Sebulan telah berlalu semenjak Linley menjadi ahli sihir tahap kedua.
Di dalam kelas gred satu sihir unsur angin.
Linley hanya menghadiri kelas unsur tanah lebih kurang sebulan sekali tetapi dia menghadiri kelas unsur angin setiap hari. Hari ini, Linley duduk di tempat biasanya.
"Linley, kamu sudah datang." Sebaik sahaja Linley melabuhkan punggungnya, seorang gadis comel duduk di sebelahnya.
Apabila melihat gadis itu, Linley tersenyum. "Awal kamu datang, Delia. Masih ada banyak masa lagi sebelum kelas seterusnya dimulakan." Duduk bersama gadis cantik sememangnya sesuatu yang menyenangkan hati. Tentulah Linley tidak akan menolaknya pergi.
Delia bukan gadis sembarangan.
Abangnya, Dixie merupakan pelajar paling genius Institut Ernst dan dianggap sebagai bakat yang hanya muncul sekali dalam satu abad. Abangnya juga merupakan ahli sihir dua unsur dengan daya tarikan intipati unsur yang luar biasa. Selain daripada itu, abangnya mempunyai bakat terulung dengan kekuatan intipati spiritual 68 kali ganda lebih tinggi berbanding orang sebayanya.
Sebagai adik Dixie, sudah tentu Delia juga memiliki bakat luar biasa.
"Sebab saya tahu kamu selalu datang awal." Delia tersenyum berseri-seri, sisi matanya berkerenyut.
Mereka berdua duduk dan berbual bersama. Masa berlalu dengan pantas, tanpa mereka sedari, kelas telah pun bermula. Jurulatih Trey begitu bersemangat memberi penerangan di hadapan dan Linley duduk di bawahnya, mendengar dengan penuh teliti. Tetapi dalam diam, Delia asyik mengintai Linley.
"Baiklah, kelas hari ini sudah tamat. Tetapi sebelum kelas berakhir, ada sesuatu yang ingin saya beritahu kepada kamu semua." Jurulatih Trey tersenyum sambil bercakap.
Serta-merta kelas itu berdesas-desus dengan suara para pelajar.
"Pelajar lama sudah maklum tentang tradisi Institut Ernst. Pada dua bulan terakhir setiap tahun, kejohanan tahunan akan diadakan. Suasana di Institut Ernst paling meriah dan bertenaga setiap kali kejohanan tahunan diadakan. Para pelajar yang meraih kejayaan dalam kejohanan tahunan mempunyai peluang yang tinggi untuk dikategorikan sebagai pelajar 'unggul' apabila tamat pengajian. Setelah tamat pengajian, kemungkinan besar mereka akan menerima jemputan daripada Empat Empayar Besar." Jurulatih Trey ketawa.
Semua pelajar yang berada di bawahnya mula berasa teruja.
Di Institut Ernst, bakat bagaikan awan, ia ada di mana-mana. Dan masalah utama bagi semua bakat ini ialah mereka tidak akan pernah mengaku kalah!
Oleh sebab itu, kejohanan tahunan akan membuka peluang untuk bakat-bakat ini menempa nama. Hampir 90% daripada jumlah pelajar akan menumpukan perhatian kepada kejohanan ini dan mereka yang memiliki bakat lebih akan mengambil bahagian.
"Kita pengamal unsur angin tentulah akan mengambil bahagian dalam acara tempur. Sesiapa yang berminat untuk menyertai, sila beritahu saya." Jurulatih Trey tersenyum sambil bercakap tetapi pandangannya melayang ke arah Linley.
"Jurulatih, saya berminat untuk masuk bertanding." Ramai pelajar riuh meminta untuk menyertai kejohanan tersebut.
"Bagus." Jurulatih Trey mula mengambil pena pelepah itik dan mula membuat senarai nama. Namun begitu, selepas mencatat lebih kurang sepuluh nama, dia tersedar Linley begitu asyik berbual dengan Delia dan kelihatan langsung tidak berminat untuk menyertai kejohanan tersebut.
Trey berjalan menghampirinya.
Linley secara spontan mengangkat kepalanya dan segera menyapa dengan hormat, "Jurulatih Trey." Delia yang berada di sebelahnya juga memberi hormat.
Trey senyum dan mengangguk. "Linley, kejohanan tahunan ialah peluang yang baik untuk melatih diri. Saya berharap semua elit dari gred satu akan turut serta. Mengapa kamu tak mendaftar? Ini satu peluang keemasan."
"Saya tak berminat." Linley berterus-terang.
Jurulatih Trey tidak dapat menahan dirinya daripada meneruskan kata-kata.
"Linley, tentu kamu tak tahu pemenang kejohanan ini akan mendapat ganjaran," kata Jurulatih Trey dalam usaha menarik minat Linley.
"Ganjaran?" Linley sememangnya terdesak dan memerlukan wang.
Ekonomi puaknya sangat lemah. Jika dia berpeluang memenangi ganjaran berupa wang, dia sanggup menyertai kejohanan tahunan itu.
"Benar. Kamu sendiri tahu kebanyakan pelajar tinggal di asrama biasa, unit satu tingkat. Akan tetapi, mereka yang memenangi tiga tempat teratas dalam kejohanan ini layak untuk tinggal di bangunan dua tingkat selama setahun. Itu membuktikan status seseorang. Tambahan pula, bilik-bilik asrama itu lebih selesa." Jurulatih Trey terus memujuk.
Linley faham.
Unit asrama dua tingkat tidak banyak dan kebanyakannya dihuni oleh ahli sihir handalan tahap ketujuh ataupun kelapan. Daripada maklumat yang baru didengarinya, tiga orang pelajar terbaik bagi setiap gred akan dibenarkan tinggal di unit asrama tersebut.
Keadaan tempat tinggal?
Linley langsung tidak peduli tentang itu semua.
"Saya tak mahu turut serta." Linley tetap dengan jawapannya.
Jurulatih Trey semakin hilang sabar. Sebagai seorang pelajar gred enam, jika salah seorang pelajar Trey menjadi antara tiga pelajar terbaik di dalam gred, bukan sahaja dia akan diberi ganjaran, malah dia juga akan dihormati. Orang muda sekarang sangat mementingkan air muka mereka.
Jurulatih Trey mendekati Linley dan berkata dengan suara yang perlahan, "Linley, adakah kamu bimbang kebolehan sebenar kamu akan didedahkan? Saya tahu kamu ahli sihir tahap kedua."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata tersebut, Linley terus memandang Trey kerana terperanjat.
Bagaimana Jurulatih Trey tahu tentang tahap terkini kuasanya? Menilai kebolehan seseorang daripada penampilan luaran bukanlah sesuatu yang mudah.
Apabila melihat riak wajah Linley, Jurulatih Trey menyangka dia sudah berjaya memujuk Linley. Sambil ketawa dia berkata, "Linley, jika kamu mempunyai kebolehan, tak perlulah kamu menyembunyikannya. Jika kamu enggan turut serta dalam kejohanan tersebut kerana tak mahu memperlihatkan kebolehan kamu, mungkin saya akan membuat keputusan untuk mendedahkannya sendiri."
"Apa-apa sajalah. Saya tetap tak mahu turut serta."
Linley berdiri dengan perasaan sebal dan dengan sopan memberi hormat. "Selamat tinggal, jurulatih."
Kemudian, dia terus berlalu pergi tanpa menghiraukan Trey yang tergamam.
'Aduhai, budak ini!' Selepas bertenang semula, Trey tidak dapat menahan tawanya. Delia yang berada di situ secara spontan menutup mulut dengan tangannya dan turut melepaskan ketawa kecil.
…
Sewaktu kelas unsur angin berakhir, waktu sudah pun pukul 6.00 petang. Langit semakin gelap. Linley berlari pulang ke asramanya. Rakan-rakan asrama 1987 sangat rapat antara satu sama lain dan sentiasa makan malam bersama.
"Linley, kamu sudah pulang." Anak muda berambut keriting dari asrama 1986 menegur Linley dengan ramah.
"Harry (Ha'li), kamu sudah makan malam?" Linley membalas dengan senyuman.
Linley mempunyai hubungan yang baik dengan kebanyakan penghuni asrama berdekatan. Harry ketawa lalu mengangguk. "Tentulah saya sudah makan. Tiga rakan kamu sedang menunggu kamu di dalam."
"Linley sudah pulang. Mari, semua! Masa untuk makan!" Kedengaran suara Yale berteriak.
Nampaknya, Yale dapat mendengar suara Linley dari dalam asrama mereka. Yale, Reynolds dan George berjalan keluar dan melambai ke arah Linley. Mereka berempat terus berjalan menuju ke dewan makan. Terdapat beberapa restoran mewah di dalam Institut Ernst tetapi setelah dipujuk oleh Linley, Reynolds dan George, Yale tidak lagi membawa mereka ke sana.
Makanan yang disediakan di dewan makan kecil ini sangat ringkas dan segar serta sangat menyelerakan.
Selepas memesan beberapa makanan, empat saudara itu mula berbual.
Linley mendapat tahu kebanyakan berita terkini dalam Institut Ernst daripada mereka bertiga memandangkan dia sering menghabiskan masanya dengan berlatih di gunung. Jika tidak, dia langsung tidak tahu-menahu tentang apa yang berlaku di institut itu.
"Aduhai, dalam masa sebulan, sesi persekolahan tahun ini akan berakhir. Dua bulan terakhir pada setiap tahun, seluruh institut akan sibuk dengan kejohanan tahunan. Tiga pelajar terbaik bagi setiap gred dibenarkan tinggal di asrama dua tingkat selama setahun," kata Yale.
"Kejohanan tahunan?" Linley mula ketawa. Dia sudah mendengar tentang perkara ini sewaktu di dalam kelas.
"Haha, saya akan turut serta." Reynolds berkata dengan yakin.
Yale memuncungkan bibirnya. "Budak berlagak. Kamu menjadi ahli sihir tahap pertama dalam perjalanan dari Empayar O'Brien ke Institut Ernst. Saya berani bertaruh, tak lama lagi kamu akan menjadi ahli sihir tahap kedua. Ini memang tidak adil."
Reynolds mengembara selama setahun dari rumahnya untuk tiba ke sini.
Sepanjang perjalanan, penjaga rumah keluarga Reynolds mengajarnya sihir. Oleh sebab itu, dia telah berjaya menjadi ahli sihir tahap pertama sebelum mereka tiba ke destinasi.
George senyum ke arah Linley. "Eh, kamu terlupa tentang Linley. Linley juga sudah menjadi ahli sihir tahap pertama sebelum masuk ke sini. Malah, dia juga sangat gila berlatih dan merupakan ahli sihir dua unsur. Saya rasa dia paling kuat dalam asrama kita."
Linley tersenyum sumbing. "George, janganlah puji saya lebih-lebih."
"Linley, adakah kamu sudah mencapai tahap kedua? Jawab dengan jujur." George merenung Linley.
"Mana mungkin dia mencapai tahap kedua secepat ini? Daripada pelajar peringkat pengenalan kepada tahap pertama, berdasarkan bakat kita, ia mengambil masa kira-kira setahun. Tetapi dari tahap pertama untuk ke tahap kedua, sekurang-kurangnya memerlukan masa selama dua tahun." Reynolds yang berada berhampiran bercakap sambil berkerut.
"Tak semestinya. Saya juga dapat merasakan Linley ada menyimpan rahsia." Yale melihat ke arah Linley. "Linley, adakah kamu sudah menjadi ahli sihir tahap kedua?"
Linley mengangguk bersahaja.
Apa yang hairan sangat tentang menjadi ahli sihir tahap kedua? Sebelum ujian kemasukan lagi dia sudah menjadi ahli sihir tahap pertama. Sudah setahu berlalu sejak peristiwa itu. Jika dia tidak menjadi ahli sihir tahap kedua, maka semua kerja kerasnya menjadi sia-sia.
"Kamu sudah mencapainya?" Mata Yale, Reynolds dan George terbeliak. Tiada seorang pun antara mereka yang menjangka ia memang telah berlaku.
"Pergi daftar dalam kejohanan tahunan, Linley. Kamu perlu mengambil bahagian. Kalahkan mereka semua dan naikkan nama bilik asrama 1987." Yale segera berkata.
Pada ketika itu, pelayan telah menghidang makanan yang dipesan mereka.
"Makan, makan! Saya tak berminat dengan kejohanan tahunan." Linley tidak berminat untuk bersaing dengan mereka yang lebih lemah daripadanya. Kejohanan cuma satu bentuk latihan untuk menunjuk-nunjuk!
Yale dan dua lagi rakan Linley saling bertukar pandangan.
Mereka tahu betapa gigihnya Linley berlatih. Walaupun dalam gred mereka terdapat beberapa orang genius yang mempunyai daya tarikan intipati unsur dan intipati spiritual yang luar biasa, jika berbicara tentang kegigihan usaha, tiada seorang pun yang boleh menandingi Linley. Sementelah pula Linley merupakan ahli sihir dua unsur... Di dalam hati mereka, mereka semua percaya Linley ialah pelajar yang paling kuat dalam kalangan pelajar gred satu.
"Sayang sungguh jika kamu tak mengambil bahagian. Sekali lagi, orang lain yang akan meraih kegemilangan dalam kejohanan tahunan kali ini." Yale menggumam. "Malangnya, saya belum cukup kuat. Jika saya mempunyai kekuatan seperti kamu, LiInley, tentu sudah lama saya telah menunjuk-nunjuk. Kemudian barulah, saya boleh menggoda beberapa gadis cantik."
Linley ketawa. "Sudah-sudahlah itu. Mari kita makan. Berhenti berangan."
Linley sedikit pun tidak peduli tentang kejohanan tahunan. Akan tetapi, kebanyakan pelajar di Institut Ernst sangat teruja mengenainya. Bukan sahaja pelajar, malah beberapa orang ahli sihir lain yang tinggal di Institut Ernst juga akan memberi sepenuh perhatian mereka terhadap keputusan kejohanan tersebut.
Gunung di belakang Institut Ernst ialah tempat yang menenangkan.
Linley duduk bersila di sebelah air yang mengalir. Ditemani bunyi desiran air, dengan mudah Linley masuk ke dalam tafakur sawai, arkian semua intipati tanah dan angin yang berada hampir dengannya mula bersinar. Segalanya yang berada dalam lingkungan 10 meter di sekeliling Linley menjadi jelas pada pandangan.
Intipati tanah dan angin meresap masuk melalui seluruh anggota tubuhnya, sementara daging, tulang-temulang, dan semua organnya secara perlahan-lahan menyerap khasiat daripada intipati unsur-unsur tersebut. Biarpun perlahan, kekuatan tubuhnya terus meningkat dalam suatu kepastian.
Selain daripada itu, sejumlah besar intipati tanah dan angin yang telah ditulenkan disimpan di 'pusat tenaga' yang berada di tengah-tengah dadanya.
* Debur, debur * Air yang mengalir berdesir tanpa henti.
Di sebelahnya, Bebe, si Tikus Bebayang kecil sedang mengunyah seekor itik liar. Pemandangan tersebut sedamai sebuah lukisan, seolah-olah lukisan tersebut dizahirkan ke dunia nyata.
Walaupun keadaan di situ sangat tenang, suasana di Institut Ernst riuh-rendah. Ribuan pelajar, ahli sihir, serta orang-orang penting dari luar berkumpul di pekarangan Institut Ernst dan menyaksikan pelbagai pertempuran yang berlangsung.
Kejohanan tahunan.
Semua pelajar Institut Ernst ialah individu-individu berbakat besar yang angkuh!
Setiap satu pertempuran cukup mengagumkan untuk disaksikan. Dalam kalangan pelajar gred pertama, bebola tanah, pancaran kilat, dan bilah-bilah angin terbang ke sana ke mari. Sungguhpun begitu, pertempuran antara pelajar gred ketiga dan keempat benar-benar mengejutkan. Pelbagai mantera sokongan serta mantera serangan kawasan digunakan. Mantera seperti 'Batu Berkecai' kini menyebabkan berdozen-dozen, mencecah seratus, batu-batu besar dihempas ke kepala pihak lawan dan pancaran kilat sabung-menyabung tanpa henti.
Pelajar gred kelima dan keenam pula? Mereka lebih menakutkan.
Semua jenis mantera mengejutkan dilontarkan secara berterusan, memenuhi kawasan sekeliling dengan bunyi letupan tanpa henti. Para pelajar yang melihat bersahut-sahutan melaung apabila pertarungan semakin memuncak. Boleh dikatakan, semua pelajar institut berada di situ.
…
Kejohanan tahunan berlangsung selama lebih sebulan. Setiap tahun, bulan tersebut menjadi tempoh paling liar dan riuh di Institut Ernst. Sepanjang tempoh kegilaan tersebut, adakalanya Linley akan menyaksikan pertempuran pelajar gred lima dan enam. Selebih masanya digunakan untuk berlatih bersendirian.
"Kejohanan ini meletakkan syarat para peserta tidak boleh membunuh lawannya dengan sengaja. Bagaimana kejohanan seperti ini boleh dianggap sebagai sebuah pertandingan sebenar jika tangan dan kaki peserta diikat?"
Di bawah pengaruh Doehring Cowart, Linley juga mula memandang serong terhadap kejohanan tersebut.
"Linley, tugasan kamu sekarang ialah berlatih bersungguh-sungguh dan membina kekuatan kamu. Apabila kamu menjadi ahli sihir tahap kelima, kamu akan pergi ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan hadapi sendiri situasi antara hidup dan mati bagi mengumpul pengalaman dalam pertempuran." Doehring Cowart memujuk Linley.
…
Hotel Huadeli, hotel dan restoran paling mahal di Institut Ernst. Malam ini, Yale akan menjadi menjamu empat bersaudara bilik asrama 1987 dengan hidangan mewah.
Di tingkat pertama Hotel Huadeli.
Lantai hotel tersebut berkilat seperti cermin. Barisan pelayan yang cantik berdiri dengan sopan, bersedia melayan tetamu sebaik sahaja khidmat mereka diperlukan.
Terdapat ramai lelaki dan perempuan yang memakai uniform pelajar di Hotel Huadeli. Mereka yang mampu menjamu selera di hotel ini merupakan mereka yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh. Hidangan biasa di hotel itu boleh mencecah beberapa dozen syiling emas. Jika Linley datang ke situ seorang diri, dia pasti tidak mampu membayarnya.
Kejohanan tahunan baru sahaja tamat. Semua pelajar yang berada di hotel itu sedang membincangkannya. Kebanyakan mereka yang berada di situ ialah golongan anak muda tetapi terdapat sebuah meja yang diduduki empat orang kanak-kanak.
"Saya panas hati memikirkan kejohanan tahun ini. Sedikit sahaja lagi! Sedikit sahaja lagi saya layak ke separuh akhir. Sebenarnya mungkin saya mampu menjadi antara tiga pelajar terbaik." Reynolds nampak sangat tidak berpuas hati. Dia merupakan rakan paling muda antara mereka berempat dan juga yang paling berbangga diri.
Yale ketawa. "Sayang sekali. Saya tak sangka akhirnya Rand (Lan'de) yang menjadi pemenang pertama."
George tertawa kecil tetapi tidak bersuara.
George seorang yang sangat ramah dan tidak pernah menyakiti hati orang lain.
"Rand? Oh, ya. Saya pernah dengar kamu berbual tentang dia. Dia antara pelajar baru yang mempunyai daya tarikan intipati unsur serta intipati spiritual yang luar biasa, bukan?" Linley ingat nama 'Rand'
George ketawa dan mengangguk. "Benar, dialah orangnya. Dia mempunyai bakat yang besar. Malah sebelum latihan bermula, intipati spiritualnya sudah mencapai peringkat ahli sihir tahap kedua. Tahun ini dia hanya mengumpul daya sihir secukupnya. Bagi seseorang yang mempunyai kekuatan ahli sihir tahap kedua, memenangi tempat pertama dalam kejohanan pelajar gred satu bukanlah sesuatu yang sukar."
"Bergantung kepada bakat semata-mata? Dari segi bakat, adakah dia mampu menandingi Dixie, pelajar genius nombor satu institut kita?" Yale mencebikkan bibirnya. "Saya tak percaya Rand benar-benar berkebolehan. Apa yang istimewanya memenangi tempat pertama dalam kejohanan antara pelajar gred satu? Linley, kamu tak melihat sendiri keangkuhan dia apabila dinobatkan sebagai pemenang. Saya tak dapat bayangkan reaksinya jika dia menang tempat pertama dalam kejohanan pelajar gred lima atau enam pada masa akan datang."
Semakin kuat seseorang ahli sihir, semakin sukar untuk dia meningkatkan kebolehannya.
Sebab itulah majoriti pelajar di Institut Ernst ialah ahli sihir peringkat tinggi. Semakin tinggi gred seseorang, semakin sengit pertempuran antara mereka.
Reynolds mengangguk sama. "Dia pun saya tak suka. Dixie, pelajar genius nombor satu institut kita, memenangi kejohanan gred tiga. Tengoklah betapa tenangnya dia! Perbezaan antara keduanya sangat besar. Lagipun, pelajar yang paling kuat dalam gred satu bukan Rand."
"Betul. Kamu tak mengambil bahagian, Bro Ketiga. Jika kamu turut serta, hum…" Yale merengus.
Berdasarkan umur dan tahap, mereka berempat menggelar sesama mereka dengan panggilan Bro Kedua, Bro Ketiga dan seterusnya.
"Hei, apa maksud kamu?"
Linley dan Yale menoleh. Empat anak muda yang juga berada di hotel itu sedang berjalan turun dari tingkat dua. Ketua mereka, pemuda berambut perang keemasan merenung kumpulan Linley dengan pandangan dingin.
Yale berkata dengan kuat, "Oh, Rand rupanya. Apa, kamu tak dengar apa yang kami bualkan?"
Linley tidak dapat menahan dirinya daripada menghamburkan tawanya.
Yale langsung tidak takut akan syurga mahupun neraka, dia hanya mementingkan air mukanya sahaja.
"Hurm, jangan ingat saya tak dengar," Rand berkata dengan nada dingin.
Pemuda berambut perang di sebelah Rand juga menyeringai. Dengan angkuhnya dia berkata, "Rand, tak perlu bertengkar dengan empat benda tak guna ini. Buang masa saja. Reynolds, apa pandang-pandang? Apa, kamu tak puas hati dengan kekalahan kamu dalam kejohanan?"
Reynolds merenung pemuda berambut perang itu, dia tersenyum sumbing menghinanya, "Kamu fikir kamu siapa? Kamu hanya bernasib baik dapat menewaskan saya kali ini. Tak payah berlagak sangat."
Wajah pemuda berambut perang itu bertukar dingin.
George tersenyum kepada semua orang. "Rand, cukuplah. Memang salah kami kerana cakap belakang tentang kamu. Kita lupakan sahaja perkara ini."
"Tutup mulut kamu, George. Ini bukan urusan kamu." Rand memandang Yale. "Yale, kali terakhir kita bertemu di Bar Elm Harum, sikap angkuh kamu telah menaikkan darah saya. Dan sekarang, kamu berani bercakap besar di hadapan saya? Jika kamu benar-benar berkebolehan, mari kita berlawan. Ada berani?"
Sebaik sahaja selesai berkata-kata, Rand sengaja ketawa mengejek beberapa kali.
Walaupun Yale agak marah, dia sedar dia tidak sekuat lawannya itu.
Spontan banyak mata-mata yang tertumpu ke arah mereka. Ramai pelajar peringkat tinggi bangun dan memandang mereka dengan penuh tanda tanya. Jelas sekali, kedua-dua kumpulan tersebut baru berumur dalam lingkungan 10 tahun.
"Saya cam budak berambut perang muda itu. Namanya Rand. Dia menang kejohanan tahunan bagi kategori pelajar gred satu. Saya pasti suatu hari nanti, dia akan meraih beberapa pencapaian."
"Budak berambut perang di sebelahnya bernama Rickson (Rui'sen). Dia di tangga ketiga dalam kalangan pelajar gred satu. Saya kenal dia. Dari segi kekuatan, kumpulan Rand menandingi lawannya. Ini pasti menyeronokkan."
Sekumpulan ahli sihir tahap kelima dan keenam berbual sambil ketawa melihat kedua-dua kumpulan tersebut.
Apabila sedar ada mata-mata yang memerhatikannya dan memujinya sebagai pemenang tempat pertama dalam kejohanan tahunan gred satu, wajah Rand menjadi semakin angkuh. Dia memandang Linley dan rakan-rakannya yang lain dengan penuh kebencian.
"Hurm." Rand melirik ke meja di mana Linley dan yang lain sedang duduk. "Jus? Kamu semua masih minum jus? Oh, Yale, saya berasa malu bagi pihak kamu. Rakan-rakan sebilik asrama saya semuanya minum wain untuk meraikan kemenangan. Kamu semua hanya minum jus?"
Melihatkan Rand yang tiada tanda-tanda untuk beredar, Linley mula berkerut.
"Rand, kami berempat sedang makan. Pergilah kamu dari sini." Wajah Linley serius dan dia merenung mereka berempat dengan pandangan dingin.
Jika dia sedang berlatih dan diganggu oleh makhluk lain, dia pasti akan membunuh makhluk-makhluk tersebut.
"Oh, dan ini." Mata Rand bercahaya sewaktu memandang Linley. "Kenapa saya tak tahu tentang kewujudan orang seperti kamu di bilik Yale?"
Pandangan Linley semakin dingin.
Seperti arnab liar, dia menerjah ke hadapan dengan kepantasan yang menakjubkan. Mata Rand hanya sempat terbeliak. "Kamu...!" Belum sempat Rand bertindak, Linley sudah menyambar lehernya dan hanya menggunakan kekuatan fizikal, dia mengangkat Rand ke udara.
"Apa... uh, uh..." Tiada bunyi yang dapat keluar dari kerongkong Rand. Matanya dipenuhi ketakutan.
Linley memandang Rand dengan pandangan kejam. Rand yang terkedu dek ketakutan merasakan dirinya akan dibunuh pada bila-bila masa sahaja.
Pada ketika ini, Linley merasakan Darah Naga yang mengalir di dalam tubuhnya membara, menghidupkan naluri penumpah darah dalam dirinya. Dahi Linley berkerut-kerut dalam usaha menenangkan dirinya. "Ini Institut Ernst. Saya tak boleh membunuh seseorang tanpa alasan yang munasabah."
Ketiga-tiga orang pelajar yang datang bersama Rand kesemuanya terpempan dan ketakutan.
"Berambus!"
Dengan sekali hayunan tangannya, Linley menghempas Rand ke lantai, seolah-olah dia cuma beg kekacang.
Comentário de parágrafo
O comentário de parágrafo agora está disponível na Web! Passe o mouse sobre qualquer parágrafo e clique no ícone para adicionar seu comentário.
Além disso, você sempre pode desativá-lo/ativá-lo em Configurações.
Entendi