アプリをダウンロード
60% Our Tomorrow (Malay) / Chapter 15: Kertas Dan Berus

章 15: Kertas Dan Berus

HANYA kerana kejadian beberapa hari yang lepas, Shu Yan mula bertukar sikap. Tegang dan dingin. Hatinya sakit dengan kemunculan Wang Shu Nian yang merosakkan segalanya.

Sudahlah sukar untuk dia mengambil hati lelaki itu. Dengan mudah sahaja dihancurkan putera mahkota yang menyakitkan hati itu. Sakit hati dibuatnya!

"Xin Xin..." panggil Ying Hua tidak bersemangat. Sedari tadi dia hanya menongkat dagu di meja itu. Tidak tahu hendak melakukan apa.

"Ya tuan puteri."

"Shu Yan masih tak nak jumpa saya ke?" tanyanya bernada merajuk. Jari jemarinya bergerak ke kiri dan kanan di atas meja, bermain-main dengan kain alas meja itu.

Xin Xin menggeleng kepala sebagai jawapan. Wajahnya sedikit muram melihat keadaan tuannya ketika itu.

"Tuan puteri... janganlah sedih. Putera Yan mungkin perlukan masa. Lagipun Putera Yan masih layan tuan puteri dengan baik. Dia masih risaukan tuan puteri,." Xin Xin cuba memujuk.

Ying Hua mengangkat kepalanya. "Xin Xin, kalau saya panjat pokok tu sekali lagi, awak rasa Shu Yan akan datang tak?"

"Tuan puteri, janganlah!" Xin Xin menggeleng kepala ketakutan. Hanya kerana putera keempat itu masih berhati baik, dia tidak dihukum waktu itu. Dia tidak mahu mencari maut kalau hal itu terjadi sekali lagi.

"Ala... lagipun saya bukan nak terjun pun. Saya acah ajelah. Lepas tu awak buat macam hari tu." Ying Hua masih dengan idea gilanya.

"Janganlah tuan puteri. Kita tak tahu apa yang Putera Yan fikirkan sekarang. Macam mana kalau tiba-tiba Putera Yan tak ambil peduli. Xin Xin tak nak apa-apa terjadi pada tuan puteri." Xin Xin masih lagi membantah.

Ying Hua mengeluh berat. "Yelah yelah. Tapi ada betulnya juga kata-kata awak. Perangai Shu Yan sukar diduga. Saya tak nak la mati sia-sia," balasnya.

Mahu tak mahu, terpaksanya dia duduk di dalam kediaman itu dengan penuh kebosanan. Kalau dia pergi ke kediaman Shu Yan pun, dia pasti masih tidak dibenarkan masuk seperti semalam. Tidak kira berapa lama pun dia tunggu, lelaki itu masih tidak benarkan dia masuk.

Ying Hua mengeliat kecil. Kebosanannya sudah tidak dapat dibawa bincang lagi. Hidupnya hanya jalan, makan, tidur dan termenung. Hanya terperap di dalam kediaman yang sunyi sepi itu. Ada alat muzik untuk dimainkan tetapi dia sendiri tiada kebolehan itu.

Sulaman? Lingkup jadinya. Menari? Lagilah! Hendak membaca buku, dia cepat bosan. Hobi yang wujud pada zaman itu pula sememangnya bukan minatnya. Selama ini hidupnya dihabiskan sepenuhnya di hadapan laptop. Membuat design, melukis dan melayan drama.

Tiba-tiba Ying Hua tersengih kecil apabila ada sesuatu bermain di fikirannya. Dia bingkas bangun dan menepuk meja dengan kuat bersama senyuman yang begitu lebar.

"Xin Xin!"

"Ya tuan puteri." Xin Xin separuh terkejut.

"Saya nak kertas dan berus," ujar Ying Hua penuh bersemangat.

"Hah?" Xin Xin terkebil-kebil, seakan-akan menyangka dia tersalah dengar.

"Kenapa?" tanya Ying Hua bingung.

Xin Xin terkedu. "Tuan puteri nak buat apa?"

"Adalah..." jawabnya meleret bersama senyuman nakal.

Xin Xin membisu. Memandang wajah tuannya dengan penuh tanda tanya.

"Kenapa? Shu Yan tak bagi saya guna ke takut saya tulis surat pada putera mahkota?" tanya Ying Hua bengang. Iyelah, pada zaman itu mana wujud alat elektronik seperti smartphone untuk hantar mesej. Semuanya guna surat dan burung sebagai alat komunikasi.

Xin Xin menggeleng kepala. Dia tidak bermaksud begitu. Cuma ada sesuatu yang dia risau tetapi entah mengapa mulutnya tidak berani untuk bersuara tentang itu.

"Kalau macam tu pergi ambil cepat. Saya dah cukup bosan dekat sini. Saya perlukan sesuatu yang boleh mencergaskan minda." Semangat sungguh Ying Hua ketika itu.

Kenapalah dari awal dia tidak pernah terfikir tentang itu. Inilah akibatnya apabila tiba-tiba muncul di dunia yang berlainan. Otaknya tidak mampu berfungsi dengan normal. Terasa seperti sudah sebati pula dengan kehidupan di situ.

Di situ tiada laptop, tiada graphic tablet, tiada smartphone. Sebelum ini sepenuhnya dia melukis secara digital. Kenapa pula dia boleh terlupa untuk melukis secara manual. Di situ masih lagi wujud kertas dan berus. Dia masih boleh berkarya menggunakan berus dan ink.

Tiada seni dalam hidupnya bagaikan tidak lengkap. Patutlah dia selalu kebosanan. Rupanya tangannya sudah lama tidak beraksi.

"Xin Xin?" Ying Hua memanggil, cuba menyedarkan Xin Xin dari lamunan. Gadis itu dengan tiba-tiba sahaja termenung panjang.

Xin Xin tersedar lalu memandang wajah tuannya. Dia menunduk hormat sebelum berlalu dari situ. Dia perlu ke kediaman Putera Yan untuk mendapatkan barangan itu. Namun dia tidak pasti sama ada Putera Yan akan membenarkan ataupun tidak.

Dia jadi tidak sedap hati. Namun dipaksa juga hatinya untuk berfikiran positif.

********************

SHU Yan hanya menghantar pandangan ke arah Xin Xin yang sudah keluar dari kediamannya. Dia melihat Yuan Zhen sudah berdiri di muka pintu. Wajah itu seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Ada apa Xin Xin datang? Ada yang tak kena ke?" tanya Shu Yan lalu duduk di tempatnya.

Yuan Zhen menggeleng kepala. Pun begitu dia masih tidak mampu untuk membuang perkara itu daripada fikirannya. Ketika dia ingin menyuarakan hal itu, putera keempat itu terlebih dahulu bersuara.

"Apa yang Xiao Hua lakukan sekarang?"

Sudah beberapa hari dia tidak bertemu dengan wanita itu. Kedatangan Xiao Hua ke kediamannya juga tidak disambut. Dia sememangnya sengaja menjarakkan diri dari Xiao Hua. Amarahnya terhadap apa yang berlaku masih belum reda. Baru sahaja dia memberi peluang, kedatangan Shu Nian menambahkan lagi api kemarahannya.

Masih kedengaran di telinganya mendengar leteran Xiao Hua dari pintu utama kediamannya kerana tidak dibenarkan masuk. Dia masih memekakkan telinga walaupun hatinya cukup membara.

"Xin Xin beritahu Puteri Yan hanya duduk di dalam kediaman. Tak keluar ke mana-mana. Cuma..."

"Cuma apa?" Mata Shu Yan sudah merenung wajah Yuan Zhen. Dari tadi dia seperti menghidu sesuatu.

"Puteri Yan mahu kertas dan berus."

Kata-kata Yuan Zhen membuatkan Shu Yan tergamam. Dia yakin dia tidak salah dengar. Dia tahu Yuan Zhen takkan pernah memberi maklumat yang salah. Kedatangan Xin Xin akhirnya mendapat jawapan.

"Xin Xin datang minta berus dan kertas. Muka dia nampak risau. Rasanya Puteri Yan benar-benar tak ingat apa yang berlaku. Dia tak berpura-pura, tuan muda," ujar Yuan Zhen pantas. Dia yakin putera keempat itu lebih memahami maksudnya.

"Saya beritahu Xin Xin, orang gaji di sini akan hantarkan barang tu ke sana selepas dapat kebenaran tuan muda," sambung Yuan Zhen lagi.

Sewaktu Xin Xin datang ke kediaman itu, putera keempat baru sahaja sedang membersihkan diri. Kerana tidak mahu Xin Xin menunggu lebih lama, dia menyuruh gadis itu pulang ke kediaman terlebih dahulu. Lagipun dia bimbang andai Puteri Yan cuba membuat sesuatu di luar jangkaan.

Shu Yan membisu. Dia mungkin masih menganggap Xiao Hua berpura-pura hilang ingatan biarpun sekadar berubah sikap. Baginya Xiao Hua boleh berlakon untuk dapatkan apa sahaja. Tetapi perihal barangan itu, dia setuju dengan kata-kata Yuan Zhen. Wu Xiao Hua tidak ingat apa yang berlaku. Dan Xiao Hua tak mungkin berpura-pura.

"Hantarkan set alat tulis ke kediaman Xiao Hua." Shu Yan akhirnya memberi arahan.

"Tapi tuan muda..." Yuan Zhen cuba mencelah.

"Ini adalah masa untuk lihat kebenarannya," potong Shu Yan tegas.

Yuan Zhen menunduk hormat. Dia tidak mampu melawan arahan putera keempat itu. Apa pun keputusan tuannya, dia hanya menurut. Pasti ada rancangan yang baik disebaliknya.

"Shu Xian macam mana? Dia masih tak mahu bercakap dengan saya?" Shu Yan menukar topik. Kelibat adiknya sudah lama tidak kelihatan selepas pertengkaran lalu. Nampaknya Shu Xian benar-benar marahkannya.

"Putera Xian tiada di kediaman Xian. Seperti biasa tuan muda, Putera Xian menghabiskan masa dengan bacaannya. Mungkin beberapa hari lagi, Putera Xian akan pulang. Itu sahaja cara untuk Putera Xian sejukkan hatinya. Nanti dia akan datang jumpa tuan muda semula." Yuan Zhen cuba meredakan hati putera muda itu dengan pujukan lembut.

Shu Yan hanya mengangguk. Akan tetapi dia tidak pasti sama ada Shu Xian masih mahu memaafkannya ataupun tidak. Amarah Shu Xian kali ini bukan sebarangan. Namun dia mengharapkan dua beradik mereka tidak terlibat dalam pergaduhan yang berpanjangan. Cukup sahaja dia perlu menghadap putera sulung yang sememangnya tidak pernah sehaluan dengannya itu. Dia tidak sanggup pula kehilangan Shu Xian yang banyak meluangkan masa bersamanya.

********************

KUSYUK Ying Hua menghabiskan lukisannya. Dia tidak pasti berapa lama dia duduk tanpa bangun dari tempatnya. Sememangnya sudah perangainya begitu. Mula sahaja memegang berus, dia takkan peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Kadangkala makan pun dia tak ingat. Apa-apa yang berkaitan dengan seni, dia akan jadi seseorang yang duduk di dunianya sendiri.

Hatinya puas melihat hasil lukisannya. Sentuhan terakhir itu melengkapkan seluruh lukisannya. Terasa begitu lama dia tidak melukis secara manual. Pun begitu, skillnya masih tetap sama. Kepuasan melukis sememangnya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Dia meletakkan berus di tepi lalu mengangkat kedua tangannya seperti merenggangkan otot-otot tubuhnya terutamanya pada tangannya.

"Dah siap!" ujar Ying Hua sedikit ceria. Kalau setiap hari dia menghabiskan masa dengan melukis, sudah tentu hidupnya tidak akan bosan lagi. Lebih menarik lagi, mungkin dia boleh cari duit dengan lukisan-lukisannya.

Sewaktu ke pekan hari itu, dia ada melihat satu gerai yang menjual lukisan. Kalau setiap hari dia melukis, rasanya dah boleh lawan pelukis yang hebat. Silap-silap namanya disebut-sebut pula.

Ying Hua tersengih sendirian. Jauh benar dia berangan-angan. Tapi kalau diiikutkan kemahirannya boleh tahan juga. Apa salahnya menggunakan kelebihannya itu untuk perkara yang baik. Apatah lagi hidup di dunia asing itu.

'Ying Hua oh Ying Hua. Kau dengan kerja memang sukar untuk dipisahkan. Kat sini pun kau masih sibuk fikir pasal duit, pasal kerja,' desis Ying Hua sendirian sambil menggeleng kepala dengan telatahnya sendiri.

Xin Xin muncul bersama secawan teh di tangannya lalu diletakkan di atas meja belajar itu. Matanya sempat mengerling ke arah lukisan yang terbuka di hadapan matanya itu.

"Xin Xin, macam mana?" tanya Ying Hua ceria sambil membuat isyarat matanya ke arah lukisan tangannya itu.

Tema lukisan yang pertama hari ini adalah pemandangan. Dia melukis gambar kawasan kediaman Yan. Lebih tepat lagi adalah kawasan melepaknya di tepi kolam itu. Hampir setiap hari dia berada di situ. Cukup hanya dengan memori, dia sudah boleh melukis kawasan itu dengan baik.

Di satu sudut kolam itu terdapat satu titi kayu. Ada satu pondok kecil berdekatan kolam itu. Tetapi dia selalu duduk di atas tanah untuk melihat ikan-ikan yang berenang dengan lebih dekat. Biarpun lukisan itu hanya menggunakan dakwat hitam tetapi masih lagi nampak indah.

Mata Xin Xin menatap hasil lukisan itu. Tidak perlu diberitahu pun, dia sudah tahu apa yang digambarkan itu. Cumanya dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

Lidahnya kelu untuk bersuara. Bukan kerana lukisan itu begitu cantik tetapi ada sesuatu yang membuatkan dia keliru. Tidak dinafikan tuan puterinya itu sangat berbakat dalam melukis. Dari kecil tuannya banyak menghabiskan masa dengan melukis. Cuma sekarang perkara itu mengejutkan buatnya.

"Xin Xin?" Ying Hua menegur apabila melihat Xin Xin masih membisu.

"Ya tuan puteri." Xin Xin tersedar. Dia memandang wajah tuannya. Masih tersenyum manis mungkin kerana terlalu gembira setelah dapat melukis.

"Kenapa? Lukisan saya tak cukup cantik ke?" tanya Ying Hua. Dia menilik semula lukisannya. Adakah kurang cantik kerana tidak berwarna?

Xin Xin tersenyum kecil. "Tak. Lukisan tuan puteri sangat cantik. Sudah lama tuan puteri tak melukis. Tapi hasilnya masih lagi mengaggumkan."

"Emm?" Ying Hua sudah berkerut dahi. Sudah lama tak melukis? Maksudnya Xiao Hua juga suka melukis. Dia benar-benar tidak sangka rupanya mereka berdua ada persamaan.

"Hampir 5 tahun..." ujar Xin Xin perlahan. Dia terasa sebak memikirkan tentang itu. Lebih sebak apabila seseorang yang sudah lama tidak melukis kini sudah mula melukis semula.

Ying Hua terkedu. "Kenapa?"

"Sebab tuan puteri cakap melukis mengingatkan tuan puteri pada kebakaran tu," ujar Xin Xin yang masih berdiri di hadapan tuannya dengan penuh emosi.

"Kebakaran?" Ying Hua masih bingung. Ada kisah disebalik itu yang dia masih belum tahu.

Xin Xin merapati tuannya dan duduk di hadapannya. Kedua tangan tuannya dicapai dan digenggam perlahan. Wajahnya sedih memandang wajah tuannya yang masih tidak tahu apa-apa itu. Perlukah dia memberitahu segalanya? Bagaimana kalau tiba-tiba tuannya jadi seperti selepas kemalangan itu? Dia risau.

"Xin Xin... saya nak tahu apa yang terjadi. Kebakaran tu..." Entah mengapa saat itu dadanya terasa sebak. Mendengar perkataan kebakaran, mindanya bagaikan terbayang sesuatu. Namun dia tidak pasti mengapa bayangan itu perlu wujud di mindanya. Kalau itu cuma kisah Xiao Hua, mengapa muncul di mindanya?

"Xin Xin tak nak tuan puteri sedih." Xin Xin menggeleng kepala. Dia tidak mahu tuannya bersedih kembali. Kalau bukan kerana putera keempat, mungkin tuannya tidak boleh hidup seperti sekarang.

"Kebakaran kediaman Wu berlaku 5 tahun yang lepas, tiada siapa pun yang tahu macam mana boleh terjadi. Waktu tu hanya tuan puteri sahaja terselamat kerana tuan puteri tiada di kediaman Wu. General Wu, Puan Wu dan tuan muda Wu, abang tuan puteri terkorban dalam kebakaran tu," cerita Xin Xin perlahan.

Walaupun sudah 5 tahun berlalu tetapi bayangan kebakaran itu masih segar di mindanya. Dia dan tuannya berjalan dengan penuh kegembiraan untuk pulang ke kediaman. Namun mereka dikejutkan dengan sekumpulan manusia yang begitu ramai mengelilingi kediaman Wu. Asap tebal yang menghitam itu membuatkan mereka sedar ada sesuatu yang berlaku di kediaman Wu.

Ying Hua membisu. Rupanya Wu Xiao Hua ada kisah tragisnya sendiri. Seluruh keluarganya terkorban dalam kebakaran.

"Jadi apa kena mengena kebakaran dengan melukis?" Dahi Ying Hua berkerut. Adakah kerana tangan wanita itu cedera sehingga tidak mampu melukis lagi?

"Sebab masa kebakaran tu, tuan puteri keluar beli alat lukisan dengan Xin Xin. Sebab itu jugalah hanya tuan puteri sahaja yang terselamat. Semenjak dari tu, tuan puteri tak pernah melukis lagi. Malah tuan puteri juga tak pernah pegang berus selepas kejadian tu. Jangankan melukis, menulis pun tidak."

Xin Xin tahu kalau dia tidak bercerita pun, lambat laun tuannya akan tahu kebenarannya. Jadi lebih baik dia memberitahu hal yang sebenar.

Ying Hua membisu. Begitu sedih dia mendengar kisah hidup Xiao Hua yang dia tidak pernah tahu itu. Dia fikir Xiao Hua masih ada keluarga di luar sana. Rupanya Xiao Hua keseorangan, hanya ditemani Xin Xin semata-mata.

Air jernih yang mengalir di pipinya membuatkan dia tersedar. Tangannya menyapu perlahan air mata itu. Mengapa hatinya terlalu sedih biarpun bukan dia yang melaluinya.

"Tuan puteri..." Xin Xin mengeratkan lagi genggaman itu.

"Jadi saya hidup seorang diri waktu tu?" tanya Ying Hua lagi. Dadanya makin terasa sesak. Mengapa? Namun apabila difikir semula, kali pertama dia memegang berus itu, hatinya begitu pedih dan dadanya seperti dicucuk-cucuk tanpa sebab. Rupanya ada kisah di sebalik itu.

Wu Xiao Hua tidak pernah melukis apatah lagi memegang berus selepas kejadian itu. Dia bukan Xiao Hua tetapi mengapa dia merasakan apa yang Xiao Hua rasa?

Xin Xin menggeleng kepala sebagai jawapan pada soalan tuannya itu. Bibirnya tersenyum tetapi seperti senyuman pemberi kekuatan.

"Putera Yan sangat sayangkan tuan puteri. Kalian berdua berkawan sejak kecil dan suka sama suka. Waktu tu Putera Yan yang sudi jadi ahli keluarga tuan puteri. Kemudian disatukan dalam ikatan perkahwinan. Putera Yan beri sepenuh perhatian kepada tuan puteri. Sayang dia pada tuan puteri melebihi segalanya. Waktu itu semua orang cemburukan kebahagian tuan puteri. Di wilayah Shuxia, tuan puteri adalah wanita yang paling bertuah." Cerita Xin Xin panjang lebar.

Ying Hua membisu. Ya. Wu Xiao Hua adalah wanita yang paling bertuah. Tapi sayangnya, tidak pernah hargai apa yang 'dia' dapat.


next chapter
Load failed, please RETRY

週次パワーステータス

Rank -- 推薦 ランキング
Stone -- 推薦 チケット

バッチアンロック

目次

表示オプション

バックグラウンド

フォント

大きさ

章のコメント

レビューを書く 読み取りステータス: C15
投稿に失敗します。もう一度やり直してください
  • テキストの品質
  • アップデートの安定性
  • ストーリー展開
  • キャラクターデザイン
  • 世界の背景

合計スコア 0.0

レビューが正常に投稿されました! レビューをもっと読む
パワーストーンで投票する
Rank NO.-- パワーランキング
Stone -- 推薦チケット
不適切なコンテンツを報告する
error ヒント

不正使用を報告

段落のコメント

ログイン