada Meng Hao, dan matanya bersinar. Tanpa sepatah kata, dia meluru ke arah Meng Hao, yakin dia akan dapat merebut beg itu. Hari ini, dia akan mempelajari rahsia Meng Hao.
Mungkin rahsia ini akan sangat membantu dirinya sendiri. Ekspresi Meng Hao berubah, dan emosinya bergolak. Tetapi dia dalam situasi yang terdesak, dan tidak ada masa untuk berfikir. Dia menyimpan beg yang dipegangnya dan menarik Si Gempal. Kemudian dia melompat, dan pedang terbang beredar di sekelilingnya untuk mendarat di bawah kakinya. Dia terus pergi dari situ.
Kejadian ini berlaku dengan begitu pantas sehingga anak mata Shangguan Xiu mengecil. Dia mendengus dingin dan terbang mengejar mereka.
Si Gempal sangat takut sehingga wajahnya pucat. Tapi dia tidak bergerak, takut dia akan mengganggu Meng Hao. Dia percaya Meng Hao tidak akan meninggalkannya.
Sebenarnya, ini sangat benar. Meng Hao bukan jenis orang seperti itu. Dia tahu jika dia meninggalkan Si Gempal, dia mungkin boleh bergerak lebih cepat sedikit. Tapi dia juga tahu Shangguan Xiu kemudian akan melampiaskan marahnya pada Si Gempal.
"Tak guna! Shangguan Xiu anggap pengikut Sekta Luaran seperti semut. Dia fikir hanya pengikut Sekta Dalaman adalah Petapa Mazhab Reliance yang tulen."
Sambil mengetap giginya, dia memandang ke arah Shangguan Xiu yang semakin dekat dengannya. Pada masa yang sama, Meng Hao semakin turun menghampiri tanah. Dia tidak akan mampu bertahan lebih lama lagi. Dia terus bergerak secepat mungkin, keringat membasahi dahinya sambil dia berfikir dengan pantas. Dia melihat kawasan Sekta Luaran di hadapan, dan tiba-tiba mendapat inspirasi. Meng Hao tahu apa yang perlu dilakukan.
Dengan matanya bersinar, dia melompat ke tanah, berlari ke arah Sekta Luaran. Kemudian, tanpa mengira kesannya pada asas pertapaannya, Meng Hao mengetap giginya dan sekali lagi melompat ke pedang terbang. Satu siulan nyaring bergema, menyebabkan pengikut-pengikut Sekta Luaran yang berada berdekatan dengannya memanjangkan leher mereka dan tercengang.
Wajah Shangguan Xiu semakin gelap. Dengan libasan lengan baju, dia meluru ke arah Meng Hao. Jarak di antara keduanya semakin dekat. Sewaktu jarak di antara mereka mencecah kira-kira 30 meter, wajah Shangguan Xiu tiba-tiba berubah apabila menyedari ke mana arah tujuan Meng Hao. Ketika itu sudah terlambat untuk menghentikan dirinya.
Meng Hao mendekati dataran Sekta Luaran yang dikelilingi tiang-tiang berukiran naga. Di satu platform tinggi, Orang Lama Ouyang sedang duduk bermeditasi. Di bawah dataran, Wang Tengfei juga sedang duduk bersilang dan bermeditasi.
Ini lokasi pendaftaran latihan kenaikan tahap khas!
"Saya ingin mendaftar!" teriak Meng Hao sebaik sahaja dia masuk ke dataran.
"Saya juga!" teriak Si Gempal dengan wajahnya yang pucat.
Shangguan Xiu berhenti tepat di luar dataran. Keinginan membunuh kelihatan di matanya, tetapi menghilang dengan cepat dan digantikan dengan senyuman manis. Orang Lama Ouyang membuka matanya. Dia melihat Meng Hao, terkejut dengan asas pertapaannya dan pandangan matanya penuh pujian buat Meng Hao.
Wang Tengfei juga membuka matanya dan kelihatan seolah-olah langsung tidak berminat dengan Meng Hao.
"Memandangkan kamu sudah mendaftar," kata Orang Lama Ouyang dengan tenang, "kamu harus terus berada di kawasan ini. Latihan bermula dalam masa dua hari." Dia merenung ke arah Shangguan Xiu yang sedang kecewa. Shangguan Xiu tersenyum lebih mesra dan matanya dipenuhi pujian palsu terhadap Meng Hao.
Meng Hao memandangnya kembali, dan ketika mereka bertentang mata, kemarahan Shangguan Xiu meluap. Namun, tiada apa yang boleh dilakukannya. Setelah lama masa berlalu, dia ketawa dan berlalu pergi.
Tidak lama kemudian, Han Zong datang. Dia memasuki dataran itu, memandang Meng Hao dengan marah. Sambil ketawa mencemuh, dia menyatakan dia mahu mendaftar.
Saat dia berjalan melewati Meng Hao, dia berbisik, "Kau menyinggung Shangguan Xiu. Aku cabar kau tinggal di sini! Kamu akan mati sewaktu latihan Sekta Dalaman."
Mata Meng Hao bersinar sewaktu dia merenung Han Zong dengan dingin.
Selepas itu, tarikh akhir untuk pendaftaran semakin hampir. Sebelum Meng Hao tiba, hanya Wang Tengfei telah mendaftar. Kemudian Han Zong tiba. Sekarang, empat orang lagi memasuki dataran.
Mereka bukan orang asing bagi Meng Hao. Yin Tianlong dan Zhou Kai hadir. Dua orang lagi kelihatan berusia lebih tiga puluh tahun. Salah seorang daripada mereka tinggi dan kuat, manakala seorang lagi kurus dan kelihatan lemah dengan parut mengerikan di wajahnya. Kedua-duanya memancarkan aura kematian. Mereka dua orang ahli Sekta yang berada di peringkat kelima Pemekatan Qi.
Mereka berempat memasuki dataran, melemparkan pandangan penuh ancaman pada Meng Hao dan Si Gempal. Niat membunuh yang agresif di mata mereka tidak mungkin dapat disembunyikan.
Si Gempal mulai gugup, dan Meng Hao mengecilkan matanya. Sekarang dia tahu kekuatan pengaruh Shangguan Xiu.
Masa berlalu dengan perlahan dan tidak lama kemudian dua hari telah berlalu. Sekarang, hanya satu jam tersisa sebelum masa pendaftaran berakhir. Dataran itu sudah dikelilingi oleh pengikut-pengikut Sekta Luaran. Mereka tidak datang untuk mendaftar, tetapi untuk menonton latihan kenaikan tahap khas Sekta Luaran, mungkin untuk belajar sesuatu, dan untuk menyaksikan kejayaan Wang Tengfei.
Sudah tentulah terdapat lapan orang di atas dataran, termasuk Si Gempal, dengan asas pertapaannya yang rendah.
Ketika suara perbincangan masih lagi berdengung, had masa telah tamat. Bunyi lonceng memenuhi seluruh Sekta Reliance. Loceng itu berbunyi sebanyak sembilan kali secara berturut-turut. Selepas itu Orang Lama Ouyang membuka matanya dan memandang lapan orang di hadapannya. Dia melibaskan lengan bajunya yang lebar, dan platform besar itu disinari cahaya pelbagai warna kemudian menjadi semakin luas sehingga merangkumi diameter sekitar tiga ratus meter.
Dia melambai tangan kanannya lagi, dan lapan kepingan jed terbang ke arah kelapan-lapan orang peserta. Apabila kepingan jed itu berada di hadapan mereka, dapat dilihat ada nombor yang tertulis di permukaannya, dari yang satu hingga lapan. "Dilarang melarikan diri sebelum pertempuran," kata Orang Lama Ouyang dengan tenang. "Dalam persaingan untuk kenaikan tahap dalam Sekta Luaran, hidup dan mati telah ditakdirkan, Jika setelah melangkah ke platform, kamu merasakan tidak boleh menang, kamu boleh mengaku kalah. Pertandingan pertama, nombor satu dan lapan." Wang Tengfei membuka matanya, dan mengangkat kepingan jednya, yang di atasnya tertulis 'satu.' Dia berdiri dan mengapungkan dirinya ke atas platform. Angin lembut meniup rambut panjangnya. Mengenakan jubah putih salju, dia terlihat sempurna, cantik, lembut dan halus. Dia tersenyum. Ini menyebabkan semua pertapa di sekeliling bersorak. Walau bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka yang dapat melihat di sebalik senyuman Wang Tengfei tersembunyi rasa pahit akibat kehilangan dan kekalahan. Pada ketika itu, Shangguan Xiu muncul di tengah-tengah orang ramai sambil memandang Meng Hao dengan penuh ancaman.