Qian Bao, yang memakai jubah broked, sedang berjalan dengan tangan di pinggangnya. Perutnya yang boroi menampakkan tali pinggangnya yang bertatah jadeit yang menawan. Dia berjalan begitu supaya orang ramai melihatnya dengan rasa cemburu bila memandang tali pinggangnya. Pandangan itu memuaskan rasa megahnya.
"Siapa yang sombong sangat tu sampai berani mengatakan yang hidangan Restoran Phoenix Abadi tak sedap?" Qian Bao terus berasa geram bila dia dengar kutukan itu.
Bila dia berhenti di sebelah Kak Chun dan melihat apa yang dia pandang, dia nampak Xiao Xiaolong dan lain-lain.
"Oh, bukankah ini prodigi bandar diraja, Tuan Muda Xiao? Sudah lama Tuan tak datang makan di restoran kami. Oh Tuhan, dewi Yanyu and puteri Ouyang pun ada di sini. Maaf kerana tak mengalu-alukan kedatangan kamu semua tadi. Eh? Ini ialah..."
Qian Bao tahu cara membawa diri. Dalam erti kata lain, dia tahu cara berniaga. Dia memang pandai berurusan dengan orang. Senang cerita, dia seorang yang licik. Disebabkan itu, dia berjaya mengubah sebuah restoran kecil yang tak ada apa-apa menjadi Restoran Phoenix Abadi sehebat ini.
Jelas sekali, ramai orang yang membantunya mencapai kejayaan ini. Namun, usaha dan bakat Qian Bao memainkan peranan yang penting juga.
"Kamu boleh panggil dia Tuan Muda Bu." Xiao Xiaolong tersenyum sambil memperkenalkan Bu Fang. Dia tak berani memberitahu nama Bu Fang. Restoran tak berhati perut itu terkenal di bandar diraja baru-baru ini dan sudah menjadi saingan utama Restoran Phoenix Abadi. Kalau dia memilih untuk memberitahu nama Bu Fang pada masa itu, belum tentu Qian Bao tak akan musnahkan Bu Fang.
'Tuan Muda Bu?' Qian Bao berkata dalam hati sambil dia cuba mengingatkan dirinya semula. Namun, dia tak ingat mana-mana keluarga terkenal yang memiliki nama Bu.
Namun, Qian Bao masih tersenyum sambil dia membuat tabik genggam kepada Bu Fang dan berkata, "Oh begitu. Kamu ialah Tuan Muda Bu. Banyak yang saya dengar tentang kamu. Adakah hidangan kami tak menepati selera Tuan Muda Bu?"
"Bukan tak kena selera. Cuma cara memasaknya sangat teruk. Saya beri penilaian rendah." Bu Fang berkata dengan serius tanpa perasaan.
"Hidangan dimasak dengan teruk?" Qian Bao agak terkejut sambil dia memandang Bu Fang dengan ekspresi serius. Sudah sekian lama dia tak berjumpa seseorang yang berani mencari kesilapan Restoran Phoenix Abadi.
Semasa Restoran Phoenix Abadi mula dibina, wakil dari restoran lain akan datang untuk mencari kelemahan makanan di situ. Pada masa itu, sajian mereka memang banyak kekurangan. Namun, bila restoran itu berkembang, mereka menghabiskan banyak duit untuk menggaji cef-cef dari seluruh pelosok Empayar Bayu dan setiap cef ada hidangan istimewa mereka sendiri. Inilah yang menjadikan reputasi Restoran Phoenix Abadi.
"Tuan Muda Bu, kamu buat lawak ya. Tanyalah sesiapa pun dalam bandar diraja. Siapa yang berani kata yang hidangan di Restoran Phoenix Abadi tak sedap?" Qian Bao berkata dengan senyuman di wajahnya. Namun, kata-katanya berbunyi angkuh.
"Kalau tak sedap, tak sedaplah. Sajian-sajian ini tak dimasak dengan baik. Kamu boleh hidangkan mana-mana sajian dan saya boleh tunjukkan apa kelemahannya kepada kamu." Bu Fang berkata. Dia malas nak bertengkar dengan Qian Bao.
Kata-kata Bu Fang menyebabkan Qian Bao mengecilkan matanya sambil dia berkata dalam hati, 'Budak tak guna ni sombong betul. Berani dia cakap yang bukan-bukan! Memang betul-betul yakin ke dia tu?'
"Baiklah! Disebabkan Tuan Muda Bu bertegas, saya akan hidangkan satu sajian dan benarkan kamu bersemuka dengan cef saya. Kalau Tuan dapat yakinkan dia, saya akan menerimanya." Qian Bao berkata sambil senyuman di wajahnya hilang.
'Adakah mereka akan bertembung secara bersemuka?' Xiao Xiaolong dan lain-lain terkejut seketika sebelum mereka berasa teruja. Qian Bao mungkin tak tahu identiti sebenar Bu Fang. Tapi mereka sangat mengenalinya. Disebabkan Bu Fang berani berkata begitu, dia sememangnya lebih yakin kerana kemahiran memasak Bu Fang lebih hebat daripada cef-cef di Restoran Phoenix Abadi.
"Tak, saya tak perlukan persetujuan kamu. Beginilah, apa kata kita bertaruh. Kalau kesilapan yang saya tunjukkan tadi boleh meyakinkan cef kamu, benarkan saya pergi ke tingkat tiga. Kalau saya kalah, saya akan beri ganti rugi seratus kali ganda harga hidangan-hidangan ini. Setuju ke?" Bu Fang berkata tanpa perasaan.
Semua orang terkejut. 'Seratus kali ganda harga sebagai ganti rugi, Tauke Bu ni kaya sungguh! Dengan sebegini banyak hidangan, kos keseluruhan sudah pasti melebihi lima ratus syiling emas. Kalau seratus kali ganda… jumlahnya paling kurang pun lima puluh ribu syiling emas!'
Jantung Qian Bao pun hampir gugur bila dia mendengar pertaruhan itu. Dia tidak lagi memandang rendah kepada Bu Fang.
Seseorang yang berani mempertaruhkan lima puluh ribu syiling emas bukanlah orang biasa. Lagipun, dia ditemani Xiao Xiaolong, anak seorang pegawai kerajaan. Sudah pasti latar belakangnya bukan biasa-biasa.
Adakah dia berniat untuk masuk ke tingkat tiga Restoran Phoenix Abadi? Adakah dia berhasrat untuk merasa hidangan di tingkat tiga? Mungkinkah dia cuba mencari kelemahan di tingkat tiga?
Dalam masa yang singkat, banyak persoalan yang bermain dalam fikiran Qian Bao. Akhirnya, dia mengecilkan mata sambil berkata, "Baiklah! Saya setuju!"
Bu Fang mengangguk dan menunjuk isyarat untuk Qian Bao memilih apa sahaja sajian yang dia inginkan.
Qian Bao menyilangkan tangan di belakangnya sambil berkata, "Kak Chun, minta seseorang untuk hidangkan sajian istimewa tingkat dua, Ikan Kap Batu Goreng Kering!"
Bila Kak Chun terdengar arahan Qian Bao, matanya bercahaya. Dia berkata dalam hati, "Seperti yang dijangka! Dengan hidangan ini, mari kita lihat sama ada budak tak guna ni masih boleh mencari kelemahannya!"
Ikan Kap Batu Goreng Kering itu adalah sajian terbaik di tingkat dua Restoran Phoenix Abadi. Ia sepatutnya dipromosikan ke tingkat tiga. Namun, tauke telah menetapkan tingkat tiga hanya menghidangkan tiga sajian. Jadi, Ikan Kap Batu Goreng Kering itu tidak tersenarai.
Namun, dari segi rasa dan rupa, Ikan Kap Batu Goreng Kering itu layak untuk masuk ke tingkat tiga!
"Tuan Muda Bu, sila duduk dan tunggu sebentar." Qian Bao berkata sambil tersenyum. Dia menyuruh Xiao Xiaolong dan lain-lain untuk duduk dan menunggu hidangan sampai.
Bu Fang tak berkata apa-apa sambil dia duduk di tempatnya dan menunggu dengan senyap untuk sajian itu dihidangkan.
Sementara itu, Qian Bao seronok berborak dengan Xiao Xiaolong dan lain-lain.
Selepas seketika, mereka dapat menghidu bau harum di udara. Ini menyebabkan pelanggan-pelanggan di tingkat dua tercari-cari dari mana ia datang.
Kak Chun menghampiri mereka sambil membawa satu pinggan besar yang sangat berwap. Kali ini, dia tak berani mengayunkan pinggulnya kerana takut tumpah hidangan itu.
Seorang lelaki gemuk berpakaian seragam cef berjalan di belakang Kak Chun dengan wajah bangga.
"Ikan Kap Batu Goreng Kering sudah tersedia. Selamat menjamu selera." Kak Chun berkata dengan comel sambil dia menunduk dan meletakkan hidangan di atas meja.
"Tauke Qian, saya dengar ada orang datang ke sini untuk cari kesalahan. Saya datang untuk lihat sama ada lelaki ini boleh tunjukkan kelemahan hidangan saya!" Lelaki gemuk itu berjalan ke arah Qian Bao dan berkata dengan kuat.
Bu Fang memandang lelaki gemuk itu dan lelaki itu menoleh untuk bersemuka kerana dia seperti merasakan sesuatu. Otot-otot di mukanya bergetar.
"Kamu ke budak tak guna yang datang ke sini mencari kesalahan?" Persepsi lelaki gemuk itu agak tepat sambil dia merenung Bu Fang dan berkata.
"Tuan Chen, inilah Tuan Muda Bu. Jangan cuba takutkannya." Qian Bao berkata sambil tersenyum.
Bu Fang masih tiada perasaan sambil dia mengalih pandangannya ke Ikan Kap Batu Goreng Kering itu.
Warnanya terang dan menarik perhatian kerana campuran warna emas dan merah. Satu lapisan sos tebal yang mengandungi banyak ramuan yang menghasilkan aroma manis. Ikan itu telah digoreng celur dan ia menghasilkan bau harum yang menaikkan selera.
Berdasarkan rupanya saja, sajian itu nampaknya boleh tahan bagus.
Bu Fang mengambil penyepitnya. Sambil dilihat mereka yang lain-lain, dia mencicahnya ke dalam sos dan mencuba rasanya.
Xiao Xiaolong dan lain-lain menahan nafas sambil merenung Bu Fang. Tuan Chen dan Qian Bao turut menelan air liur sambil mereka memandang Bu Fang.
Selepas Bu Fang merasai sos itu, dia mengambil isi ikan dan menyuapnya. Selepas menikmati isi ikan itu, dia meletakkan penyepit.
Dari awal sampai akhir, tak ada langsung ekspresi di wajah Bu Fang. Tak ada sesiapa pun yang dapat meneka apa yang dia sedang fikirkan.
Tiba-tiba, suasana jadi tak menyenangkan dan semua orang ternanti-nanti.