"Sajian peribadi tuan telah dikesan. Penilaian harga sajian akan bermula sekarang... " Suara sistem yang serius itu bergema dalam fikiran Bu Fang sebelum ia menjadi senyap.
Bu Fang menunggu beberapa saat, tapi dia hairan apabila sistem itu tak memberi apa-apa respons.
Walau bagaimanapun, suara sistem itu kembali bergema dalam fikirannya.
"Sosej Lembu Naga Kelana yang dibuat daripada daging paha Lembu Naga Kelana. Sosej ini kaya dengan tenaga semangat dan ia mengandungi pelbagai herba semangat semula jadi yang boleh meningkatkan rasa sosej dan juga nilai perubatannya. Submukosa Lembu Naga Kelana telah digunakan sebagai kulit sosej supaya tenaga semangat di dalam sosej itu tak akan hilang. Penilaian sistem bagi harga hidangan ini ialah: dua ratus lima puluh biji kristal untuk setiap sosej, ia tak boleh dimakan oleh mereka yang mempunyai tahap pertapa bawah Raja Pertempuran Kelas Kelima."
Dua ratus lima puluh biji kristal untuk setiap sosej... Apabila Bu Fang mendengar sebut harga itu, dia menjadi bingung dan tak boleh berkata apa-apa.
Seketul sosej akan dijual dengan harga dua ratus lima puluh biji kristal. Setakat ini, sajian ini merupakan sajan yang paling mahal di restorannya. Tambahan pula, dialah pencipta sajian itu. Entah sebab apa, Bu Fang tiba-tiba rasa agak teruja.
Tapi, selepas dia berfikir seketika, Bu Fang rasa harga sosej itu berpatutan kerana hidangan itu berbeza dengan Mi Beras Gulung. Bu Fang hanya memasukkan sedikit saja daging Lembu Naga Kelana ke dalam Mi Beras Gulung, manakala keseluruhan sosej itu disumbat dengan daging paha Lembu Naga Kelana. Perbezaan kuantiti daging dalam kedua-dua sajian itu bagaikan langit dan bumi.
Selain menggunakan daging Lembu Naga Kelana, sosej itu juga mempunyai herba semangat yang mahal. Oleh itu, dua ratus lima puluh biji kristal untuk seketul sosej tidak mahal pun sebenarnya. Lagipun, orang biasa memang tidak berpeluang untuk memakan binatang semangat kelas ketujuh ini.
Ada dua puluh satu sosej secara keseluruhannya. Kalau dia menjual semua sosej itu, dia akan mendapat lima ribu dua ratus lima puluh biji kristal. Untuk menjadi Raja Pertempuran Kelas Kelima, dia memerlukan sepuluh ribu biji kristal selepas pertukarannya. Menurut nisbah pertukaran tenaga semasa, dia perlu mencapai angka jualan sebanyak dua puluh ribu biji kristal.
Selepas menjual kesemua sosej ini, Bu Fang akan jimat satu per empat daripada masa yang diperlukan untuk mencapai tahap pertapa yang seterusnya. Ini memang satu kejutan yang tidak dijangka olehnya.
Perkara yang paling penting ialah... dua puluh satu ketul sosej hanya menggunakan sedikit sahaja daging daripada satu kaki Lembu Naga Kelana. Dia masih ada seluruh badan Lembu Naga Kelana. Kalau dia memasak dan menjual semua daging lembu itu, Bu Fang mungkin akan dapat menjadi Raja Pertempuran Kelas Keenam...
Dia sebenarnya mahu terus memasak seketul sosej yang mahal itu supaya dia boleh merasainya. Malangnya, proses mengawet kering sosej itu mengambil masa yang lama.
Oleh itu, Bu Fang pun pergi ke biliknya sambil meregangkan badannya. Selepas dia mandi, dia baring di atas katilnya dan tidur.
Sebagai seseorang yang mahu menjadi Tuhan Masakan, mendapat tidur yang mencukupi juga sangat penting.
...
Kediaman keluarga Yang.
Kedua-dua belah kaki Luo Sanniang menggeletar apabila dia pulang ke kediamannya. Ketika dia melangkah masuk ke dalam kediamannya, seorang wanita yang cantik gegas berlari ke arahnya untuk membantunya.
"Kak Luo, awak okey tak?" Suara yang lemah lembut keluar dari mulut wanita itu.
"Juan'Er, cepat bawa saya berjumpa marquis!" Luo Sanniang berkata dengan laju sambil memegang wanita cantik yang memakai gaun berwarna firus itu.
Ekspresi di wajah Luo Sanniang betul-betul menakutkan Juan'Er. Dia pun bertanya dengan nada suara yang lembut, "Kak Luo dah jumpa Xiaochen ke?"
"Kakak dah jumpa dia dan berjaya menyelamatkannya. Kakak cuba untuk bawanya pulang ke sini... tapi ada orang lain menculiknya." Wajah Sanniang tiba-tiba menjadi dingin.
Mulut Juan'Er ternganga sedikit sebelum dia bertanya dengan rasa tak percaya, "Siapa yang berani menculik orang di bawah perlindungan Kak Luo di bandar diraja ni?"
Luo Sanniang hanya mampu tersenyum kecil. Bukan mudah untuk dia memberitahu Juan'Er tentang perkara sebenar yang telah terjadi. Sehingga kini, dia masih tidak boleh percaya yang lelaki yang seluruh badannya diselubungi dengan aura Buddha itu adalah Zhao Musheng, iaitu Menteri Kiri yang terkenal dengan gelaran sarjana lembik dan sikapnya yang berpekerti halus!
Ternyata semua orang telah tertipu dengan Zhao Musheng. Orang tua ini bukan sahaja seorang sarjana biasa, malah dia seorang pakar yang sangat menakutkan dan tahap pertapanya sangat tinggi sehingga Luo Sanniang tidak mampu melawannya.
Luo Sanniang tak pernah rasa sesuatu yang menakutkan seperti itu dan dia rasa seolah-olah seluruh dunia di sekelilingnya berputar dengan laju sekali.
Pakar nombor satu dalam Empayar Bayu itulah Xiao Meng, Santo Pertempuran Kelas Ketujuh.
Zhao Musheng adalah Santo Pertempuran Kelas Ketujuh? Luo Sanniang sangat keliru... Dia sendiri pun tak percaya dengan dakwaan yang luar biasa ini.
Semasa pemerintahan Maharaja Changfeng, Zhao Musheng lulus dalam peperiksaan empayar dan sedikit demi sedikit, dia telah bertukar daripada menjadi seorang sarjana muda kepada seorang yang telah mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan empayar. Dia telah menjadi Menteri Kiri dalam masa sepuluh tahun sahaja. Kerjayanya memang meningkat dengan laju sekali. Semua orang menganggap Zhao Musheng hanyalah seorang sarjana.
Itulah sebab ramai orang tidak peduli tentangnya. Kerajaan Empayar Bayu menghargai keupayaannya dalam seni mempertahankan diri walaupun dia bijak dalam membuat muslihat. Mereka semua anggap yang seorang sarjana sebegitu tidak mampu berbuat apa-apa yang drastik.
Apabila hari bertukar malam, bandar diraja masih dalam keadaan huru-hara.
Keadaan di bandar diraja masih tidak stabil dan sangat membahayakan.
Di kediaman keluarga Yang, Marquis yang Menenangkan Barat, Yang Mo, pulang dengan ekspresi muram. Luo Sanniang melaporkan apa yang dia telah lihat dan dengar kepada lelaki tua yang beruban itu.
"Saya faham." Yang Mo berkata dan memberi isyarat kepada Luo Sanniang dan Jian'Er untuk beredar dari dewan utama itu.
Dia pun duduk dalam dewan utama itu tanpa berkata apa-apa. Memang jelas penculikan Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen oleh Zhao Musheng untuk memaksa kedua-dua keluarga menyokong Putera Mahkota itu adalah satu perisytiharan perang ke atas Raja Yu...
"Kalau Zhao Musheng benar-benar Santo Pertempuran Kelas Ketujuh, mengapa dia sembunyikan tahap petapanya selama bertahun-tahun? Zhao Musheng... Siapakah kamu sebenarnya? Apa yang kamu sedang rancang?" Yang Mo menggumam pada dirinya sendiri.
Dia tidak bimbang tentang keselamatan Yang Chen. Lagipun, Zhao Musheng akan menghantar orang bawahannya untuk menyelamatkan Yang Chen dalam beberapa hari lagi. Walau bagaimanapun, ia tak akan mengubah apa-apa pun kalau dia tahu perkara sebenar.
Ini kerana sudah diketahui yang keluarga Yang dan keluarga Ouyang berpihak kepada Putera Mahkota. Ramai pegawai kerajaan yang mengikut mereka, jadi mustahil bagi mereka untuk menarik balik kenyataan itu. Maksudnya, mereka akan terus menyokong Putera Mahkota.
"Tapi... Adakah Putera Mahkota itu sesuai dijadikan sebagai Maharaja?" Yang Mo mengeluh. Walaupun Putera Mahkota itu tidak bodoh atau kejam, orangnya biasa sahaja. Perbezaan keupayaan antara Putera Mahkota dengan Raja Yu masih agak besar.
Yang Mo betul-betul tidak faham mengapa Zhao Musheng mahu menyokong Putera Mahkota itu.
Di kediaman keluarga Ouyang, keluhan yang sama juga kedengaran.
...
Walaupun ada orang tidak dapat tidur kerana keadaan bandar diraja yang sedang huru-hara, tetapi Bu Fang dapat tidur dengan nyenyak sekali.
Urusan keluarga diraja itu tidak ada kena mengena pun dengannya. Objektifnya hanya untuk menguruskan restorannya. Sebaik sahaja matahari terbit di ufuk, Bu Fang pun bangun daripada tidurnya pada waktu yang tetap.
Bu Fang memakai baju bulu dan keluar daripada biliknya untuk pergi ke dapur. Setiap hari pada waktu ini, dia akan berlatih teknik pemotongannya. Walaupun Bu Fang mempunyai sistemnya, tapi dia masih perlu berlatih dengan teliti. Tiada jalan pintas untuk menjadi seorang yang berjaya.
Namun begitu, Bu Fang tidak merancang untuk berlatih teknik pemotongannya pada hari itu. Teknik Pemotongan Meteornya telah mencapai kemuncak tahap pertama. Walaupun tahap kedua sudah dibuka, Bu Fang tidak tergesa-gesa. Mula-mula, dia mahu berlatih Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar yang dia dapat.
Bu Fang sebenarnya mahir dalam teknik-teknik pemotongan bahan. Pada hari semalam, dia telah menggabungkan beberapa teknik pemotongan semasa membuat Bunga Tauhu Seribu Lapis. Walaupun dia tidak membuat begitu banyak ukiran, Bunga Tauhu Seribu Lapisnya masih mengagumkan orang ramai.
Sekarang dia akan memulakan latihan teknik pemotongan sistem. Walaupun kesukarannya mungkin lebih tinggi daripada membuat Bunga Tauhu Seribu Lapis, dia tidak perlu menggabungkan teknik-teknik pemotongan rumit yang lain semasa latihannya.
"Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar: teknik pemotongan khas yang memerlukan daya tulen. Tuan perlu menggunakan daya tulen sepanjang proses pemotongan. Perhatian berat dan kejituan yang tinggi perlu diambil kira semasa memotong untuk mengawal daya tulen daripada pisau dapur ke atas permukaan sajian. Ini akan meningkatkan kecantikannya dan mencapai kesan bagaikan mimpi. Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar juga menyediakan pelbagai susunan magik. Apabila proses pemotongan selesai, pemilihan pinggan akan menambah kecantikan sesuatu sajian itu."
Bu Fang memeriksa pengenalan Teknik Pemotongan Daging Bintang Gayung Besar oleh sistem itu. Selepas menelitinya, dia mendapati yang teknik ini bukan teknik pemotongan yang biasa dan dia juga perlu menggunakan daya tulennya. Dalam sekelip mata, teknik ini menjadi canggih, elegan dan anggun.
Daya tulen diperlukan semasa berlatih Teknik Ukiran Bintang Gayung Besar. Ini menyebabkan latihan menjadi amat sukar kerana daya tulen sebenarnya sangat tidak stabil. Kalau ada kesilapan yang dibuat semasa proses pengukiran, bahan akan rosak. Oleh itu, kemahiran seorang cef dalam pengawalan daya tulen akan diuji sepenuhnya.
Sama seperti latihan teknik pemotongan, sistem telah menyediakan pisau dapur yang direka khas untuk Bu Fang tetapi kali ini, pisaunya lebih ringan. Pisau dapur yang digunakan semasa latihan teknik pemotongan diperbuat daripada logam khusus dan sangat sukar untuk diangkat.
Apabila Bu Fang memandang pisau dapur berbilah lebar dan tebal itu, dia mula terasa pening-pening lalat. Dia berkata dalam hatinya, 'Bukan ke pisau bilah kecil patut digunakan semasa berlatih teknik ukiran? Kenapa aku diberikan pisau daging?'
Pisau daging itu tak berat pun, tapi impak visualnya membuatkan Bu Fang rasa tertekan.
Bu Fang mencebik bibirnya sambil berjalan ke arah almari di dalam dapurnya untuk mengeluarkan sebiji tauhu yang telah disediakan oleh sistem. Inilah ramuan yang akan digunakan untuk berlatih teknik ukiran itu. Terang-terangan yang Bu Fang tak akan menggunakan tauhu ini untuk berlatih teknik pemotongannya, sebaliknya dia menggunakan tauhu itu untuk berlatih teknik ukirannya.
Tauhu itu putih bagaikan salji dan suhunya agak suam. Baunya pun harum. Memang tidak diragui tauhu itu berkualiti tinggi. Sekurang-kurangnya, kualitinya jauh lebih baik daripada tauhu yang disediakan oleh Restoran Phoenix Abadi.
Bu Fang pun mengambil pisau dapur berbilah lebar dan tebal itu. Dia berasa agak kekok seketika apabila dia melihat tauhu yang lembut dan bersaiz telapak tangan itu. Dia tak tahu bagaimana dia hendak mulakan latihannya.
Dengan mengayunkan pisaunya, dia memancarkan daya tulennya dan tauhu lembut itu terus meletup ke udara menjadi ketulan-ketulan tauhu yang kecil.
Memang jelas yang cubaan pertamanya telah gagal.
Walau bagaimanapun, Bu Fang tak berputus asa. Memandangkan pisau dapur yang dia pegang itu lazimnya digunakan oleh penjual daging, Bu Fang tak harap yang dia akan berjaya dalam percubaan pertamanya. Oleh itu, dia mengambil sebiji lagi tauhu dari almari dan meneruskan latihan teknik ukirannya dengan wajah tak berperasaan.
Apabila sudah tiba masanya untuk membuka restoran, mejanya penuh dengan lapisan tauhu yang tebal. Bu Fang tak mampu mengira berapa kali dia telah gagal mengukir di atas permukaan tauhu itu.
Tapi, sekurang-kurangnya dia dapat belajar dan mengkaji semula kesilapannya serta mencari kunci kejayaannya. Semua perkara itu penting dalam suatu proses pembelajaran.
Daya tulen mengalir masuk ke dalam pisau dapur buatan khas itu seperti air sungai yang deras. Bu Fang memegang pisau dapur itu seolah-olah ia ringan seperti bulu dan dia pun mengukir di atas permukaan tauhu itu...
Pergerakannya masih kekok tapi dia telah memperbaiki tekniknya dan ia jauh lebih baik daripada cubaan-cubaan sebelum ini.
Bu Fang menarik pisau dapurnya dengan perlahan sambil menghembus nafas lega. Dia memutarkan pisau dapur itu di tangannya untuk melakukan pergerakan luar biasa sebelum dia meletakkannya di atas meja. Akhirnya, ukiran pertamanya sudah selesai.
Di hadapan Bu Fang, terdapat sebiji tauhu yang bersaiz telapak tangan dan ada bahagian-bahagiannya yang jatuh ke atas meja dengan perlahan. Nampak seolah-olah bajunya ditanggalkan untuk mendedahkan dunia yang ada di dalam.
Sekuntum bunga teratai telah diukir pada tauhu itu dan ia mempunyai kelopak yang putih dan halus. Kelopaknya lut cahaya seperti kertas, seolah-olah boleh hancur dengan satu hembusan angin. Susunan lapisan kelopaknya sungguh cantik. Selain itu, penggunaan daya tulen telah menjadikan permukaan bunga teratai tauhu itu bersinar-sinar.
"Aku masih perlu berlatih lagi. Tapi, akhirnya aku berjaya membuat ukiran pertama pada pagi ni." Bu Fang menggumam pada dirinya sendiri. Selepas itu, dia membersihkan dapurnya dan mula menyediakan sarapan Si Hitam, iaitu Tulang Rusuk Masam Manis.
Hari menjadi sibuk semula.
Selama tiga hari berturut-turut, bandar diraja berada dalam keadaan huru-hara. Keadaan di dalam mahkamah empayar sentiasa berubah-ubah.
Berita mengenai kematian Maharaja Changfeng telah dimaklumkan dan waktu bagi perarakan jenazah telah disahkan. Perarakan itu akan diadakan selama tiga hari sebelum Pesta Musim Bunga. Pemakaman seorang maharaja yang hebat sebegitu pasti akan menjadi meriah dan menarik.
Walaupun Putera Mahkota dan Raja Yu masih bersengketa tentang siapa yang akan naik takhta, tapi mereka berdua tidak sanggup untuk mengabaikan pemakaman Maharaja Changfeng. Ia bukan sahaja untuk menghormati Maharaja Changfeng, tapi ia juga satu ujian ke atas ketaatan terhadap Ayahanda mereka.
Ji Chengxue yang sedang berkempen di luar sempadan empayar sudah pulang ke bandar diraja. Berita tentang kematian Maharaja akhirnya sampai kepadanya, jadi dia memilih untuk pulang ke bandar diraja. Walaupun dia tahu keadaan semasa di bandar diraja itu tidak tenteram, tapi dia masih mahu pulang. Tujuannya bukan hanya untuk menghadiri upacara pemakaman itu.
Di runut gunung, sebuah pasukan tentera berjalan dengan perlahan di kawasan yang bergunung-ganang. Ji Chengxue yang memakai pakaian tentera sedang berjalan dengan perlahan di tengah-tengah pasukan itu dengan ekspresi yang serius di wajahnya.
Di sebelah Ji Chengxue, ada seorang lelaki yang memakai topi buluh menunggang seekor kuda dengan perlahan bersama mereka.
Mereka berdua tak berkata apa-apa sehingga keadaan menjadi kekok dan tegang.
Apabila bayangan bandar diraja muncul di hadapan mereka, Ji Chengxue menarik nafas yang panjang. Matanya bersinar dengan penuh makna.
"Tuan Putera betul-betul rancang nak masuk ke bandar diraja?" Ji Chengxue terdengar bunyi suara serak dari arah lelaki yang memakai topi buluh itu.
"Masih ada sepuluh hari lagi sebelum Pesta Musim Bunga dan pemakaman Ayahanda akan diadakan tiga hari sebelum pesta itu. Kalau Beta tak pulang sekarang, nanti Beta tak sempat untuk hadir ke pemakamannya." Ji Chengxue menjawab dengan lembut.
"Tapi, Tuan Putera harus fikir masak-masak... Sebaik saja Tuan Putera melangkah masuk ke bandar diraja, Tuan Putera mungkin akan diperhatikan oleh Putera Mahkota dan Raja Yu... Bila itu berlaku, Tuan Putera akan berada dalam bahaya."
"Beta tak pernah rasa selamat. Walaupun mereka tak peduli tentang Beta... Beta masih seorang putera." Ji Chengxue tertawa apabila dia berpaling ke arah lelaki yang tersembunyi di bawah topi buluh itu dan berkata, "Ya, mungkin berbahaya bagi Beta untuk masuk ke bandar diraja, tapi keadaan kamu pun sama juga macam Beta. Betul tak, Xiao Yue?"
Lelaki di bawah topi buluh itu tertawa. Kemudian, mereka berdua ketawa bersama-sama.
"Bercakap tentang bandar diraja, Patik betul-betul rindu dengan Wain Jed Penyejuk Hati si Tauke Bu itu. Dah lama patik tak hidu aromanya. Patik memang teringin nak minumnya sekarang. Patik rasa macam nak minum sedozen balang wain itu." Xiao Yue berkata dengan suaranya yang serak.
Ji Chengxue tersenyum apabila dia memandang Xiao Yue. "Sedozen balang? Mimpi sajalah. Tauke Bu hanya jual tiga balang wain setiap hari. Kamu memang bertuah kalau kamu dapat minum sebalang."
Xiao Yue menjadi bingung seketika dan kemudian dia mengeluh.
...
Sebelum tentera Ji Chengxue sampai ke bandar diraja, ada tiga orang yang sedang berdiri di hadapan pintu gerbang bandar diraja.
Ketua bagi tiga orang itu ialah seorang wanita yang memakai vel dan pakaiannya sangat kasual. Rambutnya yang panjang lebat telah diikat dengan seutas benang dan dia tidak memakai begitu banyak perhiasan di badannya. Dia juga memakai jubah longgar yang tidak menunjukkan bentuk badannya.
Dua orang yang bersama wanita itu hanya berdiri dengan hormat di belakangnya. Kalau Bu Fang berada di sini, dia pasti kenal mereka kerana merekalah orang yang dia jumpa di Tanah Belantara, iaitu Tang Yin dan Lu Xiaoxiao.
Pada masa itu, Tang Yin memandang wanita yang memakai jubah longgar itu dengan rasa hormat dan takut. Wanita itu mempunyai ekspresi yang aneh di wajahnya.
"Tuan... Adakah kita benar-benar akan mencari senior tu? Senior tu memang menakutkan dan sukar untuk diduga!" Tang Yin berkata dengan penuh rasa bimbang.
Mata wanita yang memakai vel itu memandang ke arah Tang Yin. Tiba-tiba, Tang Yin terasa satu tekanan yang kuat pada tubuhnya dan dia terus naik peluh sejuk.
Mata wanita itu sangat cantik. Keningnya panjang dan bahagian luar matanya condong sedikit ke atas. Kulitnya juga putih melepak. Dengan melihat matanya sahaja, dia kelihatan seperti seorang wanita yang anggun.
"Xiaoyinyin, saya tak tahu kekuatan senior kamu tu. Tapi... kalau kamu terus berleter, saya akan suruh kamu minum sebotol sos cili khas saya!" Wanita itu berkata. Suaranya sangat merdu tapi kata-kata yang keluar dari mulutnya itu membuatkan Tang Yin mahu menangis.
Wanita ini merupakan ketua Tang Yin dan juga orang tua ketiga daripada Sekta Cakerawala Rahsia, dialah Ni Yan! Dia seorang wanita yang sangat sensitif!
Selepas melihat Tang Yin, Ni Yan memandang ke arah Lu Xiaoxiao dan bertanya, "Cik adik, Herba Darah Phoenix tu memang dicuri oleh lelaki itu, kan? Kamu tak tipu saya?"
Lu Xiaoxiao mengangguk kepalanya dengan laju.
Ni Yan mengecilkan matanya yang cantik itu dan mendengus sebelum berjalan ke bandar diraja.
"Berani kamu curi Herba Darah Phoenix saya. Saya dengar kamu pun seorang cef... Saya memang suka berbual tentang kemahiran memasak saya! Ehem!"
Tang Yin dan Lu Xiaoxiao merenung jauh ke dalam mata satu sama lain dengan rasa bingung sekali sebelum mereka tergesa-gesa mengikut wanita itu.
Comentário de parágrafo
O comentário de parágrafo agora está disponível na Web! Passe o mouse sobre qualquer parágrafo e clique no ícone para adicionar seu comentário.
Além disso, você sempre pode desativá-lo/ativá-lo em Configurações.
Entendi