Aubree dan Issac tiba di sebuah sungai yang jernih setelah mereka keluar dari kawasan pergunungan dengan tumbuhan berbunga. Aubree tidak menyangka pula kalau tempat di kawasan Menara Kristal luas.
Aubree tidak pernah pergi ke tempat ini sebelum ini. Kalau dia tahu ada banyak tempat indah di kawasan ini, hari-hari Aubree akan datang mengunjungi semua lokasi ini.
Tapi kerana Aubree sangat sibuk dan malas mahu pergi jauh-jauh, baru hari ini dia tahu tempat-tempat ini.
Ketika tiba di tepi sungai, Aubree mendekati tepi sungai dan memandang ke dalam air. Saat melihat keadaan air yang jernih, Aubree terlopong gembira.
'Kalau di dunia lama, sungai yang mengalir dngan jernih seperti ini sudah tidak wujud!'
Ditambah lagi keadaan air sungai yang berkilat saat terkena pancaran matahari. Pemandangan ini mungkin sudah hilang kalau di dunia lama Aubree.
"Wah, jernihnya!" sebut Aubree dengan perlahan.
Issac hanya memerhati Aubree sambil berdiri di tepi sebuah batang pokok. Dia sedang menyandar pada batang pokok itu dengan sebelah bahu kanan saja.
Melihat kepada keadaan air yang jernih itu membuatkan Aubree teringin hendak berenang di sana. 'Oleh sebab di dunia ni tak ada kolam renang, berenang di sungai yang cantik ni pun boleh jadi!' gumam Aubree dalam hati.
Aubree menggerakkan kepalanya menghadap ke arah Issac. "Kau rasa ada yang akan marah kalau saya masuk dalam air ni?"
Issac memandang ke arah permukaan air sungai dengan wajah tenang. Lalu dia menoleh pula ke arah Aubree. "Kau nak berenang di dalam sungai tu?"
Aubree memandang ke arah sungai lagi. "Mungkin saya akan berenang di sungai ni kalau kawasan ini bukan kawasan larangan..."
"Tiada yang akan datang ke tempat ini. Kawasan sungai ni jauh dari tempat-tempat latihan lain. Kau tidak perlu risau kalau ada Elf yang datang dan mengintip kau mandi."
Aubree terus menutup badannya dan memandang Issac dengan raut wajah tidak selesa. "Kau sajalah lelaki yang ada di sini!"
Issac sekadar tersenyum dan menggelengkan kepalanya. "Kau boleh buat apa saja yang kau suka. Tiada Elf yang akan tahu apa yang kau buat di sini. Termasuk Ahli Sihir Yang Tertua..."
Aubree yang mendengar pernyataan itu menjadi sangat teruja. Tapi dia tidak mahu terjun terus ke dalam air sekarang memandangkan Issac masih ada di sini. Dia akan datang di kemudian hari dengan membawa White atau Diani saja.
"Lain kali sajalah," jawab Aubree perlahan.
Issac juga tidak memaksa Aubree. Dia sekadar tersenyum kecil dan berjalan merapati Aubree yang masih berada di tepi sungai.
Aubree sekadar memerhati perlakuan Issac.
Issac berhenti di sebelah Aubree dan memusingkan badannya sehingga dia berhadapan dengan Aubree. Aubree juga ikut pusing dan kini mereka saling berhadapan.
Issac tidak mengatakan apa-apa selain daripada memerhati ke anak mata Aubree yang berwarna merah itu.
"Boleh saya lihat anak mata hitam kau lagi?" tanya Issac.
Wajah Aubree berubah menjadi seribu kerutan saat mendengar pertanyaan Issac yang dirasakan tidak masuk akal itu.
"Kenapa kau nak tengok mata hitam saya pula?"
Issac tersenyum lebar, menyembunyikan seribu satu makna di sebalik senyuman itu. "Saya berjumpa dengan kau pertama kali sebelum kau menggantikan anak mata kau jadi warna merah. Sebenarnya, saya lebih suka tengok warna mata hitam itu daripada warna mata kau yang sekarang..."
Aubree terkesima. Sungguh dia tidak menyangka perkataan itu yang keluar dari mulut Issac.
"Semua Elf yang melihat mata ini sama ada membenci saya atau merasa geli dengan mata hitam saya. Sebab itu kenapa saya mengubah warna mata saya. Kenapa... Kenapa pula kau berkata yang kau suka dengan warna mata saya yang berwarna hitam?" tanya Aubree dengan raut wajah yang tertanya-tanya.
"Mereka berkata yang mata hitam saya ini membawa keburukan atau membuatkan sesiapa saja yang melihat mata saya akan terkena kutukan keras. Kau tidak takut?"
Issac mengangkat tangannya dan menyentuh rambut Aubree yang panjang dengan lembut. "Saya tidak pernah percaya gosip-gosip tentang kau sebab saya tidak pernah gunakan gosip itu untuk menilai seseorang. Cukuplah saya mengenali kau secara langsung begini. Kau tidak perlu ubah apa-apa pada diri kau. Cukup jadi diri kau sendiri saja. Siapa tahu mata hitam kau itu bukannya sesuatu yang membawa keburukan tapi malah sebaliknya..."
Aubree masih memerhati Issac ketika lelaki itu bercakap tanpa henti.
"Takkan kau tidak percaya sedikit pun dengan diri kau sendiri?"
Aubree terkedu dan mindanya mula bercelaru. 'Mestilah bukan saya yang tidak percaya diri tapi malah pemilik sebelum ini yang mempunyai kepercayaan diri yang terlalu rendah. Dia tidak dapat melawan hanya kerana dia menganggap dirinya sebagai seseorang yang lemah dan membawa keburukan kepada orang lain.'
"Kau harus lebih percayakan diri kau dan terus terbangkan sayap kau. Sekarang kau sudah pun jadi kuat. Kau sudah berbeza dari yang sebelum ini. Apa yang Elf lain nampak pada diri kau sebelum ini sudah hilang dan digantikan dengan diri kau yang sekarang. Kau patut berbangga dengan pencapaian diri kau,"kata Issac lagi.
"Saya tahu... Saya juga tidak kisah sangat jika ada Elf lain yang suka bercakap buruk pasal di belakang saya," jawab Aubree.
Issac menurunkan tangannya, tidak lagi menyentuh rambut Aubree seperti tadi.
"Tetaplah berjuang, Aubree. Suatu saat, bila tiba masanya, kita akan berjuang bersama-sama mengalahkan Raja Kegelapan. Saya akan mendampingi kau sehingga ke akhir masa!"
Saat itulah, Aubree teringat akan nasihat yang pernah diberikan kepada Aubree oleh ayahnya di dunia terakhir. Ayah Aubree selalu memberi semangat kepada Aubree untuk terus berjuang walaupun serumit mana keadaan dia saat itu.
Kerana mengingati memori tentang ayahnya, senyuman kecil pun muncul di wajah Aubree. Tanpa dia sedari, senyuman yang ditunjukkan oleh Aubree kepada Issac saat ini adalah sebuah sentuhan bahagia dan tidak pernah Issac lihat sebelum ini.
Pada saat itu juga, Issac tahu hatinya sudah terpaut pada gadis itu. Sejak awal ketika Issac melihat Aubree, dia tertarik untuk melihat gadis itu yang terlihat mencurigakan. Dia tidak pernah menyangka yang pada hari ini, dia sudah jatuh sayang terhadap dia.
Sayangnya, ketika Issac menyedari tentang perasaan hatinya, masa untuk mereka berdua meluangkan masa bersama sudah suntuk.
Issac harus kembali ke Kerajaan Timur. Yang lebih merumitkan lagi, komunikasi diantara mereka berdua akan terputus kerana ahli keluarga Elf di luar Menara Kristal tidak boleh menghubungi para Elf yang berada di dalam Menara Kristal.
Ini mengelakkan supaya Raja Kegelapan tidak tahu di mana terletaknya Menara Kristal dan Kristal Kehidupan tetap selamat.
Issac menarik tangan kanan Aubree dan menarik gadis itu ke dalam pelukannya.
Aubree pula yang tercengang dengan tindakan Issac. "Oi, apa yang kau mahu buat—"
"Hanya untuk beberapa saat..." Suara Issac terdengar sangat perlahan dan sayu tapi kerana mulut Issac berhampiran dengan telinga Aubree, dia boleh dengar semua yang dikatakan oleh Issac.
"Saya mahu buat begini untuk sekejap... Sebelum saya kembali ke Kerajaan saya..."
Aubree pada mulanya berfikir mahu menolak Issac tapi bila memikirkan ini adalah kali terakhir Issac ada di sini, Aubree hanya membiarkan saja dirinya dipeluk. Sebagai balasan, Aubree mengangkat tangan kiri dan memegang tangan Issac yang diletakkan di belakangnya.
Bila Issac menyedari yang Aubree langsung tidak menolak dia walaupun setelah dipeluk membuatkan Issac merasa lega dalam hati. Dia belum bersedia jika tiba-tiba gadis itu menolak keinginan dia untuk memeluk Aubree.
[Psst, cuma nak beritahu. Kalau korang mahu lebih menjiwai jalan situasi ni, korang boleh dengar soundtracks yang sesuai.]