[Lincar, Si Penyembelih] (Tembaga Hijau)
Tahap: 25
HP: 250k
"Harap-harap bos ini mempunyai kemahiran yang sama seperti Penjaga Rangka tadi." kata Zhang Yang. "Serangan Penjaga Rangka Elit tadi kuat, tapi tidak membunuh. Tapi bila dibandingkan dengan bos ini… lain ceritanya…"
"Alahai… Nampaknya beban jatuh pada aku lagi!" Si Salji mengenyitkan matanya ke arah Zhang Yang. "Lepas kita selesai nanti, aku harap kau belanja aku satu sesi rawatan spa yang menenangkan!"
Mata Han Gemuk bersinar-sinar!
"Aku nak ikut sekali!" Dia mengangkat tinggi tangannya yang gemuk itu.
Drizzler merengus dan berkata, "Abang gemuk, kau patutnya bukan ke spa, tapi ke gim!"
"Hmph! Aku bersenam setiap hari! Bila kau sebut tentang ini, aku teringat masa aku di sebuah gim dan sedang bersenam, pasti akan ada gadis yang merenung punggungku yang seksi ini. Argh, segan aku dibuatnya!"
"Yalah itu! Macamlah betul begitu! Mungkin dalam mimpi kau saja!" Drizzler tertawa dan yang lain-lain turut tertawa sekali.
"Baik, kita mulakan!" Zhang Yang mengeluarkan pedangnya.
Zhang Yang berjalan beberapa langkah memasuki jarak aggro dan menarik perhatian bos itu. Rangka gergasi itu mendengus dengan bunyi kuat dan dalam dan seluruh gua itu bergegar kerana kuatnya bunyi tersebut. Soket matanya bernyala dengan cahaya api berwarna hijau zamrud.
Lincar, Si Penyembelih, mengeluarkan pedangnya dan beraksi seperti Penjaga Rangka tadi dengan mengheret pedangnya di lantai lalu mengeluarkan percikan cahaya.
Zhang Yang cepat-cepat mengelak dan melompat ke bahagian yang lain. Nasib baik serangan itu tidak mengaktifkan kesan <Kejutan Elektrik>.
Pertarungan bermula apabila bos itu membuka rahangnya untuk berkata-kata.
"SEMUA. YANG. HIDUP. MESTI. MENJADI. DEBU!" raung Lincar sambil ia menghayun pedangnya ke arah Zhang Yang.
"Ish! Bos yang bercakap banyak akan cedera teruk!" Han Gemuk ketawa.
"Hehe! Bos punggung besar! Bagi aku semua peralatan kau!" Drizzler turut tertawa.
"Muahah! Betul itu! Baik kau dengar cakap si kecil Drizzler ini!"
Lincar, Si Penyembelih, yang merupakan program komputer itu tidak bercakap atau membalas apa yang pemain katakan kerana ia tertumpu kepada satu tugasan iaitu membunuh pemain sebanyak mungkin.
Lincar mengheret dan mengangkat tinggi pedangnya. Belum sempat Zhang Yang mengelak serangannya yang begitu ketara itu, satu cahaya biru terkena padanya dan satu kejutan elektrik membuatkan dirinya terus kaku! Zhang Yang langsung tidak dapat bergerak termasuk jarinya!
'-160!'
'-748!'
Zhang Yang mengalami dua serangan terus daripada bos itu dengan satu serangan dengan kerosakan kecil daripada <Kejutan Elektrik> dan satu serangan dengan kerosakan besar daripada serangan normal.
Zhang Yang berasa kecewa. Dia sedar yang dia telah mengalami lebih 700 mata kerosakan, walaupun dengan kemahiran pengurangan 20% kerosakan dan status 70 mata Pertahanannya. Ini bermaksud kerosakan besar bos ini mencapai 1,000 mata kerosakan!
"Ha! HA! HAAA! MANUSIA. KERDIL. YANG. LEMAH." Lincar berkata-kata dengan gaya yang aneh dengan sepatah perkataan yang disebut perlahan pada satu-satu masa. Setiap suku kata ditekankan. Tiba-tiba, matanya yang bercahaya hijau zamrud itu bersinar terang dan pedang di tangannya berapi dengan cahaya hijau zamrud yang sama.
'Ding! Lincar, Si Penyembelih, telah menggunakan <Serangan Roh>. Semua serangan jarak dekat akan mempunyai 30% serangan Bayangan tambahan. Berterusan selama seminit!"
"Tak guna! Kuatnya ia!"
"MATILAH!" Lincar, Si Penyembelih, berteriak sambil menghayun pedangnya yang membelah udara dan meninggalkan kesan api hijau zamrud.
Zhang Yang bergerak ke sana ke mari dan mengelak serangan yang boleh dielak serta menggunakan <Hadangan> untuk serangan yang tidak boleh dielak. Walaupun serangan pedang itu boleh dihadang dengan mudah menggunakan <Hadangan>, dia tidak dapat menghadang penuh kerosakan memandangkan <Hadangan> tidak dapat membatalkan kerosakan Bayangan yang dibawa serangan itu. Setiap kali pihak musuh itu menghayun pedangnya, Zhang Yang pasti akan menerima lebih kurang 50 mata kerosakan Bayangan.
"Serang laju lagi!" Zhang Yang menjerit.
Bzz!
Terpancar satu sinaran cahaya biru dan Zhang Yang terkena lagi <Kejutan Elektrik>. Zhang Yang yang kaku dan tidak mampu melakukan apa-apa telah dikelar tiga kali oleh bos itu.
'-160!'
'-250!'
'-767!'
Si Salji dengan pantas menyembuhkan Zhang Yang sebaik mungkin kerana dia tidak mahu Zhang Yang mati!
"HAHAHA! Lemah! Menjerit dan meraunglah kerana pedangku ini!" Selepas beberapa kali berkata-kata, bos itu akhirnya boleh menuturkan sebuah ayat lengkap. Ia kemudian mengangkat pedangnya ke dahi dan satu palang perkembangan tiba-tiba muncul di atas kepalanya!
Han Gemuk dan Ratusan Tembakan terus menembaknya dengan <Tembakan Membisukan> tanpa berlengah-lengah sebelum sempat Zhang Yang mengingatkan mereka.
'Kebal!'
"Tak guna! Apa yang dia akan buat?!" Han Gemuk menggumam.
Kemahiran itu mengambil masa 3 saat untuk dijampi dan tidak terlalu panjang atau pendek, tetapi yang benar-benar memeranjatkan mereka ialah apabila ada sebiji meteor besar yang tiba-tiba muncul dari langit dan menghempap Zhang Yang dan Drizzler.
BOOM!
'-2,500!'
'-2,000!'
'Ding! Pemain Drizzler telah mati!'
'Ding! Pemain Zhang Yang telah mati!'
"Jahanam! Kuasa apa ini!" Fatty Han terpaku melihat HP bos itu yang masih berbaki 73% dan dia hilang semangat untuk bertarung dan akhirnya memilih untuk menyerah kalah.
Seluruh pasukan itu terbunuh dalam sekelip mata.
"Tank noob! Macam mana kau dan Drizzler boleh mati?" Si Salji bertanya kepada Zhang Yang apabila mereka muncul di tanah perkuburan.
Zhang Yang dengan segera merujuk dan memeriksa log pertarungan.
'Anda telah mengalami 2,000 mata kerosakan Api (500 mata ditolak daripada kerosakan) daripada <Serangan Meteor>.'
Drizzler juga memeriksa lognya dan mendapati dia turut mengalami 2,500 mata kerosakan daripada kemahiran yang sama.
"Macam mana kita nak tewaskan bos ini?" soal Han Gemuk. Dengan hanya 1,900 HP, sedangkan Zhang Yang sendiri tidak mampu berdepan dengan kemahiran tersebut.
"Kita boleh… Si Salji perlu pulihkan kita sepenuhnya semasa kemahiran <Serangan Meteor> itu dijampi dan juga perlu menjampi <Perisai Suci>!" Zhang Yang membalas.
Serangan ajaib Si Salji telah melebihi 300 dan <Perisai Suci>nya boleh menyerap sehingga 600 mata kerosakan. Ketahanannya boleh membantu meningkatkan had maksimum HP seseorang!
Selepas pasukan itu bangkit semula dan pulih sepenuhnya, bos itu kembali ke kedudukannya sebelum ini dan berdiri kaku seperti sebuah patung.
Seminit kemudian, mereka semua telah pulih sepenuhnya.
"Budak kecil, aku mahu kau beri perhatian. Bila bos itu mula membaca jampi kemahiran, kau mesti berundur secepat mungkin!" kata Zhang Yang.
"Okey!" Drizzler mengangguk.
Zhang Yang berjalan ke hadapan dan memulakan pertarungan.
90%, 80%... Keadaan memuaskan setakat ini…
Tiba-tiba, bos itu berkata-kata dengan lancar dan mula membaca sebuah jampi. Drizzler dengan segera berganjak dari kedudukannya pada waktu itu. Jampi itu mengambil masa 3 saat untuk dibaca dan itu memberi waktu yang cukup baginya melarikan diri ke tempat yang selamat jika dia bertindak balas dengan pantas.
BOOM!
Bos itu telah melengkapkan jampinya dan sebuah batu besar jatuh dari langit dan menghempap kepala Zhang Yang.
'-3,386!'
Zhang Yang rebah ke tanah dan hangus terbakar.
'Ding! Pemain Zhan Yu telah mati!'
"Manusia kerdil yang lemah! Kamu semua akan mati!" Lincar mula mengganas dan membunuh mereka semua sebelum sempat mereka bertindak balas.
"Argh… tewas lagi! Kita sudah dua kali dibunuh!" Si Salji mengeluh.
"Kenapa kerosakan itu meningkat?!" Han Gemuk bertanya.
Zhang Yang sekali lagi merujuk kepada log pertarungan kerana dia juga ingin tahu puncanya.
'Anda telah mengalami 3386 mata kerosakan Api (1,000 mata ditolak daripada kerosakan, 614 mata kerosakan diserap <Perisai Suci>) daripada <Serangan Meteor>.'
Zhang Yang membuat perkiraan dan akhirnya memahami perkara sebenarnya tentang kemahiran tersebut! Jumlah kerosakannya tetap 5,000!
"Kau semua! Aku sudah faham! Kemahiran bos ini ada jumlah kerosakan tetap! Jumlahnya tetap 5,000 mata kerosakan. Jika kemahiran itu terkena kepada sesiapa dalam kawasan itu, kerosakannya akan dibahagi sama rata kepada semua orang!"
Pertama kali mereka terkena serangan kemahiran tersebut, kedua-dua Zhang Yang dan Drizzler mengalami 2,500 mata kerosakan setiap seorang. Kali kedua mereka terkenanya, Zhang Yang telah menerima kesemua 5,000 mata kerosakan kerana dia seorang sahaja yang merupakan tank kemahiran tersebut ketika itu! Sebab itulah dia terbunuh!
Setelah dia memahami mekanisma bos tersebut, dia boleh merancang cara untuk mengatasinya.
"Kau semua! Kita tukar rancangan! Bila bos itu mula membaca jampi kemahiran tersebut, aku mahu kau semua berkumpul di kedudukan aku! Kalau kita berlima, semua akan mengalami hanya 1,000 mata kerosakan! Jika Si Salji boleh menjampi lebih awal <Pertumbuhan Semula> untuk kita, kita akan pulih semula dalam sekelip mata!"
"Aku setuju!"
"Okey!
Mereka semua bersetuju dan dengan segera bangkit semula serta memulihkan diri mereka sendiri.
"Ayuh!"
Zhang Yang memulakan pertarungan.
"Bunuh bos ini!"
Mereka semua turut sama bertarung selepas Zhang Yang mengaktifkan <Serangan>nya.
Pertarungan dengan bos itu bermula buat kali ketiga dengan perkembangan yang perlahan dan dengan bos tersebut yang perlahan-lahan kehilangan HPnya.
90%, 80%, 70%!
Lincar mengangkat pedangnya dan membaca jampi.
"Semua! Berkumpul!" Zhang Yang dengan segera memanggil semua. Dia memusingkan badannya dan berlari ke belakang sementara Si Salji dan pemain jarak jauh berlari ke arahnya. Apabila mereka semua telah berkumpul, Si Salji cepat-cepat menjampi <Pertumbuhan Semula> untuk mereka semua.
BOOM!
Sebuah meteor besar jatuh dan mereka semua mengalami kerosakan.
'-1000!'
'-1000!'
'-1000!'
'-1000!'
'-800!'
Selepas Lincar menggunakan kemahirannya, ia mendengus dan kembali menyerang Zhang Yang.
Zhang Yang sekali lagi menggunakan <Serangan> dan terus menyerang.
"Kakak, lelaki bernama Lu hubungi kita sekali lagi dan dia kata dia akan datang beberapa hari ini!" kata Drizzler sambil dia menghayun senjatanya ke arah bos tersebut.
"Apa?!" Si Salji naik berang. "Macam mana dia boleh tak tahu malu sebegitu?!"
"Hehe! Memang tak boleh dibantu sebab kau cantik sangat. Lelaki itu tak akan berhenti sebab dia macam seekor lalat!" Drizzler tertawa.
Si Salji menggenggam penumbuknya. "Hmph hmph… Kalau lelaki itu cuba buat apa-apa, aku akan tumbuk muka dia! Berlagak betul dia itu! Dia ingat semua gadis akan bersujud di kakinya hanya sebab dia muda dan kacak! Pui! Menyampah aku!"
Han Gemuk terus menyampuk. "Si Salji! Beritahu aku siapa lelaki tak guna yang berani ganggu kau itu! Aku sendiri akan pukul dia sampai lunyai!"
"Si Gemuk miang! Kalau kau datang membantu, bukankah itu dikira kuda Trojan yang dikenakan atas diri sendiri? Mengundang bahaya ke rumah sendiri?" gelak Drizzler.
"Hmph! Aku ini seorang lelaki yang mempunyai maruah dan harga diri! Orang ramai memanggil aku Raja Arthur yang Jujur! Kau ingat aku akan buat perkara yang tak bermaruah sebegitu?!"
"Jahanam! Diamlah dan terus bergerak!" Zhang Yang berteriak. Bos tersebut akan menggunakan kemahirannya sekali lagi.
Semua orang serta-merta berhenti berbual dan berlari ke arah Zhang Yang untuk berkongsi bebanan kerosakan daripada <Serangan Meteor>. Dengan hanya 30% HPnya yang tinggal, kematian bos tersebut semakin mendekatinya.
"Betul itu, kalau keadaan di luar kawalan kau, kau boleh panggil Han Gemuk untuk bantuan!" kata Zhang Yang. Dia meletakkan harapan yang tinggi ke atas kedua-dua gadis ini untuk Liga Profesional dan tidak mahu apa-apa yang buruk terjadi kepada mereka!
Zhang Yang tidak ingat jika dia pernah ternampak nama Si Salji atau Drizzler dalam kehidupannya yang lepas. Dia berasa yang ada kemungkinan mereka ditimpa nasib malang yang menyebabkan mereka tenggelam di kalangan pemain lain. Namun, Han Gemuk memang boleh diharapkan kerana dia agak terkenal di kalangan masyarakat di sekelilingnya. Setiap kali dia menyatakan sesuatu, orang akan menurutinya, atau dalam kes kedua-dua gadis tersebut, lelaki yang mengganggu itu akan menggigil ketakutan.
Si Salji menggeleng kepalanya dan terus menggenggam penumbuknya. "Tsk tsk tsk… Kakak sepupu kau ini pemegang Tali Pinggang Hitam Karate. Kau ingat mudah untuk lelaki itu menyakiti aku?"
Sementara mereka meneruskan perbualan, bos itu sekali lagi menggunakan kemahiran <Meteor> tidak lama selepas HPnya menurun ke 5%.
Apabila bos itu mati, ia memberi mata pengalaman yang sangat banyak sehingga Zhang Yang, Ratusan Tembakan, dan Han Gemuk naik satu tahap.