Ibu mencari-cari sesuatu di rak mini di dapur dan mendapati perencah masakan yang diingininya tiada. Dia memanggil nama anaknya dengan lantang, "Angah?"
"ANGAH!" jerit ibu lagi selepas panggilannya tidak bersahut.
"Ya, ibu?" sahut Angah sambil menjengah pintu dapur dari aras dua rumah kampung itu.
"Tolong pergi kedai kejap. Belikan perencah kari ikan. Kat umah, ada kari daging je." Ibu memberikan arahan.
"Tapi kedai jauhlah. Nak jalan tengah-tengah panas ni," comel Angah.
"Alahai, panas sikit je," ujar ibu bersahaja.
"Takpun Angah tengok kat bawah umah tu, ada basikal lama Pak Su. Rasanya ibu tengok hari tu elok lagi. Kamu cubalah," arah ibu yang cuba mendesak anaknya itu mendapatkan barang dapur yang diinginkannya itu.
"Ha, okeylah." Angah akhirnya menerima perintah ibunya itu.
Angah akur dan pergi ke bawah rumah. Dia menemui basikal yang dimaksudkan oleh ibunya itu. Dia cuba memutarkan pedal basikal itu dan melihat rantainya berfungsi dengan baik. Maka, diapun menunggang basikal itu ke kedai runcit.
Dia mendapatkan perencah kari yang diminta ibunya. Duit yang diberikan ibunya masih berbaki beberapa ringgit lalu dia memutuskan untuk membeli aiskrim dengan baki itu. Dia memilih aiskrim di peti ais. Sedang dia tidak dapat memutuskan perisa yang diingininya, seseorang menolak pintu gelangsar peti ais itu dan hampir menyepit tangannya.
Dia terkejut dengan perkara itu dan hampir menengking gerangan itu namun dia menahan amarahnya ketika menoleh kepada gerangan itu kerana dia tidak mahu menimbulkan kekecohan. Dia menyedari dirinya masih baharu di kampung itu dan tidak begitu mengenali sesiapa walau dia mengetahui kaum kerabatnya ramai yang menetap di kampung tersebut.
Dia tidak berminat untuk bergaul dengan mereka dan hanya ingin menikmati hidup yang kini tenang dan bersahaja. Tidak seperti hidupnya di bandar. Apatah lagi, tiada kongkongan dari ayahnya yang tegas membuatkan dia berasa lebih senang hati. Dia hanya merenung gerangan itu dengan penuh kebengangan di wajahnya.
Gerangan itu rasa bersalah lalu memohon maaf, "Sorry!" Namun, permohonan maaf itu kedengaran acuh tak acuh sahaja.
Gerangan itu segera ke kaunter dan membayar aiskrim yang dicapainya tadi. Akhirnya, Angah memilih aiskrim vanila untuknya sementara aiskrim kacang merah untuk ibu dan aiskrim strawberi untuk adik. Selesai membayar, dia mencapai basikalnya dan menunggang pulang ke rumah.
Dia sempat mencuri sejenak pandangan akan gerangan itu yang sedang menikmati aiskrimnya sambil duduk bersantai di motosikal yang diletakkan di bawah pokok rambutan yang sedang lebat berbuah itu. Angah mula mengayuh basikalnya.
Di pertengahan jalan dan hanya beberapa rumah sahaja lagi sebelum tiba ke rumahnya, tiba-tiba basikalnya hilang momentum. Rantai basikal itu terputus dan menyebabkan Angah hilang keseimbangan lalu terhumban ke sisi jalan.
"A~~~~~~~~~~~~~~~!" jerit Angah cemas saat basikalnya itu hilang kawalan.
Dia akhirnya terduduk di sisi jalan dan hanya mengeluh. Selepas menarik nafas panjang, Angah perlahan-lahan berdiri kembali bersama-sama basikalnya. Dia mengadu kesakitan ketika menyedari kakinya cedera akibat tergeser ketika jatuh tadi. Keperitan itu semakin dirasainya saat dia beransur-ansur berjalan sambil menuntun basikal di sampingnya. Keperitan itu menyebabkan jalannya terincut-incut.
Dari jauh, seorang penunggang motosikal melihat Angah yang jalan terincut-incut lalu memperlahankan motosikal dan beransur mengiringi Angah di sisinya lalu menyapanya, "Okey, ke tu?"
"Kau lagi?" sungut Angah sebaik mengecam si penunggang motosikal itu.
"Kenapa dengan kaki tu? Okey, tak?" soal si penunggang itu lagi.
"Nak aku tolong hantar rumah?" pelawa si penunggang itu.
"Tak payah," balas Angah sombong.
Angah meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan pelawaan gerangan itu. Tinggal sebuah rumah sahaja lagi sebelum tiba di rumahnya.
"Serius? Tak nak aku tolong?" soal si penunggang itu.
Angah hanya menjeling kebengangan dengan gerangan itu yang tidak mengerti akan penolakan yang telah diberikannya dengan jelas itu.
"Aku cuma nak tolong. Janganlah marah," ujar si penunggang itu dengan sopan.
"Aku kata tak payah! Itu rumah aku. Tak payah susah-susah nak tolonglah," jelas Angah sebaik memasuki halaman rumahnya.
"Ini rumah kau?" soal si penunggang itu cuba mendapatkan kepastian kerana dia mengetahui gerangan yang menghuni rumah itu sebelum ini.
"Jadi, kau cucu arwah Nek Ton, ke?" soal si penunggang itu yang tidak menyangka kaitan gadis itu dengan pemilik rumah itu.
Ibu muncul di pintu dapur apabila mendengar bunyi deruman motosikal mendekati rumah mereka. Ibu melihat Angah yang jalan terincut-incut lalu segera bertanya, "Kenapa, Angah? Jatuh, ke?"
"Basikal tua ni lah. Tiba-tiba, putus rantai." Angah bersungut sambil meletakkan basikal buruk itu ke tiang rumah.
"Anak ni siapa?" tanya ibu ketika melihat gerangan yang menemani anaknya pulang ke rumah itu masih memerhati anaknya itu.
"Mak cik ni, anak Nek Ton, ke?" soal si penunggang itu.
"Ya, Mak Teh Ina. Kenal?" ujar ibu.
"O~~~. Ya, tinggal kat Putrajaya tu, ke?" tanya si penunggang itu sebaik teringat akan nama itu.
"Betullah tu. Jadi, kamu anak siapa?" soal ibu yang tertarik untuk mengenali anak muda itu.
"Nek Nab, saudara Nek Ton, moyang saya." Anak muda berkata.
"Jadi, kamu cucunya, Mak Long Mimah?" ujar ibu yang mengenali nenek anak muda itu yang merupakan sepupunya.
"A~!" anak muda itu mengiyakannya.
"Terima kasihlah. Hantar anak Mak Teh ni, ya?" ucap ibu yang menghargai pertolongan anak muda itu.
"Taklah. Saya tak membantu manapun," ujar anak muda itu dengan merendah diri.
"Kirim salamlah kau nenek kamu dan keluarga kamu, ya? Nanti bila-bila, kami datang menziarah, ya?! Sekarang, Pak Teh tak berapa sihat lagi." Ibu berkata dengan bersahaja.
Anak muda itu akhirnya meminta diri pulang.