アプリをダウンロード
100% Plan : Sekolah Elit Auster / Chapter 3: Bab 2

章 3: Bab 2

"Kayra?" Mata aku terbeliak sebaik sahaja menyedari bahawa perempuan yang bersama cikgu Kamal sejak tadi ialah Kayra. Kayra yang tadi menutup matanya sambil menangis dalam ketakutan setelah pasrah dan tidak mampu melakukan apa-apa terhadap cikgu Kamal mula membuka matanya perlahan-lahan.

"Qaz?" Mata Kayra terbeliak sebaik sahaja melihat aku di sini. Siapa sangka akan ada pelajar yang berada di dalam bilik guru penolong kanan? Tidak diundang pula tu. Apa-apa pun. Aku tidak sangka dia tahu nama aku.

"Siapa kau?" Cikgu Kamal melihat genggaman kuat aku di lengan kanannya lalu perlahan-lahan menolehkan kepalanya ke arah aku.

"Alihkan tangan cikgu daripada bahu dia." Arah aku sambil mata aku lama merenung kedua-dua mata cikgu Kamal yang seperti mempunyai niat untuk membunuh aku.

Cikgu Kamal tanpa mengeluarkan suara melepaskan tangan kirinya daripada bahu kanan Kayra lalu berdiri dengan tegak. Dia kemudian memandang ke arah Kayra kembali. Lengan kanannya masih aku genggam dengan kuat. Kayra pantas mengusap-ngusap bahu kanannya yang sakit setelah lama ditekan oleh cikgu Kamal di dinding. Wajah Kayra terus tertunduk sebaik sahaja menyedari bahawa cikgu Kamal sedang merenungnya tanpa berkelip mata. Tidak sanggup melihat mata yang penuh dengan kejahatan itu.

"Cikgu. Cikgu betul-betul nak lepaskan tumbukan ni kat dia ke?" Tangan kanan aku pantas bergerak daripada lengannya menuju ke penumbuk kanannya pula.

"Kau nampak kan apa yang cuba aku buat." Jawab cikgu Kamal. "Lepaskan aku."

Aku perlahan-lahan melonggarkan genggaman aku daripada penumbuk kanannya. Aku memerhatikan seluruh tubuh badan cikgu Kamal yang mungkin mempunyai niat untuk melakukan sesuatu. Pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi sebaik sahaja aku melepaskan genggaman ini.

"Kau dengar kan apa yang aku cakap." Cikgu Kamal menolehkan kepalanya ke arah aku lalu menarik tangannya dengan kuat daripada genggaman tangan aku.

Dengan tubuh badan cikgu Kamal yang masih menghadap Kayra, dia menghayunkan lengan kanannya yang baru sahaja keluar daripada sangkarnya itu ke arah aku. Tanpa kaki aku bergerak sedikit pun daripada kedudukan asalnya, aku pantas menggerakkan bahu kiri ke hadapan dan bahu kanan ke belakang sekali gus membuatkan badan aku yang tidak terlindung ini dapat mengelak daripada terkena hayunan sekuat hati itu. Fuh… Nasib baik. Membiarkan cikgu Kamal menarik tangannya daripada genggaman aku memberikan masa untuk aku memikirkan pergerakannya yang seterusnya.

Selang satu saat daripada hayunan laju itu, cikgu Kamal pantas melepaskan tendangan kaki kanannya ke arah aku yang berada di belakangnya. Kali ini, bahu kanan aku pula yang bergerak ke hadapan dan bahu kiri aku bergerak ke belakang. Sekali lagi, serangannya dapat aku elak walaupun beza 1 inci sahaja antara badan aku dan tendangan itu. Angin tendangannya itu dapat aku rasa di wajah. Wah… Sikit lagi aku hampir terkena tendangan maut itu. Tendangan cikgu Kamal itu membuatkan badannya terpusing menghadap aku.

"Wah… Mana kau belajar elak macam tu?" Tanya cikgu Kamal dengan senyuman sinis di wajah.

"Main bola beracun?"

Cikgu Kamal tergelak kecil. "Pandai kau buat lawak."

Dalam sekelip mata, satu tumbukan kanan meluru laju ke arah aku. Bagi orang seusianya, pergerakan tubuh badannya agak laju. Tambahan, dia mempunyai kuasa serangan yang mampu membuatkan seseorang jatuh dan pengsan. Jika aku menahan tumbukannya itu, tubuh badan aku akan terbuka untuknya dan jika aku mengelak daripadanya, itu memberikan masa kepadanya untuk melakukan serangan seterusnya. Disebabkan itu, aku menepis tangannya dengan kuat menggunakan tangan kiri lalu pantas cuba melepaskan tumbukan kanan tepat ke arahnya. Dengan pemikiran yang sama dengan aku, cikgu Kamal juga menepis tangan aku dengan kuat.

Namun, apa yang dia tidak sedar, lawannya ialah orang yang muda. Pergerakan tubuh badan aku semestinya akan lebih laju daripadanya. Kemudian, tangan kiri aku pula mengambil alih. Sama ada dia menepis, menahan mahupun mengelak, semua tindakan itu akan membuatkan badannya tidak terlindung sekali gus akan memberikan peluang kepada aku untuk membuat serangan maut. Menyedari akan hal itu, cikgu Kamal pantas menggerakkan kedua-dua kakinya untuk berundur. Pilihan yang tepat. Aku menarik semula tumbukan aku lalu berdiri seperti biasa memandangnya. Kami bertentang mata seketika tanpa mengatakan apa-apa.

"Kau betul-betul nak bunuh aku ke apa?" Tanya cikgu Kamal lalu berdiri tegak. Kayra yang berada di belakangnya memandang aku dengan mata yang terbutang luas tanpa kerlipan.

"Itu keputusan yang tepat kalau cikgu pun ada niat yang sama."

"Heh." Dia tersenyum sinis seperti seorang pembunuh bersiri sebenar yang baru sahaja selesai mengkebumikan mangsanya.

"Sayang sekali. Faktor usia memainkan peranan yang penting." Rasa gementar dan takut tidak bersama aku ketika ini. Bulu roma aku tidak ada satu pun yang tiba-tiba menegak memandang senyuman jahat cikgu Kamal.

"Budak yang menarik." Dia tergelak kecil. Adakah dia memang suka senyum dan gelak? Kalau begitu, dia agak menjengkelkan. "Kau tahu apa yang aku akan buat dengan pergerakan aku seolah-olah seperti kau dah pernah belajar dan menghadapinya. Kau ada belajar di mana-mana ke?"

"Tak. Saya hanya bergerak mengikut hati. Semua orang pun boleh bergerak macam tu kalau mereka menggunakan akal kan?"

"Oh, begitu?"

Aku memandang Kayra yang berada di belakang cikgu Kamal. Tiba-tiba, aku dan dia bertentang mata. Dia mengesat air matanya yang masih tersisa di wajah menggunakan lengan baju. Baguslah kerana dia sudah berhenti menangis walaupun rasa takut itu masih aku dapat rasa daripadanya

"Jadi, boleh kau terangkan macam mana kau boleh ada kat sini?" Tanya cikgu Kamal kepada aku.

Ya. Semestinya, itulah soalan yang bakal dia tanya. "Saya tak pernah dengar seorang cikgu berbual dengan anak muridnya menggunakan kedua-dua aku dan kau."

"Antara kau dan aku sekarang ni, bukan sebagai seorang guru dan anak murid dan apa yang kau dan aku tengah cakapkan ni, bukan sebuah perbualan pun."

Aku mahu mendengar itu. Nampaknya, aku tidak perlu berasa bersalah jika aku melepaskan kata-kata yang kesat kepadanya. Aku akan menganggap guru di hadapan aku ini ialah seorang penjahat yang cuba mencederakan seorang perempuan tidak kiralah bagaimana pun latar belakang situasi ini.

"Saya bersalah di sini sebab naik ke tingkat ni. Tiba-tiba je saya terdetik untuk pergi ke sini. Mujurlah waktu saya nak turun ke tingkat bawah, saya dapat dengar sikit bunyi perempuan menjerit dan bunyi hentakan di dinding yang buatkan saya ada kat bilik ni sekarang." Aku berkata dengan jujur.

"Apa yang kau dengar?"

"Saya tak rasa dari luar boleh dengar apa yang cikgu cakap di dalam kecuali kalau bercakap dengan suara yang kuat dan yang sewaktu dengannya." Pernyataan itu membuatkan cikgu Kamal dan Kayra percaya bahawa aku baru sahaja sampai ke tingkat ini dan tidak cuba untuk mencari tahu pun tentang perkara yang berlaku di dalam. "Saya masuk ke sini sebab dengar suara tangisan Kayra yang sangat kuat."

"Bukan ke selalunya orang akan curi-curi dengar dulu."

"Itu yang selalunya tapi tak bagi situasi ni. Normal ke sesebuah situasi tu kalau saya dengar bunyi seorang remaja perempuan menangis di dalam bilik seorang guru penolong kanan? Dah sah yang situasi tu tak lain dan tak bukan ialah bahaya."

"Heh." Cikgu Kamal kemudian tergelak kecil. "Hah… Aku tak kisahlah kau dengar atau tak dan apa yang kau dengar sekali pun. Budak mentah macam kau takkan boleh buat apa-apa"

Memang betul. Jika dibandingkan mengikut kuasa dan jawatan, sudah semestinya aku bukanlah sesiapa. Namun, jika dibandingkan mengikut kebolehan. Nampaknya, dia sudah tersilap kata.

"Hm. Betul juga tu." Aku hanya menyetujui kata-kata cikgu Kamal. Aku tidak berniat untuk menyusahkan diri membawa perkara ini menjadi lebih besar daripada situasi ini.

"Hah… Aku tak pernah terfikir bilik aku ni akan diredah macam tu je oleh seorang budak. Apa yang lebih lawak lagi, tiba-tiba je kau ada kat belakang aku." Dia tertawa lagi. Banyak juga dia ketawa sehingga aku tertanya-tanya sama ada cikgu Kamal pernah masuk ke wad orang gila atau tidak. "Kau tahu kan yang pintu ni sebenarnya berkunci?"

"Oh?" Pandangan aku teralih ke arah pintu bilik ini dan apa yang menariknya ialah tombol pintu bilik ini sudah hampir tercabut. Sejujurnya, aku langsung tidak sedar yang pintu ini sebenarnya berkunci. Patutlah aku kena tarik dengan kuat tombol pintu itu. "Sekolah ini penuh dengan kemudahan yang terbaik. Saya tertanya-tanya kenapa pintu bilik ni perlu dibina secara tradisional macam bilik-bilik guru penolong kanan kat sekolah lain. Kalau kita tengok tempat kerja zaman sekarang, kebanyakkan bilik dilengkapi dengan pintu kaca dan kalau nak lebih canggih lagi, ada pintu automatik. Macam pintu di semua kelas."

"Privasi. Pintu yang dibina macam ni akan bagi lebih lagi privasi kepada orang di dalamnya. Lagipun, apa manfaatnya kalau pintu bilik ni pintu kaca. Lihat pemandangan? Koridor kosong je yang ada di sebalik pintu tu. Kau tak tengok tv ke? Kebanyakkan pintu bos-bos sebenarnya jenis pintu macam ni."

"Oh… Apa-apa pun. Saya minta maaf sebab dah rosakkan pintu bilik cikgu." Aku menundukkan kepala sedikit. Biar nampak ikhlas walaupun sebenarnya aku tidak kisah. Mereka kata, perempuan kalau bergaduh, terus bermasa muka tetapi kalau lelaki bergaduh, terus beramah mesra. Rasanya, inlah maksud kata-kata itu.

"Oh, jap." Cikgu Kamal tiba-tiba merenung aku lama-lama. "Aku macam pernah nampak muka kau ni waktu semak maklumat budak baru tingkatan empat sekolah ni tahun lepas. Kau baru masuk tahun lepas kan?"

"Hm." Aku mengganguk kecil.

"Oh… Aku mungkin tersilap. Kau ke yang dapat 100 markah dalam ujian kemasukan form 4 baru ke sekolah ni tu?"

"Huh?" Logiknya tiada di situ. Bagaimana pula orang sebodoh aku boleh dapat markah seperti itu? "Bukan saya tu. Tak mungkin orang yang tak pernah dapat markah 90 ke atas macam saya dalam mana-mana subjek dalam apa-apa exam kat sekolah ni boleh dapat 100 markah dalam ujian kemasukan tu. Prestasi akademik saya hanya biasa-biasa je sebenarnya."

"Oh? Macam tu?"

"Mungkin form 4 baru yang lain kot atau cikgu dah tersilap tengok markah saya."

"Hm." Dia mengangguk lalu menyambung. "Mungkin aku yang silap dan mungkin juga kau yang menipu."

Aku tidak mengatakan apa-apa. Bercakap lebih lagi hanya akan menjadi seperti seorang budak yang mengacau sarang lebah di pokok.

"Baik. Sekarang ni, aku dah takde apa-apa nak cakap dengan kau. Kau boleh bawa dia ni keluar daripada bilik ni." Tuding cikgu Kamal ke arah Kayra lalu bergerak ke meja kerjanya.

Aku menghampiri Kayra. Mata Kayra dari tadi tidak lepas daripada merenung aku. Aku tidak tahu apa yang sedang dia fikirkan tetapi kalau dia terus buat begitu, jantung aku mungkin tercabut akibat berdegup dengan sangat laju. "Jom kita keluar daripada bilik ni."

"Hm." Angguk Kayra.

"Oi, Qaz."

Tidak sempat aku dan Kayra keluar daripada bilik ini, cikgu Kamal memanggil nama aku sekali gus membuatkan langkah aku terhenti. Bagaimana dia tahu nama aku? Mungkin dia lihat tanda nama yang ada di baju aku ini.

"Kau jangan fikir nak buka mulut kat sesiapa tentang apa yang kau dengar, lihat dan alami hari ni. Aku tengah bagi arahan kat kau sekarang ni. Kau faham?"

Amaran lagi sukar untuk dilanggar tetapi kesannya hanya biasa-biasa. Namun, sebuah arahan amatlah mudah untuk diabaikan tetapi kesannya luar biasa. Aku memahami benar kata-katanya itu lalu mengangguk.

"Kayra." Kayra perlahan-lahan memandang wajah cikgu Kamal yang memanggil namanya. "Selamat menderita." Cikgu Kamal tersenyum sinis.

Suasana tiba-tiba menjadi tegang dan sunyi. Aura yang cikgu Kamal berikan mampu membuatkan bulu roma sesiapa pun menegak. Kayra yang mula berasa takut kembali setelah melihat senyuman itu lantas terus keluar daripada bilik ini.

Aku cuba mengikut langkah Kayra yang semakin lama semakin laju. "Kayra." Perlahan sahaja suara aku memanggil namanya namun dia tidak berhenti melangkah mahupun mengatakan apa-apa "Kayra." Aku memegang bahunya dengan lembut sekali gus membuatkan langkahnya terhenti. Dia memalingkan badannya ke arah aku lalu merenung wajah aku lama dengan pandangan seperti aku ialah harapannya. Aku betul-betul mahu tahu apa yang dia fikirkan sekarang ini dan mengapa dia tidak berhenti merenung aku. Matanya masih tidak lepas daripada merenung wajah aku. Jangan buat begini. Melihat wajahnya membuatkan aku rasa mahu menghentikan waktu kerana aku mahu melihat wajahnya itu selama yang mungkin.

Wajah Kayra putih kemerah-merahan. Rambut hitamnya panjang dilepaskan menutupi belakang leher dan sebahagian daripada belakangnya. Keadaan, rupa dan bentuk mata, hidung serta telingannya yang sempurna itu keindahannya tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata apabila dipadankan dengan wajah bidadarinya. Jika gambar Kayra ada di mana-mana, maka gambar dialah yang akan paling bersinar. Jika Kayra berada di taman bunga, maka dialah sesuatu yang akan menangkap mata orang lain terlebih dahulu sebelum bunga-bunga cantik yang lain. Mungkin deskripsi ini agak melampau tetapi pernyataan ini akan disetujui oleh sesiapa pun jika aku mengungkapkannya kepada mereka.

Aku lantas menyedarkan diri daripada lamunan. Melihat wajahnya mampu membawa aku pergi ke dunia lain. "Bertenang, Kayra." Aku bertindak berani dengan perlahan-lahan memegang kedua-dua bahunya. Wajahnya yang ketakutan semakin lama semakin surut setelah lama kami berdua bertentang mata. "Tenang, Kayra." Aku mengucapkannya sekali lagi.

"Qaz."

"Hm?"

"Aku takut." Itulah yang Kayra ucapkan kepada aku setelah seminit berdiam diri merenung aku.

"Aku tahu tapi kau kena bertenang dulu. Kita akan fikirkan masalah ni kemudian. Boleh?" Entah mengapa. Situasi sekarang ini seperti aku dan dia sudah lama berkenalan pula.

"Hm." Kayra banyak kali mengangguk lalu mula menangis. Aku yang sedikit gelabah lantas mengeluarkan sampul tangan daripada poket. Sejak bila sampul tangan ini ada dengan aku? Apa-apa pun. Sekarang, itu tidak penting.

"Kayra. Jangan menangis." Aku mengelap air mata di pipinya dengan lemah lembut. "Jangan menangis. Sekarang, kau ada kat sini dengan aku tanpa ada apa-apa pun yang berlaku." Aku cuba memujuknya dengan kata-kata yang mampu menenangkan hatinya dengan nada suara yang paling menggembirakan jika didengari.

Entah apa yang aku fikirkan ketika ini, aku mendekatkan lagi diri aku kepadanya lalu membawa tubuh badannya bersentuhan dengan tubuh badan aku. Kayra menyambut tindakan berani aku itu dengan membenamkan wajahnya di bahu kanan aku lalu memautkan kedua-dua tangannya di belakang badan aku. Aku turut memautkan kedua-kedua tangan di belakang badannya lalu tangan kanan aku perlahan-lahan mengusap belakangnya. Cuba membuatkan dirinya tenang dan berhenti menangis.

Setelah beberapa minit kami berpelukan, aku dan Kayra masing-masing melepaskan pautan kedua-dua tangan di belakang badan. Tangisannya sudah beransur pergi. Hanya esakan lembut sahaja yang tinggal.

"Boleh aku ambil sampul tangan tu?"

"Nah." Aku memberikannya kepada Kayra. Kayra mengelap wajahnya yang sudah dibasahi dengan air mata. Sepanjang aku berada di sekolah ini, inilah kali pertama seorang perempuan menangis di hadapan aku. Bukan sahaja di hadapan aku tetapi dia bahu aku dan bukan sedikit. Aku hanya diam kerana risau melihat keadaannya yang begini.

"Qaz." Dia sekali lagi merenung wajah aku lalu berkata. "Terima kasih sebab ada kat sini." Dia menghadiahi aku sebuah senyuman kecil yang membuatkan aku sedar tentang perasaan pelik aku terhadapnya yang aku rasa seharian ini.

"Hm." Aku mengangguk.

"Sorry sebab dah buatkan baju kau basah." Kayra tergelak kecil lalu mengelap air matanya yang tersisa di baju aku menggunakan sampul tangan yang dipegangnya.

Aku meneguk liur memandang wajahnya yang sangat dekat dengan pandangan mata aku. Aroma enak dan mampu menenangkan jiwa daripada rambutnya jelas dapat dihidungi. Jantung aku tanpa perlu menerima arahan, berdegup laju sehingga hampir tercabut jadinya aku rasa.

"Aku rasa lebih baik kalau kau pulang ke bilik sekarang." Ujar aku kepada Kayra untuk menghilangkan rasa pelik dalam diri aku sekarang ini.

"Hm? Kenapa?"

"Kau patut pergi berehat sekarang."

"Oh… Hm. Ok juga tu." Kayra mengangguk. Mestilah itu yang dia mahu lagipun setelah apa yang dia lalui hari ini.

Aku dan Kayra keluar daripada bangunan ini lalu berjalan berduaan menuju ke bangunan domain. Domain ialah nama yang diberikan kepada bangunan-bangunan di mana bilik para pelajar berada. Aku akan mengiringi Kayra pergi ke bangunan domain ahli-ahli KPEA dan pelajar kehormat. Kayra merupakan salah seorang daripada tujuh ahli KPEA sekolah ini. Berbeza dengan bangunan domain pelajar lain, bangunan domain itu tampak lebih moden dan mewah sama ada di luar mahupun dalam serta sudah semestinya bilik mereka lebih besar ditambah pula dengan fasiliti dan kemudahan yang lebih baik. Aku tidak pernah masuk ke dalam bangunan domain KPEA dan pelajar kehormat kerana aku tidak rapat dengan mana-mana daripada mereka. Namun, sekarang aku berada di dalamnya.

"Perlu ke aku balik ke bilik sekarang?" Tanya Kayra ragu-ragu.

"Ya. Kau tak perlu juga pergi aktiviti kelab dan latihan sukan."

"Tapi aku risau pasal kehadiran aku." Matanya yang melilau ke sana dan ke sini menunjukkan kerisauannya.

"Kau patut fikirkan tentang diri kau sekarang. Pergi je berehat dalam bilik. Hari ni mesti dah jadi hari ni yang sukar untuk kau."

"Tapi aku rasa aku dah ok."

"Jangan tipu. Kau nangis banyak tadi."

"Tapi tu tadi."

Wah… Aku sangkakan dia akan risau dengan apa yang bakal cikgu Kamal lakukan kepadanya nanti lalu memikirkan tentangnya sehingga tidak sedar bahawa hari sudah senja. Namun, dia tidak begitu dan dia nampak lebih risau dengan penglibatan dan komitmennya di sekolah ini. Rasanya, beginilah pemikiran semua ahli KPEA dan pelajar kehormat yang terlalu mahukan markah peribadi demi menduduki ranking yang tertinggi.

"Walaupun kau dah ok sekalipun, kau tetap kena pergi bilik juga. Kau patut tenangkan fikiran kau."

"Hm… Betul juga tu." Kayra hanya mengangguk. "Sekarang, fikiran aku penuh dengan apa yang baru je berlaku tadi."

"Kau tak payah fikir banyak-banyak pasal tu sekarang. Kau boleh cakap pasal benda ni dengan aku nanti."

"Takpe, Qaz. Jangan libatkan diri kau dalam masalah aku dan aku takkan sesekali libatkan kau walaupun kau sedikit tahu tentang apa yang berlaku sekarang. Ni ialah masalah antara aku dan cikgu Kamal. Kau tak perlu membebankan diri dengan fikir pasal masalah aku dan tak perlu menyusahkan diri dengan masuk campur dalam masalah ni."

Kayra tidak menyentuh mengenai ayahnya. Jika aku menyentuh tentang itu sekarang, dia akan tahu bahawa aku mendengar perbualannya dengan cikgu Kamal tadi. Jadi, aku hanya akan menutup mulut. Berdasarkan perbualan mereka tadi, aku mempunyai idea tentang apa yang berlaku antara Kayra dan ayahnya serta keluarga cikgu Kamal.

"Jadi aku tak boleh tahu apa yang berlaku antara korang berdua?" Sebenarnya, aku mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi tentang hal ini.

"Hm… Ya. Itulah yang terbaik. Rasanya, lebih baik kau lupakan je tentang apa yang berlaku antara aku dan cikgu Kamal tadi dan tangisan aku kat kau tadi." Kayra tergelak kecil mengingatkan bahawa tidak malunya dia menangis di hadapan seorang lelaki yang dia tidak kenal. "Boleh kan?"

"Hm. Boleh."

"Baguslah." Kayra tersenyum. Walaupun fikirannya sedang dibebani dengan kejadian tadi, dia masih mampu mengukirkan senyuman. Tambahan, senyuman itu mampu mencairkan hati sesiapa pun. "Maaf sebab kita tak dapat buat program mentor mentee hari ni."

"Takpe. Tu tak penting sekarang."

"Esok kita mula ya. Boleh?"

"Hm." Aku mengangguk seperti anak yang baik. Tiba-tiba rasa malu-malu mula merasuki diri. Bsgi mengelakkan daripada tertangkap, aku menyibukkan kedua-dua mata ini dengan memandang ke sekeliling. Ruang rehat di bangunan domain ini pun sudah satu tingkat lebih tinggi daripada ruang rehat di bangunan domain lain.

"Jadi… Aku akan pergi naik ke biliklah." Ucap Kayra setelah melihat aku yang berdiri dengan kekok di hadapannya sambil mata melilau ke merata-rata. Rasanya, rasa malu dan kekok aku tidak berjaya disorok.

"Ha… Hm. Ok." Itu sahaja yang mampu aku balas.

"Pasal tadi tu…" Kayra tertunduk malu.

"Hm? Oh?" Sudah semestinya aku tidak lupa apa yang baru sahaja berlaku tadi. Aku turut tertunduk malu ditambah dengan wajah yang mula menjadi merah dan panas.

"Maaflah sebab nangis depan kau dan nangis kat baju kau."

"Hm. Aku pun minta maaf sebab…. Um… Uh…" Aku betul-betul malu untuk mengatakannya. Mahu cakap "Maaf sebab cuba peluk kau" itu berada di tahap kesukaran paling tinggi dalam kata-kata yang sukar disebut bagi aku.

"Oh. Oh." Kayra faham dengan apa yang cuba aku katakan. "Takpe. Takpe. Bila kau buat macam tu, aku terus rasa lebih tenang." Wajah Kayra juga sudah merah seperti aku.

"Oh. Baguslah." Aku tergelak kecil untuk menghilangkan rasa malu hebat yang melanda diri aku sekarang ini.

"Hm. Aku pergi dulu." Kayra pantas menuju ke arah lif lalu cepat-cepat masuk ke dalamnya.

Aku hanya melihat gelagat comel Kayra itu. Sebelum pintu lif itu tertutup, dia sempat melambaikan tangannya ke arah aku. Aku membalas lambaian itu sambil tersenyum. Aku pergi ke bangunan kelab untuk menjalani aktiviti kelab setelah sedar bahawa program mentor mentee itu telah tamat sekarang selepas melihat jam. Aku tersenyum seorang diri memikirkan tentang apa yang baru sahaja berlaku antara aku dan Kayra tadi. Namun, tiba-tiba sahaja senyuman aku hilang apabila terbayang perkara yang terjadi antara aku dan cikgu Kamal pula. Dia memang telah mengacau hari aku yang sepatutnya berbunga-bunga. Tidak lama selepas itu, aku tersenyum seorang diri kembali.

Jujur aku cakap. Pertemuan antara aku dan Kayra ketika ini seperti ini tidak termasuk dalam mana-mana senario yang aku bayangkan seharian ini. Adakah pertemuan seperti ini sebuah pertemuan yang baik? Adakah aku berjaya memberikan pandangan pertama terbaik yang aku risaukan satu hari? Jika dalam drama, pertemuan seperti ini merupakan permulaan bagi segala-galanya. Namun, bagaimana pula ceritanya dalam kisah aku?


next chapter
Load failed, please RETRY

次の章はもうすぐ掲載する レビューを書く

週次パワーステータス

Rank -- 推薦 ランキング
Stone -- 推薦 チケット

バッチアンロック

目次

表示オプション

バックグラウンド

フォント

大きさ

章のコメント

レビューを書く 読み取りステータス: C3
投稿に失敗します。もう一度やり直してください
  • テキストの品質
  • アップデートの安定性
  • ストーリー展開
  • キャラクターデザイン
  • 世界の背景

合計スコア 0.0

レビューが正常に投稿されました! レビューをもっと読む
パワーストーンで投票する
Rank NO.-- パワーランキング
Stone -- 推薦チケット
不適切なコンテンツを報告する
error ヒント

不正使用を報告

段落のコメント

ログイン