Baixar aplicativo
47.61% Sfera / Chapter 20: Robotman

Capítulo 20: Robotman

Pencarianku itu tidak memakan masa yang lama, selang beberapa minit selepas aku dan Miss R menemuramah pengunjung-pengunjung dan peserta-peserta yang hadir, ada sesuatu yang telah berjaya menarik perhatianku.

"Boleh tahan nampaknya mereka semua ini?" itulah yang terkeluar spontan dari mulutku apabila mataku terpandang sekumpulan tiga orang lelaki yang aku rasakan mempunyai aura dan karisma yang sangat mempesonakan. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin kerana pakaian mereka yang nampak menonjol berbanding yang lain. Atau pun kerana gaya jalan mereka yang penuh keyakinan. Entahlah... Aku juga tertanya-tanya watak yang mereka bawakan ke festival itu. Walaupun mereka kelihatan menarik di mataku, aku kurang pasti sama ada gaya mereka itu sesuai atau pun tidak untuk dijadikan sebagai material Hey yang diinginkan Daniel kerana kelainan yang mereka tonjolkan seperti tidak mengikut tema karnival.

Salah seorang daripada mereka tidak berbaju dan hanya mengenakan seluar panjang berwarna hitam dengan contengan tatu di badan. Seorang lagi mengenakan kostum dari watak filem Star Wars iaitu Stormtrooper. Kedua-dua mereka mengapit seorang lelaki berkepala robot yang mengenakan sut kemas berwarna hitam. Daripada ketiga-tiga mereka, aku amat tertarik sekali dengan lelaki berkepala robot itu. Aku merasakan yang gayanya sangat unik dan melucukan. Dari jauh, aku meneliti bahagian kepalanya yang diperbuat daripada kotak berwarna coklat keemasan. Matanya diperbuat dari lampu merah berbentuk lonjong dan bibirnya dilukis dengan cantik sekali. Aku memanggil Miss R dan cuba bertanyakan pendapatnya mengenai mereka.

"Aku rasa apa yang mereka pakai tidak kena dengan tema karnival inilah" kata Miss R. "Lagi-lagi yang pakai sut Stormtrooper itu. Bukankah itu watak dari filem Star Wars?"

"Tetapi dia nampak menarik bukan?" aku menunjuk kepada lelaki berkepala robot itu. Namun, tiada apa-apa respon yang diberi Miss R.

"Miss R!" aku separuh menjerit.

"Ya Marina.....?"

"Dia... nampak... menarik... bukan?" aku mengulang soalanku.

"Ya. Yang berlengging itu ya? Comel!" Miss R mengangkat-angkat keningnya. Dia mengukir satu senyuman nakal.

"Bukan. Aku maksudkan yang berkepala kotak itu" aku mencubit lembut tangannya.

"Apa yang comelnya? Muka pun aku tidak nampak"

"Memanglah. Yang aku maksudkan adalah gaya dia." aku cuba meyakinkan Miss R. Dia kemudiannya mengambil masa beberapa minit untuk menganalisa lelaki itu.

"Betul juga kata kau. Hanya dia seorang sahaja yang pakai kostum sebegitu hari ini"

"Jadi apa pendapat kau Miss R?"

"Okey. Kalau begitu. Aku rasa kita pergi sahaja kepada mereka. Kena tema atau tidak. Itu lain cerita. Nanti kita cuba suruh dia buka kotak itu dari kepala dia. Dari situ nanti baru kita boleh beritahu sama ada dia benar-benar unik atau pun tidak.." Miss R menyusun strategi.

"Kalau tidak unik?"

"Kalau tidak unik. Kita tidak perlulah masukkan dia dalam Hey nanti..."

"Okey Miss R... Aku setuju!"

Kami berdua mendekati mereka yang ketika itu sedang sibuk membelek figura-figura Anime menarik yang dipamerkan di salah sebuah gerai pameran.

"Hai. Kami dari majalah Hey. Boleh kami tanya beberapa soalan?" aku memulakan langkah. Ketiga-tiga mereka mengalihkan perhatian kepada kami.

"Boleh. Tidak ada masalah" kata lelaki berkepala robot itu, suaranya bergetar seperti sebuah robot elektronik yang aktif. Aku memandang Gina yang telah bersiap sedia dengan kamera untuk merakam aksi lelaki berkepala robot itu. Kedua-dua belah mata kami terbeliak besar. Kami tidak menyangka yang lelaki itu boleh bersuara seperti robot yang sebenar. Gina mengangkat ibu jarinya sebagai memberi tanda 'Ini material yang baik untuk Hey!' Dia menyukainya dan cukup yakin Daniel akan mengizinkan video lelaki itu dimuat naik ke vlog rasmi Hey.

"Wow! Bagaimana suara awak boleh jadi begitu?" aku menyelitkan nada kagum dalam pertanyaanku.

"Saya memang dilahirkan begini..." jawab lelaki robot itu diiringi dengan deraian ketawa yang bergetar dengan efek elektronik.

"Jadi boleh kamu terangkan tentang konsep pakaian yang kamu bertiga gayakan untuk Festival Animax tahun ini?" aku bertanya dengan lebih lanjut.

"Saya Robotman!" lelaki berkepala robot itu menjawab dengan yakin.

"Oh Robotman..." aku mengangguk-angguk walaupun aku sendiri tidak pasti dari siri Anime manakah agaknya watak Robotman yang digayakannya itu. Tetapi dengan pengenalannya itu, aku terus memanggilnya dengan panggilan Encik Robotman. Aku juga terfikir untuk melakukan yang sama dengan dua yang lain.

"Awak pula?" aku bertanya kepada lelaki yang memakai sut Stormtrooper itu.

"Saya Stormtrooper!" jawabnya dengan penuh bersemangat. Jawapannya sudah boleh diduga. Namun, suaranya kekal normal. Tiada efek elektronik seperti mana yang kedengaran pada suara Encik Robotman. Namun, apa yang menarik tentang Encik Stormtrooper itu adalah sutnya yang cukup putih, bersih dan berkilat. Di saat aku meneliti sutnya itu, aku tertanya-tanya berapakah agaknya yang dibelanjakan oleh Encik Stormtrooper untuk sut yang dipakainya itu. Setahu aku, sut sebegitu boleh mencecah ribuan ringgit. Jika dia sanggup membelanjakan wang yang sebegitu banyak hanya untuk Karnival Animax, dia memang seorang peminat tegar! Tetapi pernahkah watak Stormtrooper membuat kemunculan dalam mana-mana siri Anime? Entahlah.. Aku melupakan tentang Encik Stormtrooper dan beralih kepada lelaki tidak berbaju yang dianggap Miss R sebagai lelaki yang 'comel' itu.

"Nama saya Ichigo Kurosaki!" lelaki itu mengenyitkan matanya ke arah kamera. Aku melihat Miss R yang tersipu-sipu malu. Wajahnya nampak kemerah-merahan. Aku memegang bahu Miss R. Cuba memberi isyarat agar dia mengawal diri dan cuba untuk tidak hilang kawalan. Aku melihat kembali Encik Ichigo Kurosaki. Aku memandang dirinya dari atas ke bawah. Penampilannya memang menarik. Aku pernah mendengar nama yang disebutkannya itu. Ianya watak utama bagi siri Bleach. Tetapi yang menjadi persoalannya adalah, kenapa dia memilih untuk tidak memakai baju? Aku pernah menonton beberapa episod siri Bleach dan seingat aku, watak utamanya iaitu Ichigo Kurosaki banyak memakai pakaian berwarna hitam seperti Yukata, kot dan lain-lain lagi. Mungkin dia sengaja ingin menarik perhatian gadis-gadis seperti Miss R dengan potongan badannya yang menarik. Dia bernasib baik kerana mempunyai perut yang ramping. Aku tidak dapat bayangkan jika dia datang tidak berbaju dengan perut yang menggelebeh.

"Jadi bolehkah kamu beritahu pembaca Hey apa tujuan kamu bertiga datang ke sini sebenarnya? Adakah kamu bertiga ini memang peminat tegar Animax atau pun sahaja datang untuk memeriahkan Karnival Animax tahun ini?" aku mula menemubual mereka.

"Kami ke sini kerana kami memang meminati Anime!" kata Encik Ichigo Kurosaki. Dia menunjukkan aksi yang selalu dibuat oleh Ichigo Kurosaki untuk menunjukkan keterujaannya.

"Yeah!" Encik Stormtrooper mengiakan kata-kata kawannya itu sambil menunjukkan genggaman tangannya pada kamera yang berada di tangan Miss R.

"Saya pula berbeza dengan mereka berdua... " kata Encik Robotman.

"Oh ya? Jadi apa tujuan awak ke mari sebenarnya Encik Robotman?"

"Tujuan saya datang ke mari adalah untuk mencari seorang puteri yang hilang buat sekian lamanya.." kata Encik Robotman. Aku dan Miss R ketawa dengan gelagatnya yang cuba bermadah.

"Oh begitu. Jadi Encik Robotman sudah jumpa puteri yang dicari?"

"Sudah..." Encik Robotman mengangguk-angguk.

"Oh. Baguslah kalau begitu. Jadi dia ada di sini?"

"Ya"

"Boleh tunjukkan kepada kami yang mana satukah puteri yang dicari itu?" aku bersungguh-sungguh ingin tahu.

"Boleh" Encik Robotman menyeluk poket seluarnya. Dia mencari sesuatu yang ingin ditunjukkannya kepadaku. "Nah! Cuba lihat ini!" Encik Robotman meletakkan sebuah cermin kecil di hadapan wajahku. Aku ketawa kecil. Gelagat nakalnya benar-benar mencuit hati. Aku faham apa yang dimaksudkannya. Dia cuba memberitahu yang konon-kononnya akulah orang yang sedang dicarinya.

"Sayakah puteri yang awak maksudkan itu Encik Robotman?" aku berpura-pura membuat tekaan. Aku benar-benar pasti yang Encik Robotman sengaja ingin mengusikku.

"Awaklah puteri yang saya cari selama ini.."

"Saya...?! Awak betul-betul serius?!" tanyaku lagi. Pura-pura tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Encik Robotman.

"Ya. Awaklah puteri itu Marina.."

Aku dan Miss R berpandangan apabila Encik Robotman menyebut namaku. Jika sebelumnya aku hanya berlakon dan berpura-pura, sebaik sahaja namaku disebut, aku melupakan terus skil yang sering aku gunakan itu kerana pada saat itu, aku memang benar-benar terkejut. Aku memeriksa seluruh badanku. Pengenalan diri yang aku pakai ketika itu hanyalah tag yang tertulis 'Wakil Media'. Namaku tidak tertulis pada mana-mana bahagian tubuhku.

"Bagaimana awak boleh tahu nama sebenar saya Encik Robotman?" aku bertanya kepadanya. Namun, dia tidak segera menjawab. Dia hanya mentertawakan aku. Miss R pula nampaknya begitu khusyuk merakam apa yang berlaku.

"Siapa awak sebenarnya Encik Robotman? Siapakah lelaki disebalik kostum Robotman ini?" tanyaku perlahan. Encik Robotman memegang kepalanya. Perlahan-lahan, dia mencabut kotak yang melekat di kepalanya dan menunjukkan wajahnya yang sebenar kepada kami.

"Syam?!" aku menyebut nama lelaki disebalik topeng Robotman itu. Tanpa aku sedari, mulutku ternganga kecil.

"Kau kenal siapa dia ini Marina?" tanya Miss R.

"Kenal sangat Miss R! Ini kawan aku ketika zaman sekolah dahulu..."

Aku melihat Syam sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku betul-betul tidak sangka bahawa dia adalah lelaki yang berada di sebalik topeng Robotman itu.

"Marina. Tutup mulut awak. Meleleh air liur awak nanti..." kata Syam kepadaku.

"Oh! Maafkan saya" aku mentertawakan diriku "Apa yang awak buat di sini Syam?"

"Bukankah saya sudah katakan sebentar tadi, saya datang ke sini untuk mencari seorang puteri yang hilang" Syam cuba menyakat.

"Janganlah main-main Syam..."

"Saya bergurau sahaja tadi Marina. Saya teman kawan-kawan saya ke sini. Alang-alang datang saya pun bergaya sekali dengan kostum Robotman ini. Oh ya! Saya kenalkan pada awak, ini Adam dan yang ini Sean"

"Hai! Saya Adam..." Encik Stormtrooper itu membuka topengnya dan memperkenalkan diri. Sean pula hanya tersenyum sambil melambai perlahan.

"Maaf. Adakah saya mengganggu kamu semua?" seorang urus setia karnival tiba-tiba muncul.

"Oh tidak... Kenapa? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" aku bertanya kembali.

"Begini sebenarnya, sebentar lagi, kita akan mengadakan satu gameshow. Kalau boleh, saya hendak mereka bertiga turut serta dalam gameshow itu nanti"

"Kenapa encik pilih kami?" tanya Syam.

"Saya sebenarnya suka dengan apa yang kamu bertiga pakai. Ianya menarik dan sesuai dengan tema kami. Kami perlukan kostum-kostum sebegini sebab gameshow ini nanti akan disiarkan di saluran Animax! "

"Ada hadiah?" Adam atau pun Encik Stormtrooper bertanya. Dia nampak berminat dan teruja.

"Mestilah ada! Kalau kamu bertiga berminat. Jom ikut saya ke dewan di tingkat atas" jawab urus setia itu.

Syam, Adam dan Sean berpandangan. Mereka memikirkan apa yang baru diberitahu oleh urusetia tersebut.

"Bagaimana? Kamu berdua berminat? Aku tidak ada masalah" tanya Syam kepada Adam dan Sean.

"Aku okey sahaja!" jawab Sean.

"Aku pun sama! Seronok juga dapat sertai gameshow!" kata Adam pula.

"Jadi bagaimana?" tanya urus setia itu untuk mendapatkan kepastian.

"Okey! Kami setuju. Kami akan sertai!" kata Syam.

"Bagus! Kalau begitu kamu bertiga ikut saya" urus setia itu tersenyum gembira.

Aku dan Miss R ingin mengikuti mereka ke dewan tempat mereka mengadakan gameshow tersebut. Namun, urus setia itu memberitahu bahawa sesiapa yang mewakili mana-mana stesyen televisyen, surat khabar atau pun majalah tidak dibenarkan masuk untuk menyaksikan rakaman gameshow tersebut.

"Maaf ya. Kamu berdua tidak boleh masuk sebab kamu berdua mewakili Hey. Kalau saya benarkan nanti saya juga yang kena" jelas urus setia itu.

"Kenapa tidak benarkan kami masuk?" tanya Miss R.

"Sebab kami cuba elak orang sebarkan maklumat tentang gameshow ini sebelum ianya disiarkan"

"Wow! Nampaknya ini bukanlah satu gameshow yang biasa ya..." kata Miss R.

"Nampaknya begitulah Miss R..." aku mengeluh. "Okey Syam...Adam... Sean... Harap kamu bertiga berseronoklah nanti ya" kataku kepada mereka bertiga.

Apa yang diberitahu membuatkan aku sedikit kecewa. Aku ingin berbual lanjut dengan Syam. Setelah lama tidak bertemu, aku belum sempat menanyakan tentang perkembangan dirinya. Tambahan pula, kejutan yang diberikan Syam telah membuatkan aku sangat teruja untuk bercakap dengan lebih lanjut lagi dengannya.

Namun, kami terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan. Syam, Adam dan Sean berlalu pergi meninggalkan aku dan Miss R.

"Jadi apa yang kita hendak buat sekarang?" tanya Miss R.

"Kita sambung sahaja kerja kita" jawabku sambil menyemak 'senarai perlu dibuat' yang aku simpan di dalam telefon bimbit.

"Alamak!" aku menepuk dahiku. Aku menyedari sesuatu yang penting yang sepatutnya aku lakukan.

"Kenapa Marina?" Miss R kehairanan.

"Aku sepatutnya minta nombor telefon Syam tadi" nada suaraku bercampur kesal dan geram.

"Alah... Kau tidak berkawan dengan dia di Facebookkah?" tanya Miss R. Daripada cara dia menyoalku, dia seolah-olah mengingatkan aku yang kami bukan lagi berada pada tahun 2004.

"Hmmm... Betul juga ya..." aku segera membuka akaun Facebookku dan menyemak profil Syam yang sudah lama tidakku buka.

"Marina!" satu suara menjerit memanggil namaku.

"Marina. Syam panggil kau...." beritahu Miss R. Aku berpaling semula ke arah Syam yang masih tidak jauh dari kami. Segan dengan pandangan orang di sekitar yang mula memerhatikannya, dia cuba mengatakan sesuatu kepadaku dengan hanya menggerakkan bibirnya. Walaupun suaranya tidak dapat aku dengar, aku masih boleh membaca apa yang cuba disampaikannya "See you"

"Okey!" balasku sambil menaikkan ibu jariku kepadanya. Syam tersenyum. Aku memerhatikan Syam dan dua rakannya berlalu pergi menikmati kemasyuran pendek mereka itu.

Kurang dari sejam, Ally muncul di karnival dengan kostum Inuyasha yang dijanjikannya. Setibanya dia di sana, aku terus menceritakan kepada Ally tentang Syam dan apa yang telah berlaku di festival itu sebelum kedatangannya.

"Nampaknya permainan semakin menarik..." kata Ally sebaik sahaja aku habis bercerita kepadanya mengenai Syam atau pun Encik Robotman.

"Permainan? Apa maksud kau?" tanyaku hairan.

"Kau, Syam dan ... Daniel..." jawab Ally. Dia cuba berteka-teki. Namun, dengan segera aku sudah boleh menangkap apa yang cuba disampaikannya.

"Wooo... Kau jangan salah anggap okey. Aku tidak ada apa-apa dengan Syam"

"Belum lagi..." Ally mengangkat-angkat keningnya. Aku tahu dia cuba berspekulasi. Dia percaya ada sesuatu yang bakal berlaku antara aku dan Syam.

"Ah! Ada-ada sahajalah kau ini Ally!" aku cuba menidakkan andaian Ally.

Aku dan Miss R meneruskan tugasan kami. Sepanjang kami berada di karnival itu, kami berjaya mendapatkan bahan-bahan menarik yang diinginkan Daniel seperti temuramah pendek dengan May'n dan pertandingan Cosplay yang dikatakan Daniel sebagai 'material wajib' untuk dimuatkan ke dalam majalah Hey. Aku, Miss R dan Ally menghabiskan masa kami di situ sehingga ke majlis penutup yang diadakan dengan meriah sekali.

Ketika jam menghampiri pukul lapan malam, aku mula tercari-cari Syam atau pun Encik Robotman yang telah berjanji untuk berjumpa denganku semula di sana. Ya. Mungkin dia tidak berjanji secara terus kepadaku. Namun, aku memegang kata-kata 'See You' yang diucapkannya itu dan percaya yang dia akan kembali mencariku. Malah, aku telah menghantar satu mesej kepada Syam melalui Facebook. Di dalam mesej itu, aku katakan kepadanya yang dia boleh menghubungi aku melalui Facebook Messenger pada bila-bila masa.

Aku benar-benar ingin berjumpa dengan Syam sebelum pulang ke rumah. Jika tidak dapat satu jam, sepuluh minit pun jadilah. Aku hanya ingin bertanyakan khabar dan mengetahui serba sedikit tentang perkembangannya sahaja.


Load failed, please RETRY

Status de energia semanal

Rank -- Ranking de Poder
Stone -- Pedra de Poder

Capítulos de desbloqueio em lote

Índice

Opções de exibição

Fundo

Fonte

Tamanho

Comentários do capítulo

Escreva uma avaliação Status de leitura: C20
Falha ao postar. Tente novamente
  • Qualidade de Escrita
  • Estabilidade das atualizações
  • Desenvolvimento de Histórias
  • Design de Personagens
  • Antecedentes do mundo

O escore total 0.0

Resenha postada com sucesso! Leia mais resenhas
Vote com Power Stone
Rank NO.-- Ranking de Potência
Stone -- Pedra de Poder
Denunciar conteúdo impróprio
Dica de erro

Denunciar abuso

Comentários do parágrafo

Login