Baixar aplicativo
1.49% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 11: Cawangan Toko Pil Pertapaan

Capítulo 11: Cawangan Toko Pil Pertapaan

Editor: EndlessFantasy Translation

Tidak jauh di hadapannya, Meng Hao melihat seseorang menjerit meminta tolong. Sebelum orang itu berjaya turun dari penara itu, pedang terbang lelaki besar itu telah menusuk lehernya. Dia tersungkur ke tanah, badannya menggeliang-geliut dalam hujan darah. Dia menghembus nafas terakhirnya dan kemudian tidak bernyawa lagi. Lelaki besar itu mengambil beg sakti si mangsa, kemudian berpaling dan menuju kembali ke dalam Zon Awam.

Meng Hao menyaksikan kejadian dahsyat itu dengan mata kepalanya sendiri. Kemudian, dia terus memerhatikan dengan lebih lanjut perkara yang berlaku di dataran tinggi itu. Jeritan manusia bergema dibawa angin di samping bau darah dan tali perut yang menusuk hidung Meng Hao.

"Kita boleh jadi kaya sekelip mata di tempat ini, tapi ia juga sangat bahaya. Demi Pertapaan dan Batu Rohani, mereka sanggup pertaruhkan nyawa mereka." Dahi Meng Hao berkerut. Walaupun dia sudah hampir mencapai puncak peringkat ketiga Pemekatan Qi, tetapi perkara yang berlaku di atas sana sangat huru-hara. Terlalu mudah untuk dia ditimpa kecederaan dan kalau dia dirompak, kesannya akan kekal selama-lamanya.

Meng Hao terfikir tentang Batu Rohani di dalam begnya yang sedikit. Kalau dia hanya bergantung pada pengagihan Batu Rohani oleh Sekolah itu sahaja, entah berapa lama yang perlu ditunggunya. Dia merungut sendirian sambil melihat pada Petapa di dataran tinggi itu. Pertarungan mereka sangat sengit. Setiap seorang daripada mereka mengalami kecederaan. Tiba-tiba, Meng Hao mendapat ilham.

Ilhamnya datang bertalu-talu dan dia berasa sangat teruja. Dia berpaling dan berlalu pergi dengan pantas. Dia tidak kembali ke Gua Dewa di Gunung Selatan, tetapi menuruni gunung ke arah Kelas Luaran. Dia mengelilingi medan utama dan akhirnya tiba di sebuah bangunan.

Bangunan itu kelihatan seperti bangunan kuno dan dikelilingi aroma wangi ubat-ubatan. Terdapat aksara yang tertulis di atas pintunya. "Toko Pil Pertapaan."

Ini bukan kali pertama dia datang ke sini. Sebenarnya, dalam purnama pertama setelah dia dinaikkan kelas masuk ke Kelas Luaran, dia telah datang ke sini untuk melihat pelbagai pil ubat yang dijual. Ketika itulah dia dapat tahu tentang Pil Puasa yang boleh dibeli untuk menahan lapar selama beberapa hari.

Tempat ini hanya menerima Batu Rohani dan Pil Pemekatan Rohani sebagai mata wang. Malangnya, kadar penukaran di sini sangat tidak adil. Contohnya, sebiji Pil Pemekatan Rohani hanya dapat ditukar dengan sepuluh biji Pil Puasa. Disebabkan hal ini, hanya beberapa orang sahaja yang datang ke sini. Akhirnya, ia ditinggalkan dan menjadi sunyi sepi.

Meng Hao tidak teragak-agak untuk masuk apabila dia tiba. Di dalamnya kecil sahaja dan seorang lelaki pertengahan umur sedang duduk bersilang kaki di tengah-tengah ruang itu. Lelaki itu kelihatan tidak bermaya. Di sekelilingnya terdapat pelbagai jenis labu air pada rak kayu yang berhubung antara satu sama lain. Di labu itu tertulis pelbagai nama ubat.

Terdapat Pil Pembekuan Darah yang boleh merawat kecederaan luaran. Pil Kelegaan Tulang untuk melegakan keletihan, Pil Pemulihan Rohani untuk meningkatkan tenaga sementara waktu dan Pil Puasa serta Pil Kawalan Selera. Malah, terdapat juga Pil Penumbuhan Sumsum yang boleh merawat tulang yang patah dan hancur.

Terdapat banyak jenis ubat, tetapi kesemuanya boleh dikatakan sangat mahal. Bagi kebanyakan pelanggan, nilai bagi tiga hingga sepuluh biji pil ialah sebiji Pil Pemekatan Rohani. Bagi kebanyakan pengikut Kelas Dalaman, sebiji Pil Pemekatan Rohani sangat berharga. Maka, tidak ramai yang sanggup ke sini dan menukarnya.

Meng Hao rambang mata sewaktu melihat-lihat sekeliling Toko Pil Pertapaan. Kemudian, dia mengeluarkan Pil Pemekatan Rohani dan menukarkannya dengan segenggam ubat yang pelbagai jenis.

Nampaknya lelaki tidak bermaya itu tidak selalu menerima kedatangan pelanggan seperti Meng Hao. Dia jadi terus bertenaga serta-merta dan menyerahkan labu air ubat tersebut.

Meng Hao menyimpan kesemua labu air itu ke dalam beg saktinya dan berlalu pergi. Dia menggunakan laluan yang lebih jauh menerusi hutan gunung kembali ke Gua Dewa dengan berhati-hati. Malam sudah berlabuh ketika dia tiba di gua itu.

Dia duduk bersilang kaki dan melihat pada empat buah labu air itu.

"Orang bijak pandai pernah berkata, jika tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya. Aku sudah keluarkan banyak modal kali ini dan aku akan dapat banyak pulangan." Dia cuba menenangkan hatinya. Setelah itu, dia bangkit dan meninggalkan gua itu. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan membawa pulang sebatang dahan pokok sebesar lengannya bersama-sama satu timbunan daun.

Dia mengeluarkan sehelai jubah hijau dari beg sakti Zhao Wugang dan mengoyakkan jahitan kelimnya. Kemudian dia membentangkan carikan jubah itu di hadapannya. Ia kelihatan seperti saiz yang sama. Maka, dia mengeluarkan sehelai jubah lagi, mengoyakkan jahitan kelim dan membentangkannya bersama-sama jubah pertama tadi. Dia melihat ke bawah dan sangat berpuas hati.

Kemudian, dia hancurkan dedaunan itu untuk mengeluarkan getah. Setelah itu, dia mencelupkan jarinya ke dalam dakwat sementara dan menulis beberapa aksara besar pada pakaian itu dalam kaligrafi besar dan beralun.

Setelah berpuas hati melihatnya, dia memejamkan matanya dan memulakan latihan pernafasan.

Malam telah berlalu dan seawal keesokan paginya, dia mengambil dahan pokok itu dan keluar dengan tergesa-gesa.

Dia tiba di penara itu dengan pantas. Walaupun masih terlalu awal, sudah ada beberapa pengikut sedang bertarung. Kesengitan pertarungan dapat dirasai. Tanpa menghiraukan Petapa yang lain, Meng Hao melepasi batu bersurat besar itu dan berjalan ke arah penara. Matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling sehingga dia terhenti pada sebuah batu tongkol yang tertimbul dari tanah di sepanjang sempadan itu.

Dia memanjat batu tongkol itu dan duduk menyilangkan kakinya. Dia kelihatan seperti cendekiawan yang tidak memberikan ancaman. Kadang kala, ada beberapa orang yang mahu cuba mengancamnya. Maka, dia akan mendedahkan sedikit tahap Pertapaannya dan mereka akan pergi ketakutan. Dia memutuskan untuk menunggu hingga ramai lagi tiba.

Masa kian berlalu, lebih ramai lagi pengikut lain beransur-ansur tiba di Zon Awam itu. Tidak lama kemudian, sudah ada kira-kira 20 orang di sana. Beberapa orang daripada mereka melihat pada Meng Hao yang kelihatan seperti ulat buku itu dan mula berjalan ke arahnya. Dia hanya perlu mendedahkan sedikit sahaja tahap Pertapaannya dan mereka akan terkejut lalu berundur.

Setelah beberapa ketika, dia berasa sudah cukup ramai orang yang tiba. Dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan carikan pakaian itu. Carikan itu diikat pada dahan pokok tersebut. Kemudian, dia mencacakkannya ke dalam tanah liat bersebelahan batu tongkol itu. Bayu gunung mengibarkan kain pakaian itu dan menjadikannya sebuah sepanduk. Ia telah menarik perhatian beberapa orang yang berdekatan, lebih-lebih lagi aksara yang tertulis padanya.

"Cawangan Toko Pil Perubatan."

Aksara hijau gelap kelihatan seolah-olah bersinar, menyebabkan riak wajah pengikut Sekolah Aliran Reliance berdekatan berubah. Sesetengahnya terkejut, manakala yang lain berasa keliru. Sesetengahnya mencemuh, manakala yang lain berasa hairan.

"Cawangan Toko Pil Perubatan? Apa maksudnya?"

"Jangan cakap lelaki itu anak didik ahli kimia yang dihantar oleh Toko Pil Pertapaan Sekolah?"

"Saya macam pernah nampak dia..."

Mereka terhenti dan tertanya-tanya antara satu sama lain di penara itu setelah Meng Hao mengibarkan sepanduknya. Namun, tidak lama kemudian, pertarungan dan perebutan kembali bermula. Darah tersembur dan jeritan kedengaran di sana sini.

Mata Meng Hao terpancar sinar harapan ketika melihat mereka yang berada di dalam Zon Awam itu. Terdapat dua orang Petapa peringkat kedua Pemekatan Qi sedang bertarung berhampirannya. Mata kedua-duanya merah. Bahu salah seorang daripada mereka terbelah oleh pedang terbang pihak lawan. Darah tersembur dan nampaknya dia dalam keadaan yang terdesak.

"Saudara, mari ke mari," Meng Hao memanggil lelaki itu. "Saudara, orang bijak pandai pernah berkata rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari. Nampaknya awak berdarah dengan banyak dari bahu. Rugilah kalau awak biarkan diri awak terbunuh. Kebetulan saya mempunyai Pil Pembekuan Darah daripada Toko Pil Pertapaan. Ia boleh pulihkan semua kecederaan di tubuh awak kurang daripada tiga helaan nafas." Sedang Meng Hao cuba mengelentong, dua orang itu terus bertarung tanpa menghiraukannya. Mata Petapa yang cedera itu menjadi semakin merah dan kecederaan bahunya semakin teruk. Kemudian, darah berhamburan dari dadanya sewaktu pedang terbang pihak lawannya mengenainya lagi.

"Lihat, awak cedera lagi," Meng Hao menegur Petapa yang berpotensi menjadi pelanggan pertamanya itu. "Cepat, mari beli Pil Pembekuan Darah! Kalau tidak, awak akan ditewaskan. Awak hanya perlu beri saya sebiji Batu Rohani dan saya akan beri awak Pil Pembekuan Darah. Sangat berbaloi."

"Diam!" Jerit Petapa yang cedera itu sambil berundur selangkah ke belakang. "Toko Pil Pertapaan itu cekik darah. Tetapi mereka minta sebiji Batu Rohani untuk lima biji Pil Pembekuan Darah. Awak lebih teruk!"

"Tak mahal pun. Nyawa awak lebih bernilai daripada sebiji Batu Rohani. Kalau awak mati, kesemua Batu Rohani awak akan menjadi milik orang lain. Awak hanya perlu beli ubat saya dan awak akan ada peluang untuk menang dan rampas beg sakti lawan awak. Semuanya bernilai sebiji Batu Rohani sahaja. Adakah itu mahal? Awak bukannya beli ubat, awak beli nyawa awak sendiri." Meng Hao berdiri. Kata-katanya itu mungkin telah mempengaruhi Petapa yang cedera itu. Dengan susah-payah dia berundur beberapa langkah dan dia kelihatan teragak-agak.

"Tak guna!" Jerit pihak lawan lelaki itu sambil menghunuskan pedang terbang ke arah lelaki itu. "Kalau kau susahkan aku, aku akan bunuh kau lepas aku bunuh lelaki ini!"

"Saya akan beli!" Lelaki tercedera itu bersuara lantas menepuk beg saktinya dan mengeluarkan Batu Rohani yang dia campakkan ke arah Meng Hao. Meng Hao menyambutnya di udara dan mencampakkan kembali sebiji Pil Pembekuan Darah. Petapa itu mengambilnya dan meletakkan pada bahunya yang tercedera. Pendarahan itu terhenti hampir serta-merta.

Tenaganya pulih. Semangatnya membara. Dia meloncat kembali masuk bertarung. Tiba-tiba, pihak lawannya berundur. Darah membuak-buak keluar dari dada yang tercedera.

"Saudara, saudara." Meng Hao memanggil, menukar pelanggan. "Lawan awak beli sebiji Pil Pembekuan Darah saya dan sekarang dia penuh bertenaga. Saya rasa kalau awak tak beli juga, awak akan berhadapan dengan bahaya. Saya bukan sahaja ada Pil Pembekuan Darah. Saya juga ada Pil Kelegaan Tulang untuk mengubat keletihan. Saya akan beri awak sebiji setiap satu dengan harga dua biji Batu Rohani. Saya jamin awak akan pulih dan penuh dengan tenaga. Awak pasti akan capai kemenangan."

"Awak... Awak..." Lelaki pertama tadi tidak berpuas hati. Lidahnya kelu. Adakah budak Cawangan Toko Pil Pertapaan di sini untuk membantu dia atau menyusahkan dia? Dia baru sahaja berjaya melarikan diri dari mulut harimau. Sekarang, dia masuk ke dalam mulut naga pula. Dia menyerang dengan lebih sengit lagi dalam ketidakpuashatiannya. Adegan yang berlaku di hadapannya betul-betul seperti sewaktu dia membeli ubatnya tadi.

"Kalau awak menang, awak sebenarnya menggunakan Batu Rohani orang lain untuk ubat ini," goda Meng Hao sambil memegang pil ubat di tangannya. "Sangat berbaloi."

"Saya mahu!" Lelaki yang sudah pun membeli sebiji pil itu mahu membelinya lagi.

"Tak guna! Serahkan pada aku!" Petapa yang pada asalnya sedang menguasai pertarungan itu bersuara. Walaupun dia marah pada Meng Hao, tetapi setelah mendengar pihak lawannya mahu membeli ubat itu menyebabkan dia mengetap giginya dan membuka mulutnya.

"Saya akan beri tiga biji Batu Rohani!"

"Saudara, dia tawarkan tiga biji. Kalau awak tidak mampu beri lebih lagi, saya terpaksa serahkan ubat ini kepada dia. Jaga diri!"

"Saya akan beri empat biji!"

"Saudara, dia tawarkan empat biji. Empat!"

"Lima!"

"Enam!"

"Sudahlah! Saya tak mahu tawar lagi. Matilah!" Petapa yang menguasai pertarungan itu beralih kepada Meng Hao dengan sangat marah. Pada mulanya, pertarungan itu mudah sahaja. Namun, sebaik sahaja Meng Hao terlibat, semuanya jadi rumit. Dia terbang ke arah Meng Hao dengan niat membunuh. Memang jelas niat dia untuk menghapuskannya.

Sewaktu dia menghampiri Meng Hao, riak wajah Meng Hao yang lemah-lembut, berilmiah dan ceria itu tiba-tiba berubah menjadi suram dan tegas. Sebelum Petapa itu dapat mencapai Meng Hao, Meng Hao mara selangkah ke hadapan, telapak tangan kanannya menepuk ke hadapan. Tenaga rohaninya dipencarkan dengan satu letupan.

Petapa itu tercampak ke belakang dengan satu jeritan setelah "ditampar" tenaga rohani peringkat ketiga Pemekatan Qi Meng Hao. Serangan itu telah memengsankannya.

Meng Hao merampas beg saktinya. Riak wajah suram dan tegasnya berubah. Dia kembali menjadi cendekiawan yang lemah. Kesemua orang yang menyaksikannya terkejut.

"Saudara, saya rasa awak baru saja tawarkan saya enam biji Batu Rohani," dia berkata sambil tersipu-sipu malu.

Wajah Petapa yang seorang lagi pucat dan tubuhnya menggeletar. Dia melihat Meng Hao dengan rasa kagum dan takut. Dia tidak dapat bayangkan yang hal ini akan jadi begini. Macam mana orang yang lemah tidak bermaya ini boleh berubah sedemikian rupa? Ia hampir-hampir seperti sebuah mimpi.


Load failed, please RETRY

Presentes

Presente -- Presente recebido

    Status de energia semanal

    Rank -- Ranking de Poder
    Stone -- Pedra de Poder

    Capítulos de desbloqueio em lote

    Índice

    Opções de exibição

    Fundo

    Fonte

    Tamanho

    Comentários do capítulo

    Escreva uma avaliação Status de leitura: C11
    Falha ao postar. Tente novamente
    • Qualidade da Tradução
    • Estabilidade das atualizações
    • Desenvolvimento de Histórias
    • Design de Personagens
    • Antecedentes do mundo

    O escore total 0.0

    Resenha postada com sucesso! Leia mais resenhas
    Vote com Power Stone
    Rank NO.-- Ranking de Potência
    Stone -- Pedra de Poder
    Denunciar conteúdo impróprio
    Dica de erro

    Denunciar abuso

    Comentários do parágrafo

    Login